Memaparkan catatan dengan label Pendidikan Khas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan Khas. Papar semua catatan

Khamis, 2 Mac 2017

Buku 7 : Panduan Terapi Cara Kerja Untuk Murid Istimewa

Bismillahirrahmanirrahim.

Orang yang berperanan dalam hal ini ialah Occupational Therapy atau singkatannya OT. Selepas memasuki dunia pendidikan khas baru saya tahu akan adanya pekerjaan ini. Banyak idea dan aktiviti menarik yang boleh dibuat bagi melatih anak-anak ini merangsang otot dan pergerakan mereka.

Di dalam buku ini, terdapat gambar yang boleh memberikan kita gambaran lebih jelas bagaimana mengaplikasikan kepada anak-anak istimewa. Saya kira buku ini juga boleh diaplikasikan kepada anak-anak normal.

Insya Allah saya akan kemas kini kandungan di dalam buku ini. Buat masa ini, ada rakan yang meminjam buku ini.

Sumber gambar : http://bukupendidikankhas.my/
Buku 7 / 2017

(15 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Ahad, 2 Ogos 2015

RakBuku2015 (37) Kaedah Bercerita

Bismillahirrahmanirrahim.



Judul buku : Siri Pendidikan Autisme : Kaedah Bercerita
Penulis : Salmiah Bujang, Hasnah Toran dan Suziyani Mohamed
Penerbit : UKM
Terbitan : 2014
Harga : RM20


Kaedah Bercerita ini saya beli dari Bengkel Pendidikan Autisme yang saya hadiri pada awal Jun lalu. Buku ini diterbitkan oleh Makmal Pendidikan Autisme, Universiti Kebangsaan Malaysia. Ia mempunyai 6 bab yang merangkumi pengenalan kepada Autisme, komunikasi sosial, kaedah bercerita, contoh-contoh cerita, penyediaan cerita dan sumber dari internet.

Kaedah Bercerita atau Social Stories dipelopori oleh Carol Gray pada tahun 1991 di Amerika Syarikat. Ia merupakan salah satu bentuk pengajaran untuk anak-anak Autisme (m/s 17). Pembaca diberi panduan langkah demi langkah penyediaan cerita termasuklah diberi beberapa contoh buku cerita yang boleh digunapakai.

Terdapat juga laman web yang dicadangkan bagi membina cerita secara percuma dan berbayar. Antara laman yang dicadangkan ialah www.boardmarkershare.com , www.sandbox-learning.com dan www.livingwellwithautism.com.

Semoga ilmu berkenaan anak-anak ini lebih berkembang bagi sama-sama membantu ibu bapa dan mereka yang berkenaan dalam mendidik anak Autisme.

Jumaat, 24 Januari 2014

Buku 3 : Teristimewa Untukmu oleh Cikgu Hasmah Hitam

Bismillah walhamdulillah.

Air mata mengalir tanpa dipaksa-paksa saat membaca buku ini. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin kerana keikhlasan penulisnya atau kerana pengalamannya begitu dekat dengan diri saya sebagai guru Pendidikan Khas.

Cikgu Hasmah Hitam ini sememangnya dikenali lantaran beliau merupakan perintis program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran) di SKUP, Melaka.

Beliau berkongsi pengalaman mengajar anak-anak istimewa kategori masalah pembelajaran dari sudut pandang seorang guru pendidikan khas, sebagai warga kerja sesebuah sekolah, pendamping anak istimewa dan sebagai insan yang banyak berurusan dengan ibu bapa anak istimewa.

Sepanjang catatan, beliau tidak putus-putus mengungkapkan rasa kedekatan dengan Allah sangat penting dalam meniti kejayaan dalam kerjaya dan berurusan dengan anak-anak istimewa ini. Memang letih, penat dan lelah melayani kerenah mereka namun perlu diingatkan bahawa mereka tidak pernah meminta untuk dijadikan  sedemikian. Malah, jika direnungkan kembali aturan Allah itu sangat baik. DIA memilih insan terpilih sahaja menjadi anak istimewa, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa malah guru yang mendidik anak istimewa! Subhanallah.

