Memaparkan catatan dengan label Kanak-kanak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kanak-kanak. Papar semua catatan

Khamis, 2 Mac 2017

Buku 10 dan 11 : Kisah-kisah Nasruddin Hoja 1 dan 2

Bismillahirrahmanirrahim.

Beli untuk anak namun saya baca dahulu. Nasruddin Hoja yang pintar. Kata-kata dan perbuatannya adakalah lucu dilihat dan adakala rasa bengang juga dengan telatahnya. Tapi, memang mendalam mesej yang disampaikan. Meski nampak "simple" tetapi ada ilmunya. Sesuai untuk anak-anak. Cuma bahasa Indonesianya ada yang saya tidak fahami. Anak-anak pun banyak bertanya, bagus juga, boleh tambah perbendaharaan kata mereka ;)

Sumber gambar : di sini

Sumber gambar: Grobmart.com

Buku 10 / 2017

Buku 11 / 2017

(30 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Sabtu, 17 Januari 2015

RakBuku2015 (2) Terowong Masa

Bismillahirrahmanirrahim.

Judul buku : Terowong Masa
Penulis : Azman Abdullah
Penerbit : K Publishing Sdn Bhd




Buku ini mengisahkan sekumpulan anak remaja yang dalam perjalanan mendaki Gunung Ledang. Namun baru hari pertama menjejakkan kaki ke sana, tiga rakan mereka hilang. Rupa-rupanya mereka terjatuh ke dalam sebuah lubang terowong masa yang membawa mereka ke 500 tahun lalu.

Bagi saya ceritanya sederhana. Tidak terlalu menambah-nambah sehingga nampak terlalu imaginasi. Ceritanya berpijak pada alam yang nyata ;) Maksudnya, kisah ini zaman Hang Tuah tetapi tiga orang remaja ini tidaklah dapat bertemu dengan Laksamana Hang Tuah dan rakan-rakan secara bersemuka. Hanya didengari melalui cerita tuan rumah yang mereka tumpangi.

Namun mereka sempat merasai bahang peperangan antara tunang Tun Teja (Megat Seri Alam dari Terengganu) dan Laksamana Hang Tuah, merasai kehidupan sebagai anak kampung dan bermesra dengan penduduk kampung.

Ada sedikit nilai tambah apabila Idayu (salah seorang remaja ini) mengajar dayang dan anak gadis kampung belajar mengaji (menggunakan kaedah Iqra') dan membaca jawi. Kisahnya tidak dilanjutkan kerana mereka bertiga berjaya mencari jalan pulang ke zaman ini.

Khamis, 20 November 2014

Buku 73 : Wasiat Untuk Anakku oleh Dr Zulkifli Al-Bakri

Bismillahirrahmanirrahim.

Subhanallah. Alhamdulillah saya bertemu buku sebaik ini yang saya kira amat sesuai untuk santapan anak-anak khususnya.

Dimulai dengan "Ada Apa Dengan Nama" yang mengingatkan kita akan harapan ibu dan ayah di sebalik pemilihan nama kita semua. Dalam bab-bab seterusnya penulis banyak membincangkan mengenai pembetulan matlamat kehidupan dan pembacaan. Teknik membaca, Kepentingan membaca dan beberapa isu lain.

Buku ini juga telah dibedah serba sedikit di dalam usrah remaja baru-baru ini. Alhamdulillah, semoga anak-anak ini beroleh manfaat dan mempraktikkan di dalam kehidupan mereka.

Sepanjang mengikuti tulisan Dr Zulkifli ini saya dapati beliau kerap mengingatkan mengenai kepentingan membaca. Subhanallah. Jarang saya temui penulis yang akan mengkhususkan topik "membaca" di dalam setiap karya mereka (mengikut pembacaan saya yang terhad ini).

Barakallahufik :-)

Rabu, 22 Oktober 2014

Buku 62 : A Nest for Celeste : A Story About Art, Inspiration, and the Meaning of Home oleh Henry Cole

Pinjam dari PERPUSTAM


Sumber gambar : Goodreads.com


Bismillahirrahmanirrahim.

Buku kecil berkulit tebal warna biru ini saya pinjam dari PERPUSTAM. Malang sekali apabila kulitnya sudah hilang. Apabila dicari melalui enjin carian Google, baru dapat lihat kulit hadapannya yang cantik dan klasik.

Sesekali teringat pengembaraan Pn Nisah Haron yang dirakamkan di dalam bukunya, Kembara Sastera ada menyebutkan keindahan pemandangan di luar negara yang memungkinkan tercetusnya ratusan malah ribuan cerita kanak-kanak yang menarik dan bermutu.

Istimewanya buku ini ialah pada lukisan pensel yang melatari helaian-helaian cerita. Subhanallah, berbakat sungguh penulis dan pelukis ini. Sememangnya saya lebih tertarik kepada lukisan ini sebelum membacanya.

Celeste, seekor tikus biasa yang hidup di sebuah rumah agam. Dia hanya hidup seorang diri selepas kematian ahli keluarganya akibat aktiviti pembangunan manusia. Dia berpindah dan tinggal di rumah kecil di bahagian bawah rumah agam ini.

Di sinilah dia bertemu dua ekor tikus yang kerap membulinya. Mahu tidak mahu Celeste terpaksa hadapi sehinggalah takdir menentukan kedua-duanya mati sia-sia akibat tamak :-)

Ketika melarikan diri dari kucing tuan rumah menemukan Celeste dengan tempat tinggal baru di sebuah bilik kecil di loteng. Di sinilah dia dipelihara oleh seorang budak lelaki, pembantu pelukis burung terkenal zaman itu.

