Memaparkan catatan dengan label Dakwah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dakwah. Papar semua catatan

Khamis, 19 Mac 2015

RakBuku2015 (10) Usahawan Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.

Sejujurnya saya tidak mengenali Tuan Mohd Zaini Mohd Ariff tetapi saya telah membaca hasil tulisannya dalam buku Ilmu Kehidupan dan saya rasakan beliau sangat bersungguh menyebar kebaikan dan memberi nasihat.

Alhamdulillah bertemu buku ini yang memberi ruang kefahaman yang lebih luas dalam mencari rezeki dan menghadapi ujian hidup. Semoga Allah memberkati keduanya (Tuan Mohd Zaini dan Prof Kamil). Wallahualam.

23637860

Sumber gambar : sini

Isnin, 19 Januari 2015

RakBuku2015 (4) Saya Tunggu Awak


Bismillahirrahmanirrahim.

Hubungan antara pensyarah-pelajar yang berlainan jantina mampu mengundang terbitnya perasaan dalam jiwa.

Cemas dan berdebar ketika membaca rentetan peristiwa di dalam Saya Tunggu Awak.

Bukan mudah bermujahadah mempertahankan cinta dan setia kepada suami, mempertahankan maruah diri dan keluarga, memperkukuh benteng diri dari terjebak melakukan maksiat...semuanya mampu dielak apabila iman dan taqwa bertapak kukuh dalam diri.

Subhanallah. Sudah lama saya tidak membaca novel. Sebenarnya melihat kepada tajuk, saya berfikir banyak kali sebelum membelinya. Ya, saya bias. Beli kerana promosinya begitu hebat ketika itu. Apatah lagi apabila melihat nama-nama besar memperkatakan buku ini ;)

Terima kasih penulis, kisah realiti yang digarap begini menyedarkan dan memberi peringatan. Khususnya buat saya yang bekerja. Status sebagai isteri dan muslimah yang taat perintah Allah perlu dipelihara baik-baik.

Moga Allah jauhkan fitnah dunia dan dijauhkan musibah. Allahu akbar.
 

Isnin, 15 Disember 2014

Buku 78 : Apabila Remaja Bercinta. ... Alkisah oleh A. Ubaidillah Alias

Bismillahirrahmanirrahim.

Kreatif.

Ada soalan, ada jawapan, ada tip, ada tazkirah dan ada panduan.

Meski pun nipis, tetapi banyak sekali ilmu yang didapati dari buku ini. Moga ianya memberi manfaat buat anak-anak dan adik-adik kita yang terbelenggu dengan masalah perasaan ini.

Teringat kata-kata seorang penulis - mudah terikut-ikut merupakan tanda kelemahan. Remaja yang sibuk di usianya akan terisi masa dengan perkara bermanfaat berbanding remaja yang hanyut dalam percintaan di awal usia kerana tidak mengisi masa dengan perkara yang baik. Wallahualam
 


Rabu, 10 Disember 2014

Buku 76 : Ladang Hati Mustika oleh Ummu Hani Abu Hassan



Bismillahirrahmanirrahim.

Ladang Hati Mustika terbitan AMN Publications tahun 2007 ini antara novel awal penulis jika saya tidak silap. Waktu ini puan penulis sedang meniti tangga menjadi penulis yang berjaya dan menyebarkan dakwah.

Nur Mustika graduan Universiti Malaya seorang yang kental jiwanya. Diuji dengan pelbagai cabaran sebagai pelajar, rakan dan seorang muslimah.

Mustika juga seperti kita manusia biasa, pasti terselit juga perasaan kepada Insan berlainan jantina, adakala terlepas cakap menyinggung perasaan orang malah diuji dengan sihir.

Saya suka wataknya kerana membawa pelbagai sisi kehidupan dan bagaimana Mustika menangani konflik dengan agama sebagai pegangan utama. Memang kuat berakar dalam dirinya. Subhanallah. Dia juga berani berdakwah kepada jirannya yang dipanggil Uncle Sepet. Menerangkan tentang Islam sehingga Uncle Sepet mengakui keberanian Mustika sebagai seorang Muslim.

Persoalan jodoh memang misteri. Berapa kali Mustika dilanda ujian begini. Namun berkat sabar dan keteguhan hati yang tidak mudah cair dengan lelaki akhirnya menemukan jodoh terbaik buat dirinya.

Apa yang saya lihat pembentukan peribadi Mustika banyak dipengaruhi oleh keluarganya. Suasana keluarga yang harmoni dan mendidik anak dengan pendidikan agama menyumbang peranan pembentukan peribadi yang baik :-)

Selasa, 2 Disember 2014

Buku 74 : Kisah Saya Saudara Baru oleh Nuraisyah Chua Abdullah


Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini saya pinjam dari Perpustam, Melaka.