Penulis banyak menekankan keikhlasan dalam mendidik insan istimewa seperti menitikberatkan pengurusan  tingkah laku bagi membantu anak-anak ini menjadi lebih baik atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah yang dihadapi.

Teguran, nasihat dan iktibar yang dipaparkan penulis sangat membantu guru-guru lain khususnya dalam bidang Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran bagi memandu semua menjadi insan guru yang terbaik dan diredhai Allah.

Terima kasih Cikgu. Jazakallahu khaira. Barakallahufik.

Wallahualam.

Jumaat, 17 Ogos 2012

Hai Darling! ~ Badrul Hisham Shari

 


Saya sering mengikuti tulisan penulis di dalam Majalah ANIS keluaran Galeri Ilmu. Sememangnya ruangan Sketsa Kehidupan amat mencuit hati dan rasa. Walaupun hanya 2 muka surat, tetapi kata-kata dan ilustrasinya cukup menggambarkan mesej yang ingin di sampaikan.

Buku terbaru Hj Bad ini lebih mengetuk minda saya rasakan berbanding buku pertama beliau, I Love U too! Banyak membaca dari pengalaman orang sememangnya dapat membantu diri kita dalam berinteraksi dengan orang sekeliling dan membuatkan kita lebih memahami orang lain.

 Peringatan dan teguran harus kita ambil sebagai pedoman untuk kita menghadapi masyarakat sehari-hari.

Sangat sesuai untuk bacaan pasangan suami isteri yang baru kahwin atau sudah lama berkahwin. Untuk yang belum kahwin pun SESUAI :D





~ Nilai-nilai romantis perlu dizahirkan di alam rumah tangga sebab menzahirkan cinta (secara kerap) sangat bermakna buat pasangan kita. LOVE STRETCHES YOUR HEART AND MAKE YOU BIG INSIDE ~

Sabtu, 9 Oktober 2010

Dalam Kehadiran Sofiah


Penulis : Saripah Bakar
Penerbit : PTS

Kehadiran anak istimewa dalam keluarganya tidak pernah diduga namun saya kagum kedua ibu bapa ini tabah dan sabar menghadapi kerenah anak mereka yang istimewa. Benar, hanya ibu bapa istimewa sahaja yang Allah beri anak istimewa. Buku ini digarap hasil pengalaman sebenar penulis yang mempunyai anak sulung yang istimewa.

Segala keperitan dan kepayahan menjaga dan membesarkan Sofiah ditulis secara kesinambungan di dalam buku ini. Walaupun kadang-kala saya merasakan plotnya terlalu cepat. Tetapi tidak mengapa, jerit perih yang dilalui oleh keluarga ini seakan turut sama dirasai. Saya yang kadang-kadang membaca sambil baring boleh berubah-ubah posisi kedudukan membaca kerana sama resah merasai kehidupan keluarga Sofiah.

Sofiah seorang anak Cerebral Palsy jika saya tidak silap. Oleh itu Sofiah mengalami kelewatan perkembangan dari segi fizikal terutamanya. Disebabkan keadaannya yang tidak dapat mengurus diri sendiri jadi Sofiah dihantar ke PDK (Pemulihan Dalam Komuniti). Hal ini kerana di negara kita, kanak-kanak yang bermasalah / kurang upaya yang diterima di sekolah ialah yang boleh mengurus diri sendiri sahaja.

Penulis ada menceritakan pandangan negatif pihak masyarakat terhadap anak istimewa, golongan yang mengambil kesempatan di atas keistimewaan anak-anak ini, golongan ahli politik yang 'cakap tak serupa bikin', dan lain-lain lagi. Pastinya penulis sendiri telah mengalami semua perkara tersebut.