Memaparkan catatan dengan label Novel grafik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Novel grafik. Papar semua catatan

Ahad, 10 April 2016

Bacaan April Bahagian 1

Bismillahirrahmanirrahim.

Sehingga hari ini baru empat buah buku dibaca.

The Kite Runner - novel grafik.

Sumber gambar : Goodreads


Saya beli di Big Bad Wolf Sale di Melaka baru-baru ini. Sengaja beli sebab versi novelnya tidak dapat saya khatamkan. Malah, buku itu juga sudah dijual beberapa tahun lepas ;) Err... tak tahu mahu komen bagaimana. Walau pun saya agak terganggu dengan adegan Hassan dibuli oleh tiga orang remaja yang diketuai oleh Aseef. Sangatlah jahat! :(

Wanita Solehah oleh Hikmatul Islam.

Sumber gambar : MPHOnline


Comel sahaja buku ini. Tulisannya bukan berwarna hitam. Lain dari yang lain :) Tulisannya berwarna biru muda dan sesekali warna merah jambu. Sebenarnya tahu akan kewujudan buku ini melalui instagram beberapa waktu dahulu dan rezeki berjumpa buku ini di perpustakaan awam negeri awal bulan Mac.

Cara bagaimana menjadi wanita solehah. Diselangi kata hikmah, sirah, catatan kisah benar dan untaian puisi. Teringat Bonda Nor pula tatkala membaca buku ini :)

Bila Emak Berdrama oleh Salwa Saleh

Sumber gambar : deenprints


Ahha... sejak ekonomi kurang baik ini, saya sudah mula mencatu buku apa yang mahu dibeli dan buku apa yang boleh dipinjam sahaja. Jimat ^_^ Namun, buku ini termasuk dalam kategori "boleh beli". Ternyata berbaloi! Terima kasih Pn Salwa atas buku yang informatif ini!

Saya mengenali Pn Salwa melalui blognya semasa saya melahirkan anak sulung beberapa tahun lepas. Selalu singgah ke blognya. Sementelahan lagi beliau menjual Shaklee. Maka beberapa waktu juga merujuk kepada info yang ditulis olehnya.

Buku ini menceritakan pengalaman dan tip keibubapaan yang boleh diikuti. Terhibur dengan ilustrasi kartun yang menghiasi ruang-ruang antara bab :)

Damai - Tiga Ceritera oleh Saidatul Saffa, Noor Suraya dan Syud

Sumber gambar : Goodreads


Himpunan tiga novel mini dalam sebuah buku. Haih.. dalam novel semua nampak manis. Alahai... nama pun fiksyen kan ;) Kisah seorang pelajar sarjana yang membuat tesis di Turki dan bertemu jodoh dengan orang sana. Kisah seorang cucu yang baik dan mewarisi kepandaian memasak dari seorang toknya juga mengalami konflik perasaan namun berakhir dengan kisah yang manis. Dan kisah ketiga, kisah jatuh cinta dalam diam dari zaman matrikulasi membawa kepada alam pekerjaan.

Oh, semuanya tidak mudah. Bacalah buku ini ya :)


Ok... *pandang kiri kanan* buku apa nak baca selepas ni... >_<


Ahad, 20 Oktober 2013

Komik Meon lagi :)

Bismillah walhamdulillah.
Koleksi Komik Meon


Baru-baru ini meluangkan masa membaca komik M keluaran PTS. Sememangnya komik Meon menjadi pilihan kerana watak dan penceritaannya berlatar belakangkan seorang budak kampung yang tinggal di kampung, bermain permainan tradisional, bijak dan baik budi.

Anak-anak yang kecil pun mahu menumpang baca. Jadinya saya perlu membaca kuat (read aloud) sambil mengubah suai sedikit dialog mengikut tahap anak di bawah usia 3 tahun ini. (Heh, ini kali pertama bercerita dengan anak menggunakan komik M. Rasa kelakar pun ada juga ^^).

Sebelum itu, mahu perkenalkan sedikit komik ini. Mengikut pengetahuan cetek saya, komik ini ditulis dan dilukis oleh Kartunis Jas. Meon sudah mempunyai 5 siri iaitu :

Meon #1 Perang Terung Manggor
Meon #2 Perang Bola Kampung
Meon #3 Perang Bola Kampung Lagi
Meon #4 Jerat Burung
Meon #5 Menentang Kambing United

Meon #2 berkait rapat dengan Meon #3 dan Meon #5. Meon #3 tiada dalam koleksi saya. Selepas ini mahu cari.

Dalam Perang Bola Kampung, sebuah liga bola sepak akan dianjurkan di kampung mereka. Setiap pasukan bola sepak akan ditaja oleh sebuah koperasi di kampung tersebut. Misalnya Koperasi Perikanan menaja Ikan Laga City.

Ketika latihan @ pemilihan pemain dalam Jalak FC, jurulatihnya telah membuang beberapa orang pemain yang dianggapnya tidak layak bermain kerana tidak mempunyai kemahiran yang ditetapkan. Peristiwa itu dilihat oleh Meon dan geng rapatnya, Kuzi dan Din.

