Memaparkan catatan dengan label Kekeluargaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kekeluargaan. Papar semua catatan

Ahad, 18 Januari 2015

RakBuku2015 (3) Chicken Soup for the Soul: Stay-at-Home Moms: 101 Inspirational Stories for Mothers about Hard Work and Happy Families






Bismillahirrahmanirrahim.

101 cerita "Stay at home mom". Pelbagai cerita, pelbagai emosi, pelbagai sebab menjadi suri rumah sepenuh masa :-) Ada yang memberi inspirasi, ada yang memberi tekanan emosi. Hihi..

Hampir semua mengatakan tidak mudah menjadi surirumah. Ya, berada di rumah, menguruskan rumah tangga, anak-anak, menjadi perancang kewangan keluarga, menjadi orang gaji, mengurus keperluan dapur dan 1001 tugas lagi namun ibu-ibu tetap mampu melakukannya. Yang penting ada semangat dan minat ;)

Kebanyakannya juga tetap menjana pendapatan dari rumah dengan menjadi penulis atau membina perniagaan atas talian.

Semua ibu adalah hebat! ^_^

Selasa, 23 Disember 2014

Buku 80 : Little House on the Prairie




Bismillahirrahmanirrahim.

All's well ends well.

Little House on The Prairie. Saya rasa agak 'familiar' dengan tajuk ini. Mungkin saya pernah menontonnya satu ketika dahulu dan baru saya ketahui ianya adalah dari sebuah buku. 

Kecekalan sebuah keluarga yang berhijrah dari Big Wood menuju ke satu tempat baru yang dikenali sebagai Indian Territory. 

Membaca helaian demi helaian pelbagai emosi dirasai. Kesukaran perjalanan mereka mengharungi hutan belukar, denai dan sungai yang deras airnya, hampir kehilangan nyawa, bermalam di tengah hutan, diancam haiwan liar sehinggalah kepada menemui tanah yang sesuai untuk didiami, membina kediaman yang selesa, menggali sumber air sendiri, berjaga-jaga dengan serigala hutan, kaum Red Indian, mengalami demam Malaria yang hampir membawa maut, menghadapi pelbagai musim ; musim sejuk, musim bunga, musim panas dan menyambut perayaan Krismas.

Namun akhirnya mereka terpaksa berpindah lagi. Oh, agak melelahkan membaca buku ini. Hee.. Tapi saya tetap teruskan bacaan kerana saya suka dengan perincian aktiviti keluarga ini dan merasai emosi mereka dengan keadaan rumah mereka yang sangat jauh dengan jiran. Pada masa itu juga kemudahan mengutus surat dan membeli barang keperluan memerlukan perjalanan yang sangat jauh dan melibatkan keselamatan. Saya kagum dengan si ibu yang menjadi ketua keluarga yang hebat ketika si ayah tiada di rumah.

Saya beri tiga bintang sahaja. Mungkin berat sebelah kerana daya tumpu saya semakin menurun ketika membaca buku ini. Dan pula, ada unsur perkauman di dalam buku ini...

Ahad, 28 September 2014

Buku 57 : Mengait Cinta di Istanbul oleh Ayza Gursoy


Bismillahirrahmanirrahim.

Pertama kali melihat buku ini ketika melayari internet mencari maklumat.  Namun belum ada yang mengulas buku ini kecuali seorang blogger ketika itu. Tertarik dengan kulit hadapan buku dan saya sangkakan ianya sebuah novel.

Ternyata sangkaan itu meleset. Buku ini bergenre travelog. Penulis berasal dari Melaka dan kini menetap di Turki mengikut suami menetap di kampung halaman.

Catatan awal dimulai dengan kenangan penulis semasa berada di sekolah, pernah ke Turki (mungkin melancong, saya tidak perasan), mengikuti kelas bahasa Inggeris yang menyeronokkan iaitu guru bahasa Inggeris menggalakkan mereka mencari kenalan dari luar negara bagi mengasah kemahiran berbahasa Inggeris sehinggalah kepada rentetan perkenalan beliau dan suami seterusnya bertemu jodoh.

Perkahwinan campur, antara dua negara yang berbeza adat dan budaya agak mengujakan :) Pada awal perkahwinan, mereka banyak berinteraksi menggunakan bahasa Inggeris. Dalam masa yang sama, masing-masing berusaha mempelajari bahasa ibunda pasangan sehingga dapat menguasai dengan baik.

Setelah 8 tahun tinggal di Malaysia, mereka membuat keputusan pulang ke Turki, kampung halaman suaminya. Bersama dengan anak-anak, segala persiapan  dibuat dan bermulalah perjalanan dan kehidupan penulis sebagai anak perantau.

