Khamis, 22 Januari 2015
RakBuku2015 (5) Ikon Syabab
Subhanallah, sebuah buku yang sangat memberi motivasi dan inspirasi. Terasa malu apabila membandingkan profil anak muda di dalam buku ini dengan diri sendiri.
Para ulama dahulu sangat menjaga masa, adab dengan guru dan sangat mencintai ilmu. Setiap masa menuntut ilmu bagaikan tiada lagi hari esok.
Bukan sekadar mengandungi biografi para ulama tetapi penulis bijak memikat pembaca dengan tarbiah, tip dan motivasi. Gaya penceritaan yang santai sesuai dengan aras pembaca. Sangat disyorkan membaca buku ini. Semoga kita lebih bersemangat tinggi menuntut ilmu dan menghafaz al-Quran. .
Antara tokoh yang diceritakan ialah Yahya bin Yahya yang digelar oleh Imam Malik sebagai "Tokoh Cerdas Dari Andalus".
Pada suatu hari ketika majlis ilmu Imam Malik bin Anas lalu seekor gajah (haiwan yang jarang terlihat di negara Arab). Kebanyakan murid bangun dan melihatnya kecuali beliau.
Selesai majlis, Imam Malik bertanya mengapa beliau tidak melihat gajah? Jawabnya, aku keluar dari negeriku untuk belajar adab dan menuntut ilmu denganmu bukan melihat gajah. Imam Malik berasa kagum dengannya.
Masya Allah.
Isnin, 22 Disember 2014
Buku 79 : Srikandi-Srikandi Yang Benar oleh Zahiruddin Zabidi
Bismillahirrahmanirrahim.
Srikandi-srikandi Yang Benar. Buku berkulit keras setebal 464 muka surat.
Himpunan kisah 3 tokoh wanita dalam lipatan sejarah Islam ; Aminah ibu Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam, Fatimah anakanda kesayangan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam dan Rabiah Aladawiyah.
Sebagai bacaan 👍 tetapi untuk rujukan bukanlah satu pilihan kerana ianya adalah fiksyen.
Ini pertama kali membaca buku Tuan Zahiruddin. Mendamaikan. Seolah saya dapat mengalami peristiwa yang berlaku ke atas tokoh-tokoh wanita ini. Masya Allah. * Buku terakhir yang dapat diselesaikan sebelum pulangkan semula ke Perpustam
Jumaat, 31 Oktober 2014
Buku 64 : Aku Ingin Kembara Lagi oleh Dr MAZA
![]() |
| Beli di Popular AEON Bandaraya Melaka menggunakan baucer percuma sempena hadiah Anugerah Pilihan Pembaca ;) |
Bismillahirrahmanirrahim.
Hidup ini sebuah kembara. Kembara kehidupan. Sangat tertarik dengan susunan kata dan pemilihan ayat Dr MAZA.
"Hari-hari semalam kita tinggalkan bersama pengetahuan dan pengalaman yqng dikutip. Nilainya merujuk kepada bekalan yang berjaya dikumpulkan. Ini kekuatan dalam membentuk insan menghadapi realiti yang baru."
Buah fikirannya melalui artikel "Kembara ke Tempat Lama : Ketenangan dan Sayang" juga mengesankan. Sudah pasti mengenai ilmu dan guru. Menjadi muhasabah juga buat diri ini sebagai ibu dan guru di sekolah.
"Guru yang jujur memberi kesan yang dalam kepada jiwa kita."
"Tidak bersetuju bukan bererti sayang, bersetuju tidak bererti sayang. Namun mengasihi guru adalah faktor yang amat penting dalam pembentukan ilmu."
Tulisan beliau di dalam buku ini adakalanya memberi pencerahan minda buat saya dalam beberapa perkara khususnya apa yang berlaku di bumi Oxford dan dibandingkan dengan situasi "bandar ilmu" di Kaherah dan Jordan. Isu-isu sosial dan persamaan hak dan agama turut disentuh dan dijelaskan mengikut konteks semasa dan lokasi.
Ah, saya mula menggemari tulisan beliau sejak pertama kali membaca Ttavelog Minda Tajdid. Sebelum ini hanya melihat suami membeli dan membaca buku-bukunya.
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)." (Surah Al-Ankabut : ayat 64)
Saya juga terasa mahu mengembara!
Khamis, 10 Julai 2014
Buku 33 : Ibu, Kuingin Tahu oleh Nur Khairunnisa Iskandar
Penulis : Nur Khairunnisa Iskandar
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Harga : RM26.00
Muka surat : 163
Bismillahirrahmanirrahim.
Anak yang dianugerahkan oleh Allah adalah unik dan setiap seorang mempunyai personaliti tersendiri.
Ibu bapa adalah guru pertama anak-anak sebelum mereka melangkah ke sekolah dan rumah menjadi madrasah pertama yang menjadi tempat tarbiah anak-anak.
Pakar perkembangan kanak-kanak banyak mengatakan usia seawal dua atau tiga tahun pertama merupakan tahap perkembangan optimum kanak-kanak. Pada masa ini mereka mampu menyerap dan meniru apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka.
Tiga tahun bersamaan dengan 1097 hari. Masya Allah! Bayangkan sekiranya kita dapat memanfaatkan hari-hari tersebut bersama anak kita. Subhanallah.
