Memaparkan catatan dengan label PTS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PTS. Papar semua catatan

Isnin, 22 Disember 2014

Buku 79 : Srikandi-Srikandi Yang Benar oleh Zahiruddin Zabidi


Bismillahirrahmanirrahim.

Srikandi-srikandi Yang Benar. Buku berkulit keras setebal 464 muka surat.
Himpunan kisah 3 tokoh wanita dalam lipatan sejarah Islam ; Aminah ibu Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam, Fatimah anakanda kesayangan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam dan Rabiah Aladawiyah.
Sebagai bacaan 👍 tetapi untuk rujukan bukanlah satu pilihan kerana ianya adalah fiksyen.
Ini pertama kali membaca buku Tuan Zahiruddin. Mendamaikan. Seolah saya dapat mengalami peristiwa yang berlaku ke atas tokoh-tokoh wanita ini. Masya Allah. * Buku terakhir yang dapat diselesaikan sebelum pulangkan semula ke Perpustam

Selasa, 2 Disember 2014

Buku 74 : Kisah Saya Saudara Baru oleh Nuraisyah Chua Abdullah


Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini saya pinjam dari Perpustam, Melaka.

Membaca buku ini sememangnya membuka mata dan minda saya akan kesusahan yang dialami oleh  saudara baru apatah lagi Islam di Malaysia sinonim dengan orang Melayu. Penulis turut menyedarkan saya bahawa saudara sesama Islam patut membantu saudara baru memahami hukum-hakam yang perlu dipelajari kerana hampir semua yang dilalui adalah asing dengan cara hidup sebelum ini. Meskipun soalan yang remeh perlulah dijawab dengan baik dan berhemah.

Saya kagum dengan sikap positif beliau di saat rakan-rakan Islam tidak begitu mempedulikannya dan tanpa sedar menyinggung perasaannya. Hmm..Memang sukar jika berada dalam situasinya.

Sebelum itu ujian getir yang dihadapi apabila pengislaman beliau ditentang oleh ayah sendiri sehingga ayahnya jatuh sakit. Sehingga ayahnya menghembuskan nafas terakhir tetap tidak menerima pengislamannya. Tabahnya hati penulis.

Membaca buku ini pembaca dapat merasai pengalaman suka duka beliau dalam menghadapi ranjau ujian sebagai seorang Islam. Semoga penulis tabah dan dapat menyebarluaskan dakwah islamiah ke seluruh pelosok dunia :-)


++++++++++++++

Lembaran awal Kisah Saya Saudara Baru ini mengingatkan saya kepada seorang rakan saudara baru ketika menuntut di tahun pertama UTeM dahulu (sekitar tahun 2003-2004. Allahu. Tiba-tiba sebak mengingatkannya. Saya tidak mengenalinya secara rapat kerana jurusan berbeza. Dia mengambil bidang kejuruteraan manakala saya di bidang teknologi maklumat.

Dia berbangsa Cina dan memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga. Bahagia dan tenang kehidupannya. Namun, di penghujung semester 1, keluarganya tahu dan mengugut dengan pelbagai cara. Sehinggalah dia menghilangkan diri pada semester kedua dan tidak meneruskan pengajian. Sayang sekali kerana keputusan semester 1 nya amat memberangsangkan - tersenarai sebagai penerima Anugerah Dekan.

Kemudian kami semua hilang khabar beritanya. Ada yang mengatakan dia sudah kembali ke pangkuan keluarga dan ada yang mengatakan dia bekerja sebagai juruwang di pasaraya. Wallahualam. Semoga Allah memelihara dan memudahkan urusannya.

Ahad, 9 November 2014

Buku 68 : Tabik Cikgu : Cikgu Ada Rahsia? oleh Fatimah Az-Zahra




Bismillahirrahmanirrahim. 

Saya mencari kembali buku pertama dahulu bertajuk Tabik Cikgu tetapi tiada dalam simpanan. Kemudian baru teringat, saya telah hadiahkan kepada anak rakan. Tidak mengapalah walaupun saya sudah lupa ceritanya.