Meskipun catatan penulis banyak berkisar tentang kehidupan di Turki seperti ramah mesra orang di sana, kawasan kejiranan yang baik, keluarga mertua yang menyenangkan, keindahan di Istanbul, aktiviti kesenian dan hobi serta jenis makanan yang pelbagai namun saya agak kurang puas hati ;) Bagi saya masih banyak lagi yang boleh diceritakan oleh penulis. Harapnya ada sambungan lagi. 

Namun dalam catatan ringkasnya ini dapat saya bayangkan keramahan warga Turki dalam kawasan kejiranannya yang mudah mesra dan baik hati. Mudahnya bersedekah yang ditunjukkan oleh mereka seharusnya menjadi ikutan buat kita di sini. Masya Allah. Sesekali teringat Secangkir Teh Pengubat Letih karya Ustaz Hasrizal :)

Ahad, 17 November 2013

10 Bersaudara Bintang Al-Quran ~ Izzatul Jannah dan Irfan Hidayatullah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah.

Anak merupakan anugerah istimewa yang Allah berikan kepada umat manusia. 

Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya disisi Allah jugalah pahala  yang besar." (Surah al-Anfal ayat 28)

Semakin banyak membaca semakin banyak yang ingin dibaca. Sungguhpun bahan bacaan perihal keibubapaan semakin banyak di pasaran namun kisah setiap satu pasangan itu berbeza antara satu sama lain. Besarnya rahmat Allah yang memberi ilmu dan ilham kepada penulis-penulis ini.




Ya, kali ini saya membaca mengenai sepasang suami isteri yang berjaya mendidik kesemua anaknya menjadi penghafal Al-Quran. Anaknya bukan seorang, dua orang atau empat orang tetapi sepuluh orang. Masya Allah! Luar biasa sekali.

Namun jelas sekali, pasangan Mas Tamim dan Ibu Wiwi ini telah sepakat mempunyai visi dan misi yang sama. Maka mereka bergerak memajukan perancangan mereka sehingga lahirnya permata-permata Hafiz dan Hafizah Quran dalam rumah mereka.


Bagaimana ia bermula?

Ia bermula semenjak mereka belum berkahwin lagi. Kedua pasangan ini datang dari keluarga yang utuh kepada pegangan agama.

Ada lima tanggungjawab kita terhadap al-Quran :
1. Membaca
2. Mempelajari maknanya
3. Menghafal
4. Mengamalkannya
5. Mendakwahkannya

Sejarah generasi awal tertulis ramai ulama yang telah khatam dan menghafaz al-Quran sejak kecil lagi. Sedangkan Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam turut mengutamakan para sahabat yang menghafal al-Quran.

Allah sudah memberi jaminan kemudahan : "Dan sungguh, telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?." (Surah Al-Qamar ayat 17).

Secara ringkasnya Al-Quran mengandungi :

◇ 114 surah
◇ 6236 atau 6666 ayat (perbezaan pendapat sama ada bismillah di awal surah dikira atau tidak)
◇ Dua jenis ayat ; makkiyah dan madaniyah
◇ Surah terpanjang : Al- Baqarah
◇ Surah terpendek ; Al-Asr, An-Nashr dan Al-Kautsar

Antara usaha pasangan ini dalam melahirkan anak-anak penghafal Al-Quran ialah menetapkan beberapa peraturan utama iaitu :
1. Tiada televisyen di rumah
2. Tiada gambar syubhah yang menyebabkan malaikat tidak masuk ke rumah
3. Tiada lagu yang lagha
4. Ucapkan kata-kata yang baik sahaja

Tatatertib urusan di rumah dari sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar hal turut diajar kepada semua ahli keluarga termasuklah prinsip asas, makan minum, adab menerima tetamu, ketentuan tanggungjawab, pakaian, peraturan menggunakan elektrik dan sebagainya.

Agak menarik perhatian apabila Mas Tamim mengaplikasikan cara ini dalam mendidik anak. 

6 tahun pertama (0-6) : Memberi motivasi kepada anak-anak untuk menghafal.

6 tahun kedua (7-12) : Teknik disiplin dan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk anak menghafal.

6 tahun berikutnya (13-18) : Mengikut perkembangan kecenderungan ilmu anak-anak.

Bagi Ibu Wiwi pula beliau sentiasa membaca al-Quran dekat dengan anaknya, dan menyediakan bekalan anak ke sekolah. Seawal jam 3 pagi sudah bangun untuk solat malam dan seterusnya menyediakan makanan untuk ahli keluarga seramai 12 orang. Masya Allah.