Buku ini tampil membuat perkongsian cara yang kreatif dalam memperkenalkan Allah dan Islam kepada anak kecil. Ya, ramai yang tidak tahu di usia manakah kita sudah boleh memperkenalkan Allah kepada anak kecil. Adakah semasa baru lahir, 3-4 bulan atau selepas 2 tahun ketika dia sudah petah bercakap? Jawapannya tiada had umur. Bila-bila masa sahaja kita boleh memperkenalkan Allah dan menerapkan kefahaman Islam dalam diri anak-anak kita.
Membaca buku ini membuatkan saya terasa kerdil. Proses pengajaran dan pembelajaran antara ibu bapa dan anak harus berjalan tanpa ada rasa jemu atau putus asa. Banyak situasi yang kita terlepas pandang yang boleh digunakan dalam mentarbiah anak kita. Sebenarnya ia mudah tetapi disebabkan tidak terbuka hati maka ianya terhijab.
Penulis berkongsi panduan :
☆ cara efektif mendidik anak menggunakan pendekatan kreatif
☆ memancing minat anak mempelajari perkara baru berkaitan solat dan ibadah lain
☆ kepimpinan melalui teladan
☆ alternatif mendidik anak dan diri sendiri
(Muka surat xi)
Berpandukan lima kuasa keramat minda (KKM) iaitu mengambil bait dalam azan ;
1. "Tiada tuhan melainkan Allah". Itu pegangan kita.
2. "Muhammad itu pesuruh Allah". Itu cara hidup kita.
3. "Marilah menunaikan solat". Itu strategi kita.
4. "Marilah menuju kejayaan". Itu matlamat kita.
5. "Allah Maha Besar". Itu pergantungan dan talian hayat kita.
...seharusnya ada kesinambungan dalam proses pendidikan anak seterusnya supaya ilmu yang mencukupi dapat dicurahkan kepada anak dalam menjadi muslim sejati.
Sebanyak 17 soalan dikongsikan bersama pembaca dan setiap satunya diiringi penerangan, tip pendidikan anak, mutiara hadis, cadangan bahan bacaan lanjutan dan Nota Untuk Ibu.
Saya tertarik dengan 4 aplikasi memberi jawapan yang boleh digunakan iaitu melalui contoh, aktiviti, fakta dan penceritaan.
Sesungguhnya mendidik anak memerlukan kesabaran dan perlu buang jauh-jauh sifat amarah kita kerana ianya hanya membantutkan perkembangan mereka. Satu muhasabah buat diri saya apabila penulis menulis nota kecil berbunyi :
"Perasaan marah hanya akan menjejaskan emosi dan semangat berkobar-kobar anak yang mahu belajar solat atau mengaji. Jangan mengharapkan mereka betul semuanya, kerana itulah tujuan mereka belajar."
Saya kira pernyataan ini turut boleh diaplikasikan kepada anak-anak didik di sekolah. Kadang-kala watak seorang guru yang menjadikan sifat tegas dan garang muncul demi memastikan anak-anak didik mendapat apa yang diajar. ^_^
Akhir sekali, saya terkesan dengan tip muhasabah penulis :
♡ Berapa orang daripada anak kita yang anda rasa dapat menyelamatkan kita di akhirat nanti?
♡ Berapa orang yang akan mendoakan kita apabila kita meninggal dunia kelak?
♡ Berapa orang yang akan memimpin tangan kita untuk masuk ke syurga?
Daku memohon keampunanmu ya Allah..rabbi habli minassolihin. Ameen...
Jumaat, 13 Jun 2014
Buku 29 : Rumah Kecil di Jabal Uhud oleh Roza Roslan
Rumah Kecil di Jabal Uhud (RKDJU) mengesankan. Subhanallah. Allah mengurniakan ilmu dan ilham kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Terasa bagai berhadapan dengan penulis. Tegurannya, rintihannya, doanya datangnya dari hati dan sampai ke hati pembaca (saya).
Beberapa anekdot benar-benar mencuit rasa. Perihal aurat, menjaga mulut, menjaga aib suami, kepentingan menjaga masa, bersangka baik dengan Allah, tidak menyekutukan Allah, kesungguhannya mengajak melakukan solat malam, hidayah Allah, kesungguhan mereka sekeluarga menjamu tetamu Allah, menyampaikan dakwah dan senarainya berterusan. Masya Allah!
Kerap kali juga saya jeda menatap naskah ini. Sehingga tingkah laku saya diperhatikan oleh suami. Mengapa? Soalnya. "Saya tersentak dengan teguran penulis yang terkena batang hidung sendiri."
Kisah yang diceritakan bukanlah bertujuan menarik minat pembaca semata-mata tetapi niat ikhlas penulis agar kita sama-sama memahami dan mengamalkan Islam sepenuhnya sepanjang hidup kita.
Insaf.
Sukar bangun malam untuk solat tahajud? Ia keluhan 'biasa' didengari di kalangan ibu-ibu muda beranak kecil dan menyusukan anak. Lalu penulis mengungkapkan pernahkah kita tidak boleh tidur pada waktu malam kerana kepanasan? Atau terbangun untuk ke tandas?