Membaca buku ini sememangnya membuka mata dan minda saya akan kesusahan yang dialami oleh  saudara baru apatah lagi Islam di Malaysia sinonim dengan orang Melayu. Penulis turut menyedarkan saya bahawa saudara sesama Islam patut membantu saudara baru memahami hukum-hakam yang perlu dipelajari kerana hampir semua yang dilalui adalah asing dengan cara hidup sebelum ini. Meskipun soalan yang remeh perlulah dijawab dengan baik dan berhemah.

Saya kagum dengan sikap positif beliau di saat rakan-rakan Islam tidak begitu mempedulikannya dan tanpa sedar menyinggung perasaannya. Hmm..Memang sukar jika berada dalam situasinya.

Sebelum itu ujian getir yang dihadapi apabila pengislaman beliau ditentang oleh ayah sendiri sehingga ayahnya jatuh sakit. Sehingga ayahnya menghembuskan nafas terakhir tetap tidak menerima pengislamannya. Tabahnya hati penulis.

Membaca buku ini pembaca dapat merasai pengalaman suka duka beliau dalam menghadapi ranjau ujian sebagai seorang Islam. Semoga penulis tabah dan dapat menyebarluaskan dakwah islamiah ke seluruh pelosok dunia :-)


++++++++++++++

Lembaran awal Kisah Saya Saudara Baru ini mengingatkan saya kepada seorang rakan saudara baru ketika menuntut di tahun pertama UTeM dahulu (sekitar tahun 2003-2004. Allahu. Tiba-tiba sebak mengingatkannya. Saya tidak mengenalinya secara rapat kerana jurusan berbeza. Dia mengambil bidang kejuruteraan manakala saya di bidang teknologi maklumat.

Dia berbangsa Cina dan memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga. Bahagia dan tenang kehidupannya. Namun, di penghujung semester 1, keluarganya tahu dan mengugut dengan pelbagai cara. Sehinggalah dia menghilangkan diri pada semester kedua dan tidak meneruskan pengajian. Sayang sekali kerana keputusan semester 1 nya amat memberangsangkan - tersenarai sebagai penerima Anugerah Dekan.

Kemudian kami semua hilang khabar beritanya. Ada yang mengatakan dia sudah kembali ke pangkuan keluarga dan ada yang mengatakan dia bekerja sebagai juruwang di pasaraya. Wallahualam. Semoga Allah memelihara dan memudahkan urusannya.

Jumaat, 31 Oktober 2014

Buku 64 : Aku Ingin Kembara Lagi oleh Dr MAZA

Beli di Popular AEON Bandaraya Melaka menggunakan baucer percuma sempena hadiah Anugerah Pilihan Pembaca ;)


Bismillahirrahmanirrahim.

Hidup ini sebuah kembara. Kembara kehidupan. Sangat tertarik dengan susunan kata dan pemilihan ayat Dr MAZA.

"Hari-hari semalam kita tinggalkan bersama pengetahuan dan pengalaman yqng dikutip. Nilainya merujuk kepada bekalan yang berjaya dikumpulkan. Ini kekuatan dalam membentuk insan menghadapi realiti yang baru."

Buah fikirannya melalui artikel "Kembara ke Tempat Lama : Ketenangan dan Sayang" juga mengesankan. Sudah pasti mengenai ilmu dan guru. Menjadi muhasabah juga buat diri ini sebagai ibu dan guru di sekolah.

"Guru yang jujur memberi kesan yang dalam kepada jiwa kita."

"Tidak bersetuju bukan bererti sayang, bersetuju tidak bererti sayang. Namun mengasihi guru adalah faktor yang amat penting dalam pembentukan ilmu."

Tulisan beliau di dalam buku ini adakalanya memberi pencerahan minda buat saya dalam beberapa perkara khususnya apa yang berlaku di bumi Oxford dan dibandingkan dengan situasi "bandar ilmu" di Kaherah dan Jordan. Isu-isu sosial dan persamaan hak dan agama turut disentuh dan dijelaskan mengikut konteks semasa dan lokasi.

Ah, saya mula menggemari tulisan beliau sejak pertama kali membaca Ttavelog Minda Tajdid. Sebelum ini hanya melihat suami membeli dan membaca buku-bukunya.

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)." (Surah Al-Ankabut : ayat 64)

Saya juga terasa mahu mengembara!

Isnin, 20 Oktober 2014

Buku 60 : Tuhan, Aku Kembali oleh Sham Kamikaze dan Ainuddin Kamaruddin


Bismillahirrahmanirrahim.

