Memaparkan catatan dengan label Komik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komik. Papar semua catatan

Ahad, 17 Ogos 2014

Buku 39 : 33 Pesan Nabi Vol 3 Jaga Sikap, Raih Kebaikan oleh vbi_djenggotten

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber gambar: Web Humaira Bookstore


Masih dalam tempoh berpantang. Namun dengan waktu tidur dan waktu berjaga yang tidak menentu, membuatkan saya mencapai buku untuk dibaca. Sungguhpun tidak digalakkan. .huhu. .

Bacaan ringan saya kira. Tapi...tamat kisah pertama sudah bergenang air mata.

Kisah mengenai seorang ayah yang bertanggungjawab. Menjaga kebajikan anaknya dan keluarga, menjaga keberkatan rezeki yang dicari dan menjadi bapa yang penyayang.

Mengambil hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW bahawa beliau bersabda :

"Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin manusia akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang pemimpin adalah pemimpin ke atas keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka semuanya, seorang wanita juga memimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut.

Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepimpinannya."

(Hadis riwayat Muslim)

Ada lucu, ada sindiran halus dan ada karikatur yang mengajak kita berfikir sedalam-dalamnya.

Terkesan dengan watak hero yang sanggup melupakan heroin yang disukai gara-gara "buang sampah merata-rata". Dahsyat! ^_^

Karya yang baik. Recommended!  :)

Jumaat, 4 April 2014

Buku 16 : Running Man

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya tidak tahu menahu Running Man ini adalah sebuah rancangan Korea dan ada dalam versi kartun. Saya baca buku ini selepas mendapat sedikit info daripada adik-adik usrah remaja. Hee... Tak terkejar saya nak baca semua ^^;

Ceritanya seperti rancangan realiti TV dan ada misi yang perlu diselesaikan dalam tempoh waktu yang tertentu.

Tidak tahu bagaimana mahu ulas buku ini. Bukan minat saya untuk karya jenis ini. Hee.....


Ahad, 5 Januari 2014

Buku pertama

Bismillah walhamdulillah.

Assalamualaikum :)

Setengah hari keluar menyelesaikan urusan kerja dan peribadi, pandai juga si anak mengajak ke kedai buku. "Abi, nak beli buku Khaulah, boleh?." Pucuk dicita, ulam memdatang ;)

Hari ini hanya melihat suami dan anak membeli buku (boleh percayakah? Haha..). Sudah beberapa kali memberi kebebasan kepada anak memilih buku sendiri tetapi sudah pasti telah diberi panduan dan selepas anak pilih, saya akan tapis dahulu.

Tak percaya pula apabila melihat Komik Sains Ikhtiar Hidup dipegang oleh suami. Mungkin penangan Ustaz Rohidzir Rais dalam ceramahnya dalam bengkel penulisan baru-baru ini :) (Beliau kini menggalakkan anaknya membaca komik tersebut).


Saya membeli buku latihan topikal sahaja sebagai bahan bantu mengajar tambahan. Khaulah memilih buku Numbers and Counting for preschool dan Bedtime with puppets.

Jumpa lagi ^_^

Selasa, 29 Oktober 2013

Hari Fesyen (Young Aishah)

Bismillah walhamdulillah.

Sewaktu selesai membaca buku ini, saya terbaca di laman sosial seorang figur menyatakan orang Melayu sangat kurang membaca buku-buku yang 'berat'. Masih lagi membaca buku yang mudah dihadam. Hee.. tiba-tiba terasa pula ^^

Baik. Buku ini merupakan buku ke-12 dalam siri Young Aisyah. Buku dicetak berwarna-warni penuh dan bersaiz A4. Dalam cerita ada komik.

Saya kagum dengan penulis. Berdakwah melalui tulisan. Saya kira penulis berjaya menyampaikan konsep aurat perempuan dan lelaki kepada pembaca sasaran tanpa rasa terbeban. Seharusnya anak-anak di usia kecil harus didedahkan dengan menutup aurat supaya mereka tahu kepentingan menjaga aurat bukan sekadar suruhan Allah malah sebagai tanda ketaatan kepada-Nya.