Sebenarnya sepanjang hidup Allah telah memberikan kita peluang melakukan amalan malam untuk bertahajud. tapi minda kita tidak berfikir begitu. jadilah malam itu seperti malam-malam yang lain,berlalu begitu sahaja. Allahu akbar!
Seterusnya, diam itu lebih baik dari berkata-kata. Makin banyak bercakap makin banyak kita mengata sama ada sedar atau tidak sedar. Terutama sekali apabila berkumpul sesama rakan, tanpa sedar kita menceritakan hal rumah tangga dan aib suami... jagalah mulut, jauhkan kelakuan begitu dan banyakkan zikir dan berdoa.
Aurat.
Apa definisi aurat yang difahami? Pernah penulis dilontarkan soalan mengenai kefahaman wanita Malaysia akan konsep aurat. Sewaktu solat sangat tertib menjaga pakaian tetapi sesudah solat, telekung ditanggalkan lalu dipakai tudung singkat yang menampakkan dada atau jika tudung menutup dada sekalipun ia masih terlihat akan bentuknya. Begitu juga dengan pemakaian jubah. Ia dilihat sebagai satu fesyen sahaja. Tubuh badan berbentuk-bentuk dapat dilihat orang. Allah ya Allah. Ampunkan kami ya Allah...
Dari pintu RKDJU ini penulis melihat berbagai sisi kehidupan dan warna kelakuan manusia lalu menggarapnya menjadikan kisah yang disampaikan kepada pembaca berisi hikmah dan pengajaran.
Ia perkara biasa atau remeh bagi sesetengah orang tetapi tidak pada Puan Roza Roslan. Pembaca dibawa merenung kebesaran Allah dan memberi peringatan kepada kita melalui terjemahan ayat-ayat suci al-Quran yang dinyatakan berkait dengan sesuatu peristiwa.
Ya Allah, ampunkan kami dan berilah ilmu yang bermanfaat buat kami. Amin...
Sabtu, 11 Januari 2014
Buku 1 : Angguk Geleng oleh Ust Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan
Minggu kedua bermula sesi persekolahan dan saya masih sibuk memproses buku baru yang sampai ke pusat sumber sekolah. Dalam sibuk memproses buku, sudah pasti saya sempat melihat tajuk buku yang ada.
Geram..geram..hihi..namun apakan daya memproses buku menuntut masa yang agak panjang kerana saya melakukannya seorang diri ^_^ Oh, begini rupanya tugasan seorang guru Media dan Perpustakaan sekolah. Haha.. saya guru yang baru dilantik. Banyak lagi yang perlu dipelajari.
Disebabkan hujung minggu telah tiba maka saya capai juga buku Ustaz Pahrol ini dari rak perpustakaan :) Manalah tahu saya dapat membaca buku ini. Walhal saya sedang membaca 2 buah buku iaitu Menjernih Hidup Beragama dan The Muslim Parents' Guide to the Early Years ^_^
Buku Angguk Geleng : Himpunan Kisah Dakwah Satira adalah buah tangan Ust Pahrol Mohd Juoi dan Saudari Husna Hassan. Menurut Kamus Dewan, satira ini bermakna puisi atau prosa yang mempersenda atau menyindir orang lain. Tetapi di dalam buku ini tidaklah sampai terasa tersinggung kerana penulis menyampaikan sindiran halus dan berdakwah dengan penuh hikmah melalui cerita-cerita yang mencuit akal dan minda untuk berfikir.
Dalam senyum ada makna, dalam ketawa memberi rasa, dalam sedar dan tidak pembaca pasti akan mengangguk atau menggeleng ketika membacanya. Sangat kena dengan tajuknya!
Buku setebal 258 muka surat ini dibahagikan kepada 4 bab besar bermula Coretan 1 : Akidah Umat Islam, Coretan 2 : Hubungan Sesama Makhluk, Coretan 3 : Ibrah Daripada Gelagat Makhluk dan Coretan 4 : Kepentingan Ilmu Dalam Kehidupan.
Banyak cerita yang menarik hati. Antaranya Yang Mana Dahulu. Soalan 'famous' yang didengari sejak sekolah dahulu. Antara telur dan ayam yang mana wujud dahulu? Dalam kisah yang dibawa ini ada seorang pakcik menjawab, katanya dia juga tidak pasti yang mana wujud dahulu tetapi yang pasti Allah yang wujudkan semuanya. Tepat. Enough said! ^_^
Kedua, semua ilmu dunia dan akhirat ada di dalam Al-Quran. Namun, masih ada yang ragu-ragu. Maka seorang pemuda bertanya kepada seorang imam, "Berapa banyak minyak yang diperolehi dari sekilogram kelapa sawit?." Berikan dalil surah dan ayatnya sekali dari al-Quran. Imam itu setuju dan mengajak pemuda ini ke satu tempat sebelum menjawab soalannya.
Rupanya mereka bertemu seorang pekerja yang sedang menyelia proses membuat minyak kelapa sawit. Imam ini mengajukan soalan dan dengan mudah mereka memdapatinya dari pekerja itu. Pemuda itu membantah. Imam itu menjawab,"Itulah jawapan al-Quran. Dalam surah An-Nahl ayat 43 Allah telah berfirman yang bermaksud,'Bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui.' Dan kita telah bertanya kepada penyelia itu dan beliau menjawabnya. Begitulah kaedah al-Quran."