Dikisahkan bahawa tokoh berkenaan akan membunuh burung yang ingin dilukiskan dan adakalanya terpaksa mempinkan burung itu di atas sekeping alas bagi menimbulkan kesan realistik. Kejamnya! Tetapi itulah yang mampu dilakukan olehnya kerana pada waktu itu teknologi kamera belum tercipta lagi.

Hmm.. Celeste hanyalah watak yang diwujudkan bagi menceritakan sejarah tika itu. Ada diselitkan semangat setiakawan yang tinggi tatkala Celeste mempertaruhkan nyawa mendapatkan makanan kesukaan sahabatnya, si burung kecil yang terperangkap.

Pengajaran yang diperoleh dari cerita ini ialah ketekunan, usaha yang rajin, semangat setiakawan dan kasih sayang menjadikan hidup harmoni dan bahagia.

++++++

Mengapa ya banyak cerita kanak-kanak yang menggunakan watak tikus?






Buku 61 : The Book With a Hole oleh Herve Tullet




Bismillahirrahmanirrahim.

Unik.

Ada lubang di tengah-tengah buku ini :D Oh, saya sangat suka idea kreatif penulisnya!

Lukisannya menggunakan warna hitam dan putih sahaja.

Agak tebal dan bermacam cerita dapat diilhamkan ketika membaca bersama anak-anak. Masa inilah dapat melihat imaginasi mereka :D 

Semua bahagian disukai mereka antaranya apa yang kamu mahu masak (lubang - periuk), letak jari sebagai gigi (lubang itu sebagai mulut), apakah yang akan keluar dari gelung ini? (gambar gelung api sarkas) dan letakkan muka di tengah-tengah lubang. Tidak lupa ada dam dan cari permulaan dan akhiran tali yang berpintal.

Okay, mungkin saya bukan pencerita yang baik. Silalah dapatkan buku ini dan saya pasti kamu juga terhibur seperti kami ;)








Err..suruh letak jari tangan diletak jari kaki >_<




Jumaat, 5 September 2014

Buku 50 : Idea Bekal ke Sekolah - Menu Asia oleh Chef Azian

Bismillahirrahmanirrahim. 

Daya penarik untuk membeli buku ini pastilah kerana perkataan "bento" pada muka hadapan buku. Melihat gambarnya sahaja saya sudah melonjak-lonjak mahu beli. Ah, terlebih gaya pula saya ;p

Penulis memberi tip menyediakan bento dan peralatan yang digunakan untuk membuat bento. Paling disukai banyak resipi membuat sos sendiri diberi dalam bab awal buku ini. 

Sebahagian besar resipi tidak pernah saya buat jadi selepas ini masa untuk "practice" supaya mudah di kemudian hari :)..

Khamis, 10 Julai 2014

Buku 33 : Ibu, Kuingin Tahu oleh Nur Khairunnisa Iskandar

Judul buku : Ibu, Kuingin Tahu
Penulis : Nur Khairunnisa Iskandar
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Harga : RM26.00
Muka surat : 163

Bismillahirrahmanirrahim.

Anak yang dianugerahkan oleh Allah adalah unik dan setiap seorang mempunyai personaliti tersendiri.

Ibu bapa adalah guru pertama anak-anak sebelum mereka melangkah ke sekolah dan rumah menjadi madrasah pertama yang menjadi tempat tarbiah anak-anak.

Pakar perkembangan kanak-kanak banyak mengatakan usia seawal dua atau tiga tahun pertama merupakan tahap perkembangan optimum kanak-kanak. Pada masa ini mereka mampu menyerap dan meniru apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka.

Tiga tahun bersamaan dengan 1097 hari. Masya Allah! Bayangkan sekiranya kita dapat memanfaatkan hari-hari tersebut bersama anak kita. Subhanallah.

Buku ini tampil membuat perkongsian cara yang kreatif dalam memperkenalkan Allah dan Islam kepada anak kecil. Ya, ramai yang tidak tahu di usia manakah kita sudah boleh memperkenalkan Allah kepada anak kecil. Adakah semasa baru lahir, 3-4 bulan atau selepas 2 tahun ketika dia sudah petah bercakap? Jawapannya tiada had umur. Bila-bila masa sahaja kita boleh memperkenalkan Allah dan menerapkan kefahaman Islam dalam diri anak-anak kita.

Membaca buku ini membuatkan saya terasa kerdil. Proses pengajaran dan pembelajaran antara ibu bapa dan anak harus berjalan tanpa ada rasa jemu atau putus asa. Banyak situasi yang kita terlepas pandang yang boleh digunakan dalam mentarbiah anak kita. Sebenarnya ia mudah tetapi disebabkan tidak terbuka hati maka ianya terhijab.

Penulis berkongsi panduan :

☆ cara efektif mendidik anak menggunakan pendekatan kreatif
☆ memancing minat anak mempelajari perkara baru berkaitan solat dan ibadah lain
☆ kepimpinan melalui teladan
☆ alternatif mendidik anak dan diri sendiri

(Muka surat xi)

Berpandukan lima kuasa keramat minda (KKM) iaitu mengambil bait dalam azan ;

1. "Tiada tuhan melainkan Allah". Itu pegangan kita.
2. "Muhammad itu pesuruh Allah". Itu cara hidup kita.
3. "Marilah menunaikan solat". Itu strategi kita.
4. "Marilah menuju kejayaan". Itu matlamat kita.
5. "Allah Maha Besar". Itu pergantungan dan talian hayat kita.

...seharusnya ada kesinambungan dalam proses pendidikan anak seterusnya supaya ilmu yang mencukupi dapat dicurahkan kepada anak dalam menjadi muslim sejati.