Bermula dengan definisi aurat dan konsepnya, cara berpakaian ketika bersukan dan lain-lain yang menyentuh mengenai aurat.

Buku ini bukan sekadar cerita biasa tetapi mempunyai 'sesuatu' yang insya Allah memberi manfaat untuk pembaca.

Sangat disyorkan untuk bacaan anak-anak :)

Wallahualam.




Sumber gambar dari blog Kartunis Reja


Rabu, 25 Januari 2012

Komik Jelajah Dunia : Kembara Khazanah Mesir

بسم الله الرحمن الرحيم

Tahun lalu berjaya mencatatkan 100 buah buku yang dapat dibaca. Tahun sebelumnya 81 buah buku. Tahun ini? Saya tidak meletakkan target kerana cubaan menghabiskan buku yang kedua masih belum berjaya meskipun Januari sudah hampir ke penghujung ;)

Buku yang pertama dihabiskan tahun ini..hm..komik?! Memang tidak dijangka.


Komik ini dibeli di Popular dan alasan memilih buku ini ialah kerana ada adik yang belajar di sana. Buku ini mengisahkan sekumpulan pengkaji dan pencari harta karun ditaja oleh seorang hartawan untuk mengkaji piramid .. apa namanya ya, terlupa ;)

Banyak info mengenai sejarah piramid dan sphinx yang berada disekitarnya. Namun ada beberapa perkara yang menyebabkan 'rating star' buku ini jatuh pada pandangan saya. Ada sekumpulan perompak harta karun (orang Arab Islam) digambarkan taat solat di awal waktu sedangkan dia seorang perompak. Kedua, cara orang Islam berdoa digambarkan seperti orang Buddha menyembah nenek moyang bukan menadah tangan seperti kebiasaan kita.
Sumber gambar : sini

Kurang sensitiviti...huhu.. Terus batal hasrat nak pinjamkan buku pada adik-adik yang datang mengaji di rumah.

Sabtu, 3 April 2010

Dunia Didi #1

[Sumber gambar : PTS]
Judul buku : Dunia Didi #1
Penulis & Pelukis : Ard One
Harga : RM 6.90
Sumber : PBAKL 2010

Didi merupakan pelajar Sekolah Tadika Lompat-lompat. Pada satu hari, Didi mengikuti rombongan tadikanya ke Taman Rimba. Taman Rimba ialah sebuah hutan yang dijadikan tempat rekreasi. Di sana, Didi dan rakan-rakan diperkenalkan dengan Kapten Hijau yang memandu rombongan mereka di dalam Taman Rimba. Kapten Hijau menerangkan akan kepentingan menjaga dan mencintai alam sekitar.


Didi amat mengagumi Kapten Hijau. Tanpa disangka, Kapten Hijau telah memilihnya dalam melaksanakan satu misi. Apakah misi itu? Kapten Hijau mengikuti Didi ke mana-mana dan hanya Didi seorang yang dapat melihat Kapten Hijau. Hal ini menyebabkan Didi disisihkan oleh rakan-rakannya kerana berkelakuan pelik. Akan tetapi kakak Didi seorang yang baik. Dia menyokong Didi kerana baginya itu adalah imaginasi yang biasa dialami oleh seseorang apabila terlalu menyukai sesuatu benda dan menganggap benda itu wujud.


[Saya teringat, 'Didi' dalam bahasa Punjabi (err..betulkan saya jika tersilap) maksudnya Kakak :)]
Ada beberapa perkara lucu di dalam cerita ini. Di akhir cerita juga, misi tersebut berjaya dilaksanakan. Hendak tahu apa misinya? Bacalah Komik-M ini :) Selamat Membaca.

Jumaat, 19 Februari 2010

MEON - Perang Terung Manggor #1




Judul komik : Meon - Perang Terung Manggor #1

Pelukis : JAS

Terbitan : PTS (2010)

Tebal komik : 100 muka

Harga : RM 6.90

Sumber : Beli di Popolar Tesco, Melaka

Tarikh baca : 17 Februari 2010

Cantik kulit depan komik ini, bukan? Pelukisnya juga adalah seorang animator. Seronok juga jika komik ini dapat diterbitkan dalam bentuk kartun.