Turut dilampirkan biodata kesemua anak mereka meliputi umur boleh membaca al-Quran dan mula menghafalnya. Kesemuanya boleh membaca al-Quran ketika usia 5 tahun dan kebanyakannya mula menghafal al-Quran sejak usia 5 dan 6 tahun. Paling mengagumkan putera kelapan telah selesai menghafal semasa di sekolah dasar (saya kira mungkin sekolah rendah jika di Malaysia).

Masya Allah tabarakallah. Moga mereka membesar menjadi penolong agama Allah. 

Sabtu, 2 November 2013

Kawanku Panda ~ Husna Adnan

Bismillah walhamdulillah.

Kawanku Panda berkisar sebuah keluarga bahagia yang terdiri daripada seorang ayah yang sangat alergi kepada benda berbulu, ibu yang penyayang dan gemar berpantun, anak lelaki bernama Johan yang biasa-biasa sahaja dan seorang anak perempuan kecil bernama Yaya.

Haiwan peliharaan di rumah biasanya kucing, hamster atau arnab tetapi jika Panda, itu memang sesuatu yang luar biasa! ^^ Ala-ala Madagascar pula.

Johan terjumpa Panda ketika bersiar-siar di tepi pantai lalu dibawa pulang dan dipelihara secara sembunyi. Agak menghairankan apabila haiwan berbulu ini boleh muat di dalam beg sandangnya.

Kisah ini tidak terlalu kompleks namun ada juga cabaran, halangan dan konflik yang dialami oleh Johan. Kelakar juga apabila ada sa
habat baiknya berbangsa India yang dalam usaha memperbaiki bahasa Melayu sehingga banyak perkataan yang tersalah sebut.

Akhirnya rahsia itu pecah juga. Namun mujur ibu bapa Johan dapat menerimanya kerana Johan banyak berubah ke arah kebaikan seperti rajin belajar, kemas dan boleh mengurus diri sendiri dengan baik. Selepas cubaan menculik Panda, mereka membuat keputusan menghantar semula Panda ke tempat asal.

Saya kira ini antara buku PTS yang jarang saya jumpa kesalahan ejaan. Tahniah ^^

Tahniah juga kepada Pn Husna. Kawanku Panda memang comel :)

Jumaat, 25 Januari 2013

Cinta Tiga Rasa ~ Noraslina Jusin

Jadilah seperti pasir yang basah kerana ia boleh diumpamakan sebagai orang yang berilmu dan kemudian mengamalkannya manakala pasir yang kering umpama orang yang belajar tetapi ilmu itu tidak digunakan sebaiknya. Malahan jika digunakan untuk kesesatan, ia sangat buruk sekali.

Penulis banyak menekankan perihal peranan isteri terhadap suami dan keluarga. Kisah yang dinukilkan kebanyakannya merupakan hasil pengalaman beliau sepanjang kehidupan ini.

Terbahagi kepada tiga bahagian dan setiap satunya memberikan input yang segar buat santapan minda kita. Juga membuatkan kita bermuhasabah.

Jumaat, 4 Januari 2013

Ibu Kool Bapa Hebat ~ Jamilah Samian

Judul buku : Ibu Kool, Bapa Hebat
Penulis : Jamilah Samian
Penerbit : True Wealth
Bilangan muka surat : 256
Harga : RM39.90
Tarikh baca : 20 Disember 2012 - 2 Januari 2013

Ilmu keibubapaan adalah sesuatu yang bukanlah seratus peratus diperolehi secara natural atau semulajadi. Ia merupakan ilmu yang perlu dicari, dipelajari dan dipraktikkan. Penulis berkongsi pengalaman membesarkan 6 orang anak (seorang perempuan dan lima lelaki).

Bagi menjadi ibu kool, bapa hebat keperluan diri sendiri dan anak harus diseimbangkan. Ini yang mungkin membezakan pengalaman seseorang ibu bapa dengan ibu bapa yang lain. Ada orang menganggap membesarkan anak merupakan pengalaman yang berharga dan menyeronokkan. Ada orang sebaliknya :)

Perkara yang kecil boleh menjadi besar maknanya malahan latar belakang kita menerima didikan sewaktu kecil dahulu mempengaruhi tindakan dan cara didikan kita hari ini. Penulis turut berkongsi cara menangani isu remaja.

