Memaparkan catatan dengan label Teladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teladan. Papar semua catatan

Khamis, 12 Julai 2012

Batu Bata Kehidupan ~ Hilal Asyraf

Terkesan dengan artikel mengenai sahabat. Jika kita takut ingin menegur rakan yang berbuat salah atas alasan takut dia berkecil hati bermakna kita masih lagi tidak membina jambatan hati dengannya. Ya Allah, besar juga amanah di dalam persahabatan ini.. Jangan dipandang remeh. Saya merenung diri, sejauh mana saya sudah berbuat sehabis baik dengan sahabat baik, adakah saya selalu mendoakannya, adakah saya 'bercinta' dengannya,,, banyak lagi ruang kosong yang tidak saya isi. Waktu senang memang riang bersama, tetapi jika rakan tersilap sedikit saya mengakui agak lambat menegur atau mungkin hanya menegur di dalam hati! Astaghfirullah.. saya perlu baiki diri!



Terima kasih Khairun kerana bagi pinjam buku ini. Masih berbekas di hati tulisan-tulisan di dalam ini..

Selasa, 19 Julai 2011

Putera Danish & Villa Fantasi




"Pengetahuan dapat menghilangkan ketakutan. Sekiranya kita tahu apa yang akan kita hadapi, kita tidaklah takut sangat."




Wah, saya tidak menyangka kata-kata ini begitu melekat di hati :D

Ahad, 3 Julai 2011

37 Kisah Kehidupan Tabi'in Siri 1




Buku ini sebenarnya bacaan ulangan saya semenjak kali pertama dibaca pada tahun 2005 dahulu. Susunan ayatnya sangat menarik dan tidak terasa membosankan apabila membacanya.




Buku ini ada dalam 2 siri. Dalam siri pertama ini penulis mengisahkan tokoh tabi'in seperti Abdul Rahman al-Ghafiqi, Abu Hanifah al-Nu'man, Abu Muslim al-Khaulaani, Al-Ahnaf bin Qais, Al-Hasan al-Basri, Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, Amir bin Abdullah al-Tamimi, Amir bin Shurahabil, Ato' bin Rabah, Iyas bin Muawiyah al-Muzani, Muhammad al-Hanafiyyah, Muhammad bin Sirin, Muhammad bin Wasi' al-Azdi dan Al-Rabi' bin Khuthaim.




Abdul Rahman al-Ghafiqi dengan kepahlawanannya. Abu Hanifah pula terkenal dengan sifat dermawan, jujur dan kepintarannya dalam berhujah. Sehinggakan pernah Imam Malik mengatakan "sekiranya orang ini (Abu Hanifah) mengatakan tiang ini emas, dia akan mengeluarkan segala hujah untuk menyokong apa yang dikatakannya dan akhirnya tiang ini akan menjadi seperti apa yang dikatakannya.




Ada dalam satu peristiwa, seorang penduduk Kufah mendakwa Saidina Uthman bin Affan ialah seorang Yahudi. Maka beliau berjumpa orang itu dan mengatakan hasrat meminang anak perempuan orang tersebut untuk seorang lelaki berkedudukan, dermawan dan alim. Sudah pastilah si lelaki tadi gembira. Namun kata Imam Abu Hanifah, ada satu sahaja masalahnya. Lelaki yang ingin meminang ini ialah seorang yahudi. Tersentaklah lelaki tersebut dan marahkan Abu Hanifah. Dengan pantas lelaki itu dibidas, "Engkau tidak mahu mengahwinkan anak kamu dengan lelaki yahudi itu tetapi engkau canangkan ke seluruh manusia yang Nabi SAW kahwinkan dua puterinya dengan seorang yahudi!". Terus lelaki itu bertaubat.




Kisah Abu Muslim al-Khaulaani tidak kurang hebat. Kisahnya seperti Nabi Ibrahim alaihissalam. Beliau menentang nabi palsu iaitu al-Aswad al-Ansi. Pada satu ketika belaiu dijatuhkan hukuman oleh nabi palsu itu. Namun atas sebab-sebab tertentu al-Aswad tidak jadi menghumban Abu Muslim ke dalam api kerana ditakuti beliau selamat dan menjadikan pengikut-pengikutnya berpaling tadah. Namun, ada pendapat yang mengatakan Abu Muslim telah dicampakkan ke dalam api namun masih selamat kerana Allah memberi rahmat kepadanya dengan menyejukkan api tersebut. Subhanallah!