Ya, di sini menunjukkan bahawa al-Quran hukanlah kitab sains, sejarah dan sebagainya tetapi al-Quran menyediakan asa untuk kita memperkembangkan lagi ilmu yang diberi oleh Allah.
Wallahualam.
Ahad, 17 November 2013
10 Bersaudara Bintang Al-Quran ~ Izzatul Jannah dan Irfan Hidayatullah
Semakin banyak membaca semakin banyak yang ingin dibaca. Sungguhpun bahan bacaan perihal keibubapaan semakin banyak di pasaran namun kisah setiap satu pasangan itu berbeza antara satu sama lain. Besarnya rahmat Allah yang memberi ilmu dan ilham kepada penulis-penulis ini.
Ya, kali ini saya membaca mengenai sepasang suami isteri yang berjaya mendidik kesemua anaknya menjadi penghafal Al-Quran. Anaknya bukan seorang, dua orang atau empat orang tetapi sepuluh orang. Masya Allah! Luar biasa sekali.
Namun jelas sekali, pasangan Mas Tamim dan Ibu Wiwi ini telah sepakat mempunyai visi dan misi yang sama. Maka mereka bergerak memajukan perancangan mereka sehingga lahirnya permata-permata Hafiz dan Hafizah Quran dalam rumah mereka.
Ia bermula semenjak mereka belum berkahwin lagi. Kedua pasangan ini datang dari keluarga yang utuh kepada pegangan agama.
Ada lima tanggungjawab kita terhadap al-Quran :
1. Membaca
2. Mempelajari maknanya
3. Menghafal
4. Mengamalkannya
5. Mendakwahkannya
Sejarah generasi awal tertulis ramai ulama yang telah khatam dan menghafaz al-Quran sejak kecil lagi. Sedangkan Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam turut mengutamakan para sahabat yang menghafal al-Quran.
Allah sudah memberi jaminan kemudahan : "Dan sungguh, telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?." (Surah Al-Qamar ayat 17).
Secara ringkasnya Al-Quran mengandungi :
◇ 114 surah
◇ 6236 atau 6666 ayat (perbezaan pendapat sama ada bismillah di awal surah dikira atau tidak)
◇ Dua jenis ayat ; makkiyah dan madaniyah
◇ Surah terpanjang : Al- Baqarah
◇ Surah terpendek ; Al-Asr, An-Nashr dan Al-Kautsar
Antara usaha pasangan ini dalam melahirkan anak-anak penghafal Al-Quran ialah menetapkan beberapa peraturan utama iaitu :
1. Tiada televisyen di rumah
2. Tiada gambar syubhah yang menyebabkan malaikat tidak masuk ke rumah
3. Tiada lagu yang lagha
4. Ucapkan kata-kata yang baik sahaja
Tatatertib urusan di rumah dari sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar hal turut diajar kepada semua ahli keluarga termasuklah prinsip asas, makan minum, adab menerima tetamu, ketentuan tanggungjawab, pakaian, peraturan menggunakan elektrik dan sebagainya.
Agak menarik perhatian apabila Mas Tamim mengaplikasikan cara ini dalam mendidik anak.
6 tahun pertama (0-6) : Memberi motivasi kepada anak-anak untuk menghafal.
6 tahun kedua (7-12) : Teknik disiplin dan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk anak menghafal.
6 tahun berikutnya (13-18) : Mengikut perkembangan kecenderungan ilmu anak-anak.
Bagi Ibu Wiwi pula beliau sentiasa membaca al-Quran dekat dengan anaknya, dan menyediakan bekalan anak ke sekolah. Seawal jam 3 pagi sudah bangun untuk solat malam dan seterusnya menyediakan makanan untuk ahli keluarga seramai 12 orang. Masya Allah.
Turut dilampirkan biodata kesemua anak mereka meliputi umur boleh membaca al-Quran dan mula menghafalnya. Kesemuanya boleh membaca al-Quran ketika usia 5 tahun dan kebanyakannya mula menghafal al-Quran sejak usia 5 dan 6 tahun. Paling mengagumkan putera kelapan telah selesai menghafal semasa di sekolah dasar (saya kira mungkin sekolah rendah jika di Malaysia).
Masya Allah tabarakallah. Moga mereka membesar menjadi penolong agama Allah.
Ahad, 10 November 2013
Di Mana Bumi Dipijak ~ Abu Hasan Morad
Sebuah buku travelog lagi selesai dibaca. Subhanallah, terpesona dengan susunan bahasa Cikgu Abu Hasan ini membuatkan saya tetap mencuri waktu membaca sehingga ke akhir muka.
Saya kagum dengan penulis. Sudah sekian waktu mengikuti tulisannya di dalam Majalah ANIS iaitu sejak saya dibangku sekolah. Namun sejujurnya pada waktu itu tulisan beliau bukanlah pilihan utama saya kerana saya lebih gemar kepada sesuatu yang bersifat mudah dihadam. Maklumlah masih di bangku sekolah dan belum begitu matang dan memahami falsafah yang ingin disampaikan.
Seiring dengan peningkatan usia, saya mula menggemari tulisan beliau dan mengikuti catatan pengembaraannya. Subhanallah. Semangatnya kental dan jiwanya juga kuat kesan tarbiah dan pengalaman hidup yang luas.