"Untuk setiap orang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakang, yang menjaga dia dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung untuk mereka selain daripada-Nya." (Ar-ra'du : 11)

Penghijrahan Sham Kamikaze bermula pada April 2011. Pertemuan dengan sahabat baiknya, Adlan Sabri yang telah lebih dahulu berhijrah membawanya kepada idea Le Tour de Masjid @ jalan-jalan cari masjid. Pada saat inilah hidayah Allah berikan kepadanya. Minatnya pada fotografi mendorongnya merakam gambar disetiap masjid yang ditemui mereka untuk solat berjemaah. Paling mengujakan beliau bertemu dengan Imam Sudais secara berhadapan ketika menunaikan solat zohor berjemaah di Kangar, Perlis.

Agak menarik apabila mengetahui yang beliau mengikuti blog Dr MAZA sejak beberapa tahun lepas. Semuanya bermula dengan rasa ingin tahu selepas membaca artikel Pengharaman Yoga - fatwa jangan kaku yang ada memetik kenyataan dari Dr MAZA.

Bukan mudah untuk berubah apatah lagi menulis kesalahan semasa jahiliah dahulu namun saya kagum akan kesungguhan beliau kembali kepada fitrah. Biarpun pendapatan dahulu dan kini sungguh jauh berbeza, namun beliau semakin selesa dengan kehidupan yang dilalui.

Kehidupan sebagai pendakwah banyak cabarannya. Semoga Sham sabar dan istiqamah dengan kebaikan yang dilakukan. Semoga lebih ramai orang mendapat asbab hidayah Allah kerananya. Barakallahufik.

Rabu, 24 September 2014

Buku 56 : Jom "Selfie" Diri! oleh Ust Ruzain Syukur dan Ust Jasmi

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku yang comel, secomel pengisiannya. Buku terbitan Muslim Teens ini ditulis oleh dua orang penulis yang kian meningkat naik iaitu Ustaz Ruzain dan Ustaz Jasmi.

Meskipun buku ini untuk remaja namun saya tetap "enjoy" membacanya. Karikatur di awalan bab memang mencuit hati. Kelakar tetapi mempunyai makna yang mendalam.

Usia remaja merupakan satu fasa peralihan. Perubahan emosi, fizikal dan tingkah laku boleh berubah bila-bila masa sahaja.Adakalanya tidak dapat berfikir panjang dan membuat keputusan mengikut kata hati sahaja tanpa merujuk kepada orang yang lebih tua. Suka mencuba memang sifat "sejati" remaja.

Oleh itu, naskah ini hadir ditengah-tengah kesulitan yang dihadapi oleh remaja. Setiap persoalan dirungkai dengan santai dan berhikmah. Ada bonus tambahan seperti tip menghadapi situasi berkenaan dan kit tindakan yang boleh diamalkan.

Sangat sesuai untuk remaja juga ibu bapa dan guru yang tercari-cari solusi berhadapan dengan kerenah anak remaja. Semoga bermanfaat dan selamat membaca!

Isnin, 15 September 2014

Buku 54 : DIAgnosis oleh Dr Anwar Fazal dan rakan-rakan

Bismillahirrahmanirrahim.

DIAgnosis ditulis oleh tiga orang doktor perubatan yang pakar dalam bidang masing-masing. Ya, seperti yang saya pernah sebut di sini, peluang untuk berdakwah sebenarnya ada di mana-mana tidak kira siapa pun kita. Seorang guru, pekebun, jurukamera, doktor, ustaz, ustazah semuanya mampu untuk berdakwah jika ada kesungguhan dan peluang.

21 bab merangkumi pengalaman mereka di bidang perubatan mencuit hati tatkala berhadapan dengan pelbagai ragam manusia sehari-hari. Sempat merasai pelbagai emosi doktor. Bertuah dapat membaca dan mengambil iktibar dari pengalaman mereka menghadapi pesakit. Tabik dengan doktor-doktor ini yang dapat meluangkan masa menulis sesuatu buat tatapan masyarakat. (Ramai juga doktor yang aktif berblog, kan? :))

Semoga DIAgnosis 2 dan seterusnya akan cepat dihasilkan dan diterbitkan. Sabar menunggu! :)

Ahad, 9 Februari 2014

Buku 7 : Senipis Qithmir Kurma


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Gembira sekali menatap buku ini. Meskipun saya bukan penulis tetapi melihat proses pembikinannya di balik tabir agak mengujakan. Agaknya jika saya diberi peluang menulis lebih lagi perasaannya. Hihi..

Sebuah travelog dakwah yang menghimpunkan kisah-kisah suka duka dan pengalaman mengajar para asatizah sangat mencuit jiwa dan rasa saya sebagai seorang guru lebih-lebih lagi apabila tersedar tanggungjawab dakwah itu bukan hanya terletak kepada ustaz ustazah semata tetapi kepada semua guru. Subhanallah.