Ini hanyalah sedutan sebahagian kecil kisah dari buku ini. Ada banyak lagi peribadi yang mengagumkan di dalamnya dan mutiara-mutiara kata yang hebat dan menginsafkan..

Jumaat, 27 Ogos 2010

Ma Yan


Judul buku : Ma Yan

Penulis : Sanie B. Kuncoro

Penerbit : PTS Litera Utama

Harga : RM16.00 (Semenanjung Malaysia)

Sumber : MPH Alamanda, Putrajaya

Tarikh baca : 24 Ogos 2010

Sumber gambar : PTS


Sinopsis buku ini amat menarik. Ia diadaptasi dari kisah benar yang berlaku di wilayah terpencil di China. Sungguh mengagumkan semangat seorang anak perempuan yang begitu kental jiwanya untuk menimba ilmu. Bukan mudah melalui perjalanan sejauh 5 jam berjalan kaki untuk sampai ke sekolah. Subhanallah. Saya teringat akan Lintang di dalam Laskar Pelangi. Ya, anak-anak ini sungguh bersemangat waja.


Ma Yan adalah anak sulung dari 3 orang adik-beradik yang mana dua lagi di bawahnya ialah lelaki. Sudah menjadi tradisi di sana bahawa anak perempuan akan terpinggir dari pendidikan dan anak lelaki diberi keistimewaan dan keutamaan dalam segala hal. Namun Ma Yan tidak rela menjadi mangsa tradisi itu lalu berusaha sedaya mungkin belajar untuk mengecapi kejayaan. Dengan itu besarlah harapannya untuk merubah nasib keluarganya.


Disebabkan perjalanan jauh selama 5 jam itu memang melelahkan membuatkan mereka terpaksa menumpang traktor yang ingin ke pekan tempat sekolahnya. Walaupun bayarannya cuma 1 yuan (mungkin RM1 kita di sini), namun keluarganya tidak mampu membayarnya. Oleh itu, ibu dan ayah Ma Yan berusaha keras bekerja mencari wang bagi membolehkan anak-anak mereka sekolah.


Namun kesempitan hidup akibat revolusi yang dicetuskan oleh Mao satu ketika dahulu mengakibatkan berpuluh-puluh generasi menanggung akibatnya.


Dataran yang kering-kontang, tiada air yang sampai ke penduduk dan mereka hanya menyimpan sisa-sisa ais semasa musim sejuk sebagai sumber air malah, penduduk muslim di situ semuanya terpaksa bertayamum bagi menunaikan solat. Air yang ada tidak mencukupi. Dahsyatnya keadaan ini. Tiada projek penanaman semula dirancang menyebabkan penduduk wilayah itu menderita.


Yang masih punya kudrat terpaksa berkelana ke tempat lain bagi mencari sesuap rezeki. Itu pun jika bertemu majikan yang baik dan dibayar gaji. Jika tidak dengan status pekerja haram, mereka akan pulang dengan tangan kosong kerana majikan menipu tidak mahu membayar wang.


Sungguh menyedihkan apabila membaca Ma Yan terpaksa mengikat perut selama 2 minggu semata-mata ingin membeli sebatang pen. Aduhai, sedangkan saya di sini sering sahaja kehilangan pen tanpa sengaja atau sengaja. Dan sesenang itu pen dibeli semula.


Sudah menjadi adat dalam pelajaran, Ma Yan tidak selalunya cemerlang di dalam peperiksaan sehingga dia pernah gagal dalam satu peperiksaan memasuki sekolah menengah perempuan yang dikatakan terbaik. Namun, dia tidak patah semangat dan tetap meneruskan persekolahan di sekolah biasa. Di sana dia belajar dengan tekun dan pernah menjadi juara kelas.


Satu kelebihan Ma Yan ialah dia rajin mencatat diari. Daripada diarinya inilah satu dunia dapat mengetahui kisah gadis cilik dari wilayah terpencil di China yang begitu gigih menuntut ilmu. Masih ada lagi anak perempuan yang mempunyai kesedaran bahawa pendidikan itu sangat penting dalam kehidupan.