Kali ini keseluruhan naskah bertumpu kepada rahsia Cikgu Mukhsin dan tiada kisah kenakalan anak-anak 2 Terbilang ini. 

Tidak sangka ya, Cikgu Mukhsin menyimpan rahsia besar sewaktu menyambung pengajiannya di Mesir dahulu.

Pergi ke sana atas tiket pelajar perubatan namun entah apa yang berlaku, Cikgu Mukhsin lebih berminat mengembara dan lalai atas tanggungjawabnya sebagai pelajar. 

Sebagai ketua rumah, Cikgu Mahdi telah menegur Cikgu Mukhsin namun tidak dihiraukan. Bermulalah perjalanan Cikgu Mukhsin yang mencabar dan mengancam nyawa sebaik beliau memutuskan keluar dari rumah sewanya.

Terbang ke Jerman, dihantar pulang je Mesir, ditangkap polis Mesir, menjadi pengintip polis Mesir, diculik dan beberapa kisah lagi yang mewarnai hidupnya di sana. 

Namun akhirnya beliau berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Mesir namun terpaksa melepaskan cita-citanya menjadi seorang doktor perubatan. Semuanya atas jasa Cikgu Mahdi menyelamatkannya.

Bagi saya buku ini sangat menarik kerana penulia menyelitkan nasihat dan berdakwah dengan gaya yang santai dan realistik. Amat sesuai dibaca oleh anak-anak remaja kita. Semoga dengan usaha beliau ini mampu memberi pencerahan kepada pembaca cilik.

Sabtu, 8 November 2014

Buku 67 : Hana Banana

Bismillahirrahmanirrahim.

Siri Usahawan Cilik antara buku yang menarik dan digalakkan adik-adik saya membacanya. Meskipun mungkin tajuknya biasa-biasa tetapi di dalamnya merangkumi motivasi, tip memulakan perniagaan, tip kewangan, cabaran dan cara mengatasi masalah.

Misalnya dalam Hana Banana ini Hana memulakan perniagaan menjual pisang goreng atas kesedaran menyimpan wang bagi menyambung pelajaran selepas SPM dan membantu keluarga. Tip memulakan perniagaan yang mudah ialah memulakan dengan sesuatu yang berada di rumah.

Menariknya juga ada disertakan resipi ringkas membuat pisang goreng yang enak dan variasi pisang goreng yang dilakukan oleh Hana.

Yang bagusnya Hana dikelilingi oleh orang yang positif dan menyokong hasratnya. Ini yang kita mahu. Bukannya memperlekehkan usaha seseorang apabila dia ingin melakukan sesuatu yang baru atau melakukan perubahan ke arah yang lebih baik ;)

Buku 66 : Menunggumu di Pintu Syurga oleh Linda Rafar & Bahruddin Bekri

Bismillahirrahmanirrahim.

Ibu mana yang mahu anaknya jatuh sakit. Saya pasti semua ibu di dunia berusaha  menyembuhkan anaknya jika mereka sakit.

Ujian yang Allah beri sebenarnya mengikut kemampuan seseorang hamba kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya sebaliknya kitalah yang menzalimi diri kita.

 Ya, selepas anaknya pergi baru diketahui sifat-sifat anaknya yang selama ini tidak diketahui. Sungguh Memen antara anak dan rakan yang baik. Semoga Allah membalas kebaikannya.

Semoga Linda Rafar dan keluarga tabah menerima pemergian anak tersayang.

Jumaat, 31 Oktober 2014

Buku 65 : Gadis Kecil di Pinggir Gaza oleh Vanny Chrisma W.


Bismillahirrahmanirrahim.

Kisah seorang anak kecil Palestin bernama Palestine. Nama yang unik. Wataknya cekal, jiwanya kuat meskipun seluruh ahli keluarganya telah tiada akibat serangan bom oleh Israel dan ayahnya pula entah ke mana kerana membawa misi Hamas.

Meskipun fiksyen, namun penulis berjaya menggarap dengan baik suasana di sana dan paling penting mesej keamanan dan kecekalan hidup penduduk dan pejuang Palestin.

Pelbagai emosi bermain ketika membaca novel ini. Namun pasti tidak sama dengan situasi sebenar mereka di sana!