Guru berperanan memanusiakan manusia. Ia satu tugas berat.

Apa yang saya dapati guru-guru ini memang memiliki semangat mendidik anak-anak akan hidup beragama dengan betul malah kebergantungan dengan Allah sangat kuat sehingga Allah memudahkan urusan kebanyakan mereka.

Semoga usaha mereka mendapat ganjaran di sisi-Nya. Tidak keterlaluan saya katakan elok sekiranya buku ini dijadikan panduan dan iktibar daripada pengalaman yang ditulis buat tatapan guru muda atau yang baru menjejakkan kaki ke dalam dunia perguruan.

Selamat mendidik dan berdakwah! Barakallahufikum :)

Sabtu, 11 Januari 2014

Buku 1 : Angguk Geleng oleh Ust Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan

Bismillah.

Minggu kedua bermula sesi persekolahan dan saya masih sibuk memproses buku baru yang sampai ke pusat sumber sekolah. Dalam sibuk memproses buku, sudah pasti saya sempat melihat tajuk buku yang ada.

Geram..geram..hihi..namun apakan daya memproses buku menuntut masa yang agak panjang kerana saya melakukannya seorang diri ^_^ Oh, begini rupanya tugasan seorang guru Media dan Perpustakaan sekolah. Haha.. saya guru yang baru dilantik. Banyak lagi yang perlu dipelajari.

Disebabkan hujung minggu telah tiba maka saya capai juga buku Ustaz Pahrol ini dari rak perpustakaan :) Manalah tahu saya dapat membaca buku ini. Walhal saya sedang membaca 2 buah buku iaitu Menjernih Hidup Beragama dan The Muslim Parents' Guide to the Early Years ^_^

Buku Angguk Geleng : Himpunan Kisah Dakwah Satira adalah buah tangan Ust Pahrol Mohd Juoi dan Saudari Husna Hassan. Menurut Kamus Dewan, satira ini bermakna puisi atau prosa yang mempersenda atau menyindir orang lain. Tetapi di dalam buku ini tidaklah sampai terasa tersinggung kerana penulis menyampaikan sindiran halus dan berdakwah dengan penuh hikmah melalui cerita-cerita yang mencuit akal dan minda untuk berfikir.

Dalam senyum ada makna, dalam ketawa memberi rasa, dalam sedar dan tidak pembaca pasti akan mengangguk atau menggeleng ketika membacanya. Sangat kena dengan tajuknya!

Buku setebal 258 muka surat ini dibahagikan kepada 4 bab besar bermula Coretan 1 : Akidah Umat Islam, Coretan 2 : Hubungan Sesama Makhluk, Coretan 3 : Ibrah Daripada Gelagat Makhluk dan Coretan 4 : Kepentingan Ilmu Dalam Kehidupan.

Banyak cerita yang menarik hati. Antaranya Yang Mana Dahulu. Soalan 'famous' yang didengari sejak sekolah dahulu. Antara telur dan ayam yang mana wujud dahulu? Dalam kisah yang dibawa ini ada seorang pakcik menjawab, katanya dia juga tidak pasti yang mana wujud dahulu tetapi yang pasti Allah yang wujudkan semuanya. Tepat. Enough said!  ^_^

Kedua, semua ilmu dunia dan akhirat ada di dalam Al-Quran. Namun, masih ada yang ragu-ragu. Maka seorang pemuda bertanya kepada seorang imam, "Berapa banyak minyak yang diperolehi dari sekilogram kelapa sawit?." Berikan dalil surah dan ayatnya sekali dari al-Quran. Imam itu setuju dan mengajak pemuda ini ke satu tempat sebelum menjawab soalannya.

Rupanya mereka bertemu seorang pekerja yang sedang menyelia proses membuat minyak kelapa sawit. Imam ini mengajukan soalan dan dengan mudah mereka memdapatinya dari pekerja itu. Pemuda itu membantah. Imam itu menjawab,"Itulah jawapan al-Quran. Dalam surah An-Nahl ayat 43 Allah telah berfirman yang bermaksud,'Bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui.' Dan kita telah bertanya kepada penyelia itu dan beliau menjawabnya. Begitulah kaedah al-Quran."

Ya, di sini menunjukkan bahawa al-Quran hukanlah kitab sains, sejarah dan sebagainya tetapi al-Quran menyediakan asa untuk kita memperkembangkan lagi ilmu yang diberi oleh Allah.

Wallahualam.

Ahad, 10 November 2013

Di Mana Bumi Dipijak ~ Abu Hasan Morad

Bismillah walhamdulillah.

