Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan

Khamis, 19 Mac 2015

RakBuku2015 (10) Usahawan Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.

Sejujurnya saya tidak mengenali Tuan Mohd Zaini Mohd Ariff tetapi saya telah membaca hasil tulisannya dalam buku Ilmu Kehidupan dan saya rasakan beliau sangat bersungguh menyebar kebaikan dan memberi nasihat.

Alhamdulillah bertemu buku ini yang memberi ruang kefahaman yang lebih luas dalam mencari rezeki dan menghadapi ujian hidup. Semoga Allah memberkati keduanya (Tuan Mohd Zaini dan Prof Kamil). Wallahualam.

23637860

Sumber gambar : sini

Khamis, 20 November 2014

Buku 73 : Wasiat Untuk Anakku oleh Dr Zulkifli Al-Bakri

Bismillahirrahmanirrahim.

Subhanallah. Alhamdulillah saya bertemu buku sebaik ini yang saya kira amat sesuai untuk santapan anak-anak khususnya.

Dimulai dengan "Ada Apa Dengan Nama" yang mengingatkan kita akan harapan ibu dan ayah di sebalik pemilihan nama kita semua. Dalam bab-bab seterusnya penulis banyak membincangkan mengenai pembetulan matlamat kehidupan dan pembacaan. Teknik membaca, Kepentingan membaca dan beberapa isu lain.

Buku ini juga telah dibedah serba sedikit di dalam usrah remaja baru-baru ini. Alhamdulillah, semoga anak-anak ini beroleh manfaat dan mempraktikkan di dalam kehidupan mereka.

Sepanjang mengikuti tulisan Dr Zulkifli ini saya dapati beliau kerap mengingatkan mengenai kepentingan membaca. Subhanallah. Jarang saya temui penulis yang akan mengkhususkan topik "membaca" di dalam setiap karya mereka (mengikut pembacaan saya yang terhad ini).

Barakallahufik :-)

Rabu, 19 November 2014

Buku 72 : Tokoh Pendakwah Islam - Dr Abdul Rahman Humaid Al-Sumaith oleh Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri

Bismillahirrahmanirrahim.

Ketika menghadiri kuliah maghrib yang disampaikan oleh SS Dr Zulkifli bin Mohamad ini beliau ada bercerita mengenai seorang anak perempuan di Jordan yang telah tamat ijazah pertama di usia 16 tahun dan kini sedang melengkapkan ijazah kedua (double degree). Masya Allah. Inilah kehebatan dan ketinggian kalam Allah jika diberikan kepada anak-anak terlebih dahulu.

Kemudian yang berbahagia Dr ada menyebut mengenai seorang tokoh yang telah mengislamkan 11 juta orang. Subhanallah. Beliau yang dimaksudkan ialah Dr Abdul Rahman Humaid Al-Sumaith.

Kami lantas mendapatkan buku ini yang dikarang sendiri oleh Dr Zulkifli. Membaca kisah tokoh pendakwah ini menerbitkan rasa kagum kerana kesungguhannya menyebarkan Islam dan membantu rakyat di Afrika tanpa rasa jemu dan putus asa. Masya Allah.

Masih ada lagi insan yang mengabdikan diri semata-mata kerana-Nya. Allahu Allah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

Jumaat, 14 November 2014

Buku 69 : 50 Sup Champion Resipi Rasulullah oleh Web Sutera


Bismillahirrahmanirrahim.

Nama tuan Web Sutera mula saya kenali sekitar tahun 2008 - 2009 ketika saya mula-mula membuat blog ini dan mula aktif di laman sesawang Goodreads. Atau mungkin juga saya secara tidak sengaja berkunjung ke blog beliau semasa mencari ulasan-ulasan buku yang menarik.

Namun awalnya saya agak keliru ketika berkunjung ke blognya. Menurut pengenalan di blog, beliau menjalankan bisnes katering, tetapi mengapa ada ulasan buku? Agak bercampur-campur entrinya. Demikian telahan saya yang baru mengenali dunia blog ;)

Setelah beberapa tahun, mengetahui beliau telah menulis beberapa buah buku membuatkan saya rasa teruja kerana telah mengikuti tulisannya di blog dan Goodreads. Saya pernah membaca Berfikir Gaya Champion dan kini berpeluang membaca naskah ini yang dipinjam dari Perpustam.

50 bab di dalam ini memberi persepsi kepada saya betapa luasnya ilmu, pengalaman dan pemerhatian beliau terhadap kehidupan ini. Maklumat yang diperolehi oleh beliau melalui pembacaan digarap dan disesuaikan mengikut tema dalam sup champion.