Bagaimana dunia dapat mengetahui kisahnya? Ada sekumpulan orang asing yang datang ke kampung Ma Yan untuk membuat sedikit kajian. Mereka menumpang di rumah imam kampung tersebut. Pada hari mereka bertolak pulang, ibu Ma Yan yang baru tahu mengenai mereka berkejar menahan kenderaan yang dinaiki dan memaksa mereka ke rumahnya. Lalu ibu Ma Yan menyerahkan buku catatan milik Ma Yan atas dasar yakin sekumpulan orang asing itu akan memanfaatkannya. Mereka rupanya adalah sekumpulan wartawan yang datang dari Perancis.


Sehingga kini Ma Yan masih lagi belajar di sekolah menengah. Semoga impiannya ingin memasuki universiti akan tercapai. Maklumat mengenainya boleh dicari di dalam internet.


Khamis, 26 Ogos 2010

Asam Pedas Gula Melaka


Judul buku : Asam Pedas Gula Melaka

Penulis : Norbi Husin

Penerbit : Utusan Publications & Distributors (2005)

Harga : RM43.00

Bilangan muka surat : 588

Sumber : Beli di Popular Jaya Jusco Bandaraya Melaka

Tamat baca pada : 20 Ogos 2010

Sumber gambar : Ujana Ilmu


Buku setebal 588 muka surat ini merakamkan perjalanan seorang guru yang cukup komited dan dedikasi terhadap tugas yang dipikulnya. Kagum. Itulah antara pandangan pertama saya mengenai penulis. Buku ini terbahagi kepada 4 bahagian.


Bermula sebagai guru biasa kemudian dilantik menjadi pengetua sehinggalah dilantik berkhidmat di jabatan pelajaran, banyak pengalaman yang dikongsi bersama pembaca. Ada suka, ada duka. Ada pahit dan ada manis. Mungkin kerana itulah tajuk Asam Pedas Gula Melaka ini dipilih. Unik.


Saya terfikir-fikir akan kekuatan beliau dan nyata prinsip yang dipegangnya adalah jitu dan tegas. Tanpa mengenal jemu dan sentiasa melakukan yang terbaik adalah formula kejayaan yang selalu memacu visi dan misi beliau sepanjang perkhidmatan.


Saya banyak belajar dari pengalaman beliau. Nyata, jangan membuat kerja seperti melepaskan batuk di tangga. Harus sentiasa rajin dan berusaha sebaik mungkin apabila melakukan sesuatu. Komunikasi yang baik antara rakan sejawat serta seluruh warga sekolah secara umumnya perlu ada pada setiap orang.


Saya terkesan dengan salah satu kisahnya yang ingin menjadi guru jadual waktu. Pada masa dahulu penyusunan jadual waktu guru adalah menggunakan cip berwarna-warni. Disebabkan beliau belum pernah diberi tugas guru jadual waktu, beliau sangat ingin menjawat jawatan tersebut. Malangnya tidak diberi peluang oleh pengetua.


Apakah tindakan beliau?
Saya tidak menyangka beliau akan menukar cip-cip tersebut (sewaktu ketiadaan GPK yang bertanggungjawab) dengan harapan akan berlaku pertindihan waktu mengajar guru-guru. Benar seperti yang dijangkakan, keesokan harinya ramai guru datang ke pejabat mengadu masalah yang dihadapi. Peninglah kepala GPK mendengarnya.


Beliau dengan sengaja lalu di pejabat dan menawarkan diri membantu menyelesaikan masalah tersebut. Wah, sukar juga untuk menyusun semula. Hal ini kerana beliau telah terlupa sebahagian 'pertukaran' yang telah dilakukannya sehari sebelum itu. Beliau mengambil masa selama 1 jam untuk menjadikan jadual waktu itu kembali seperti asal.
Hasilnya, tahun berikut beliau dilantik memegang jawatan tersebut!



Wah, jarang sekali ada guru yang menawarkan diri secara sukarela untuk memegang jawatan kerana kerja sedia ada juga sudah banyak. Tetapi jika minat sudah ada apa yangdilakukan tidak akan rasa penat malah akan rasa puas dan seronok :) Saya juga berharap dapat menjadi seorang yang dedikasi terhadap tugas. Insya Allah.