Sebuah buku travelog lagi selesai dibaca. Subhanallah, terpesona dengan susunan bahasa Cikgu Abu Hasan ini membuatkan saya tetap mencuri waktu membaca sehingga ke akhir muka.

Asalnya, saya hanya melihat seorang rakan membaca ketika Kem Membaca 1 Malaysia dalam program bacaan serentak selama 2013 saat. Saya belek-buka-baca sinopsis. Nampak menarik. Saya meminta izin untuk meminjam sebentar dengan niat akan dipulangkan sebelum tamat waktu persekolahan. Oh, tanpa sedar saya membawanya pulang ke rumah! Sekali lagi saya minta izin dari tuan punya buku :)

Saya kagum dengan penulis. Sudah sekian waktu mengikuti tulisannya di dalam Majalah ANIS iaitu sejak saya dibangku sekolah. Namun sejujurnya pada waktu itu tulisan beliau bukanlah pilihan utama saya kerana saya lebih gemar kepada sesuatu yang bersifat mudah dihadam. Maklumlah masih di bangku sekolah dan belum begitu matang dan memahami falsafah yang ingin disampaikan.

Seiring dengan peningkatan usia, saya mula menggemari tulisan beliau dan mengikuti catatan pengembaraannya. Subhanallah. Semangatnya kental dan jiwanya juga kuat kesan tarbiah dan pengalaman hidup yang luas.

Buku ini menghimpunkan catatannya dari mata kasar hasil pengembaraannya ke serata benua meliputi Eropah, Timur Tengah, China, Thailand, Australia, Bangladesh, Kemboja dan Bali. Semuanya menghimpunkan tentang sosio budaya masyarakat serta amalan umat Islam setempat secara permukaan. Adakalanya saya seakan dapat merasai keindahan alam yang diciptakan Allah melalui tulisan beliau, ada ketika turut berfikir dan muhasabah diri andai berada di dalam situasi kesukaran masyarakat Islam di luar sana dan ada waktunya terasa bangga dengan kesungguhan dan kejayaan umat Islam di luar sana menjaga dan menyebarkan syariat Islam.

Namun begitu, saya berasa tidak puas tatkala catatan yang ditulis tidak disertakan gambar yang berkaitan. Seolah-olah memutuskan 'connection' di antara tulisan dengan gambar yang melatari setiap muka surat buku. Selain itu, saya kira terdapat sedikit kesilapan pada muka surat 111 di mana perenggan itu tertutup oleh gambar Masjid Zayed Abu Dhabi.



Semoga penulis mampu menghasilkan lagi tulisan bermutu mengenai pengembaraannya yang mampu memberi manfaat kepada semua. Insya Allah. Barakallahufik:)

Isnin, 29 Julai 2013

You Are The Best! Kamu Umat Terbaik ~ Dr Mohd Shafie Bin Md Amin

Baru mula membaca buku ini sedikit demi sedikit. Berkulit tebal dan mempunyai 63 bab. Kata-kata aluannya
Sumber gambar : Web rasmi Galeri Ilmu
sudah memberi makna kepada saya. Saya kongsikan :

Ada dua perkara yang amat penting ketika kita belajar iaitu :

1) Kefahaman.

Kefahaman ialah anugerah Allah dan ianya milik Allah.

2) Petunjuk.

Hanya orang yang diberi petunjuk oleh Allah sahaja mampu melaksanakan ilmunya dengan ikhlas.

Perkara no 1 membuatkan saya berfikir dan muhasabah... Ya, sememangnya kefahaman itu milik Allah namun kita juga seharusnya berusaha untuk memahami apa yang dipelajari. Tiba-tiba teringat sewaktu belajar Fizik dan Matematik Tambahan ketika di sekolah dahulu *sigh* ^_< Allahuakbar. Sememangnya manusia sangat lemah.

Ya Allah, terangkan hati anak-anakku dan anak-anak didikku menerima dan memahami ilmu-Mu yang Maha Luas. Amin....

Isnin, 3 September 2012

Sebelum Aku Bernikah ~ Hilal Asyraf

Buku ketiga yang dibaca bulan ini. Saya pilih untuk ulas yang ini dahulu.


Tulisan ini khusus buat pembaca yang belum berkahwin. Bagi yang sudah berkahwin boleh juga dijadikan sebagai satu muhasabah perjalanan anda dalam menuju gerbang perkahwinan dan alam rumah tangga. Memetik kata-kata penulis dari seorang pakcik : “Perkahwinan adalah gerbang, sedang rumah tangga adalah alamnya.” 

Penulis mengupas definisi cinta muda-mudi masa kini, menghurai definisi cintanya, melontarkan pandangan berdasarkan realiti masa kini serta menjentik minda pembaca akan 3 kepentingan persediaan menuju pernikahan. 