Acap kali juga saya berhenti membaca, merenung perkongsian beliau dan akhirnya mengangguk tanpa sedar menyetujui kata-kata beliau.

Suka membaca pengalaman beliau dalam perniagaan katering, nasihat agama buat saudara semuslim, pengalaman beliau menghadapi cabaran hidup serta untaian puisi yang diselitkan hampir di semua bab.

Tidak lupa juga apabila saya ternampak lokasi tempat tinggal saya di dalam buku ini - Teluk Mas (Melaka). Wah, sehingga ke sini tuan membuat katering ya! Rasa mahu tahu juga bagaimana tuan sampai ke sini :) (*Ejaan sebenar ialah Telok Mas)

Sedikit catatan, naskah yang saya baca ini sedikit bermasalah. Muka surat 178 hingga 211 berselang-seli tidak mengikut urutan. Pening sekejap saya membacanya. Harap saya tidak lupa memaklumkan kepada Perpustam apabila memulangkan buku ini nanti.

Selain itu silap ejaan "Serinai Faqir" yang sepatutnya mengikut fahaman saya tuan penulis memaksudkan Tuan Serunai Faqir.

Moga penulis beroleh keberkatan-Nya. Amin.

Sabtu, 8 November 2014

Buku 66 : Menunggumu di Pintu Syurga oleh Linda Rafar & Bahruddin Bekri

Bismillahirrahmanirrahim.

Ibu mana yang mahu anaknya jatuh sakit. Saya pasti semua ibu di dunia berusaha  menyembuhkan anaknya jika mereka sakit.

Ujian yang Allah beri sebenarnya mengikut kemampuan seseorang hamba kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya sebaliknya kitalah yang menzalimi diri kita.

 Ya, selepas anaknya pergi baru diketahui sifat-sifat anaknya yang selama ini tidak diketahui. Sungguh Memen antara anak dan rakan yang baik. Semoga Allah membalas kebaikannya.

Semoga Linda Rafar dan keluarga tabah menerima pemergian anak tersayang.

Isnin, 15 September 2014

Buku 54 : DIAgnosis oleh Dr Anwar Fazal dan rakan-rakan

Bismillahirrahmanirrahim.

DIAgnosis ditulis oleh tiga orang doktor perubatan yang pakar dalam bidang masing-masing. Ya, seperti yang saya pernah sebut di sini, peluang untuk berdakwah sebenarnya ada di mana-mana tidak kira siapa pun kita. Seorang guru, pekebun, jurukamera, doktor, ustaz, ustazah semuanya mampu untuk berdakwah jika ada kesungguhan dan peluang.

21 bab merangkumi pengalaman mereka di bidang perubatan mencuit hati tatkala berhadapan dengan pelbagai ragam manusia sehari-hari. Sempat merasai pelbagai emosi doktor. Bertuah dapat membaca dan mengambil iktibar dari pengalaman mereka menghadapi pesakit. Tabik dengan doktor-doktor ini yang dapat meluangkan masa menulis sesuatu buat tatapan masyarakat. (Ramai juga doktor yang aktif berblog, kan? :))

Semoga DIAgnosis 2 dan seterusnya akan cepat dihasilkan dan diterbitkan. Sabar menunggu! :)

Jumaat, 5 September 2014

Buku 51 : Ulu Yam di Liverpool 2 oleh Nazali Noor



Bismillahirrahmanirrahim.

Ini namanya maraton buku. Adik mahu bawa pulang buku-buku UYDL ini ke Mesir beberapa hari lagi. Jadi, mahu habiskan cepat :)

Hijrah menuntut pengorbanan yang besar. Wang, pangkat yang dimiliki, harta dan keluarga.

UYDL 2 mengisahkan sisi pahit hijrah mereka ke Liverpool. Bertemu pelbagai ragam manusia khususnya bangsa Melayu. "Typical Melayu". Hasad dengki dan suka menabur fitnah. Allah. Semoga kita semua dijauhkan dari dua sifat ini.

Apabila kita membantu orang, lakukanlah dengan ikhlas. Bayangkan kita berada dalam keadaan kesusahan seperti orang yang meminta pertolongan itu. Besar ganjarannya jika membantu saudara yang berada dalam kesusahan, bukan?