Sebanyak 17 soalan dikongsikan bersama pembaca dan setiap satunya diiringi penerangan, tip pendidikan anak, mutiara hadis, cadangan bahan bacaan lanjutan dan Nota Untuk Ibu.

Saya tertarik dengan 4 aplikasi memberi jawapan yang boleh digunakan iaitu melalui contoh, aktiviti, fakta dan penceritaan.

Sesungguhnya mendidik anak memerlukan kesabaran dan perlu buang jauh-jauh sifat amarah kita kerana ianya hanya membantutkan perkembangan mereka. Satu muhasabah buat diri saya apabila penulis menulis nota kecil berbunyi :

"Perasaan marah hanya akan menjejaskan emosi dan semangat berkobar-kobar anak yang mahu belajar solat atau mengaji. Jangan mengharapkan mereka betul semuanya, kerana itulah tujuan mereka belajar."



Saya kira pernyataan ini turut boleh diaplikasikan kepada anak-anak didik di sekolah. Kadang-kala watak seorang guru yang menjadikan sifat tegas dan garang muncul demi memastikan anak-anak didik mendapat apa yang diajar. ^_^

Akhir sekali, saya terkesan dengan tip muhasabah penulis :

♡ Berapa orang daripada anak kita yang anda rasa dapat menyelamatkan kita di akhirat nanti?
♡ Berapa orang yang akan mendoakan kita apabila kita meninggal dunia kelak?
♡ Berapa orang yang akan memimpin tangan kita untuk masuk ke syurga?


Daku memohon keampunanmu ya Allah..rabbi habli minassolihin. Ameen...

Jumaat, 4 Julai 2014

Buku 32 : Wahai Anakku, Inilah Tata Cara Shalat Sesuai Petunjuk Nabi SAW




Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Buku di tangan ini merupakan sebuah siri untuk mengajar anak berwuduk, solat dan zikir selepas solat yang menurut quran dan hadis yang sahih.

Terbitan Pustaka Ibnu Kathir di bawah siri kanak-kanak. Sebelum ini saya pernah mendapatkan sebuah buku mengenai doa.

Dibahagikan kepada tiga bahagian dengan diawali tatacara mengambil wudhu' diikuti tatacara solat dan diakhiri zikir selepas solat.

Subhanallah banyak membantu saya dalam menyediakan persiapan anak menunaikan solat. Saya juga banyak mendapat ilmu baru kerana belajar solat sebelum ini hanya melalui ibu bapa dan guru di sekolah. Maka hadirnya buku ini memberi nilai tambah dalam memperbaharui ilmu tentang solat secara khususnya.

Bacaan mengikut sunnah (di dalam solat) lebih pendek daripada yang biasa dibaca selama ini dan anak lebih mudah mengingat kalimah dan maknanya serta seronok mengerjakan solat. Subhanallah.

Jika saya tidak salah, penerbit turut mengeluarkan sebuah carta tata cara solat ini dalam bentuk poster. Namun saya ubahsuai sedikit dengan menjadikan langkah demi langkah menggunakan ilustrasi berwarna bagi menarik anak kecil yang berusia 3 tahun lebih di rumah ini :)

Harga yang tertera pada label buku ini ialah RM18 namun  saya mendapat diskaun ketika membayarnya (bersama barangan lain). Mungkin harganya berbeza mengikut kedai.

Saya sangat mengesyorkan buku ini sebagai salah satu sumber rujukan dalam memdidik anak mengenai tatacara wudhu', solat dan zikir selepas solat menurut sunnah. Wallahualam :)

Jumaat, 20 Jun 2014

Buku 30 : 100 Panduan Mengajar Komunikasi, Bahasa dan Literasi oleh Susan Elkin

               
        Judul buku   : 100 Panduan Mengajar Komunikasi, Bahasa dan Literasi (Terjemahan daripada 100 Ideas for Teaching Communication, Language and Literacy)
Penulis           : Susan Elkin
Penerbit        : Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM)
Harga            : RM25.00
Bilangan muka surat : 190

Tahun Terbit : 2012

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah menjadikan manusia dengan pelbagai variasi sikap, trait dan keturunan. Bermula daripada bayi yang dikandung dalam kandungan, lahir, membesar dan mempelajari banyak perkara. Sesungguhnya cara kita menerima rangsangan dan ilmu turut berbeza-beza.

Kanak-kanak di antara 0 hingga 2 tahun mengalami perkembangan yang sangat pesat dan di usia ini merupakan masa emas buat mereka. Penemuan hasil kajian tahun demi tahun semakin jelas menunjukkan bahawa pada usia inilah kanak-kanak mampu menerima ilmu dengan begitu efektif walaupun pada zahirnya mereka “tidak tahu apa-apa”.

Buku ini hadir memberikan idea bagi mengajar komunikasi, bahasa dan literasi kepada kanak-kanak di usia 0 hingga 5 tahun. Formatnya yang mudah menyenangkan pembaca mengikut panduan yang diberikan. Cadangan aktiviti yang interaktif, memenuhi objektif, mudah dilaksanakan dan bonus aktiviti lanjutan.

Terbahagi kepada enam bahagian iaitu Bahagian 1 : Bahasa Untuk Komunikasi, Bahagian 2 : Bahasa Untuk Berfikir, Bahagian 3 : Mengaitkan bunyi dengan Huruf, Bahagian 4 : Membaca, Bahagian 5 : Menulis dan Bahsgian 6 : Tulisan tangan.

Saya teringat sebuah buku lagi yang hampir serupa dengan ini tetapi lebih islamik dan terperinci bagi mendidik anak lebih dekat dengan Allah iaitu buku Indahnya Didikan Awal Anak-anak Cara Islam terbitan PTS. Buku itu memang saya ulang kali baca bagi “refresh” idea dan meningkatkan motivasi diri dalam menghadapi cabaran membesarkan anak-anak yang masih kecil. Wallahualam.