Ya Allah, berikan kekuatan kepada umat Islam untuk bersatu dan menentang kezaliman bangsa Israel itu!

Isnin, 20 Oktober 2014

Buku 60 : Tuhan, Aku Kembali oleh Sham Kamikaze dan Ainuddin Kamaruddin


Bismillahirrahmanirrahim.

"Untuk setiap orang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakang, yang menjaga dia dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung untuk mereka selain daripada-Nya." (Ar-ra'du : 11)

Penghijrahan Sham Kamikaze bermula pada April 2011. Pertemuan dengan sahabat baiknya, Adlan Sabri yang telah lebih dahulu berhijrah membawanya kepada idea Le Tour de Masjid @ jalan-jalan cari masjid. Pada saat inilah hidayah Allah berikan kepadanya. Minatnya pada fotografi mendorongnya merakam gambar disetiap masjid yang ditemui mereka untuk solat berjemaah. Paling mengujakan beliau bertemu dengan Imam Sudais secara berhadapan ketika menunaikan solat zohor berjemaah di Kangar, Perlis.

Agak menarik apabila mengetahui yang beliau mengikuti blog Dr MAZA sejak beberapa tahun lepas. Semuanya bermula dengan rasa ingin tahu selepas membaca artikel Pengharaman Yoga - fatwa jangan kaku yang ada memetik kenyataan dari Dr MAZA.

Bukan mudah untuk berubah apatah lagi menulis kesalahan semasa jahiliah dahulu namun saya kagum akan kesungguhan beliau kembali kepada fitrah. Biarpun pendapatan dahulu dan kini sungguh jauh berbeza, namun beliau semakin selesa dengan kehidupan yang dilalui.

Kehidupan sebagai pendakwah banyak cabarannya. Semoga Sham sabar dan istiqamah dengan kebaikan yang dilakukan. Semoga lebih ramai orang mendapat asbab hidayah Allah kerananya. Barakallahufik.

Khamis, 9 Oktober 2014

Buku 59 : Screaming Free Parenting oleh Teguh Iman Perdana

**Masih dalam draf**

Sumber gambar : www.pts. com.my
Bismillahirrahmanirrahim.

The Golden Moment atau usia keemasan anak-anak ialah pada usia 0-5 tahun.

Dalam masa ini jadilah kita ibu bapa yang menyeronokkan. Bagaimana syaratnya?

1. Memiliki kesabaran luar biasa @ sabar yang berkesedaran.  Maknanya sedar betapa perlunya bersabar menghadapi kerenah anak.

2. Mengasah sensitiviti kita. Dalam hal ini, tanamkan kesedaran pada diri bahawa semua tindakan positif dan baik anak kita begitu bermakna kepada mereka walau sekecil mana pun.

PAKSA diri beri perhatian yang lebih kepada tingkah laku anak.

Dan cuba proaktif dalam mengamati aktiviti seharian anak-anak.

3. Latih diri ucapkan cinta dan kasih sayang kepada anak.

4. Latih diri supaya tidak meremehkan anak seperti suka bercakap kelemahan dan keburukan anak berbanding menyebut kebaikan dan kelebihannya.

Isnin, 8 September 2014

Buku 52 [Impiana 3] dan Buku 53 [Impiana Finale] oleh Ain Maisarah

Bismillahirrahmanirrahim.

Disebabkan buku ini bersiri dan ada kesinambungan maka saya gabungkan sahaja ulasannya.

Seperti 2 buah buku sebelum ini, saya bersemangat memulakan pembacaan. Saya menjangkakan ada lagi unsur kejutan dan 'seram' di dalamnya namun sehingga ke titik akhir buku ketiga, saya tidak menemukan apa yang dicari. Walaupun begitu, peristiwa yang berlaku memang agak mendebarkan. Ada "twist" di dalam cerita ini. Menarik.

Fasha diculik ketika majlis perkahwinannya hampir tiba, Linda dengan deria keenam dan pendedahan dalang Syarikat Impiana. Sungguhpun keenam-enam dalang itu berjaya dihukum tetapi sebenarnya bagaikan ada satu kuasa besar lagi di belakangnya. Bilakah misteri ini akan terungkai?