Adakala terdetik juga, apabila penulis bercerita mengenai insan-insan yang berbuat khianat kepadanya di dalam buku ini, saya terbayang keadaan di Padang Mahsyar nanti. Amalan kita ditayang semula di hadapan semua umat manusia dan buku amalan kita ditimbang. Huhu.. berbalik kepada penulis, cerita ini dinukilkan dalam buku. Pembacanya ribuan orang. Tidakkah pelakunya berasa malu? Sebab itu berbuat baiklah dengan ikhlas, jangan disulam dengan penghinaan, umpat keji dan ungkit-mengungkit. (Haih.. mood tension pula saya bila baca bab tersebut)

Tapi seronok membaca dengan kebaikan insan-insan di sekeliling penulis sekeluarga. Alhamdulillah.

Memang kehidupan kita penuh warna-warni. Tawakkal kepada Allah sangat penting. Jika kita benar, beranilah mempertahankannya. Jika kita salah, tidak mengapa mengaku salah dan meminta maaf.

Saya belajar banyak perkara dari penulis sekeluarga. Ikhlas membantu orang, sangat baik dan hormat kepada ibu ayah, mendidik anak-anak dengan kasih sayang, membuat kerja bersungguh-sungguh, ikhlas mengajar anak didik dan setia dalam persahabatan. 

Semoga Allah memberkati.

Khamis, 4 September 2014

Buku 49 :Biografi Inspirasi Prof Dr Muhaya (Sejernih Sinar Matamu) oleh Rozninah Abd. Azib

Bismillahirrahmanirrahim. 

"Alangkah ruginya orang yang masa mudanya tidak menolong orang, orang yang ketika ada duit tidak bersedekah kepada orang, orang yang ada ilmu tidak mengajar orang, dan orang yang masa ada kuasa tidak memudahkan urusan orang."

Subhanallah.

Prof Dr Muhaya, seorang tokoh inspirasi dan motivasi wanita yang tersohor dengan konsep Reset Minda yang diperkenalkannya.

Sikapnya positif, mementingkan kekeluargaan, suka menyambung silaturrahim, bersedekah, menjaga solat di awal waktu, tegas tetapi lembut, cekap dan pantas melakukan kerja.

Ya. Manusia tidak sempurna. Prof juga pernah melalui detik-detik kedukaan dalam hidup.. kehilangan anak yang dikasihi, pernah dikuasai perasaan ego ketika muda, memandang kejayaan sebagai perkara utama seseorang berjaya dalam hidup (pegangan akidah sepatutnya diberi keutamaan) dan beremosi.

Namun, seiring perubahan waktu dan bimbingan nasihat dari suaminya berjaya mendidiknya menjadi insan yang lebih baik. Malahan tidak dinafikan didikan yang diberi oleh ibu bapa Prof sangat menyumbang ke arah kejayaan Prof hari ini.

Membaca kisahnya, ada beberapa perkara yang menyentuh hati dan membuat saya merenung diri.

Moga Allah memberkatinya.

Rabu, 3 September 2014

Buku 48 : Ulu Yam di Liverpool oleh Nazali Noor

Bismillahirrahmanirrahim. 

Ulu Yam di Liverpool. 
Kisah budak Minang yang tinggal di ulu. 
Suka duka kehidupan dirakam dalam naskah ini.
Kehidupannya penuh warna-warni.
Aturan Allah itu sangat cantik.
Beruntung orang yang bersabar dan dapat mengambil hikmah atas apa yang berlaku.

Diejek, dicemuh dan dipulau ketika kecil kerana membuat sesuatu di luar kebiasaan rakan-rakan dapat ditangani dengan sokongan padu mak dan ayahnya serta guru di sekolah.
Ya, persekitaran positif menjadikan kita positif.
Jadi, pilih kawan pun yang positif juga ya.

Sayangi dan hormati mak ayah kita. Doa restu mereka adalah lesen besar kejayaan kita dalam hidup di dunia dan akhirat.
Kebergantungan kepada Allah jangan dilupa. 

Turun naik dalam kehidupan menjadi asam garam
dan medan tarbiah untuk kita.

Sokongan padu isteri sangat membantu kejayaan seorang suami. 
Sungguh Kak Ain isteri yang solehah:)

Jika kita bersabar dapatlah hasil yang manis di akhirnya. 
Siapa sangka budak kampung yang fobia dengan matematik ini 
melalui pelbagai fasa kejayaan dalam kerjaya dan akademik
sehingga kini menjadi pensyarah kanan di sebuah universiti di tanah ratu. 
Subhanallah. 

Semoga terus sukses. 
Menjadi inspirasi buat pembaca. 
Barakallahufik.

Ahad, 31 Ogos 2014

Buku 47 : Bahagia dan Membahagiakan oleh Prof Dr Muhaya Hj Mohamad



Bismillahirrahmanirrahim.