Meon ini seorang budak kampung yang minat untuk menjadi askar. Bersama dengan dua lagi rakannya, mereka sering bermain bersama-sama.

Awalnya, saya lambat membaca komik ini. Bila tengok suami dan adik ipar tersenyum-senyum ketika membaca komik ini, timbul pula rasa ingin tahu. Memang ceritanya lucu dan menarik. Yang penting saya dapat info baru dari komik ini. Ha, siapa kata komik tidak berguna? Komik juga boleh menjadi medium menyebarkan ilmu jika digunakan pada tempat yang betul.

Komik ini menceritakan kehidupan budak kampung sehari-hari. Meon dan dua rakannya gemar aktiviti lasak. Satu hari Meon mencadangkan mereka bermain perang terung manggor. Terung manggor? Apa tu? Hendak tahu, bacalah komik ini ya! ;)

Yang lucunya ialah ketika mereka berpakat untuk mengambil (baca : mencuri) papan dari reban ayam Pak Abu yang buruk itu. Nampak sahaja rapuh tapi susah juga mereka hendak mengumpil papan itu. Akibatnya, roboh reban ayam Pak Abu. Yang saya suka ialah Meon berani mengaku salah dan tidak berbohong. Wah, kagum. Nampak sahaja kecil tetapi hatinya jujur (cewah,,).

Hendak buat apa dengan papan itu? Sebenarnya mereka hendak membuat senapang kayu. Ada juga diajar cara-cara membuat senapang kayu ini. Saya tertanya-tanya adakah lagi kanak-kanak zaman ini yang masih bermain senapang kayu?

Cerita ini bersiri jadi saya tidak tahu kesudahan Meon dan rakan-rakannya menjadi penyelamat kepada dua orang budak perempuan yang dibuli oleh budak nakal.

~~~~~~~~~~~~

Akhir-akhir ini saya minat pula mahu baca komik-M. Mungkin disebabkan ciri-cirinya berlainan dengan komik-komik lain. Apa pun saya menyokong komik ini dibaca oleh para pelajar kerana komik ini menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) selain ceritanya yang tidak bercanggah dengan norma-norma Islam.

Dengan usaha pihak PTS ini, mungkin pihak sekolah dan ibu bapa tidak lagi menyenaraihitamkan komik untuk bacaan anak-anak. Saya sendiri berusaha menarik minat membaca adik-adik kecil (dan remaja) di kampung dengan meletakkan komik dan bahan bacaan yang bersesuaian bagi dibaca sewaktu masa lapang di meja tamu di luar rumah.

Hasrat saya ialah membina mini perpustakaan untuk kanak-kanak dan remaja di rumah. Mudah untuk saya monitor (agaknya ;)). Tapi ia memerlukan kos. Wallahualam. Doakan saya ya (",)

Ahad, 3 Januari 2010

Aku, Kau dan Komik #1

Sumber gambar (klik)


Jika anda berfikir komik ini sama sahaja dengan komik-komik picisan yang ada di negara ini. Anda silap. Aku, Kau dan Komik #1 adalah antologi komik atau himpunan 10 komik tempatan yang bertemakan, ‘komik itu bagus untuk semua pelajar sekolah’ (quote dari laman sesawang PTS). Komik ini menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dan diharap komik ini diterima di sekolah-sekolah di negara kita yang selama ini 'mengharamkan' komik daripada di bawa ke sekolah.

Komik di dalamnya membawa pelbagai mesej. Antaranya ialah komik dapat mengubah seseorang menjadi lebih baik daripada sebelumnya; keyakinan diri, dan berani.

Ceritanya kelakar, menarik dan dekat dengan diri pembaca. Semoga Komik-M terus maju.

Insya Allah saya tidak teragak-agak menggalakkan anak-anak didik membaca Komik-M. Cuma diharap pelukis-pelukis komik menyampaikan mesej yang berguna dan bersesuaian dengan kanak-kanak.