Anak bongsu Pn Jamilah, Siraj kini berjaya mempunyai perniagaan sendiri dalam usia yang amat muda. Siraj' Cookies kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat. Saya pernah membeli biskut Siraj sewaktu pameran di Konvensyen Fiqh yang pertama di PWTC :)

Sabtu, 15 September 2012

A Mother's Tears ~ Soo Cham

Buku ini adalah terjemahan oleh ITNM. Judul asal bertajuk Air Mata Ibu. Saya pinjam buku ini daripada adik ipar. Lihat reviunya macam menarik :)

Ia mengisahkan liku-liku kehidupan sebuah keluarga Cina. Satu-satunya keluarga Cina yang tinggal di kampung itu yang majoritinya berketurunan Melayu. Mereka merupakan pendatang dari Negara China yang dibawa masuk ketika zaman pemerintahan penjajah. Bermulalah episod survival keluarga ini di negara ini.

Mereka membuka sebuah kedai runcit dan begitu sabar melayani kerenah anak-anak muda yang nakal yang selalu mencuri dan mengganggu perjalanan kedai. Watak utama yang menceritakan kisah ini ialah anak bongsu mereka, Sui Yin.

Namun fokus cerita ialah kepada si ibu. Hidupnya penuh dengan kesedihan.. Malang sekali anak-anak lelaki yang memeluk Islam tidak menunjukkan keindahan Islam yang sebenar. Sama ada tidak memahami secara keseluruhan atau.. entahlah. Si ibu berendam air mata pada sebahagian besar hidupnya menangisi anak-anak yang dianggap tidak menyayanginya.

Selepas bapa mereka meninggal dunia, si ibu tinggal bersama anak bongsu. Disebabkan tekanan mendengar keluhan dan ratapan si ibu yang sentiasa menangisi anak-anak kesayangannya, Sui Yin menghadapi masalah tekanan jiwa dan perasaan sehingga dikatakan orang sebagai 'dirasuk hantu'. Hakikatnya Sui Yin tertekan dengan apa yang menimpa ibunya. Setiap kali menyambut tahun Baru Cina, ibunya akan menangis sepanjang malam.

Cerita ini tergantung. Akhir sekali ibunya berada di China tinggal bersama 2 anak perempuan yang ditinggalkan di sana ketika kecil dahulu. Saya tidak tahu sama ada Sui Yin membawa pulang ibunya atau pun tidak. Ibunya sudah kritikal dengan penyakit yang dialami. Dikatakan ini kisah benar.. Wallahualam.

Rabu, 22 Ogos 2012

Abang, Adik dan Kasut ~ Ezee Rahmani

Lihat kepada tajuk sahaja saya sudah terbayangkan cerita Iran mengenai dua beradik yang berkongsi kasut untuk ke sekolah. Dan memang tepat juga sangkaan saya itu. Cuma latar ceritanya diubahsuai mengikut situasi tempatan :)

Buku ini dibaca di tengah-tengah kemeriahan sambutan hari raya. Elok juga. Sedikit sebanyak memberi sedikit keinsafan dan suntikan semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan. Lihat sahaja Nik Nur Madihah, kemiskinan keluarga bukan penghalang kejayaan. Satu yang dapat dipelajari ialah iltizam yang kuat demi keluarga, agama dan bangsa.

Amir dan Wanie tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa berkongsi kasut. Mujur si abang bersekolah sesi petang dan adik bersekolah sesi pagi. Kasut yang dikongsi adakala terpaksa dijahit beberapa kali. Berkat sabar, akhirnya mereka berdua berjaya mendapat kasut sekolah yang diidam-idamkan.

Berapa ramai daripada kita yang sanggup memakai kasut koyak ke sekolah? Apatah lagi banyak kesan tampalan dan jahitan di sana-sini? Lagi pula tidak berjenama? Astaghfirullahalazhim.. banyak nikmat yang Allah kurniakan tidak kita hargai.

Saya juga melihat dari konteks guru, adakah selama ini saya sudah cukup mengambil berat hal ehwal kebajikan murid? Sudahkah murid saya bersarapan sebelum ke sekolah? Mengapa dia selalu tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi? Adakah kerana malas atau tidak memahami apa yang saya ajar? Allahuakbar, setiap sesuatu pasti ada sebab berlakunya. Kita perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman atau tanggapan.. Wallahualam.

Selasa, 21 Ogos 2012

Friends Forever ~ Ila Husna

Saya sungguh tertarik dengan kulit depan buku ini. Ceria. Hehe.

Saya juga tertarik dengan watak utama yang sanggup menolak tawaran kursus Perubatan di Mesir semata-mata cintanya kepada Bahasa Arab. Mahu jadi pejuang Bahasa Arab!