Orang yang 'stress' sebenarnya pergantungan kepada Allah tidak kuat.

Oh! Ayat ini membuatkan saya tersentak @_@ hee..

Penulis menekankan kepentingan bersikap positif, berfikiran positif, banyak membantu orang lain, banyak memberi dan memaafkan sebagai elemen bahagia dan membahagiakan.

Sebagai contoh, orang yang panas baran selalunya orang yang tidak gembira dengan diri sendiri. Cara berhadapan dengan orang yang panas baran ini ialah dengan menganggap dia sebagai pesakit dan kita sebagai doktor. Perbetulkan diri kita dahulu, berasa belas dengannya dan cuba berkomunikasi dengan baik.

Manakala bagi orang yang pemarah pula ialah orang yang takut akan dua perkara iaitu takut kehilangan dan takut tidak dihormati. Ini berpunca daripada kebergantungannya kepada manusia dan bukan kepada Allah.

Bagaimana cara mewujudkan rasa takut kepada Allah? Pertama, ambillah masa berfikir dan merenung kekuasaan Allah, mendalami agama seperti ilmu tafsir al-Quran dan hadis dan banyak membaca, menghadiri kuliah-kuliah agama dan bermuhasabah. 


Selain itu, setiap hari selepas bangun dari tidur ucapkan dan doa yang baik-baik sebelum memulakan hari. Misalnya :

"Saya ingin lebih beriman, bertaqwa, bersyukur, berkasih sayang dan memberi yang terbaik. Saya beriman dan yakin dengan kuasa dan ketentuan Allah terhadap kehidupan saya."

Formula murah hati berasaskan kepada lima aspek ini :

1. Fizikal ; membantu orang lain hatta mengangkat barang.
2. Penuh kasih sayang
3. Kerohanian (pegangan agama) ; amar ma'ruf nahi mungkar
4. Kewangan ; membantu orang atau bersedekah
5. Ilmu ; menyebarkan ilmu

Semoga mendapat keredaan-Nya. Barakallahufik. :)

Khamis, 28 Ogos 2014

Buku 44 : Kupilih Redha-Mu oleh Ruhana Zaki


Bismillahirrahmanirrahim.

Pada mulanya saya tidak mengetahui konsep buku ini kerana tidak membaca sinopsisnya :) Maklumlah, orang beri hadiah, terlebih gembira pula saya ;)

Awalnya, saya menjangka ianya sebuah travelog namun helai demi helai yang dibaca menafikan tanggapan awal saya tadi. Penulis berkongsi kisah motivasi islamik yang merangkumi peranan kita semua dalam sebuah kehidupan. Sebagai seorang suami, isteri, ibu bapa, anak, pelajar dan tidak lupa sebagai hamba Allah.

Dalam kata lain, boleh saya katakan tazkirah ringkas. Semasa membacanya seolah-olah saya rasakan seperti berbual-bual dengan penulis. Isu yang dilontarkan memang sering berlegar dalam masyarakat namun pendekatan jawapan yang diberi menepati objektif dan mesej yang ditujukan itu kena pada tempatnya.

Terima kasih ustazah. Banyak ilmu berharga dapat saya kutip dari buku setebal 340 muka surat ini. Terkesan dengan bab-bab di dalam bahagian Melakar Keluarga Sakinah dan Cemerlang Dunia Gemilang Akhirat. Dalam Melakar Keluarga Sakinah, pelbagai aspek dan sisi dalam keluarga disentuh seperti faktor sekufu, suami sepenuh masa, saling hormat-menghormati dan perihal doa ("Abang Doa Apa Untuk Saya?").

Cemerlang Dunia Gemilang Akhirat adalah berkenaan pelajar.Jangan rasa menyesal andai tidak dapat enjoy ketika zaman belajar. Bukankah elok menuntut ilmu bersungguh-sungguh. Tertunai tanggungjawab dan amanah kita sebagai pelajar dan anak. Mendapat pahala lagi atas kesungguhan belajar.

Jumaat, 22 Ogos 2014

Buku 43 : Dalam Dekapan Ukhuwah oleh Salim A. Fillah


Bismillahirrahmanirrahim.

Naskah indah.

Padat dengan kisah sirah Nabi dan para sahabat, motivasi diri, ilmu semasa daripada tokoh-tokoh seperti Dale Carnegie dan Stephen Covey (sekadar menyebut beberapa nama) dan untaian puisi.

Masya Allah.