Kejutan dengan Mimi Monira yang selama ini dianggap begitu jahat oleh semua orang rupa-rupanya berhati mulia. Ada sebab di sebalik semua tindakannya itu. Dia tersepit antara kemahuannya dan keperluannya melindungi orang yang tersayang. Fasha yang memberi pencerahan kepada semua atas apa yang berlaku.

Penulis menghuraikan kisah hampir setiap watak yang ada namun banyak kisahnya tergantung dan terpulang kepada pembaca membuat kesimpulan sendiri. Huwaaa..rasa tidak puas hati juga tetapi mungkin juga Ain Maisarah akan menyambung cerita ini pada masa hadapan. Siapa tahu :)

Jumaat, 5 September 2014

Buku 50 : Idea Bekal ke Sekolah - Menu Asia oleh Chef Azian

Bismillahirrahmanirrahim. 

Daya penarik untuk membeli buku ini pastilah kerana perkataan "bento" pada muka hadapan buku. Melihat gambarnya sahaja saya sudah melonjak-lonjak mahu beli. Ah, terlebih gaya pula saya ;p

Penulis memberi tip menyediakan bento dan peralatan yang digunakan untuk membuat bento. Paling disukai banyak resipi membuat sos sendiri diberi dalam bab awal buku ini. 

Sebahagian besar resipi tidak pernah saya buat jadi selepas ini masa untuk "practice" supaya mudah di kemudian hari :)..

Khamis, 17 Julai 2014

Buku 36 : Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori oleh Salleh De Ran


Bismillahirrahmanirrahim.

Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori merupakan sebuah buku travelog pengembaraan untuk remaja terbitan PTS Pro. Ini adalah buku ketiga dalam siri ini yang saya baca. Sebelum ini pernah membaca Oh London! dan Oh Tanah Suci! Ini merupakan pertama kali saya membaca buku penulis Salleh De Ran.

New Zealand dinamakan Aotearoa yang bermaksud tanah berawan putih yang panjang. Sebuah negara kepulauan yang sangat cantik dan merupakan negara empat musim.

Menarik sekali apabila kejadian empat musim ini dikaitkan dengan kekuasaan Allah. Musim panas dikaitkan dengan kepanasan api neraka, musim sejuk dikaitkan dengan cengkaman kesejukan dalam neraka yang paling sejuk, musim luruh di mana petani mengumpul sisa-sisa buah boleh diandaikan kita mengumpul bekalan menuju akhirat dan musim bunga dikaitkan dengan keseronokan dan nikmat berada di syurga.

Tiga sahabat ; Ismad, Nazmie dan Fadzli melancong ke New Zealand bersama-sama pada musim sejuk. Ismad pergi atas jemputan bapa saudaranya manakala Fadzli atas tujuan menziarahi abang kandungnya yang bekerja di sana dan Nazmie menemani Fadzli.

Selain diceritakan keunikan dan keindahan bumi New Zealand, mereka turut mengenali beberapa susuk anak Melayu yang berjaya membina kerjaya di sana seperti Encik Abdul Aziz yang membina Mesra Homestay NZ, abang Fadzli yang menjadi anak Melayu pertama menubuhkan bengkel membaiki kenderaan (Canterbury Automotive & Auto Electrical Limited) dan Encik Ishak Mahyuddin membina perniagaan perkhidmatan katering dan membina Balai Islam di Christchurch atau dikenali sebagai Cristchurch Islamic Community Centre (CICC).

Tentu sekali pengalaman melalui pembacaan tidak sama dengan pengalaman pergi sendiri ke negara berkenaan namun sekurang-kurangnya gambaran awal telah diberikan dan dapat menjadi pengetahuan asas buat pembaca.

Sejarah panjang New Zealand, asal-usul kewujudan bangsa Maori, budaya penduduk pribumi di sana, iklim, tempat menarik untuk dilawati, kisah buah kiwi dan burung kiwi pasti menggamit rasa.