Meon yang baik hati ini mengeluarkan idea untuk menubuhkan pasukan bola sepak sendiri bagi membantu rakan-rakan tadi mencapai impian bermain bola sepak dalam liga belia.

Namun, persoalan timbul. Siapakah yang akan melatih mereka? Di mana mereka dapat mencari penaja? Koperasi manakah yang sanggup mengambil mereka? Dan paling utama, Meon dan rakan-rakan tidak pandai bermain bola sepak!

Sekali lagi, Meon menyelamatkan keadaan. Meon memang seorang yang genius dan bijak mencari penyelesaian :)

Dalam Menentang Kambing United, pasukan Meon tadi (bergelar Kura-kura FC) telah berlatih dengan bersungguh-sungguh di bawah jurulatihnya, Abang Selamat.  Mereka juga gembira kerana Koperasi Getah bersetuju menaja mereka. Sangat menarik apabila Meon dan rakan-rakan berlatih menggunakan buah kelapa. Saya kira lebih sukar menggunakan bola kelapa kerana bentuknya yang bukanlah benar-benar sfera.

Ketika hari pertandingan, perlawanan pembukaan di antara Kura-kura FC dan Kambing United agak sengit. Kambing United biasa bermain kasar dan teknik mereka juga berjaya memperdayakan Kura-kura FC.

Meon berjaya membaca teknik tersebut maka mereka menyusun strategi ketika separuh masa kedua. Namun yang pasti, pasukan Kura-kura FC mempunyai kapten pasukan yang sangat positif dan semua ahli mereka juga sangat bekerjasama. Dalam erti kata lain, semangat kesukanan mereka tinggi :) Inilah yang kita mahu.

Dalam Jerat Burung, Meon dan kawan-kawan berangan mahu menjadi Adiwira. Dalam bahasa Ingeris disebut Superhero :) Namun mereka tiada kelebihan luar biasa. Maka, gunakanlah kelebihan semula jadi yang ada pada mereka.

Dalam masa yang sama, kejadian menyeludup haiwan liar di kampung Meon semakin menjadi-jadi.

Tanpa sengaja mereka terserempak dengan penjenayah terbabit. Mereka sedang menjerat burung Merbah Jambul untuk dijual.

Satu lagi ilmu baru saya dapati. Burung Merbah Jambul merupakan haiwan yang dijaga spesisnya.

Dalam setiap komik Meon, penulis pasti membuat beberapa perkara :)

Pertama, helaian-helaian awal komik akan dilukiskan juga proses mencari idea. Kedua, ada komik ekstra di bahagian akhir. Ketiga, ada info mengenai sesuatu di dalam komik.

5 bintang untuk Jas! Anak-anak kecil saya suka cerita Meon ^^

Selasa, 19 Mac 2013

Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman

Aturan kehidupan kita sangat menarik sebenarnya.  Ada ketikanya kita gembira, ada ketikanya kita dilanda duka, di waktu lainnya kita diuji, tidak kurang juga terselit kisah kejayaan. Itulah yang dinamakan warna-warni kehidupan. Begitu jugalah cara Allah ingin mendidik kita. Sama ada kita mahu berfikir dan menerimanya atau tidak perasan langsung akan hikmah disebaliknya.

Buku ini mengisahkan kisah benar yang dialami oleh penulis sendiri. Pertama kali menatap novel grafik ini membuatkan saya sedikit teruja. Penggunaan kertas glossy dan blurb cerita yang mewujudkan rasa ingin tahu sangat membuak-buak.

Latar belakang cerita mengambil tempat di luar negara, tempat penulis menyambung pengajian dalam ijazah kedoktoran. Dapat difahami penulis seorang yang pendiam dan mungkin juga pemalu. Awalnya, buku ini berkisar pengajian beliau yang banyak menghabiskan masa di makmal membuat eksperimen. Namun keadaan ini mengalami sedikit perubahan apabila beliau mula rapat dengan seorang junior perempuan yang mengambil kursus perubatan di situ.

Perkenalan biasa tanpa disedari memupuk perasaan lain dalam diri penulis.  Ya, siapa yang tidak tertarik dengan gadis yang lembut, cantik dan periang. Namun silapnya apabila tidak berterus-terang, hubungan itu hanya pada 'anggapan' sahaja.

Sungguh berat perasaan yang dialami oleh penulis di saat mengetahui kenyataan sebenar. Besar juga dugaan yang dilalui. Pada masa yang sama eksperimen yang dijalankan belum berjaya sedangkan masa sudah semakin suntuk.

Saya puji kesungguhan beliau bangkit dari 'kegagalan' itu walaupun mengambil masa berbulan-bulan namun ianya berbaloi apabila beliau mampu menghabiskan pengajian dengan cemerlang. Masya Allah.

Mahu tahu kesudahan cerita? Saya pun tidak tahu :) Semoga penulis bertemu bahagia. (Saya tertanya-tanya andainya buku ini sampai ke tangan si gadis, adakah dia dapat.mengenal pasti kisah ini mengenai dirinya?)

Wallahualam.