Buku ini menghimpunkan catatannya dari mata kasar hasil pengembaraannya ke serata benua meliputi Eropah, Timur Tengah, China, Thailand, Australia, Bangladesh, Kemboja dan Bali. Semuanya menghimpunkan tentang sosio budaya masyarakat serta amalan umat Islam setempat secara permukaan. Adakalanya saya seakan dapat merasai keindahan alam yang diciptakan Allah melalui tulisan beliau, ada ketika turut berfikir dan muhasabah diri andai berada di dalam situasi kesukaran masyarakat Islam di luar sana dan ada waktunya terasa bangga dengan kesungguhan dan kejayaan umat Islam di luar sana menjaga dan menyebarkan syariat Islam.
Namun begitu, saya berasa tidak puas tatkala catatan yang ditulis tidak disertakan gambar yang berkaitan. Seolah-olah memutuskan 'connection' di antara tulisan dengan gambar yang melatari setiap muka surat buku. Selain itu, saya kira terdapat sedikit kesilapan pada muka surat 111 di mana perenggan itu tertutup oleh gambar Masjid Zayed Abu Dhabi.
Semoga penulis mampu menghasilkan lagi tulisan bermutu mengenai pengembaraannya yang mampu memberi manfaat kepada semua. Insya Allah. Barakallahufik:)
Jumaat, 11 Januari 2013
Art of Deception ~ Jerry D. Gray
![]() |
| Sumber gambar : Laman sesawang PTS |
Penulis : Jerry D. Gray
Penerbit : PTS (Terjemahan)
Bil muka surat : 320
Sumber : www.stormreaders.net/ummukhaulah
Tamat baca pada : 10 Januari 2013
Berbulan juga masa yang diambil untuk saya khatamkan buku ini. Pada mulanya saya keliru dengan banyak fakta yang dibentangkan. Kemudian saya mengulang bacaan dan memperlahankan kelajuan membaca saya ;) Barulah saya mula memahami apa yang disampaikan oleh penulis. Masya Allah, sungguh licik dan bahaya gerakan Freemason ini. Dan terasa begitu jelik sekali perlakuan mereka bermula daripada perancangan New World Order sehingga pelaksanaan pelan tersebut sehingga kini.
Islam adalah musuh utama mereka maka mereka melakukan apa sahaja demi menjatuhkan Islam. Namun mereka tetap akan kalah kerana umat Islam tidak akan mengalah malahan akan bangkit berjuang menentang kebatilan mereka. Namun begitu, tanpa kita sedari segala yang berlaku di dunia sekarang berpunca daripada mereka.
Mereka menguasai media massa, ketenteraan, hubungan antarabangsa, hiburan dan sebagainya. Apa yang paling mengejutkan saya ialah pendedahan fakta di sebalik kartun The Simpsons, lagu kanak-kanak Twinkle Twinkle Little Star dan Popeye The Sailorman, dan kejadian alam yang berlaku seperti tsunami di Aceh dan bencana alam di Jepun. Ya Allah, rupanya tsunami di Acheh berukuran 6.3 skala ritcher sahaja tetapi media barat melaporkan sehingga 9 skala ritcher dan ini merupakan satu pembohongan yang sangat ketara! Itu tidak kira peperangan yang mereka letuskan di Libya, Afghanistan dan Iraq atas alasan memerangi pengganas 11 September.
Pendedahan mengenai vaksin juga membuatkan saya begitu terkejut. Teringat kepada seorang rakan saya yang tidak mahu anaknya diberi apa-apa vaksin sejak lahir sehingga kini. Beliau sehingga menandatangani surat perjanjian dengan doktor bahawa beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan sekiranya anaknya dihidapi penyakit akibat tidak mengambil vaksin tersebut.
Saya ambil sedikit petikan daripada buku ini mengenai vaksin :
+ Boleh dapatkan cerita mengenai vaksin di www.naturalnews.com dan VaccinesFullStory/v1/VaccineReport-EN.pdf
+ Mereka mengatakan vaksin ini tidak memberi manfaat kepada kesihatan, mengurangkan sistem kekebalan tubuh, vaksin selsema adalah tipu dan vaksin diisi dengan bahan kimia yang berbahaya untuk tubuh badan dan memberi kesan sampingan.
OK, itu baru sedikit sahaja.
Berbalik kepada penguasaan mereka dalam bidang hiburan. Mozart merupakan ahli Freemason dan beliau memasukkan ideologinya di dalam simfoninya. Ya Allah, saya teringat belajar subjek Pendidikan Muzik sewaktu di peringkat persediaan Sarjana Muda Pendidikan dahulu, kami diwajibkan mempelajari segala macam bentuk muzik, mengenali tokoh-tokoh yang dikatakan lagenda dan hebat dalam bidang muzik, menghafal segala bentuk simfoni, lagu (yang memeningkan kepala saya) serta sejarah hidup dan lagu mereka. Rupa-rupanya ada agenda tersembunyi di dalamnya! Saya memohon keampunan Allah atas dosa yang telah saya lakukan....