Saya tertarik dengan beberapa aktiviti dan sedang menyediakan bahan-bahan berkaitan dan ada juga yang telah dibuat. Suka untuk saya catatkan di sini untuk rujukan saya pada masa akan datang.

Idea 1: Permainan Warna dan Idea 2 : Saya lihat
Mengumpulkan barang-barang yang sama warna
Menggalakkan anak mencari barang yang sama warna dalam bilik (atau tempat aktiviti dijalankan)

Idea 3 : Menyanyikan bahasa harian.
Misalnya ketika memakai baju, ibu nyanyikan ayat tersebut menggunakan rentak Where Is Thumb kin. (idea saya sahaja. Boleh tukar lain jika tidak sesuai ^_^)
Pakai baju, lepas mandi,
Jangan lupa baca doa,
Allah sayang, ummi suka,
Kakak dapat pahala.

Idea 4 : Simulasi dan lakonan
Situasi di dalam bas. Susun kerusi dan berlakon sebagai penumpang, konduktor bas dan pemandu bas.
Situasi di kedai makan. Berlakon sebagai tukang masak, penjaga kaunter, pelanggan atau pelayan. Mengambil pesanan pelanggan dan adab-adab lain (saya tambah).


Idea 5 : Berbual dan boneka
Menggunakan boneka jari atau “custom made”. Aktiviti ini dapat mengembangkan kemahiran berfikir dan meningkatkan keyakinan diri.

Idea 6 : Beg cerita.
Pilih objek yang menarik untuk dilihat dan disentuh. Masukkan ke dalam sebuah beg. Minta anak ambil dan cerita. Ibu bapa boleh memandu penceritaan anak dengan memberi soalan terbuka dan tertutup. Aktiviti lanjutan : membiarkan kanak-kanak membuat beg cerita sendiri dan pilih objek yang mereka mahu. Ibu bapa atau penjaga boleh mereka cerita berdasarkan objek-objek berkenaan.

Idea 7 : Bunyi nama
Letak nama kanak-kanak dalam satu ayat bersama perkataan lain yang bermula dengan huruf sama.
Cipta satu permainan daripada ayat tersebut dengan gerak isyarat, gerakan dan sebagainya.
Contohnya :
Aisyah agah adik.
Kasut Khaulah kuning langsat.
Pak Lang lari laju.
Muaz makan mangga.

Idea 8 : Cerita daripada gambar.
Bahan daripada majalah atau surat khabar.
Pilih 1 gambar dan tanyakan soalan :
Apa dia sedang buat?
Apa agaknya yang akan dia buat selepas ini?
Siapa nama mereka?
Kenapa dia ketawa?

Idea 9 : Buku abjad
Cari gambar yang bermula dengan huruf a-z. Ajarkan fonetik.

Idea 10 : Huruf dan gambar
Gunakan kad atau bongkah abjad, baling bongkah dan padankan dengan gambar.

Idea 11 : Bunyi yang sama

Dikenali sebagai “toungue twister”. Rangkaian rima tradisional yang diketahui ramai :

Peter Piper picked a peck of pickled pepper. If Peter Piper picked  a peck of pickled pepper, where’s the peck of pickled pepper Peter Piper picked?

Betty Botter bought some butter.
But she said this butter’s bitter.
If I put it in my batter
It will make my batter bitter.
But a bit of better butter
Will make my batter better
So she bought a bit of butter
Better than her bitter butter
And she put it in her batter
And the batter was not bitter
So ‘twas better Betty Botter
Bought a bit of better butter

Idea 12 : Menyelak halaman
Lagi bagus sekiranya ada unsur interaktif pada halaman yang diselak seperti bunyi loceng, zip, dan sebagainya.

Idea 13 : Melabel bilik.

Idea 14 : Lukisan jari.
Lukis pada jari untuk buat boneka dan lakonkan. Atau bermain dengan warna air, cop pada kertas dan reka permainan yang menarik.

Idea 15 : Kemahiran menggunting
Biarkan anak memilih gambar yang disukai dari surat khabar atau majalah, gunting dan tampal pada kertas. Labelkan dan jadi sebuah buku. Pasti menarik!

Idea 16 : Tip untuk membantu penulis kidal
- Kira-kira 10% penduduk dunia adalah kidal. Tip bagi membantu mereka :
- Cuba serongkan kertas kira-kira 45 darjah ke kanan.
- Sasarkan “cara memegang tiga penjuru” yang baik antara ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu.
- Tangan dan pergelangan tangan hendaklah berada di bawah garisan / tulisan.
- Cuba permukaan menulis yang sendeng.

Rabu, 11 Jun 2014

Buku 26 : Toys Go Out oleh Emily Jenkins

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini berkisar alat permainan yang dimiliki oleh Little Girl. Fokus utama lebih kepada tiga jenis permainan bernama StingRay, Plastic dan Lumphy.

Setiap satu alat permainan ini mempunyai karakter yang tersendiri.

StingRay bagi saya seorang yang menganggap dirinya tahu segala-galanya walhal ada perkara yang tidak pernah dilihatnya mahu pun dilawati. Dalam bahasa mudah, "bajet tahu semua". 

Kadang timbul geram juga dengan StingRay ini. Tetapi selalunya terhibur dengan kata-katanya yang petah dan berirama. Seperti pantun pula :) Oh ya, StingRay ini ialah seekor ikan pari mainan. 