Zakiah, anak tunggal kepada ibu bapanya pada mulanya tidak mendapat restu bapa mengambil jurusan Bahasa Arab di UIA. Namun selepas berbincang dari hati ke hati barulah kesefahaman tercapai dan Zakiah dapat meneruskan pelajarannya di UIA Kampus Nilai.

Zakiah digambarkan seorang yang cekal, tabah, istiqamah dalam menjaga amalan sunat dan solat malam serta anak yang taat kepada ibu bapa. Tidak lupa juga dia seorang kawan yang begitu mengambil berat akan keadaan rakan-rakan dan sentiasa mendoakan mereka. Berkat kesungguhannya mempamerkan akhlak islam, seorang rakannya memeluk agama Islam.

Kehidupannya di UIA tidak seindah pelangi. Banyak dugaan yang dihadapinya. Fitnah oleh rakan sebilik, dipulaukan rakan sekelas, dituduh pencuri, dianggap menunjuk pandai sehingga jatuh sakit beberapa lama.

Tapi kebenaran akhirnya terserlah berkat kesabaran dan sokongan dari rakan baiknya.

Usai membaca buku ini, saya rasakan minat Zakiah pada Bahasa Arab itu perlu diperincikan dengan lebih lagi. Memang penulis ada menyelitkan tentang penglibatan Zakiah dalam pertandingan pidato Bahasa Arab, mengikuti usrah dan aktif dalam badan Dakwah dan Rohani tetapi tidak begitu jelas. Mengapa Zakiah begitu meminati bidang bahasa Arab? Apakah prospek kerja yang menanti? Bagaimana Zakiah dapat menyumbang kepada ummah dengan kemahiran bahasa yang diperolehnya?

Memang ada diterangkan tetapi bagi saya mungkin penulis boleh ceritakan lagi... Wallahulam.

Watak Marziah juga saya kira kurang kepentingannya. Hanya disebut sesekali di dalam cerita. Apa yang penulis mahu sampaikan ya?

Namun secara keseluruhan saya kira agak baik untuk bacaan remaja. Remaja harus didedahkan dengan persekitaran yang baik, mengikut idola yang baik dan bergaul dengan rakan yang baik. Maklumlah, usia begini mahu mencuba pelbagai perkara. Rakan sekeliling memang pengaruh utama bagi diri mereka.

Jumaat, 17 Ogos 2012

Hai Darling! ~ Badrul Hisham Shari

 


Saya sering mengikuti tulisan penulis di dalam Majalah ANIS keluaran Galeri Ilmu. Sememangnya ruangan Sketsa Kehidupan amat mencuit hati dan rasa. Walaupun hanya 2 muka surat, tetapi kata-kata dan ilustrasinya cukup menggambarkan mesej yang ingin di sampaikan.

Buku terbaru Hj Bad ini lebih mengetuk minda saya rasakan berbanding buku pertama beliau, I Love U too! Banyak membaca dari pengalaman orang sememangnya dapat membantu diri kita dalam berinteraksi dengan orang sekeliling dan membuatkan kita lebih memahami orang lain.

 Peringatan dan teguran harus kita ambil sebagai pedoman untuk kita menghadapi masyarakat sehari-hari.

Sangat sesuai untuk bacaan pasangan suami isteri yang baru kahwin atau sudah lama berkahwin. Untuk yang belum kahwin pun SESUAI :D





~ Nilai-nilai romantis perlu dizahirkan di alam rumah tangga sebab menzahirkan cinta (secara kerap) sangat bermakna buat pasangan kita. LOVE STRETCHES YOUR HEART AND MAKE YOU BIG INSIDE ~

Isnin, 13 Ogos 2012

Alahai Pengantin Baru...

Sumber gambar : di sini


Buku comel ini hasil tulisan Pn Jalilah Abdullah, bekas editor Majalah Anis keluaran Galeri Ilmu. Sungguhpun sudah diterbitkan sejak 2008, baru kini saya berkesempatan membaca dan memiliki buku ini.

Terbahagi kepada tujuh bahagian ; 1) Tentang Kasih Sayang 2) Tentang keibubapaan 3) Alam rumahtangga 4) Tentang kefahaman agama 5) Universiti kehidupan 6) Siraman rohani 7) Corat-coret selebriti.

Setiap satu cerita mencuit hati dan rasa. Mengajak para pembaca berfikir di sebalik mesej yang ingin disampaikan. Benar kata sesetengah orang, kehidupan juga adalah guru kepada kita.