Lagu Twinkle Twinkle Little Star pula jika dimainkan secara terbalik akan kedengaran : "Kita sahaja tidak ada Allah", manakala lagu Popeye The Sailorman pula jika dimainkan secara terbalik akan kedengaran : "Give me a fuck" dan "Give me a fuck now". Sungguh! Ini adalah satu agenda yang sangat jahat. Bermakna mereka bukanlah ingin mendidik kanak-kanak tetapi merosakkan anak-anak kita dengan unsur-unsur yang melemahkan minda. Ibu dan bapa sekalian, ambil perhatian perkara ini!
Fakta lain yang menarik ialah isu pemanasan global yang sebenarnya tiada berlaku pun di dunia sekarang. Ia merupakan propaganda mereka. Bahkan ia merupakan satu agenda mereka dalam menimbulkan ketakutan kepada penduduk dunia. Mereka juga mempunyai misi mengawal penduduk dunia dan ingin mengurangkan penduduk AS sebanyak 50 juta menjelang 2050 (jika saya tidak silap...ingat-ingat lupa bacaan).
Freemason membuka jalan untuk kedatangan Dajjal.
Apa yang boleh dikatakan ialah kita perlu bersatu untuk menang. Sebelum itu marilah kita sama-sama membina pegangan akidah yang kuat serta berpegang teguh kepada ajaran Islam. Didik anak-anak dan kaum keluarga kita mengenali Allah dan Rasul dan mencintai Islam. Wallahualam.
Rabu, 19 September 2012
Badiuzzaman Said Nursi ~ Abdul Latip Talib
Kagum sekali dengan ibu bapa yang mendidiknya. Ibu Said Nursi sentiasa dalam keadaan berwuduk sewaktu menyusukan beliau. Masha Allah.
Allah juga kurniakan kehebatan akal fikiran kepada tokoh ini. Dengan sekali baca sahaja beliau sudah mampu menghafal ilmu yang dibaca melalui buku dan kitab-kitab.
Mengarang berjilid-jilid Risalah An-Nur. Beliau memfokuskan kepada permasalahan umat dan mengambil tindakan bijak mengelakkan diri dari dunia politik. Namun itu semua tetap tidak diterima oleh pihak pemerintah. Berpuluh tahun dihukum buang daerah ke pelbagai tempat, risalahnya dikaji, para pengikutnya tidak terlepas dari seksaan pemerintah serta beliau sendiri sentiasa diancam maut dengan diracuni oleh pihak tertentu sehingga akhirnya berdoa supaya kuburnya tidak diketahui orang di mana letaknya.
Selesai membaca buku ini terasa Risalah An-Nur kalangan beliau sangat berharga.
Sabtu, 28 Januari 2012
50 Tip Motivasi Haji

بسم الله الرحمن الرحيم
"Belum sampai seru".... Oh itu bukan penyebab tidak mahu ke sana tetapi itu hanya alasan semata-mata.
Hampir setiap manusia mempunyai rahsia tersembunyi (mengambil kata-kata penulis di dalam buku ini). Rasa ketakutan akan dosa lampau, rasa bersalah dan ragu-ragu masih menguasai diri tatkala ditanya akan soalan "Bila nak ke Mekah?".
Ya Allah, saya mahu tunaikan haji ketika usia muda. Tip mudah yang diberi penulis ialah kumpul RM200 setiap bulan insya ALLAH selepas 7 tahun kita mampu untuk ke sana. Tetapi perlu ada istiqamah di sini. Perlu konsisten menabung.
Bagi saya tip-tip yang diberi memang nampak kecil tetapi begitu signifikan. Saya tidak terfikir akan isu waktu tidur untuk mudahkan bangun malam di sana, bersolat di saf hadapan, isu tandas yang remeh tetapi sangat besar masalahnya bagi kebanyakan orang, soal menahan wuduk dari terbatal, dan antara tip yang membuatkan saya berkata, "Oh?!" ialah membeli sebanyak-banyaknya ubat sakit tekak dan diletak di dalam beg sandang supaya kita dapat membantu jemaah haji lain yang sering batuk-batuk. Masya Allah..
Selepas menamatkan pembacaan saya dapat simpulkan bahawa doa yang sungguh-sungguh serta melaksanakan doa dengan bersungguh-sungguh sangat dituntut sebagai salah satu sebab mendapat kemabruran haji. Wallahualam..
Khamis, 26 Januari 2012
Biar Bidadari Mencemburui Dirimu

Sangat tertarik dengan hadis ini. Masya Allah sudah bertahun-tahun hidup baru ini saya temui hadis ini. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulillah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda :
"Wasiatkan sentiasa kebaikan kepada para wanita, kerana mereka diciptakann daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok daripada jalinan tulang rusuk ialah tulang rusuk bahagian atas. Sekiranya kalian memaksa diri bagi meluruskannya, tulang itu pasti patah.
Tetapi sekiranya kalian mendiamkannya sahaja, tulang itu akan tetap bengkok. Oleh itu, wasiatkanlah kebaikan kepada para wanita." (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Ahad, 3 Julai 2011
37 Kisah Kehidupan Tabi'in Siri 1

Selasa, 31 Ogos 2010
Keajaiban Al-Qur'an
Penulis : Harun Yahya
Penerbit : Jahabersa
Bilangan muka surat : 110
Harga : RM34.90
Sumber : Pustaka Mukmin, KL
Buku ini terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama menerangkan mukjizat al-Quran, bahagian kedua mempersembahkan mengenai maklumat kejadian di masa hadapan yang dilaporkan dalam al-Quran, bahagian ketiga menerangkan mukjizat sejarah di dalam al-Quran, dan bahagian terakhir, kekeliruan dalam evolusi. Terdapat bab kesimpulan diselitkan antara bahagian ketiga dan bahagian keempat.
