Memaparkan catatan dengan label Roza Roslan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Roza Roslan. Papar semua catatan

Jumaat, 13 Jun 2014

Buku 29 : Rumah Kecil di Jabal Uhud oleh Roza Roslan

Bismillahirrahmanirrahim.

Rumah Kecil di Jabal Uhud (RKDJU) mengesankan. Subhanallah. Allah mengurniakan ilmu dan ilham kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Terasa bagai berhadapan dengan penulis. Tegurannya, rintihannya, doanya datangnya dari hati dan sampai ke hati pembaca (saya).

Beberapa anekdot benar-benar mencuit rasa. Perihal aurat, menjaga mulut, menjaga aib suami, kepentingan menjaga masa, bersangka baik dengan Allah, tidak menyekutukan Allah, kesungguhannya mengajak melakukan solat malam, hidayah Allah, kesungguhan mereka sekeluarga menjamu tetamu Allah, menyampaikan dakwah dan senarainya berterusan. Masya Allah!

Kerap kali juga saya jeda menatap naskah ini. Sehingga tingkah laku saya diperhatikan oleh suami. Mengapa? Soalnya. "Saya tersentak dengan teguran penulis yang terkena batang hidung sendiri."

Kisah yang diceritakan bukanlah bertujuan menarik minat pembaca semata-mata tetapi niat ikhlas penulis agar kita sama-sama memahami dan mengamalkan Islam sepenuhnya sepanjang hidup kita.

Insaf.

Sukar bangun malam untuk solat tahajud? Ia keluhan 'biasa' didengari di kalangan ibu-ibu muda beranak kecil dan menyusukan anak. Lalu penulis mengungkapkan pernahkah kita tidak boleh tidur pada waktu malam kerana kepanasan? Atau terbangun untuk ke tandas?

Sebenarnya sepanjang hidup Allah telah memberikan kita peluang melakukan amalan malam untuk bertahajud. tapi minda kita tidak berfikir begitu. jadilah malam itu seperti malam-malam yang lain,berlalu begitu sahaja. Allahu akbar! 

Seterusnya, diam itu lebih baik dari berkata-kata. Makin banyak bercakap makin banyak kita mengata sama ada sedar atau tidak sedar. Terutama sekali apabila berkumpul sesama rakan, tanpa sedar kita menceritakan hal rumah tangga dan aib suami... jagalah mulut, jauhkan kelakuan begitu dan banyakkan zikir dan berdoa.

Aurat.

Apa definisi aurat yang difahami? Pernah penulis dilontarkan soalan mengenai kefahaman wanita Malaysia akan konsep aurat. Sewaktu solat sangat tertib menjaga pakaian tetapi sesudah solat, telekung ditanggalkan lalu dipakai tudung singkat yang menampakkan dada atau jika tudung menutup dada sekalipun ia masih terlihat akan bentuknya. Begitu juga dengan pemakaian jubah. Ia dilihat sebagai satu fesyen sahaja. Tubuh badan berbentuk-bentuk dapat dilihat orang. Allah ya Allah. Ampunkan kami ya Allah...

Dari pintu RKDJU ini penulis melihat berbagai sisi kehidupan dan warna kelakuan manusia lalu menggarapnya menjadikan kisah yang disampaikan kepada pembaca berisi hikmah dan pengajaran.


Ia perkara biasa atau remeh bagi sesetengah orang tetapi tidak pada Puan Roza Roslan. Pembaca dibawa merenung kebesaran Allah dan memberi peringatan kepada kita melalui terjemahan ayat-ayat suci al-Quran yang dinyatakan berkait dengan sesuatu peristiwa.

Ya Allah, ampunkan kami dan berilah ilmu yang bermanfaat buat kami. Amin...

Ahad, 2 Mac 2014

Buku 9 : Bukan Sekadar Resipi : Aroma Antara Benua oleh Puan Roza Roslan

Bismillah walhamdulillah.

Pertama sekali saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi ilham yang sangat baik kepada Puan Roza dalam menggarap karya Aroma Antara Benua ini. Subhanallah. Bagaimana mahu saya katakan tentang naskah ini?

Ia benar-benar bukan sekadar resipi.

Naskah yang santai tetapi tidak sampai melekakan. Kisah biasa yang dicatat menjadi luar biasa hasil garapan Puan Roza. Susun atur katanya, ceritanya mengikat pembaca membaca sehingga ke akhir.

Dalam diam, ia mengingatkan saya kepada Sis Zabrina A. Bakar. Penulis yang juga menulis kisah kehidupan dan dikaitkan dengan al-Quran, hadis dan koleksi kata-kata hikmat.

Mengenali Puan Roza dari buku pertamanya, Travelog Cinta Abadi sehingga kini diakui beliau seorang yang kuat ingatan, minat (dan pakar) memasak serta kuatnya tawakal kepada Allah. Doa ini ...

"Ya Allah Ya Tuhanku, mudah-mudahan  makanan ini menjadi penawar kepada segala penyakit dan akan memberikan kesihatan yang baik kepada kami. Semoga ia kena pada selera tetamu kami lalu  mereka bersyukur pada nikmat kurniaan-Mu. Ya Allah, jadikan kami manusia yang tunduk sujud menyembah dan beribadat kepada-Mu."

merupakan antara monolog beliau yang terkesan di hati. Beliau membaca doa ini setiap kali mahu memasak untuk tetamu.  Nasihatnya lagi janganlah menganggap saru beban apabila memasak dan menerima tetamu. Sesungguhnya tetamu itu membawa kebaikan dan berkat kepada tuan rumah.

Tidak lupa, ada 56 resipi dilampirkan di dalam buku ini dan sebahagian besarnya dicatat di bahagian akhir setiap kisah yang dikongsikan.

Melalui beliau, saya tersedar bahawa banyak sekali nikmat Allah yang tidak saya sedari melalui makanan! Masya Allah.

"Lidah merupakan salah satu nikmat kurniaan Allah. Ia bukan sahaja sentiasa basah untuk bersedia menikmati makanan yang dihidangkan dari berbagai benua malah menjadi lebih bermanfaat jika digerakkan untuk membaca kalam Allah. Daku memohon keampunan-Mu, ya Allah."

Sesekali tercuit rasa geli hati ketika membaca kisah anaknya. "The bottom is white but not a sky. The top is green colour but not a grass." Boleh jadi teka-teki kuih ini ;)

Saya syorkan untuk bacaan anda juga. Bermanfaat! Insya Allah.