Ahad, 18 Julai 2010

Membentuk Akhlak Anak Belajar dari Mukjizat Para Nabi


Judul buku : Membentuk Akhlak Anak Belajar dari Mukjizat Para Nabi

Penulis : Najwa Husein Abdul Aziz

Penerbit : Gema Insani (Indonesia)

Harga : -

Tarikh baca : 14 – 18 Julai 2010

Sumber : Pinjam dari Kak Fathiah (",) (Terima kasih kak!)


Akhirnya selesai pembacaan saya selama hampir seminggu. Sebuah buku yang enak dibaca dan asyik sekali menghadapnya. Sesuai dengan tajuknya, buku ini mengupas begitu banyak mukjizat para nabi seperti mukjizat Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf, Nabi Yunus, Nabi Musa, Nabi Sulaiman, Nabi Zakaria, dan Nabi Isa. Dan terlebih utama yang banyak diperkatakan ialah mukjizat Nabi Muhammad Sollallahu alaihi wasallam.


Keindahan Islam ternampak di dalam buku kecil ini dan mudah difahami oleh anak-anak (dan juga kita) insya Allah. Cerita di dalam buku ini disampaikan secara diskusi (berdialog). Latarnya saya lihat adalah guru dan anak-anak muridnya di sekolah ataupun mungkin di dalam usrah.


Nama-nama Rasulullah
Sollallahu alaihi wasallam, akhlaknya, ibadahnya dan mukjizat al-Quran ada diceritakan. Malah bagaimana Islamnya sahabat-sahabat Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam juga ada diselitkan.


Sungguh, baru ini saya mengetahui makna 'ayat' dan 'surah'. Selama ini saya tidak pernah terfikir akan maksud dua perkataan ini. Rupa-rupanya 'surah' bermaksud 'pagar-pagar Madinah' dan surah ini digunapakai kerana ia mengelilingi ayat-ayat al-Quran di dalamnya.


Saya juga teruja apabila mengetahui tentang rahsia huruf-huruf muqaththa'ah (terputus-putus) di dalam 29 surah di dalam al-Quran. Subhanallah. Huruf-huruf ini mempunyai rahsia yang dijaga oleh Allah.


Saya ambil contoh Surah al-Baqarah. Surah ini dimulai dengan 3 huruf iaitu
ا ل م . Dalam kemajuan teknologi zaman ini, dapat kita ketahui bahawa ا adalah huruf yang paling banyak digunakan di dalam surah al-Baqarah ini dan diikuti dengan huruf ل dan م . Begitulah juga dalam 28 surah yang lain. Huruf-huruf muqaththa'ah ini juga ada 14 huruf.


Semua ini membuktikan bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah dan menjadi mukjizat terbesar Rasulullah
Sollallahu alaihi wasallam. "Satu pendapat yang sangat menarik mengatakan bahawa mukjizat ilmiah al-Quran itu akan terus muncul seiring dengan pembaharuan misi Islam itu sendiri. Dengan hal tersebut, seakan-akan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam masih tetap hadir di setiap zaman untuk mengajak umat manusia masuk ke dalam agama Allah…" (muka surat 77, Pembaharuan Mukjizat).


Subhanallah!

Sabtu, 17 Julai 2010

10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga


Judul buku : 10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga
Penulis : Saridah Hamid
Penerbit : PTS Islamika
Harga : RM 12

Buku kecil ini menghidangkan 31 kisah mengenai 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga. 4 khulafa al-rasyidin, Zubair b Awwam, Abu Ubaidah al-Jarrah, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas, Talhah bin Ubaidillah, dan Said bin Zaid.

Bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan golongan sasaran pembaca ialah golongan remaja. Buku ini juga sesuai dijadikan bahan cerita sebelum anak-anak tidur.

Saya dapati kesemua sahabat semasa belum memeluk Islam lagi telah memiliki akhlak yang mulia dan tidak terpengaruh mengikuti kegiatan-kegiatan jahiliah seperti menyembah patung dan meminum arak. Subhanallah. Allah memelihara mereka daripada melakukan perbuatan tersebut.

