Memaparkan catatan dengan label resipi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label resipi. Papar semua catatan

Jumaat, 5 September 2014

Buku 50 : Idea Bekal ke Sekolah - Menu Asia oleh Chef Azian

Bismillahirrahmanirrahim. 

Daya penarik untuk membeli buku ini pastilah kerana perkataan "bento" pada muka hadapan buku. Melihat gambarnya sahaja saya sudah melonjak-lonjak mahu beli. Ah, terlebih gaya pula saya ;p

Penulis memberi tip menyediakan bento dan peralatan yang digunakan untuk membuat bento. Paling disukai banyak resipi membuat sos sendiri diberi dalam bab awal buku ini. 

Sebahagian besar resipi tidak pernah saya buat jadi selepas ini masa untuk "practice" supaya mudah di kemudian hari :)..

Ahad, 20 Julai 2014

Buku 38 : Dunia Masakan Chef Sabri


Sumber gambar- nice-book-collections.blogspot.com


Bismillahirrahmanirrahim.

Buku Dunia Masakan Chef Sabri ini terbitan Telaga Biru setebal 172 muka surat terbahagi kepada empat bab utama.

Mengapa saya membaca buku ini? Kerana beliau adalah chef "islamik" pertama yang saya kenali. Jangan salah sangka. Beberapa tahun lepas saya selalu juga mendengar IKIM dan rancangan yang biasa terdengar ialah slot bersama beliau. Dari situ saya dan suami tertarik dengan personalitinya. Namun baru kini berkesempatan membaca buku ini.

Master Chef Sabri berkongsi pengalamannya sejak kecil bagaimana beliau meminati bidang masakan sehingga kepada melanjutkan pelajaran dalam bidang ini seterusnya menjadi pakar.

Apa yang menarik ialah pandangannya tentang kerjaya chef ini adalah sama seperti doktor. Doktor menyelamatkan pesakit dan chef menyelamatkan manusia dengan menyediakan makanan yang bersih lagi sihat. Subhanallah.

Memasak sendiri dapat menjamin kehalalan masakan dan hati yang ikhlas dapat melahirkan makanan yang sedap dan berkat :)

Tidak lupa, beliau berkongsi teknik ukiran ais, memperkenalkan jenis-jenis pisau yang digunakan oleh chef, resipi yang menyelerakan, petua dan adab makan minum menurut sunnah.

Barakallahufik.


*** petua buah peria tidak pahit.
Hiris peria, gaul dengan garam, perap 25 minit, basuh dengan air mengalir beberapa kali dan toskan.

*** tip lembutkan daging : perap daging yang telah dihiris dengan minyak, betik muda dan sedikit air limau nipis. Kemudian baru dimasak.

*** rendam sayur (kobis dan lobak) dalam ais garam supaya sayur coleslaw tetap rangup.

Ahad, 2 Mac 2014

Buku 9 : Bukan Sekadar Resipi : Aroma Antara Benua oleh Puan Roza Roslan

Bismillah walhamdulillah.

Pertama sekali saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi ilham yang sangat baik kepada Puan Roza dalam menggarap karya Aroma Antara Benua ini. Subhanallah. Bagaimana mahu saya katakan tentang naskah ini?

Ia benar-benar bukan sekadar resipi.

Naskah yang santai tetapi tidak sampai melekakan. Kisah biasa yang dicatat menjadi luar biasa hasil garapan Puan Roza. Susun atur katanya, ceritanya mengikat pembaca membaca sehingga ke akhir.

Dalam diam, ia mengingatkan saya kepada Sis Zabrina A. Bakar. Penulis yang juga menulis kisah kehidupan dan dikaitkan dengan al-Quran, hadis dan koleksi kata-kata hikmat.

Mengenali Puan Roza dari buku pertamanya, Travelog Cinta Abadi sehingga kini diakui beliau seorang yang kuat ingatan, minat (dan pakar) memasak serta kuatnya tawakal kepada Allah. Doa ini ...

"Ya Allah Ya Tuhanku, mudah-mudahan  makanan ini menjadi penawar kepada segala penyakit dan akan memberikan kesihatan yang baik kepada kami. Semoga ia kena pada selera tetamu kami lalu  mereka bersyukur pada nikmat kurniaan-Mu. Ya Allah, jadikan kami manusia yang tunduk sujud menyembah dan beribadat kepada-Mu."

merupakan antara monolog beliau yang terkesan di hati. Beliau membaca doa ini setiap kali mahu memasak untuk tetamu.  Nasihatnya lagi janganlah menganggap saru beban apabila memasak dan menerima tetamu. Sesungguhnya tetamu itu membawa kebaikan dan berkat kepada tuan rumah.