Saya terkesan dengan salah satu cerita iaitu mengenai "Terima Kasih Cikgu". Dato' Dr Fadzilah Kamsah menurunkan satu petua bagi menambah keberkatan ilmu pada anak-anak kita. Sebelum guru keluar dari kelas, suruh anak-anak ucapkan "Terima kasih cikgu, minta halal segala ilmu yang telah cikgu berikan. Ampunkan kami cikgu, doakan kami, cikgu.". Masya Allah, ada seorang ibu ini menceritakan kepada anak-anaknya dan keesokan harinya setelah semua rakan selesai mengucapkan terima kasih, anak ini menyambung dengan kalimat yang disyorkan oleh Dato'. Terlopong cikgu itu ;) Alhamdulillah hubungan antara anak itu dengan guru juga bertambah erat.

Subhanallah, saya tidak terfikir untuk membuat seperti itu. Teringat peristiwa di sekolah baru-baru ini. Sekolah saya memohon untuk membuka kelas istimewa atau kami panggil kelas MD (Multiple Disabilities) memandangkan beberapa SKPK (sekolah kebangsaan pendidikan khas bermasalah pendengaran) yang lain telah berjaya membukanya di sekolah masing-masing.

Kami para guru mula mencadangkan beberapa nama yang dianggap layak memasuki kelas MD.. dan saya terkesan dengan kata-kata akhir oleh GPK 1 selepas menerima nama-nama tersebut. "Kadang-kadang kita tak guna satu lagi kuasa kita iaitu kuasa doa. Adakah kita para guru mendoakan anak murid kita? Kita mesti doakan anak-anak murid kita sebagaimana kita tak lupa mendoakan anak-anak kita. Insya Allah moga anak-anak ini terserlah juga potensinya."

Ahad, 5 Ogos 2012

Berdua Lebih Baik ~ Rohani Abdul Rahman

Berdua Lebih Baik istimewa pada saya. Kursus Pengkarya Guru 2012 menemukan saya dengan penulisnya. Lebih menarik lagi, saya dan Kak Ani satu kumpulan.

Ramai penulis di kalangan guru yang selama ini tidak saya ketahui. Bagusnya guru-guru ini yang sudah giat aktif berkarya dan menyumbang kepada pembangunan minda masyarakat :)





Buku ini lebih kepada perkongsian pengalaman hidup dan motivasi diri. Bagaimana mencari jodoh yang baik dan terlebih utama bagaimana menanam keyakinan dan prasangka yang baik kepada Allah dalam soal jodoh, menjadikan diri lebih baik dan bersedia mencari dan menerima jodoh yang ditentukan.

Bagi yang belum berkahwin sudah pasti tertanya-tanya dan 'takut' memikirkan siapakah bakal pasangan hidup, adakah kita akan serasi bersama dan 1001 persoalan lagi.

Penulis menekankan nawaitu seseorang dalam usaha mencari jodoh. Tidak lupakan doa, solat dan usaha mencari yang terbaik bermula dengan diri sendiri. Saya tertarik dengan kata-kata Ibnu 'Ataillah yang dipetik oleh penulis. Ibnu 'Ataillah dalam kitab Al-Hikam mengatakan "Apabila Allah melepaskan lidahmu untuk meminta, ketahuilah sesungguhnya Allah hendak memberimu." Subhanallah, Allah sangat suka kita meminta kepada-Nya.

Secara keseluruhannya buku ini baik untuk permulaan bagi sesiapa yang masih mencari pasangan hidup. Saya kira penulis boleh menyertakan doa kepada pengantin di dalam bab 13 di mana beliau menyentuh mengenai perkahwinan. Boleh dikira nilai tambah di dalam buku ini. Wallahualam.

Ahad, 22 Julai 2012

Saya Bukan Aiman ~ Elina Balqis


Sumber gambar : dari sini


Ada ikon gambar kucing di atas sebelah kanan buku. Bermakna buku ini terbitan PTS One Sdn Bhd. Buku-buku PTS One berfokuskan kepada awal remaja. Namun novel kanak-kanak juga termasuk di dalam genre yang diterbitkan di bawah label ini.

Saya Bukan Aiman membawa mesej doa orang yang dizalimi itu makbul. Jangan sekali-kali memandang rendah doa irang yang dianiaya. Aiman, seorang murid baru yang sering diejek oleh Fahmi dan Roy. Mujurlah Aiman mempunyai seorang kawan baik bernama Alyssa. Aiman ada satu penyakit pelik. Dia akan pengsan sekiranya diejek dengan perkataan 'Gemuk'. Rahsia ini hanya diketahui ibu ayah dan kawan baiknya sahaja. 