Saya tidak pandai mengulas karya ini. Ini karya ketiga beliau yang saya baca selepas jatuh hati dengan garapan dan mesej yang disampaikan melalui buku Saksikan Bahwa Aku Seorang Muslim(dan hingga kini masih diulang baca) dan Agar Bidadari Cemburu Padamu (tetapi saya membaca edisi terjemahan terbitan PTS dengan tajuk Biar Bidadari Mencemburui Dirimu).

Intinya ukhwah namun mesejnya melangkaui pengetahuan seluas alam. Tertarik dengan simbolik gambar di kulit hadapan buku. Gambar bakul berisi buah yang digambarkan beberapa orang berpegangan tangan. Apa kaitan antara orang dengan buah?

Jika ingin mendapat sahabat yang baik, jadilah kita sendiri sahabat yang baik terlebih dahulu.

Semoga Allah memberkati.

Rabu, 26 Mac 2014

Buku 13 : Cerita Cinta Ahmad Ammar oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia

Bismillahirrahmanirrahim.



Ketika Fenomena arwah Ahmad Ammar mula hangat akhir tahun lalu, saya hanya mengikutinya secara sambil lalu di laman sosial Facebook dan tidak menonton video yang dibuat untuk mengingatinya ketika itu. Namun saya tetap membaca beberapa artikel mengenainya. Di dalam hati, saya tertanya-tanya, siapakah Ahmad Ammar? Mengapa begitu ramai rakan-rakan saya yang "share" mengenai beliau? Sehinggalah beberapa waktu selepas itu, saya lihat buku mengenainya telah diterbitkan dan dipaparkan di laman sosial beberapa rakan Facebook malah ada di antaranya yang menjual naskah ini. Namun saya masih lagi "berdegil" untuk mengambil tahu.

Akhirnya, selepas menonton beberapa sesi temuramah secara langsung dengan ibu bapanya sama ada melalui TV Al-Hijrah, TV3 dan saluran TV yang lain serta membaca beberapa ulasan dari laman Goodreads, saya ambil keputusan untuk membaca buku mengenai beliau. (Terima kasih kepada Kak Dina kerana menjadi asbab saya mendapatkan naskah ini).

Saya mulakan dengan bismillah dan penuh sabar menyelak helaian demi helaian buku Cerita Cinta Ahmad Ammar yang setebal 360 muka surat ini.

Permulaan naskah dimulai dengan catatan hati seorang emak diikuti dengan abah arwah, seterusnya ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat beliau. Hanya ketika berada pada catatan Ahmad Farhan dan Muhammad Saifuddin barulah saya mendapat gambaran menyeluruh akan keperibadian arwah Ahmad Ammar yang hebat (selain catatan emak dan abahnya). Saya kira tulisan mereka matang dan menepati objektif yang ingin disampaikan kepada khalayak pembaca.

Malahan saya pernah tiba-tiba terasa "kosong" di tengah-tengah pembacaan. Mungkin kerana beberapa tulisan dari individu berlainan mempunyai isi dan maksud yang hampir sama namun saya hormati itulah kenangan dan catatan peribadi mereka ketika bersama arwah.

Selepas mengamati naskah ini, barulah saya sedar akan kepentingan mempelajari sejarah Uthmaniyyah yang begitu diminati oleh arwah Ahmad Ammar dan saya mendoakan agar visi dan misi GPTD ini tercapai dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi. Semoga dua rakan seperjuangan Ammar yang sedang meneruskan pengajian mereka di Turki berjaya dalam misi mereka dan diredhai Allah.

Ahmad Ammar insan biasa yang luar biasa, mempunyai sifat pendiam tetapi berisi dengan ilmu dan hikmah yang diberi oleh Allah, seorang yang santun, mengutamakan orang lain berbanding keselesaan diri dan tidak lupa seorang anak yang soleh. Semoga Allah meredhainya.

Saya tiada kata untuk mengulas tentang seseorang seperti Ahmad Ammar. Semoga Allah merahmatinya. Wallahualam.

Rabu, 19 Mac 2014

Buku 11 : Senyumlah oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Bismillahirrahmanirrahim.

“Apakah perkara yang paling senang dibuat oleh kamu?,” tanya seorang naqibah usrah satu ketika dahulu. Ada yang menjawab “tidur”, “membaca”, “memberi salam” dan “senyum”. Rupa-rupanya perkara yang paling senang dibuat ialah meninggalkan solat. Itulah lontaran  pertanyaan oleh Imam Ghazali kepada anak-anak muridnya.