Isnin, 8 Februari 2010

Remaja Mulia


Sumber gambar : Di sini
Judul buku : Remaja Mulia
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd (2010)
Harga : RM 12.00
Bil muka surat : 132
Sumber : (Beli di) Masjid Jamek Kajang
Tarikh baca : 31 Januari 2010

Buku ini adalah di bawah kategori Novel Awal Remaja. Nampak sahaja nipis tetapi tebal dengan hikmah dan pengajaran. Subhanallah. Saya amat mengesyorkan para ibu bapa dan guru-guru yang ingin menggalakkan anak-anak membaca supaya membaca buku ini.

Ceritanya diolah menarik dan pembaca akan mendapati penulis pandai menyusun cerita dan nasihat disampaikan secara langsung dan tersirat.

Remaja mulia mengisahkan tentang Irfan Hakimi yang sedari kecil sering diuji oleh Allah tetapi dia merupakan seorang anak yang soleh, taat kepada kedua ibu bapa, sentiasa bersabar dan belajar bersungguh-sungguh.

Dia sudah kematian ibu sejak dia dilahirkan. Maka Irfan Hakimi tinggal bersama dengan ayahnya, Pak Mahmud. Pak Mahmud bertugas sebagai Imam 1 di kampung mereka. Kerjanya bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dua beranak.

Pada satu hari, selepas selesai mengerjakan kebun sayur, Irfan Hakimi dan ayahnya bersiap-siap untuk pulang. Irfan mengambil sayur-sayuran untuk dibuat lauk pada hari itu ketika terdengar sesuatu bunyi dibelakangnya. Rupa-rupanya ayahnya jatuh. Siapa sangka Pak Mahmud dipatuk ular tedung yang berbisa.

Irfan Hakimi berasa sangat sedih dan tidak tahu sama ada ingin mencari pertolongan ataupun berada di sisi ayahnya yang kelihatan hampir menemui ajal. Kebun mereka itu jauh sedikit dari tempat orang ramai. Kata-kata terakhir ayahnya disemat di dalam hati. "Ayah tinggalkan kamu dengan Allah…" Subhanallah.

Saya perhatikan Pak Mahmud memanggil anaknya dengan nama penuh. Bukankah elok begitu? J Irfan Hakimi dididik oleh ayahnya sejak kecil lagi akan ketauhidan kepada Allah. Maka anak ini mencerap semua ilmu dan nasihat dari ayahnya lalu menjadikannya seorang yang sangat yakin dengan Allah. Memang beginilah cara yang sepatutnya kita didik anak-anak kita dari kecil.

Kesusahan hidup yang dialaminya tidak begitu dirasai kerana kebergantungannya kepada Allah menjadikan dia seorang yang sabar dan tenang. Malah tingkah laku Irfan Hakimi ini banyak mempengaruhi orang di sekelilingnya.

Selepas kematian ayahnya, dia tinggal bersama Haji Makruf, Imam 2 di kampung itu. Hidupnya diuji dengan kelakuan nakal 3 sekawan ; Hafiz, Jaafar, dan Toriq yang sering menghina dan menabur fitnah ke atas dirinya. Dua cubaan fitnah yang pernah dilakukan ialah menghilangkan buku Irfan Hakimi dan mengambil duit derma kilat yang dipungut oleh Irfan Hakimi serta memasukkan batu ke dalam tabung tersebut.

Irfan Hakimi juga banyak belajar dari Haji Makruf terutama ketika dia mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan semasa percubaan UPSR. Saya terkesan dengan nasihat Haji Makruf kepada Irfan Hakimi. "Irfan, dalam soal usaha, cukup itu tidak dikira dengan angka." (m.s 77) "Kita perlu yakin yang Allah akan bantu kita. Tapi kita tidak boleh menganggap bahawa persediaan kita itulah membuatkan kita berjaya…" "Sebab kamu rasa kamu sudah cukup meminta kepada Allah. Kamu tidak boleh rasa begitu. Dengan Allah, kita tidak boleh rasa cukup. Kita kena terus meminta, meminta, dan meminta. Itu tanda kerendahan hati kita kepada-Nya."(m.s 81)