Jumaat, 13 Jun 2014

Buku 28 = Misi Cikgu Baru oleh Nazry Salam

Bismillahirrahmanirrahim.

"Antara ciri-ciri sistem pendidikan yang baik  adalah lebih banyak tumpuan diberikan kepada murid lemah".

"Guru yang baik adalah guru yang membawa perubahan kepada murid lemah. Guru perlu peka pada setiap tingkah laku, guru perlu gali sebab atau motif mereka berkelakuan begitu."

Itu antara kata-kata pengajaran awal dari Pakcik Romley, si tukang kebun sekolah kepada Shariff, cikgu baru @ guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Ayer Jernih. Hebat! Seorang tukang kebun mampu memberi nasihat sebegini kepada guru baru yang masih tercari-cari kaedah terbaik mendidik anak muridnya :)

Cikgu Shariff ditugaskan mengajar Sains sekaligus menjadi guru kelas 6 Besi, kelas tercorot di sekolah tersebut. Malah, ada satu kontrak mengarut yang terpaksa ditanda tanganinya tanpa dia ketahui syarat-syarat tersebut. Di kemudian harinya barulah diketahui bahawa dia perlu menaikkan markah murid 6 Besi sebanyak 30% setiap kali ujian atau peperiksaan. Cabaran!

Mujur masih ada rakan guru di sekolah yang baik hati ingin berkawan dengan Cikgu Shariff iaitu Cikgu Ana Maria dan Cikgu Is. Pada mereka berdualah dapat Cikgu Shariff berkongsi rasa dan masalah yang dihadapi.

Apa kaitan Pakcik Romley dalam kisah ini? Dia sekadar seorang tukang kebun. Tetapi dia jugalah yang banyak membantu Cikgu Shariff menjadi seorang guru yang baik sehingga Cikgu Shariff jatuh cinta akan kerjaya sebagai seorang pendidik :)

Selepas mengikuti pelajaran pertama dari Pakcik Romley, Cikgu Shariff dengan bersemangat mula mengenal pasti masalah dan mengkaji tingkah laku anak-anak muridnya seterusnya cuba menyelesaikannya satu persatu. Kagum dengan ketekunannya melukis wajah anak-anak muridnya seorang demi seorang pada kertas mahjong. Lalu dia meminta bantuan Comby, salah seorang murid 6 Besi untuk memberitahu nama dan perangai unik masing-masing.

Wah, bukan mudah menyelidik dan menyelesaikan perkara ini! Cikgu perlu menjadi seperti penyiasat persendirian pula :)

Pelajaran kedua pula, pakcik tukang kebun itu menerangkan mengenai teori Maslow dan sedikit teori Jean Piaget kepada Shariff. Teori Maslow secara umumnya berkait rapat dengan motivasi. Ada lima peringkat bermula keperluan asas, keselamatan, perhubungan, harga diri dan tujuan hidup. Bermakna, Cikgu Shariff perlu menyelesaikan masalah murid-murid barulah motivasi belajar mereka meningkat.

Pelajaran ketiga, Pakcik Romley memggunakan perumpamaan set-set permainan catur, permainan askar dam pasukan bola sepak. Namun, Cikgu Shariff telah cekap menangkap maksud yang ingin disampaikan oleh Pakcik Romley.

Pasukan pemanah mampu menyerang dari jarak jauh dan kurang mampu menyerang dari jarak dekat. Oleh itu meletakkan pasukan memanah di bahagian depan akan mengundang kekalahan. Kedua, apabila catur raja dan permaisuri diletak berjauhan, raja tidak dilindungi catur terkuat iaitu permaisuri. Ini akan mengundang kekalahan. Ketiga, apabila penjaga gol dijadikan pemain penyerang, daya serangan seluruh pasukan menjadi tumpul. Persamaan antara ketiga-tiga permainan ini adalah kedudukan. Jafi, perubahan semula tempat duduk di dalam kelas boleh membantu transformasi perubahan sikap dan motivasi belajar murid 6 Besi di dalam kelas :) Wah, panjangnya!