Bila difikirkan semula, sebenarnya senyum bukanlah perkara yang mudah untuk dibuat dalam semua keadaan. Apabila kita melihat seseorang senyum kepada kita, secara  automatik kita turut tersenyum. Tetapi sekiranya orang itu bermuka masam, adakah kita  secara naturalnya akan melontarkan senyuman? 

Buku nukilan Al-Fadhil Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man ini mengajak pembaca berfikir dan meluaskan horizon kefahaman agama dalam semua aspek kehidupan. Islam adalah agama yang syumul. Sempurna. 

Sekiranya kita terbeban dengan masalah di dunia, ingatlah bahawa Allah tidak membebankan   hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu ditangani. Sekiranya ditimpa penyakit atau musibah, ingatlah pesan Nabi Sollallahu Alaihi Wasallam ini : 

“Allah tidak akan menghantar penyakit melainkan diturunkan penyembuh, mereka  yang tahu, maka dia tahu, mereka yang jahil (tidak tahu), maka tidak tahulah ia.”  (Hadis riwayat Imam Ahmad no 3397).

Ubati kemurungan dengan mengawal fikiran daripada melayang liar dengan melakukan KERJA. Apabila marah, haruslah diam buat beberapa ketika kerana marah itu hanya  beberapa saat. Kemudian, akan menurun darjah kemarahan. Sebaik-baiknya jagalah perkataan ketika marah kerana lidah memang tidak bertulang.

Seringkali juga ketika berbicara sesama rakan kita akan berbual banyak perkara dan  awasi TETAPI ketika berbicara mengenai seseorang kerana kebiasaannya akan datang  perkara yang tidak baik mengenai insan itu tanpa kita sedari. Allah memberi peringatan :

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji....” (Surah Al-Humazah : ayat 1)

“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk pecah  belahkan orang ramai).” (Surah Surah Al-Qalam : ayat 11)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya  kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian  dari sangkaan itu adalah dosa, dam janganlah kamu mengintip atau mencari-cari  kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya  yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah  mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.  (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada  Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat ayat 12)

Ada tiga kesalahan lumrah dilakukan oleh manusia :

1) Mensia-siakan masa.
2) Bercakap mengenai perkara yang tiada kena-mengena dengan dirinya.
3) Menyibukkan diri dengan benda yang remeh-temeh.

Allahu akbar. Benar sekali! Maka, penulis mencadangkan tiga petua sebelum  memulakan hari iaitu :

1) Hari ini sahaja yang ada, maka buatlah sebaiknya.
2) Renung dan bersyukur apa yang ada.
3) Senyum dan jangan marah.

Penulis turut membongkar rahsia dan teori "air liur"nya. Air liur beracun atau air liur penawar. Bagaimanakah itu?

Sedarkah kita bahawa air liur adalah satu tindakan badan yang berlaku tanpa kita sedari. Ketika kita berjalan, bercakap, solat, mengumpat mahupun tidur, tindakan menelan air liur adlaah satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Sekiranya kita mengucapkan kata-kata yang baik, mengaji al-Quran atau memuji Allah, makan air liur yang ditelan ialah air liur yang baik dan menjadikan kita seorang yang ceria dan positif. Tetapi sekiranya kita memburukkan orang, mengumpat atau mengeluarkan kata-kata kesat ketika marah, air liur yang ditelan merupakan air liur beracun! Kesannya, kita menjadi seorang yang gelisah, tidak tenteram dan negatif. 

Saya teringat kajian molekul air yang dilakukan oleh Profesor Masaru Emoto dari Jepun yang membentangkan hasil dapatannya ke seluruh dunia dengan mengatakan sekiranya kita mengucapkan perkataan yang baik pada air, molekul air yang terbentuk cantik sekali. Namun, sebaliknya jika perkataan yang tidak baik diucapkan kepada air, molekul buruk akan terhasil. Subhanallah. Hebat sungguh ciptaan Allah. 

Semoga kita mendapat keampunan Allah. Senyum ;)

Ahad, 9 Februari 2014

Buku 7 : Senipis Qithmir Kurma


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Gembira sekali menatap buku ini. Meskipun saya bukan penulis tetapi melihat proses pembikinannya di balik tabir agak mengujakan. Agaknya jika saya diberi peluang menulis lebih lagi perasaannya. Hihi..

Sebuah travelog dakwah yang menghimpunkan kisah-kisah suka duka dan pengalaman mengajar para asatizah sangat mencuit jiwa dan rasa saya sebagai seorang guru lebih-lebih lagi apabila tersedar tanggungjawab dakwah itu bukan hanya terletak kepada ustaz ustazah semata tetapi kepada semua guru. Subhanallah.