Plastic pula menjadi misteri sehingga ke pertengahan cerita. Melihat kepada sinopsis, saya tidak dapat menebak siapakah Plastic. Namun, pada suatu hari Plastic mula tertanya-tanya siapakah dirinya. Bermulalah pencariannya dengan membaca buku-buku Little Girl pada waktu selepas tuannya tidur :) Comel pula rasanya alat permainan membaca buku. 

Malangnya tiada satu pun maklumat mengenai dirinya diketahui. Lalu dia beralih dengan menonton televisyen. Melihat rancangan dokumentari, iklan, kartun dan sebagainya. Sedikit sahaja maklumat diperolehi. Dia tetap tidak berpuas hati sehinggalah dia teringatkan TukTuk, si tuala mandi di dalam bilik air Little Girl. Oh, Plastic ialah sejenis bola rupanya! Haih , sabar sahajalah -_-

Lumphy, seekor lembu mainan. Suka bermain-main dan agak "clumsy" :) 

Bila diimbas kembali, ketika kecil dahulu apabila membaca buku-buku seperti ini membuatkan saya berada dalam dunia sendiri. Yalah, alat permainan boleh bergerak dan bercakap sesama mereka ketika tuannya tidur. Huh? Masuk akalkah? Sebelum tidur dahulu saya pasti lihat anak patung dan alat permainan yang dimiliki sambil berfikir perkara ini. Haha...mana mungkin, kan? Ia hanya imaginasi sahaja.

Tetapi seronok kerana ia seperti membuka minda berfikir secara kreatif.

Satu lagi perkara, suka dengan suasana dalam bilik tidur Little Girl yang digambarkan dalam cerita ini. Ada meja belajar, rak buku dengan pelbagai koleksi buku seperti ensiklopedia, buku cerita dan buku sekolah, ruang bermain dan tingkap yang menghadap pemandangan luar yang cantik.

Walaupun saya beri 3 bintang sahaja untuk cerita ini namun buku ini sangat menarik dibacakan semasa sesi "read aloud session" bersama-sama anak. Mujur tarikh pulangan buku masih panjang. Jadi insya Allah sempat lagi bercerita dengan anak-anak. Cumanya saya tambahkan dengan lukisan sendiri supaya anak-anak lebih nampak dan faham jalan cerita ini :) 

Wallahualam.

Ahad, 4 Mei 2014

Buku 20 : Dengarlah Ini, Sayang oleh Meriam Awang Lah

Bismillahirrahmanirrahim. 

Buku ini saya pinjam dari PSS sekolah. Buku sumbangan daripada kementerian yang diterima untuk program MBMMBI. Buku ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Koleksi puisi yang sering dilagukan oleh ibu-ibu di Kelantan ketika mengasuh anak. Satu usaha yang baik kerana hampir 80% puisi ini tidak pernah saya ketahui. Apabila ditanya kepada rakan dari Kelantan pun, mereka turut tidak mengetahui kesemua lagu puisi ini :)

Agak-agaknya Melaka ada jugakah puisinya yang tersendiri? Hmm..boleh buat kajian ini :)

Isnin, 21 April 2014

Big Bad Wolf Di Melaka!

Bismillah walhamdulillah.

19 - 27 April 2014 BBW mengadakan pesta bukunya di MITC, Melaka. Kami sekeluarga pergi pada hari pertama dan.. ya, saya benar-benar tidak menyangka perlu beratur selama hampir 2 jam untuk membayar buku! Sungguh berbeza pengalaman tahun lalu ;) Namun berpuas hati (dengan diri sendiri) kerana berjaya memenuhi permintaan ibu susuan anak saya yang ingin membeli beberapa buah buku kanak-kanak untuk anak-anaknya. Saya? Walaupun tidak berjumpa apa yang diingini habis juga duit membeli buku anak-anak. Wee...

Saya terjumpa buku Dr Seuss. Berfikir dua kali sebelum mengambil keputusan membelinya. Pertama, "Oh, ini buku Dr Seuss!", Kedua, "Perlu beli atau tidak? Belilah.. untuk ambil tahu mengapa Dr Seuss sangat "terkenal" dalam blog-blog yang saya selalu layari." Haha... mudahnya.

Ya Allah, semoga saya dan anak-anak mendapat ilmu bermanfaat dari buku yang kami beli. Bolehlah mula merancang aktiviti berdasarkan buku-buku ini. Insya Allah :)



Hari Isnin ke tempat kerja, BBW menjadi topik perbualan :) Suka lihat buku-buku yang dibeli oleh kawan-kawan. Ada yang minat berkebun, seni hiasan dalaman, seni kreatif dan lain-lain. Bagus..bagus.. boleh kongsi baca selepas ini :)

Sabtu, 29 Mac 2014

Buku 14 : Andalusia, Here We Come! oleh Lisa Nurisha

Bismillahirrahmanirrahim.

Jauh berjalan luas pengalaman dan lebih luas minda :)

Ini karya kedua Lisa Nurisha yang dibaca. Terdahulu ialah buku Oh! London terbitan PTS (kesilapan ejaan yang terlalu banyak sehingga mengganggu pembacaan. Oh! Harap-harap ianya diperbaiki).

Kali ini keluarga Alisa dan Alya melancong ke Andalusia, Sepanyol pula kerana mengikut bapa mereka mewakili syarikat melakukan kerja penyelidikan mengenai seni bina Islam di sana dalam usaha mereka cipta masjid baharu selepas pulang dari Andalusia.

Jalan cerita lancar dan tidak kekok. Ada diselitkan adab musafir cara nabi di setiap akhir bab, persiapan bermusafir ke luar negara (pakaian, sedikit kajian mengenai cuaca, budaya dan bahasa tempat yang ingin dilawati dan insurans perjalanan).