Cinta digambarkan sesuatu yang indah, asyik-masyuk, mengikut nafsu, "couple", "dating" dan seumpamanya. Malah ada yang lebih ekstrem terus menghukum bercinta sebelum kahwin adalah haram. Jatuh hati juga haram sehingga ada yang mengatakan zina hati. Benarkah?

Sememangnya begitulah yang kita selalu dengar.

Namun, tahukah kita sebenarnya definisi cinta itu datang dari kasih sayang. Ia sesuatu yang murni.  

Walaupun kini saya sudah berumah tangga dan mempunyai anak, saya akui akan kebenaran yang disentuh oleh penulis di dalam buku ini. Sesungguhnya saat sebelum berkahwin memberi banyak dilema kepada diri dalam soal jodoh. Hakikatnya, jodoh itu sebenarnya perlu dicari bukannya dinanti. Ia sama seperti perkara lain seperti belajar yang mana memerlukan kita berusaha sebelum mencapai kejayaan.

Buku ini sangat saya syorkan buat adik-adik yang masih tercari-cari solusi dalam mencari jodoh, yang sedang kekeliruan mahupun dalam dilema. Semoga pencerahan dari penulis memberi kelegaan kepada jawapan yang dicari.

Apa pun berserah kepada Allah adalah paling utama. Semoga dipermudahkan segala urusan. Amin :)

Selasa, 21 Ogos 2012

Friends Forever ~ Ila Husna

Saya sungguh tertarik dengan kulit depan buku ini. Ceria. Hehe.

Saya juga tertarik dengan watak utama yang sanggup menolak tawaran kursus Perubatan di Mesir semata-mata cintanya kepada Bahasa Arab. Mahu jadi pejuang Bahasa Arab!

Zakiah, anak tunggal kepada ibu bapanya pada mulanya tidak mendapat restu bapa mengambil jurusan Bahasa Arab di UIA. Namun selepas berbincang dari hati ke hati barulah kesefahaman tercapai dan Zakiah dapat meneruskan pelajarannya di UIA Kampus Nilai.

Zakiah digambarkan seorang yang cekal, tabah, istiqamah dalam menjaga amalan sunat dan solat malam serta anak yang taat kepada ibu bapa. Tidak lupa juga dia seorang kawan yang begitu mengambil berat akan keadaan rakan-rakan dan sentiasa mendoakan mereka. Berkat kesungguhannya mempamerkan akhlak islam, seorang rakannya memeluk agama Islam.

Kehidupannya di UIA tidak seindah pelangi. Banyak dugaan yang dihadapinya. Fitnah oleh rakan sebilik, dipulaukan rakan sekelas, dituduh pencuri, dianggap menunjuk pandai sehingga jatuh sakit beberapa lama.

Tapi kebenaran akhirnya terserlah berkat kesabaran dan sokongan dari rakan baiknya.

Usai membaca buku ini, saya rasakan minat Zakiah pada Bahasa Arab itu perlu diperincikan dengan lebih lagi. Memang penulis ada menyelitkan tentang penglibatan Zakiah dalam pertandingan pidato Bahasa Arab, mengikuti usrah dan aktif dalam badan Dakwah dan Rohani tetapi tidak begitu jelas. Mengapa Zakiah begitu meminati bidang bahasa Arab? Apakah prospek kerja yang menanti? Bagaimana Zakiah dapat menyumbang kepada ummah dengan kemahiran bahasa yang diperolehnya?

Memang ada diterangkan tetapi bagi saya mungkin penulis boleh ceritakan lagi... Wallahulam.

Watak Marziah juga saya kira kurang kepentingannya. Hanya disebut sesekali di dalam cerita. Apa yang penulis mahu sampaikan ya?

Namun secara keseluruhan saya kira agak baik untuk bacaan remaja. Remaja harus didedahkan dengan persekitaran yang baik, mengikut idola yang baik dan bergaul dengan rakan yang baik. Maklumlah, usia begini mahu mencuba pelbagai perkara. Rakan sekeliling memang pengaruh utama bagi diri mereka.

Khamis, 12 Julai 2012

Batu Bata Kehidupan ~ Hilal Asyraf

Terkesan dengan artikel mengenai sahabat. Jika kita takut ingin menegur rakan yang berbuat salah atas alasan takut dia berkecil hati bermakna kita masih lagi tidak membina jambatan hati dengannya. Ya Allah, besar juga amanah di dalam persahabatan ini.. Jangan dipandang remeh. Saya merenung diri, sejauh mana saya sudah berbuat sehabis baik dengan sahabat baik, adakah saya selalu mendoakannya, adakah saya 'bercinta' dengannya,,, banyak lagi ruang kosong yang tidak saya isi. Waktu senang memang riang bersama, tetapi jika rakan tersilap sedikit saya mengakui agak lambat menegur atau mungkin hanya menegur di dalam hati! Astaghfirullah.. saya perlu baiki diri!