Guru berperanan memanusiakan manusia. Ia satu tugas berat.

Apa yang saya dapati guru-guru ini memang memiliki semangat mendidik anak-anak akan hidup beragama dengan betul malah kebergantungan dengan Allah sangat kuat sehingga Allah memudahkan urusan kebanyakan mereka.

Semoga usaha mereka mendapat ganjaran di sisi-Nya. Tidak keterlaluan saya katakan elok sekiranya buku ini dijadikan panduan dan iktibar daripada pengalaman yang ditulis buat tatapan guru muda atau yang baru menjejakkan kaki ke dalam dunia perguruan.

Selamat mendidik dan berdakwah! Barakallahufikum :)

Sabtu, 8 Februari 2014

Buku 5 : Senyumlah 2 oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullah.

Cetusan tazkirah dan motivasi dari yang berbahagia penulis sangat menyegarkan. Benarlah kata-kata dalam bab pendahuluan mengatakan tulisan-tulisan ini menonjolkan ketinggian ilmu mantik beliau. Subhanallah.

Senyumlah 2 (Wahai Anakku Hadiah daripada ayah dan bonda) terdiri daripada 3 bahagian dengan 70 buah cerita.

Kata-katanya terus ke hati :) Analogi yang digunakan mudah tetapi dekat dengan kehidupan kita.

Banyak kata-kata menarik untuk ingatan bersama. Antara yang disukai ialah :

Wahai anakku, setiap  manusia membawa amalannya di hadapan Allah. Para syuhada' akan gembira dengan darah syuhada' mereka. Para dermawan akan gembira dengan dermanya, para pejuang akan gembira dengan perjuangannya, para abid akan turut gembira dengan amalan ibadahnya. Wahai anakku, apakah yang akan menggembirakan kamu di hadapan Tuhanmu?

Bersahabatlah dengan orang miskin, engkau akan bersyukur. Bersamalah dalam majlis ilmu, engkau akan mendapat suluhan cahaya petunjuk, bergaullah dengan para abid, engkau akan terpelihara amalanmu, berkawanlah dengan orang yang soleh, kamu akan terkena kebaikannya. Doalah kebaikan seseorang yang membencimu, nescaya kamu mengecewakan syaitan yang ingin merosakkan pergaulanmu.

Banyak manfaat yang diperolehi dari buku ini. Insya Allah.

Jumaat, 6 Disember 2013

Guru Jutawan Akhirat

Bismillah walhamdulillah.

Buku kali ini bertajuk Guru Jutawan Akhirat terbitan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Selangor terbitan 2011.

Suami saya memperolehinya secara percuma ketika mengikuti kursus anjuran KPM.

Tajuknya bagaikan magnet menarik saya membaca dari mula sehingga tamat.

Subhanallah. Masya Allah. Susunan katanya sangat baik. Setiap bab sangat menyentuh hati dan bagaikan tersusun baik dan ada kesinambungan dari awal sehingga akhir.

Ianya bagaikan nasihat atau tazkirah dari sahabat untuk sahabat. Bahasanya lembut dan berlaku sehari-hari dalam kerjaya seorang guru.







Buku yang sangat baik untuk para guru. Bertindak sebagai penasihat dan memotivasi guru dalam menghadapi cabaran dalam kerjaya.

Firman Allah yang disertakan di setiap permulaan bab mampu memberi peringatan terbaik. Jazakumullah khairan buat semua panel penulis.







Ahad, 17 November 2013

10 Bersaudara Bintang Al-Quran ~ Izzatul Jannah dan Irfan Hidayatullah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah.

Anak merupakan anugerah istimewa yang Allah berikan kepada umat manusia. 

Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya disisi Allah jugalah pahala  yang besar." (Surah al-Anfal ayat 28)

Semakin banyak membaca semakin banyak yang ingin dibaca. Sungguhpun bahan bacaan perihal keibubapaan semakin banyak di pasaran namun kisah setiap satu pasangan itu berbeza antara satu sama lain. Besarnya rahmat Allah yang memberi ilmu dan ilham kepada penulis-penulis ini.




Ya, kali ini saya membaca mengenai sepasang suami isteri yang berjaya mendidik kesemua anaknya menjadi penghafal Al-Quran. Anaknya bukan seorang, dua orang atau empat orang tetapi sepuluh orang. Masya Allah! Luar biasa sekali.