Berada lapan hari di Andalusia membuatkan jadual mereka agak padat dengan aktiviti melancong ke tempat-tempat bersejarah di situ terutamanya melihat peninggalan zaman kegemilangan Islam satu ketika dahulu. Sedih.

Bermula dengan Alhambra (istana merah), Alcazaba (kompleks ketenteraan), Istana Mexuar (mempunyai empat bahagian), The Arrayanes Courtyard dan Generalife (tempat Sultan berehat selepas menguruskan negara). (Sekadar menyebut beberapa nama)

Kemudian mereka bergerak ke Bandar Cordoba dan melawat Mezquita de Cordoba atau dikenali juga dengan nama Great Mosque of Cordoba. Ia dibina pada tahun 786 masihi dan merupakan binaan terpenting ketamadunan Islam di benua Eropah. Masjid ini telah ditukar fungsi kepada gereja selepas kejatuhan Islam kepada Kristian satu masa dahulu.

Menarik sekali pada ketika pemerintahan Islam, pemimpin-pemimpin Islam sangat mengutamakan ilmu. Dikatakan terdapat 700 000 naskah buku di dalam perpustakaan yang dibina oleh seorang sultan pada masa itu dan harus diingatkan teknologi percetakan belum lagi tercipta. Ya, mereka menulis tangan! 

Banyak sekali ilmuwan Islam yang menyumbang kepada kemajuan dan kepesatan tamadun Islam ketika itu. Antaranya ialah Ziryab. Beliau seorang tokoh seni dan muzik pertama di Andalusia. Selain menambah tali pada alat muzik seakan gitar bernama 'ud', beliau turut mereka fesyen pakaian yang berlainan warna dan dibuat daripada bahan berlainan mengikut musim, mencipta ubat gigi dan deodoran dan memperkenalkan tiga hidangan utama makanan iaitu sup, makanan utama dan pencuci mulut. Wah, baru saya tahu ianya diperkenalkan oleh orang Islam!

Ada banyak lagi yang dikongsikan Alisa dan Alya di dalam buku ini. Sempat juga mereka 'berjumpa' dengan tokoh zaman silam seperti Al-Idrisi, Aisyah (ibu kepada pemerintah sultan terakhir kerajaan Andalusia) dan Panglima Tariq bin Ziyad. Nama pun fiksyen kan ;)

Walaupun buku untuk kanak-kanak @ awal remaja namun banyak ilmu dapat saya kutip melalui pembacaan di sini. Terima kasih penulis. Barakallahufik :)

Rabu, 12 Februari 2014

Buku 8 : Not A Box

Bismillah walhamdulillah.

Hari ini membawa anak-anak didik ke Perpustam (Perpustakaan Awam Negeri Melaka) di Bukit Baru, Melaka. Satu lawatan sambil belajar yang seronok dan bermanfaat insya Allah.

Kami disambut oleh pegawai berkenaan, taklimat dan pengenalan Perpustam, dibawa melawat hampir kesemua bahagian Perpustam (ada 3 tingkat) termasuk melawat bahagian pinjaman dewasa, melihat koleksi Melaka Warisan Dunia, bilim suntingan media, bilik ICT, gimnasium mini dan berakhir dengan aktiviti di perpustakaan kanak-kanak dan ruang santai (kanak-kanak). Ada teater 3D! Itu cukup mengujakan anak-anak ini :)

Oh ok. Itu secara ringkasnya.

Saya nak bercerita buku yang dipinjam dari perpustakaan kanak-kanak. Buku yang sangat menarik konsepnya.

Not A Box mengisahkan seekor arnab yang bermain atau berimaginasi dengan sebuah kotak! Lihat gambar-gambar di bawah dan anda akan fahami konsep buku ini :)







Menarik, bukan?

Agaknya beginilah anak-anak kecil kita berimaginasi. Oleh itu, jangan sesekali memarahi mereka sebaliknya give them support! :)

(Saya fikir) boleh gunakan cerita ini semasa bercerita dengan anak menggunakan teknik tampalan (ilmu baru yang diperolehi daripada buku Mama, Ceritalah... tapi bukunya belum habis dibaca. Hee...)

Itu sahaja, jumpa lagi. Wassalam :)

Sabtu, 8 Februari 2014

Buku 6 : Sadako and The Thousand Paper Cranes by Eleanor Coerr

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini mengisahkan kisah benar yang berlaku kepada seorang kanak-kanak yang menghidap leukimia pasca pengeboman di Hiroshima pada awal tahun 1940-an.

Seorang kanak-kanak perempuan  bernama Sadako, lahir dan membesar sebagai anak yang cerdas, ceria dan mempunyai kelebihan dalam olahraga. Diceritakan kehidupannya dalam keluarga Jepun yang bahagia dan berpegang kuat kepada budaya masyarakat. Setiap hari mereka berdoa agar dijauhkan daripada penyakit leukimia (kerana majoriti rakyat Jepun meninggal kerana penyakit ini kesan bom atom di Hiroshima).

Ya, siapa sangka, takdir tuhan menetapkan sesuatu itu pasti terjadi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sadako jatuh pengsan ketika menjalani latihan olahraga di sekolahnya. Dibawa ke hospital oleh bapanya dan doktor mengesahkan beliau menghidap leukimia. Sedih sekali.

Namun saya memuji rakan baiknya kerana memberikan semangat dengan cara yang unik.

Mengikut kepercayaan orang Jepun, jika seseorang membuat 1000 keping lipatan burung jenjang (origami), maka tuhan akan memberikan keajaiban dan kesihatan. Sedikit sebanyak ia menyuntik semangat kepada Sadako untuk menerima keadaan dirinya dan berharap agar dia dapat sembuh.