Membaca buku ini mengingatkan saya kepada buku Membentuk Akhlak Anak Belajar dari Mukjizat Para Nabi. "Satu pendapat yang sangat menarik mengatakan bahawa mukjizat ilmiah al-Quran itu akan terus muncul seiring dengan pembaharuan misi Islam itu sendiri. Dengan hal tersebut, seakan-akan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam masih tetap hadir di setiap zaman untuk mengajak umat manusia masuk ke dalam agama Allah…"
Benar, saya semakin memahami beberapa ayat di dalam al-Quran dengan fakta sains yang dibawakan oleh penulis. Antaranya mengenai fungsi langit seperti yang dinyatakan di dalam surah at-Tariq ayat 11 yang bermaksud : ”Demi langit yang membalikkan.” Perkataan ”membalikkan” dalam penterjemahan al-Quran ialah ”menghantar balik” atau ”mengembalikan”.
Seperti yang diketahui umum, lapisan langit terdiri daripada 7 lapis. Fungsi ’membalikkan’ oleh langit dijalankan mengikut peranan masing-masing seperti lapisan troposfera yang membantu mengkondensasikan wap air yang naik ke udara dari permukaan bumi menjadi hujan. Manakala lapisan ozon pula berfungsi memancarkan semula cahaya dan sinaran berbahaya dari luar angkasa kembali ke luar. Malah komunikasi yang kita gunakan kini seperti gelombang radio dan satelit dibantu oleh lapisan ionosfera yang membantu memancarkan gelombang tersebut. Subhanallah!
Satu lagi penemuan menakjubkan ialah peranan gunung kepada bumi. Telah dinyatakan oleh Allah di dalam surah al-Anbiya ayat 31 yang bermaksud ; ”Dan Kami jadikan gunung-ganang yang teguh supaya ia tidak bergoncang bersama mereka...” dan Surah an-Naba ayat 6 hingga 7 yang bermaksud ”Bukankah Kami telah menjadikan bumi ini sebagai hamparan. Dan gunung-gunung sebagai pancang?”.
Berdasarkan penemuan ahli geologi, gunung timbul daripada pergerakan dan pertembungan bongkah daratan yang besar membentuk kerak bumi. Apabila dua lapisan bertembung, rempuhan yang kuat akan menggelongsor ke bawah dan membentuk ketegangan di dasar bumi. Dan dasar inilah yang memegang semua lapisan di bumi kerana ia berhubung kait antara satu sama lain. Maka dengan sebab itulah gunung dikatakan pancang bumi.
Menarik, bukan? Fakta yang dijelaskan juga tidak mengambil penerangan yang panjang membuatkan pembacaan saya tidak menjemukan dan dapat difahami.
Isnin, 30 Ogos 2010
Syahadah Gadis Ateis
Judul buku : Syahadah Gadis Ateis
Penulis : Imran Haaz
Penerbit : PTS Islamika (2010)
Harga : RM16.00 / RM19.00
Bilangan muka surat : 377
Sumber : MPH Alamanda
Tarikh baca : Tamat pada 21 Ogos 2010
Buku ini membuatkan anda tidak berhenti berfikir. Lontaran soalan Rini yang kritis disambut dengan jawapan yang padat tetapi mantap daripada Nizam. Sungguhpun persoalan di dalam novel ini berkisar mengenai ketuhanan tetapi penulis bijak menggarap cerita sehingga tidak kelihatan seperti ceramah agama yang membosankan.
Setiap jawapan disertai dengan hujah yang mantap dari ayat Quran dan hadis. Nizam juga menggunakan kitab Bible dan bahan dari kitab agama lain sebagai tujuan perbandingan dan memahamkan Rini. Malah, analogi yang diberikan amat mudah difahami dan saya juga tidak pernah terfikir akan analogi-analogi yang digunakan itu. Semuanya disampaikan secara santai namun mesej yang ingin disampaikan sampai ke matlamatnya.
Rini dan Nizam sama-sama dalam perjalanan menuju ke utara. Mereka bertemu di dalam keretapi. Nizam yang berselipar buruk akibat kasutnya dikebas sewaktu solat di stesen keretapi sebelumnya diketawakan oleh Rini. "Itulah, siapa suruh sembahyang, kan dah hilang kasut...." Wah, terperanjat Nizam mendengarnya! Sudah tentu kita juga akan berasa 'semacam' sahaja dengan ayat tersebut.
Bermulalah sesi dialog antara Rini dan Nizam. Rini yang agak emosi dan selalu naik angin pada awalnya bertukar kepada seorang yang lebih rasional lama-kelamaannya. Banyak persoalan timbul dalam dirinya dan Nizam sedaya upaya berusaha memberi jawapan terbaik. Baginya akidah Rini masih lagi boleh diselamatkan walaupun kadang-kala teruji juga kesabarannya dengan soalan-soalan Rini.