Di sekolah itu, ada satu perkara pelik. Guru besarnya selalu tiada di sekolah kerana mempunyai urusan luar. Maka kuasa pengurusan pentadbiran sekolah diserahkan kepada guru penolong kanan sekolah iaiti Cikgu Zubir.

Rupanya dalam diam, tingkah laku Cikgu Zubir ini diperhatikan oleh guru besar bagi mengenalpasti kepincangan yang berlaku di sekolah. Haih, banyak masalah dalaman rupanya di sekolah ini.

Eh, guru besar? Bagaimana dia menyiasat sedangkan dia tiada di sekolah? Saspen sahaja ^_^

Hari demi hari murid 6 Besi semakin berubah ke arah yang lebih baik. Sungguh pun Cikgu Shariff berdepan dengan masalah murid pelik, diugut kumpulan kongsi gelap, menghadapi kesusahan apabila ibunya sakit dan dimasukkan ke hospital namun terselit juga beberapa kebaikan seperti nasihat dan buah fikiran yang bernas daripada ibunya serta adanya Cikgu Ana Maria yang manis. Ehem.. ;)

Namun peristiwa pahit berlaku tanpa disangka apabila Cikgu Shariff mengetahui berlakunya konspirasi di belakangnya yang melibatkannya sebagai taruhan. Apa yang paling mengecewakan salah seorang yang terlibat ialah Cikgu Is, rakan guru yang dianggap sebagai rakan sekerja yang baik di sekolah. Rupa-rupanya baik yang mempunyai makna!

Tidak perlu dihairankan. Situasi ini berlaku dalam mana-mana organisasi. Dengki, iri hati, cemburu dan mengumpat berlaku apabila berlaku ketidakpuasan hati seseorang terhadap apa yang dimilikinya.

Kisah kerjaya Cikgu Shariff tidak berakhir begitu sahaja. Ada kejutan di hujung kisah ini :)

Terima kasih penulis atas garapan cerita yang menarik. Semoga ia turut menjadi ilmu yang bermanfaat buat saya dan pembaca lain. Meskipun saya seorang guru namun membaca cerita kreatif begini dapat "refresh" minda dan menilai kembali tahap komitmen dan tanggungjawab terhadap anak-anak didik. Barakallahufik :)

Selasa, 10 Jun 2014

Buku 25 : Seindah Dafodil oleh Umi Kalthum

Bismillahirrahmanirrahim.


Judul buku : Seindah Dafodil
Penulis : Umi Kalthum
Penerbit : PTS

Hidup di perantauan memerlukan kecekalan dan keazaman yang tinggi. Perlu juga pandai memilih kawan yang baik dan memerlukan pegangan agama yang kukuh supaya tidak terpengaruh sehingga menggadaikan agama Islam yang dianuti.

Catatan novel jibunsyi ini memaparkan kehidupan Insyirah sebagai pelajar perubatan di bumi asing, bagaimana dia mengadaptasi dengan budaya dan kepelbagaian ragam manusia di sana, bertemu pelbagai bangsa dan memahami pelbagai kepercayaan agama serta tidak kurang juga mengurus perasaan dan emosi terhadap seseorang yang dicintainya.

Halangan keluarga menyebabkan Insyirah berusaha melupakan jejaka tersebut dengan menyibukkan diri dengan dunia akademik sehingga membawa diri ke bumi Kanada. Apalah yang dibanggakan sangat dengan status Syed-Syarifah sehingga menyebabkan kedua-duanya memendam rasa bertahun-tahun.

Namun jika jodoh tidak ke mana :) 

Kesungguhan Insyirah dalam akademik patut dicontohi. Dia seorang yang tekun dan bersungguh-sungguh. Saya juga suka dengan wataknya yang peramah dan bertoleransi dengan rakan baru dari pelbagai negara. Sifat ringan tulangnya dan pandai memasak menjadi satu sifat yang disenangi oleh mereka yang baru dan lama mengenalinya.

Wallahualam :)

Selasa, 29 April 2014

Buku 18 : Impiana oleh Ain Maisarah

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya diberitahu novel ini merupakan novel dewasa dan berbeza dengan novel remaja lain yang ditulis oleh Ain Maisarah. Lama berada dalam simpanan kerana saya tiada buku sambungannya iaitu Impiana 2, Impiana 3 dan Impiana Finale.