Pelbagai cara dan usaha dicadangkan oleh Alyssa bagi mengelakkan Aiman diejek oleh budak nakal itu. Namun tiada satu pun yang berjaya setakat ini. Antaranya ialah Aiman harus bertukar menjadi raksasa (bagaimana ya?), memberi kek cawan kepada Fahmi dan beberapa rancangan lagi.

Akhirnya dengan nada putus harap, Aiman berdoa kepada Tuhan semoga Fahmi merasai apa yang dirasakannya dan bertukar menjadi dirinya. Tanpa disangka, doanya makbul! Dan kedua-duanya baNgun pada keesokan pagi dalam keadaan berlainan! Jasad berbeza dengan diri yang sudah bertukar. Aiman di dalam diri Fahmi yang kurus, Fahmi pula berada di dalam diri Aiman yang gemuk!

Haha..bagaimana mereka cuba menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru? Dapatkah mereka bertukar jasad kembali?

Apa yang pasti, kedua-dua mereka khususnya Fahmi mempelajari banyak perkara sejak itu. Belajar menghormati ibu ayah, menunaikan solat, rajin belajar, menghormati rakan dan bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran keluarga Aiman. Walaupun sukar, Fahmi terpaksa berubah sekiranya mahukan dirinya yang dahulu. 

Bagi Aiman pula, kerinduan terhadap ibu dan ayah terpaksa dipendam akibat perpindahannya mengikut keluarga Fahmi ke Paris lantaran ayah Fahmi dapat melanjutkan pelajaran ke sana. Namun di dalam cerita ini hanya difokuskan kepada Fahmi.

Saya dapati banyak pengajaran yang baik untuk bacaan kanak-kanak dan remaja di dalam buku ini. Menarik sekali. Boleh disyorkan kepada ibu bapa dan guru untuk bacaan anak-anak. Syabas penulis. 

Semoga bermanfaat.

Rabu, 18 Julai 2012

Dia Istimewa ~ Ainin Naufal


Dia Istimewa karya Ainin Naufal menyentuh hati. Berkisar mengenai seorang remaja perempuan bernama Jamilah yang saya kira seorang anak istimewa. Bukan bermasalah pada fizikal tetapi pada pembelajaran.  Garapan Ainin Naufal sangat menarik kerana ceritanya berjalan lancar dan mengundang rasa ingin tahu.

Jamilah menduduki kelas tercorot di sekolah dan sering tertidur di dalam kelas. Walaupun dengan kelemahannya ini, masih ada guru-guru yang sanggup membimbingnya belajar membaca dan mengira. Latar cerita digambarkan pada awal tahun 80-an. Waktu itu jika seseorang pelajar gagal SRP maka tiada pilihan lagi untuk meneruskan persekolahan. Namun Jamilah tidak pernah kisah. Baginya setiap hari adalah sama, esok atau lusa juga begitu. Hana, teman baiknya hanya mampu mengeluh.

Saya sukakan ibu Jamilah. Walau pun pada ketika itu, semua orang memandang rendah kepada Jamilah termasuklah bapanya yang tidak menaruh sedikit harapan pun kepada anak bongsunya ini, ibu Jamilah tetap memberi semangat, pujian dan galakan kepada Jamilah.

Geram juga dengan perangai abang dan kakak Jamilah yang kononnya pelajar yang pandai dan bersekolah asrama tetapu memandang rendah dan 'memperhambakan' Jamilah dengan mencuci pakaian kotor mereka. Hm.. dahulu pun wujud juga perangai begini ya.

Seperti yang dijangka keputusan Jamilah tidak memuaskan. Maka Jamilah meneruskan pelajarannya dengan belajar menjahit dan menyulam bersama Usu Yati. Siapa sangka, pelajar paling lembap di sekolah akhirnya bertukar menjadi seorang 'tauke' jahitan. Mampu menerima banyak tempahan baju kurung, baju melayu, baju pengantin, sulaman dan paling mengharukan dapat membantu ibu dan ayahnya tatkala keduanya sangat memerlukan wang menampung pembelajaran abang dan kakak Jamilah yang menyambung pelajaran di universiti. 

Sejak itu ayah Jamilah mula merubah pandangannya terhadap anak bongsunya ini. Dia tidak lagi membuka mulut untuk mengahwinkan Jamilah dengan sesiapa. Peristiwa peminangan Ipin yang ditolak dahulu dan Jamilah lari dari rumah sudah cukup memberi peringatan. Jamilah juga ada cita-cita!

Ingatan untuk saya juga, anak didik di sekolah yang tidak mampu mendapat keputusan cemerlang bukanlah bermakna dia tidak mampu cemerlang dalam bidang lain. Tugas saya sebagai gurulah yang sepatutnya mencari dan mencungkil keistimewaan setiap dari mereka. Ya Allah, kurniakan kesabaran kepadaku mendidik mereka dan bukakan juga pintu hati mereka untuk menerima ilmu-Mu yang Maha Luas. Amin..