Namun jelas sekali, pasangan Mas Tamim dan Ibu Wiwi ini telah sepakat mempunyai visi dan misi yang sama. Maka mereka bergerak memajukan perancangan mereka sehingga lahirnya permata-permata Hafiz dan Hafizah Quran dalam rumah mereka.


Bagaimana ia bermula?

Ia bermula semenjak mereka belum berkahwin lagi. Kedua pasangan ini datang dari keluarga yang utuh kepada pegangan agama.

Ada lima tanggungjawab kita terhadap al-Quran :
1. Membaca
2. Mempelajari maknanya
3. Menghafal
4. Mengamalkannya
5. Mendakwahkannya

Sejarah generasi awal tertulis ramai ulama yang telah khatam dan menghafaz al-Quran sejak kecil lagi. Sedangkan Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam turut mengutamakan para sahabat yang menghafal al-Quran.

Allah sudah memberi jaminan kemudahan : "Dan sungguh, telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?." (Surah Al-Qamar ayat 17).

Secara ringkasnya Al-Quran mengandungi :

◇ 114 surah
◇ 6236 atau 6666 ayat (perbezaan pendapat sama ada bismillah di awal surah dikira atau tidak)
◇ Dua jenis ayat ; makkiyah dan madaniyah
◇ Surah terpanjang : Al- Baqarah
◇ Surah terpendek ; Al-Asr, An-Nashr dan Al-Kautsar

Antara usaha pasangan ini dalam melahirkan anak-anak penghafal Al-Quran ialah menetapkan beberapa peraturan utama iaitu :
1. Tiada televisyen di rumah
2. Tiada gambar syubhah yang menyebabkan malaikat tidak masuk ke rumah
3. Tiada lagu yang lagha
4. Ucapkan kata-kata yang baik sahaja

Tatatertib urusan di rumah dari sekecil-kecil hal sehingga sebesar-besar hal turut diajar kepada semua ahli keluarga termasuklah prinsip asas, makan minum, adab menerima tetamu, ketentuan tanggungjawab, pakaian, peraturan menggunakan elektrik dan sebagainya.

Agak menarik perhatian apabila Mas Tamim mengaplikasikan cara ini dalam mendidik anak. 

6 tahun pertama (0-6) : Memberi motivasi kepada anak-anak untuk menghafal.

6 tahun kedua (7-12) : Teknik disiplin dan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk anak menghafal.

6 tahun berikutnya (13-18) : Mengikut perkembangan kecenderungan ilmu anak-anak.

Bagi Ibu Wiwi pula beliau sentiasa membaca al-Quran dekat dengan anaknya, dan menyediakan bekalan anak ke sekolah. Seawal jam 3 pagi sudah bangun untuk solat malam dan seterusnya menyediakan makanan untuk ahli keluarga seramai 12 orang. Masya Allah.

Turut dilampirkan biodata kesemua anak mereka meliputi umur boleh membaca al-Quran dan mula menghafalnya. Kesemuanya boleh membaca al-Quran ketika usia 5 tahun dan kebanyakannya mula menghafal al-Quran sejak usia 5 dan 6 tahun. Paling mengagumkan putera kelapan telah selesai menghafal semasa di sekolah dasar (saya kira mungkin sekolah rendah jika di Malaysia).

Masya Allah tabarakallah. Moga mereka membesar menjadi penolong agama Allah. 

Jumaat, 4 Oktober 2013

Senyumlah Hidup Ini Indah ~ Kusyi Hirdan


Bismillah walhamdulillah.

Selesai membacanya semasa dalam perjalanan mengiringi lawatan murid ke sekitar Selangor.


Menarik dan tertarik! ^^


Sebuah buku inspirasi remaja. Memuatkan pelbagai kisah seperti konsep buku Chicken Soup For The Soul. Bezanya ianya ditulis oleh penulis Melayu dan kisahnya berada di sekitar kita.

Setiap cerita mempunyai tema dan pesanan sendiri yang ingin disampaikan. Ada mengenai kecelaruan emosi dan pemberontakan si anak terhadap ayah atas kurangnya perhatian dan kasih sayang, soal bertudung atau tidak, hikmah tiada kaki, kawan tanpa sempadan (ketagihan internet), ketagih rokok (pelajar perempuan), isu remaja gemuk yang selalu diusik (baca : ejek), tomboi, anak angkat dan soal cinta. Ada beberapa buah cerita lagi.

Info yang sangat bagus bagaimana watak-watak ini mengalami masalah dan akhirnya berjumpa dengan jalan penyelesaian. Meski pahit namun saya kira ia dapat memecah sedikit kebuntuan adik-adik remaja yang membacanya.

Wallahualam.