Pada setiap bab ada sahaja isu yang ditimbulkan oleh Rini dan ditaip italic pada setiap permulaan bab. Ini yang membuatkan saya teruja apabila membacanya kerana ingin tahu apakah jawapan yang diberikan oleh Nizam. Sambil membaca, saya mencatat. Sebab inilah saya mengambil masa yang sangat lama untuk menghabiskan bacaan.
Persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Rini sebenarnya adalah soalan yang biasa kita dengar dari pihak yang memusuhi Islam. Antaranya ialah mengenai diskriminasi wanita, ketidakadilan pembahagian harta pusaka antara lelaki dan perempuan dan hukum hudud yang dikatakan zalim. Rini juga mahu dibuktikan kewujudan Tuhan kerana dia tidak mahu menyembah Tuhan yang dia tidak nampak.
Di sinilah kebijaksanaan dalam menjawab soalan-soalan sebegini diperlukan. Silap jawab akan memburukkan lagi keadaan. Saya terkesan dengan jawapan Nizam yang mengatakan bahawa sekarang ini kita sedang bergerak dengan kelajuan 300 km dalam masa 10 saat. Bumi bergerak dengan kelajuan 30 km sesaat.
Dengan mata kasar pastilah kita tidak bergerak seinci pun. Tetapi dengan 'iman' terhadap ilmu sains, kita akan mengaku kebenaran yang dinyatakan tadi.
Ahad, 18 Julai 2010
Membentuk Akhlak Anak Belajar dari Mukjizat Para Nabi
Judul buku : Membentuk Akhlak Anak Belajar dari Mukjizat Para Nabi
Penulis : Najwa Husein Abdul Aziz
Penerbit : Gema Insani (
Harga : -
Tarikh baca : 14 – 18 Julai 2010
Sumber : Pinjam dari Kak Fathiah (",) (Terima kasih kak!)
Akhirnya selesai pembacaan saya selama hampir seminggu. Sebuah buku yang enak dibaca dan asyik sekali menghadapnya. Sesuai dengan tajuknya, buku ini mengupas begitu banyak mukjizat para nabi seperti mukjizat Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf, Nabi Yunus, Nabi Musa, Nabi Sulaiman, Nabi Zakaria, dan Nabi Isa. Dan terlebih utama yang banyak diperkatakan ialah mukjizat Nabi Muhammad Sollallahu alaihi wasallam.
Keindahan Islam ternampak di dalam buku kecil ini dan mudah difahami oleh anak-anak (dan juga kita) insya Allah. Cerita di dalam buku ini disampaikan secara diskusi (berdialog). Latarnya saya lihat adalah guru dan anak-anak muridnya di sekolah ataupun mungkin di dalam usrah.
Nama-nama Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam, akhlaknya, ibadahnya dan mukjizat al-Quran ada diceritakan. Malah bagaimana Islamnya sahabat-sahabat Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam juga ada diselitkan.
Sungguh, baru ini saya mengetahui makna 'ayat' dan 'surah'. Selama ini saya tidak pernah terfikir akan maksud dua perkataan ini. Rupa-rupanya 'surah' bermaksud 'pagar-pagar Madinah' dan surah ini digunapakai kerana ia mengelilingi ayat-ayat al-Quran di dalamnya.
Saya juga teruja apabila mengetahui tentang rahsia huruf-huruf muqaththa'ah (terputus-putus) di dalam 29 surah di dalam al-Quran. Subhanallah. Huruf-huruf ini mempunyai rahsia yang dijaga oleh Allah.
Saya ambil contoh Surah al-Baqarah. Surah ini dimulai dengan 3 huruf iaitu ا ل م . Dalam kemajuan teknologi zaman ini, dapat kita ketahui bahawa ا adalah huruf yang paling banyak digunakan di dalam surah al-Baqarah ini dan diikuti dengan huruf ل dan م . Begitulah juga dalam 28 surah yang lain. Huruf-huruf muqaththa'ah ini juga ada 14 huruf.
Semua ini membuktikan bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah dan menjadi mukjizat terbesar Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam. "Satu pendapat yang sangat menarik mengatakan bahawa mukjizat ilmiah al-Quran itu akan terus muncul seiring dengan pembaharuan misi Islam itu sendiri. Dengan hal tersebut, seakan-akan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam masih tetap hadir di setiap zaman untuk mengajak umat manusia masuk ke dalam agama Allah…" (muka surat 77, Pembaharuan Mukjizat).
Subhanallah!
Sabtu, 17 Julai 2010
10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga

Judul buku : 10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga
Penulis : Saridah Hamid
Penerbit : PTS Islamika
Harga : RM 12
Buku kecil ini menghidangkan 31 kisah mengenai 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga. 4 khulafa al-rasyidin, Zubair b Awwam, Abu Ubaidah al-Jarrah, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas, Talhah bin Ubaidillah, dan Said bin Zaid.
Bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan golongan sasaran pembaca ialah golongan remaja. Buku ini juga sesuai dijadikan bahan cerita sebelum anak-anak tidur.
Saya dapati kesemua sahabat semasa belum memeluk Islam lagi telah memiliki akhlak yang mulia dan tidak terpengaruh mengikuti kegiatan-kegiatan jahiliah seperti menyembah patung dan meminum arak. Subhanallah. Allah memelihara mereka daripada melakukan perbuatan tersebut.