Ternyata berbeza walaupun menggunakan watak yang sama.

Cerita bermula dengan pertemuan semula alumni SMK Seri Bangsar selepas 10 tahun meninggalkan alam persekolahan.

Sesi perkenalan ringkas menemukan mereka dengan pelbagai cerita kehidupan masing - masing. Paling menarik apabila rakan mereka, Mini Monira Badak Air yang dahulunya pelajar paling gemuk di sekolah kini tampil anggun dengan sekitar 45kg dan bekerja sebagai pramugari.

Kejayaannya menurunkan berat badan menggunakan khidmat Syarikat Impiana menjentik rasa mahu mencuba pada diri Shasha. Dia yang dahulunya sangat popular sebagai pelajar yang paling cantik dan anggun, kini tidak lagi dengan berat 97kg dan kuat makan.

Shasha menjadi orang pertama mendaftar dengan Syarikat Impiana ini selepas pertemuan malam itu. "Tagline" syarikat - Segala impian anda akan tercapai. .. Walau dengan apa cara sekalipun! Kami mampu merealisasikannya! berjaya menarik minatnya dan impiannya untuk kembali kepada berat badan 50kg dalam masa 3 bulan diharap tercapai.

Kemudian diikuti dengan Nana, Linda, Fahrin dan Pai'e. Masing - masing dengan impian mereka yang mahu dicapai dalam masa 3 bulan.

Tanpa sedar mereka semua termasuk ke dalam perangkap permainan yang kejam dan dahsyat hasil percaturan Syarikat Impiana.

Misalnya Shasha mendapat tiket percutian ke Bali selama sebulan dan mendapat rawatan kecantikan dan spa di sana. Ketika di dalam penerbangan, dia berbual dengan teman sepenerbangannya bernama Fadzly sehinggalah ketika turun di lapangan terbang, Shasha ditahan kerana disyaki membawa senjata berbahaya dan bahan terlarang.

Shasha ditahan selama sebulan di penjara dan terpaksa melakukan aktiviti rutin banduan seperti berkebun dan terpaksa memakan hidangan penjara yang tidak sedap. Selepas sebulan barulah Shasha berjaya pulang ke Malaysia. Itu pun kerana dijemput oleh ibunya yang dihubungi oleh pihak syarikat.

Banyak kejadian pelik dan kejam yang berlaku dalam masa 3 bulan dan adakalanya sangat mengancam nyawa dan keselamatan kaum keluarga Shasha.

Kejadian yang sama berlaku kepada rakan-rakan mereka yang lain dan perkara ini cepat disedari oleh Shasha dan bertindak untuk menghalang dan menyelamatkan rakan-rakannya. Mereka menemui Mimi Monira dan alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ini adalah balasan dendam Mimi kepada mereka semua yang pernah membulinya dengan teruk 10 tahun dahulu.

Debaran semakin terasa.  Namun kisah seterusnya bersambung dalam novel berikut ^_^;

Moralnya, kita perlu bersyukur dengan apa yang ada. Jika mahukan perubahan perlulah mengikut kemampuan diri dan tidak bertindak melampaui batas. Mahu buat sesuatu perlu dengan ilmu, akal fikiran yang waras dan perlu berada di atas landasan agama.

Wallahualam.

Isnin, 31 Mac 2014

Buku 15 : Demi Masa oleh Dr Zulkifli Al-Bakri

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selesai membaca karya Dr Zulkifli Al-Bakri. Naskah ringkas setebal 68 muka surat ini merupakan sebuah buku motivasi mengenai masa yang menghimpunkan lima bab. Saya suka sekali mengutip mutiara ilmu dari penulis yang sememangnya membicarakan topik yang sangat dekat dengan kehidupan kita.

"Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang ." (Hadis riwayat Bukhari)

Bab awal membicarakan tafsir surah al-Asr, dalil-dalil hadith berkaitan masa seterusnya mutiara kata dan hikmah, prihatin dan cakna ulama terhadap masa dan cara ulama membahagikan masa.



Wallahualam.