Saya terfikir berapa lama masa diambil bagi menyiapkan 1000 keping burung jenjang? Mungkin boleh cuba selepas ini. Hihi..

Sadako hanya mampu menyiapkan 644 keping dan beliau pergi untuk selama-lamanya. Kisahnya menjadi inspirasi kepada semua rakyat Jepun dan rakan-rakan sekelasnya menyelesaikan baki 356 keping lagi dan dikebumikan (kesemua 1000 keping) bersama Sadako.

Atas inisiatif mereka juga, surat-surat Sadako dibukukan dan disebar ke serata Jepun. Malahan origami burung Jenjang dikenali di seluruh dunia sebagai lambang keamanan.

+++++

Pertama kali saya mengenal origami burung Jenjang ketika berada di sekolah menengah apabila melihat adik membawa pulang dari sekolah. Namun, serius saya katakan saya sangat lemah dalam mengingat langkah demi langkah membuatnya. Rasanya menganyam ketupat lebih mudah bagi saya. Huhu.

Terdapat langkah-langkah membuat lipatan burung Jenjang di bahagian akhir buku. Boleh cuba nanti. Insya Allah :)

* Buku ini adalah sumbangan Scholastic untuk sekolah saya sempena Kem Membaca 1 Malaysia yang kami sertai tahun lalu. Sebenarnya belum diproses. Nama pun cikgu perpustakaan saya baca dahulu ;)

Ahad, 2 Februari 2014

Buku 4 : Mama, Ceritalah Lagi... oleh Hasniah Hussain

Bismillah walhamdulillah.

Buku kali ini sangat menarik minat saya sebagai seorang guru dan juga seorang ibu yang mempunyai anak kecil. Ini kerana jarang saya jumpa buku panduan bercerita dalam bahasa Melayu di pasaran. Kulit bukunya menarik dan ilmu yang diberi juga sangat berguna dan bermanfaat.

Ada lima bab di dalam buku ini dimulai dengan Bab 1 : Penggunaan Buku Cerita untuk Aktiviti Bercerita, Bab 2 : Bercerita Menggunakn Lipatan Kertas, Bab 3 : Bercerita Menggunakan Gubahan Sapu Tangan, Bab 4 : Teater Bercerita dan Bab 5 : Persembahan Teater Bercerita.







Sememangnya saya banyak belajar perkara baharu dari buku ini apabila penulis memberi idea bercerita menggunakan teknik lipatan (saya kira lipatan ini = origami) dan gubahan sapu tangan. Malahan penulis melampirkan beberapa contoh cerita berserta teknik bagi kedua-dua kaedah bercerita yang dinyatakan.

Panduan membuat kostum mudah seperti topi watak yang menggunakan kad manila, gambar yang ditampal pada topi sebenar, gambar gantung, topeng muka, cekak rambut dan kostum menggunakan surat khabar sangat membantu dalam penyediaan bahan teater bercerita.

Saya cuba mengaplikasikan salah satu teknik ini bersama anak saya dan Alhamdulillah ia sangat menyeronokkan. Boleh lihat video dan entri saya di sini --> Buku dan Aktiviti 4. Saya menggunakan topi watak dan anak akan menukar topi watak sesuai dengan cerita di dalam buku.



Topi watak dari buku Crazy Pets ~ hamster, tikus, anjing, ikan dan arnab

Perkongsian daripada saya. Saya mohon maaf atas segala kelemahan dan kekurangan. Semoga bermanfaat :)

**Saya terkejut bercampur gembira melihat foto keluarga penulis kerana saya mengenali suaminya yang merupakan Timbalan Pengarah kampus saya dahulu. Barakallahufikum.

Ahad, 5 Januari 2014

Buku pertama

Bismillah walhamdulillah.

Assalamualaikum :)

Setengah hari keluar menyelesaikan urusan kerja dan peribadi, pandai juga si anak mengajak ke kedai buku. "Abi, nak beli buku Khaulah, boleh?." Pucuk dicita, ulam memdatang ;)

Hari ini hanya melihat suami dan anak membeli buku (boleh percayakah? Haha..). Sudah beberapa kali memberi kebebasan kepada anak memilih buku sendiri tetapi sudah pasti telah diberi panduan dan selepas anak pilih, saya akan tapis dahulu.

Tak percaya pula apabila melihat Komik Sains Ikhtiar Hidup dipegang oleh suami. Mungkin penangan Ustaz Rohidzir Rais dalam ceramahnya dalam bengkel penulisan baru-baru ini :) (Beliau kini menggalakkan anaknya membaca komik tersebut).


Saya membeli buku latihan topikal sahaja sebagai bahan bantu mengajar tambahan. Khaulah memilih buku Numbers and Counting for preschool dan Bedtime with puppets.

Jumpa lagi ^_^

Selasa, 29 Oktober 2013

Hari Fesyen (Young Aishah)

Bismillah walhamdulillah.

Sewaktu selesai membaca buku ini, saya terbaca di laman sosial seorang figur menyatakan orang Melayu sangat kurang membaca buku-buku yang 'berat'. Masih lagi membaca buku yang mudah dihadam. Hee.. tiba-tiba terasa pula ^^

Baik. Buku ini merupakan buku ke-12 dalam siri Young Aisyah. Buku dicetak berwarna-warni penuh dan bersaiz A4. Dalam cerita ada komik.

Saya kagum dengan penulis. Berdakwah melalui tulisan. Saya kira penulis berjaya menyampaikan konsep aurat perempuan dan lelaki kepada pembaca sasaran tanpa rasa terbeban. Seharusnya anak-anak di usia kecil harus didedahkan dengan menutup aurat supaya mereka tahu kepentingan menjaga aurat bukan sekadar suruhan Allah malah sebagai tanda ketaatan kepada-Nya.