Terima kasih Khairun kerana bagi pinjam buku ini. Masih berbekas di hati tulisan-tulisan di dalam ini..

Jumaat, 11 Mei 2012

Tip & Trik Usrah

 Sudah hampir 3 tahun saya meninggalkan alam kampus dan rasanya sudah lebih 5 tahun tidak bertemu mentor yang satu ini. Sewaktu kalut mengelak daripada terkena rempuhan orang ramai di PBAKL, saya terdengar satu suara memanggil. Oh, Brother Yusry rupanya. Wah, sudah terbit buku Permainan Usrah! Dahulu, sewaktu versi asalnya mempunyai lebih dari 100 permainan dan artikel. Memang amat berguna. Cuma waktu itu belum dapat diterbitkan sebegini cantik dan eksklusif.

Buku ini mengandungi 5 bab diawali dengan Dunia Usrah dan Naqibah, Naqib / ah Berpengaruh, Teknik-teknik Mengendali Usrah, Tip Dan Trik Kendali Usrah dan Aktiviti dan Permainan Usrah. Buku ini datang dengan pendekatan baru yang lebih mesra pembaca. Berbanding buku-buku mengenai usrah yang ada di pasaran, buku ini tampil dengan bahasa yang mudah dan memberi gambaran yang menyeluruh mengenai usrah. Walaupun mungkin tidak terlalu terperinci sekurang-kurangnya dapatlah memberi gambaran awal kepada sesiapa yang baru pertama kali mendengar apa itu usrah mahupun bagi yang pertama kali menghadiri usrah.

Melalui pengalaman mereka selama lebih kurang 15 tahun berusrah, kita didedahkan dengan usrah dan komponennya, mengapa usrah itu menyeronokkan?, peranan naqib dan naqibah, pelbagai teknik menarik ahli usrah mengikuti usrah, realiti masa kini usrah, cabaran naqib dan naqibah serta permainan dan aktiviti yang sangat menarik yang boleh diaplikasikan di dalam usrah. Turut disediakan sebuah cakera padat mengandungi 200 aktiviti dan permainan Islami.

Bagi saya yang kini bergelar pendidik, method yang digunakan oleh penulis sebenarnya mirip kepada teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ada set induksi (pengenalan), penyampaian isi, aktiviti dan akhir sekali ditutup dengan kesimpulan. Interaksi 2 hala sangat penting di dalam usrah supaya ahli usrah tidak bosan kerana didominasi oleh satu pihak sahaja.

Saya sangat mengesyorkan kepada anda untuk memiliki dan membaca buku ini. Insya Allah banyak manfaat dapat diambil dari buku ini. Wallahualam.


Sabtu, 28 Januari 2012

50 Tip Motivasi Haji


بسم الله الرحمن الرحيم

"Belum sampai seru".... Oh itu bukan penyebab tidak mahu ke sana tetapi itu hanya alasan semata-mata.

Hampir setiap manusia mempunyai rahsia tersembunyi (mengambil kata-kata penulis di dalam buku ini). Rasa ketakutan akan dosa lampau, rasa bersalah dan ragu-ragu masih menguasai diri tatkala ditanya akan soalan "Bila nak ke Mekah?".

Ya Allah, saya mahu tunaikan haji ketika usia muda. Tip mudah yang diberi penulis ialah kumpul RM200 setiap bulan insya ALLAH selepas 7 tahun kita mampu untuk ke sana. Tetapi perlu ada istiqamah di sini. Perlu konsisten menabung.

Bagi saya tip-tip yang diberi memang nampak kecil tetapi begitu signifikan. Saya tidak terfikir akan isu waktu tidur untuk mudahkan bangun malam di sana, bersolat di saf hadapan, isu tandas yang remeh tetapi sangat besar masalahnya bagi kebanyakan orang, soal menahan wuduk dari terbatal, dan antara tip yang membuatkan saya berkata, "Oh?!" ialah membeli sebanyak-banyaknya ubat sakit tekak dan diletak di dalam beg sandang supaya kita dapat membantu jemaah haji lain yang sering batuk-batuk. Masya Allah..

Selepas menamatkan pembacaan saya dapat simpulkan bahawa doa yang sungguh-sungguh serta melaksanakan doa dengan bersungguh-sungguh sangat dituntut sebagai salah satu sebab mendapat kemabruran haji. Wallahualam..