Tidak lupa, ada 56 resipi dilampirkan di dalam buku ini dan sebahagian besarnya dicatat di bahagian akhir setiap kisah yang dikongsikan.

Melalui beliau, saya tersedar bahawa banyak sekali nikmat Allah yang tidak saya sedari melalui makanan! Masya Allah.

"Lidah merupakan salah satu nikmat kurniaan Allah. Ia bukan sahaja sentiasa basah untuk bersedia menikmati makanan yang dihidangkan dari berbagai benua malah menjadi lebih bermanfaat jika digerakkan untuk membaca kalam Allah. Daku memohon keampunan-Mu, ya Allah."

Sesekali tercuit rasa geli hati ketika membaca kisah anaknya. "The bottom is white but not a sky. The top is green colour but not a grass." Boleh jadi teka-teki kuih ini ;)

Saya syorkan untuk bacaan anda juga. Bermanfaat! Insya Allah.

Ahad, 5 Januari 2014

Buku pertama

Bismillah walhamdulillah.

Assalamualaikum :)

Setengah hari keluar menyelesaikan urusan kerja dan peribadi, pandai juga si anak mengajak ke kedai buku. "Abi, nak beli buku Khaulah, boleh?." Pucuk dicita, ulam memdatang ;)

Hari ini hanya melihat suami dan anak membeli buku (boleh percayakah? Haha..). Sudah beberapa kali memberi kebebasan kepada anak memilih buku sendiri tetapi sudah pasti telah diberi panduan dan selepas anak pilih, saya akan tapis dahulu.

Tak percaya pula apabila melihat Komik Sains Ikhtiar Hidup dipegang oleh suami. Mungkin penangan Ustaz Rohidzir Rais dalam ceramahnya dalam bengkel penulisan baru-baru ini :) (Beliau kini menggalakkan anaknya membaca komik tersebut).


Saya membeli buku latihan topikal sahaja sebagai bahan bantu mengajar tambahan. Khaulah memilih buku Numbers and Counting for preschool dan Bedtime with puppets.

Jumpa lagi ^_^

Sabtu, 12 Mei 2012

Bukan Sekadar Resipi

Saya dalam mood pasca-PBAKL. Mahu menghabiskan bacaan buku-buku yang dibeli itu. Haha, sepertinya boleh kenyang dengan buku sahaja ya. Minggu ini adalah minggu peperiksaan. Oleh itu saya dapat mencuri sedikit waktu untuk membaca di sekolah. (Opss...ingat cikgu, free period adalah waktu bekerja. Huk..huk..).

Yalah, saya selang-selikan dengan menanda kertas jawapan, menyiapkan draf pengkarya guru, memikirkan isi P&P minggu hadapan, membuat bahan bantu mengajar dan... membaca!

Tanpa saya sedari sudah wujud suasana membaca di sekolah saya. Sejak bila ya? Saya pun tidak perasan. Saya lihat PPM, rakan-rakan guru khusyuk membaca buku atau majalah apabila waktu terluang. Wah, satu perkembangan yang positif! Suka, suka, suka :)

Oh, jauhnya saya melalut.


Sumber gambar : Blog Prof Kamil

Baik. Buku Bukan Sekadar Resipi ini saya beli di booth Galeri Ilmu. Hasil karya Puan Roza Roslan.

Membaca buku ini membuatkan otak saya sentiasa berfikir.  Ya, ceritanya biasa-biasa sahaja. Ada pada semua orang namun cara pengolahan ceritanya membuatkan ia menjadi istimewa dan bermakna.

Kata-katanya terus sampai ke hati.

Sesuatu resipi yang renyah untuk dibuat akan menjadi mudah sekiranya dibuat dengan kasih sayang.

Tiada satu pun resipi di dunia ini yang tersilap tetapi mungkin pengalaman dan pengetahuan kita sahaja yang kurang menyebabkan resipi itu tidak seperti rasa yang asalnya.

Penulis berkongsi pengalaman hidup dan ilmu melalui resipi yang diperolehi. Masya ALLAH...kehebatan Allah dapat dirasai dalam setiap masakan. Nikmat yang manakah lagi mahu didustakan?