~ Saya sudah jatuh suka pula pada penulis Ainin Naufal :) Beliau sudah banyak menghasilkan buku kanak-kanak. Saya sangat tertarik dengan siri Melah Melia tapi tidak pernah lagi berkesempatan mendapatkan kesemua judul dalam siri tersebut. Moga Allah murahkan rezeki saya dapatkan semua buku beliau ;)

Jumaat, 13 Julai 2012

Buku yang sedang dibaca


Buku baru Pustaka Ibnu Umar terbitan Februari 2012. Terjumpa ketika membeli barang kelengkapan majlis khatam Quran anak-anak yang datang mengaji pada Ahad ini. Masya Allah sangat tertarik dengan tajuknya. Sudah selesai 3 bab terawal. Buku ini nipis sahaja. Insya Allah selesai dibaca akan dikongsikan ulasannya di sini. Moga diizinkan Allah :)




Sumber gambar : di sini

Buku kedua ini saya pinjam dari rakan sekerja merangkap teman sepengajian dahulu ;) Cik Khairun ini banyak sungguh buku yang menarik (dan belum dibacanya). Baru tiba halaman ke-36. Membaca satu-persatu isi yang disampaikan oleh Wardina. 'Takut' tertinggal maklumat berguna :)

Khamis, 12 Julai 2012

Batu Bata Kehidupan ~ Hilal Asyraf

Terkesan dengan artikel mengenai sahabat. Jika kita takut ingin menegur rakan yang berbuat salah atas alasan takut dia berkecil hati bermakna kita masih lagi tidak membina jambatan hati dengannya. Ya Allah, besar juga amanah di dalam persahabatan ini.. Jangan dipandang remeh. Saya merenung diri, sejauh mana saya sudah berbuat sehabis baik dengan sahabat baik, adakah saya selalu mendoakannya, adakah saya 'bercinta' dengannya,,, banyak lagi ruang kosong yang tidak saya isi. Waktu senang memang riang bersama, tetapi jika rakan tersilap sedikit saya mengakui agak lambat menegur atau mungkin hanya menegur di dalam hati! Astaghfirullah.. saya perlu baiki diri!



Terima kasih Khairun kerana bagi pinjam buku ini. Masih berbekas di hati tulisan-tulisan di dalam ini..

Sabtu, 12 Mei 2012

Bukan Sekadar Resipi

Saya dalam mood pasca-PBAKL. Mahu menghabiskan bacaan buku-buku yang dibeli itu. Haha, sepertinya boleh kenyang dengan buku sahaja ya. Minggu ini adalah minggu peperiksaan. Oleh itu saya dapat mencuri sedikit waktu untuk membaca di sekolah. (Opss...ingat cikgu, free period adalah waktu bekerja. Huk..huk..).

Yalah, saya selang-selikan dengan menanda kertas jawapan, menyiapkan draf pengkarya guru, memikirkan isi P&P minggu hadapan, membuat bahan bantu mengajar dan... membaca!

Tanpa saya sedari sudah wujud suasana membaca di sekolah saya. Sejak bila ya? Saya pun tidak perasan. Saya lihat PPM, rakan-rakan guru khusyuk membaca buku atau majalah apabila waktu terluang. Wah, satu perkembangan yang positif! Suka, suka, suka :)

Oh, jauhnya saya melalut.


Sumber gambar : Blog Prof Kamil

Baik. Buku Bukan Sekadar Resipi ini saya beli di booth Galeri Ilmu. Hasil karya Puan Roza Roslan.

Membaca buku ini membuatkan otak saya sentiasa berfikir.  Ya, ceritanya biasa-biasa sahaja. Ada pada semua orang namun cara pengolahan ceritanya membuatkan ia menjadi istimewa dan bermakna.

Kata-katanya terus sampai ke hati.

Sesuatu resipi yang renyah untuk dibuat akan menjadi mudah sekiranya dibuat dengan kasih sayang.

Tiada satu pun resipi di dunia ini yang tersilap tetapi mungkin pengalaman dan pengetahuan kita sahaja yang kurang menyebabkan resipi itu tidak seperti rasa yang asalnya.

Penulis berkongsi pengalaman hidup dan ilmu melalui resipi yang diperolehi. Masya ALLAH...kehebatan Allah dapat dirasai dalam setiap masakan. Nikmat yang manakah lagi mahu didustakan?