Isnin, 18 Julai 2011

Jilbab Traveler






Sumber gambar : Dari sini


Jilbab Traveler ini saya beli secara atas talian dari Fajar Ilmu Baru Enterprise. Kedainya beroperasi di Jalan TAR. Dahulu semasa belajar hanya sempat 2 kali sahaja berkunjung ke sana. Kemudian melalui kenalan (Pn Welma La'anda) baru saya tahu FIB ada laman sesawang dan urusan pembelian dengan kedai ini amat memuaskan sekali.


Ya, memang benar. Sudah lebih 3 kali saya berurusan dengan mereka dan khidmat yang diberikan sangat memuaskan hati saya. Cuma kedai ini hanya menjual buku-buku dari Indonesia sahaja. Banyak sangat judul yang dijual. Jika anda berkesempatan ke kedai ini, tanyalah apa pun buku yang dicari dengan tuan kedai insya Allah beroleh jawapan. Malah dia bangun dan tunjukkan di mana buku itu terletak. Hebat.


Opss..maaf panjang sangat intro ;p


Jilbab Traveler ini mengisahkan pengalaman wanita-wanita muslim yang bertudung ke serata dunia. Saya kira mereka semua ini penulis sama seperti Asma Nadia. Ada yang menceritakan pengalaman ke Greece, Jerman, Australia, Damaskus, Amerika Syarikat, Hong Kong, Korea, Belanda dan beberapa buah negara lagi. Ada banyak tip yang diberikan jika anda ingin melancong ke luar negara. Kita juga dapat belajar sedikit sebanyak budaya dan bahasa mereka. Ada seperti kamus kecil @ glosari di akhir setiap cerita.


Buku ini menarik! Walaupun saya menghadapi masalah bahasa (banyak perkataan indonesia yang tidak saya fahami. Aduss,, siapa boleh tolong ya?). Selalunya saya hanya menebak maksudnya berdasarkan ayat. Haha...


Oh ya, lagi satu saya rasa seperti ada yang kurang dari buku ini. Kenapa ya? Oh ya, sebelum membacanya saya mengharapkan penulis menulis pengalaman mereka sebagai muslimah bertudung - apa pandangan masyarakat di situ, bagaimana proses birokrasi di lapangan terbang atau di sesebuah negara memberi kesan negatif atau positif kepada mereka ataupun bagaimana mereka solat di negara-negera tersebut. Adakah sukar atau mudah menemukan tempat solat dan mendapatkan makanan halal. Memang ada sesetengah yang menceritakannya tetapi tidaklah terlalu menyeluruh. Penulis-penulis ini banyak menumpukan kepada tempat-tempat yang dilawati. Dan kadang-kala saya rasakan seperti saya sedang membaca blog :)


Bila membaca pengalaman mereka terasa ingin juga ke tempat-tempat ini. Dari satu sudut saya merasa insaf.. kerana di sini saya masih dapat mengamalkan Islam dengan bebasnya tanpa ada banyak sekatan. Malah beruntung kerana dapat mengenakan hijab dengan betul dan baik berbanding sahabat-sahabat muslimah di negara-negara bukan Islam.


Kemudian, di sinilah lebih dirasai hikmah Allah jadikan manusia pelbagai bangsa. Kita dapat menjalin silaturahim dengan kenalan di negara tersebut. Malah kebanyakan mereka tidak pernah atau jarang mempunyai sahabat muslim. Maka di sinilah peranan kita sebagai duta Islam (err..betulkah perkataan ini?) yang membawa imej Islam dan dalam masa yang sama dapat berdakwah dengan mereka :)

Sabtu, 14 Ogos 2010

Kamceng dengan Solat

Sumber gambar : Kedai-buku.com
Judul buku : Kamceng dengan Solat
Penulis : Mohd Zawawi Yusoh, Siti Hasnah Hamzah
Penerbit : PTS Millenia
Harga : RM13.00
Bilangan muka surat : 179
Sumber : Beli di MPH Mahkota Parade, Melaka

Dahulu, teman sebilik semasa di kampus pernah membeli buku ini. Waktu itu saya tidak sempat membacanya walaupun nampak menarik. Hanya selepas beberapa tahun baru saya tergerak untuk membeli dan membacanya.

Intipati buku ini adalah mengenai solat tetapi dipersembahkan dalam bentuk dialog antara dua rakan baik, Jamilah dan Suraya. Jamilah banyak menggunakan analogi bagi memudahkan Suraya memahami kepentingan solat termasuk solat fardhu, solat sunat, solat jamak dan qada' solat.

Ada juga diselitkan mengenai menutup aurat, mengapa umat Islam solat berkiblatkan Kaabah, puasa, dan lain-lain. Gaya bahasa yang santai dan 'sempoi' (ikut kata remaja sekarang) mungkin dapat menarik minat adik-adik di awal remaja untuk membaca buku ini seterusnya memberi kesedaran akan kepentingan solat.