Bermula dengan definisi aurat dan konsepnya, cara berpakaian ketika bersukan dan lain-lain yang menyentuh mengenai aurat.

Buku ini bukan sekadar cerita biasa tetapi mempunyai 'sesuatu' yang insya Allah memberi manfaat untuk pembaca.

Sangat disyorkan untuk bacaan anak-anak :)

Wallahualam.




Sumber gambar dari blog Kartunis Reja


Rabu, 13 Februari 2013

Tekad ~ Rejab F.I

Sumber gambar : http://pts.com.my/buku/tekad/
Sumber buku : Sumbangan PTS semasa Kursus Pengkarya Guru 2012
Tarikh baca : 13 Februari 2013

Terinspirasi dari kata-kata guru mereka, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan" membuka langkah bagi Dali dan Siraj dalam memulakan perniagaan kecil-kecilan mereka.

Bagi mengisi cuti sekolah hujung tahun selama 7 minggu, dua sahabat baik ini merangka strategi untuk berniaga telur ayam. Satu perancangan yang teliti meskipun nampak mudah.

Bermula dengan pencarian modal (daripada kedua ibu bapa mereka), bertanyakan harga di kedai ang hanya membeli dan menjual telur di bandar, dan memulakan perancangan membeli telur di kampung-kampung berdekatan.

Semangat mereka tinggi bagi berniaga kerana matlamat mereka antara lain ingin menceburkan diri dalam bidang yang dimonopoli oleh bangsa Cina dan menggalakkan orang Melayu untuk berniaga.

Adat berniaga, sudah pasti ada halangan dan cabarannya. Tidak disangka, peniaga kecil seperti mereka ini pun ada orang mahu membuat dengki. Ada pemborong telur lain yang menggunakan taktik kotor menyekat hasrat murni dua sahabat ini. Namun, masih ada yang sudi membela dan memberi sokongan kepada mereka. Inilah semangat yang kita mahu. Saling tolong-menolong dan menyokong antara satu sama lain.

Paling penting semangat kerjasama yang ditunjukkan dan fikiran positif sangat membantu.

Cerita yang sangat bagus dibaca oleh anak-anak kita. Rupanya buku ini merupakan pengalaman penulis sendiri satu masa dahulu :)

* Gambar buku yang saya ada lain daripada gambar yang ada di PTS. Mungkin gambar buku telah dikemaskini dengan lukisan baru.

Isnin, 21 Januari 2013

Holiday Activity Book ~ Jane Bull

Saya sangat teruja ketika mendapat buku ini. Saya kira inilah pertama kali saya begitu memanfaatkan buku seperti ini :D Mungkin kerana aura Story Sack masih kuat ;)

Buku ini saya beli dari Puan Noraini Dollah (FB : Ummu Ammar, fan page beliau Bayi Bijak sudah mempunyai lebih daripada 8 000 Like. Silalah berkunjung ke sana ya). Alhamdulillah, buku ini ternyata begitu bermanfaat. Ideanya menarik dan boleh diaplikasikan. Buku ini berjaya memecah kebuntuan ibu saya (beliau seorang guru) yang mengendalikan Kelab Pelancongan dan Rekreasi.

Ada 50 aktiviti yang boleh dijalankan. Saya baru berjaya membuat 3 aktiviti iaitu :
1) Holiday Travel Book
2) Tangram
3) Travel Bingo

Ada beberapa resipi ringkas yang sesuai dijalankan bersama anak-anak atau anak murid :) Biskut dan muffin yang terhasil digunakan di dalam aktiviti.


Selepas ini boleh cuba resipi di dalam buku ini pula :) Insya Allah.

~~~~~~~~

1) Holiday Travel Book

- Fikirkan buku bentuk yang disukai seperti gambar kereta, kerang (jika bercuti di pantai), beg, gambar kapal terbang, strawberi (jika ke Cameron highlands) dan sebagainya.
- Gunting dan hiaskan mengikut kreativiti.
- Misalnya saya membuat bentuk kereta MPV, helaian pertama dan kedua saya tuliskan doa berkaitan seperti doa keluar rumah, doa naik kenderaan, doa berhenti di sesuatu tempat dan doa musafir.
- Kemudian saya lekatkan semua tiket, kupon, resit atau logo hotel di dalam helaian seterusnya.
- Gambar-gambar percutian juga dilekatkan.
- Akhir sekali catatan memori..
Siap :)

2) Tangram

- Tangram ialah permainan puzzle yang berasal dari China. Ia mempunyai 7 bentuk (2 segitiga sama kaki besar, 1 segitiga sama kaki sedang, 2 segitiga sama kaki kecil, 1 jajargenjang dan 1 persegi empat. - sumber sini)
- Ada ukuran gambar rajah di dalam buku ini. Saya salin dan gunting kain felt berdasarkan bentuk-bentuknya. Saya bina 6 set sahaja dulu.

3) Travel Bingo.

- Buat yang mudah sahaja! Lukis 9 keping gambar berkaitan pengangkutan (3x3), perbanyakkan tetapi pastikan susunan gambar berlainan.
- Jika perjalanan menggunakan kereta, kapal terbang atau kapal sekalipun bolehlah diedarkan kepada adik-beradik atau rakan kertas permainan ini. Pastikan juga pensel di bawa bersama :)
- Boleh sahaja guna gambar lain. Saya gunakan apa yang ada di rumah. Banyak gambar haiwan (lebihan latihan anak murid ;)) jadi saya lekatkan menjadi beberapa set.

Semoga ada manfaatnya.