Memaparkan catatan dengan label Karya Bestari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karya Bestari. Papar semua catatan

Jumaat, 31 Oktober 2014

Buku 64 : Aku Ingin Kembara Lagi oleh Dr MAZA

Beli di Popular AEON Bandaraya Melaka menggunakan baucer percuma sempena hadiah Anugerah Pilihan Pembaca ;)


Bismillahirrahmanirrahim.

Hidup ini sebuah kembara. Kembara kehidupan. Sangat tertarik dengan susunan kata dan pemilihan ayat Dr MAZA.

"Hari-hari semalam kita tinggalkan bersama pengetahuan dan pengalaman yqng dikutip. Nilainya merujuk kepada bekalan yang berjaya dikumpulkan. Ini kekuatan dalam membentuk insan menghadapi realiti yang baru."

Buah fikirannya melalui artikel "Kembara ke Tempat Lama : Ketenangan dan Sayang" juga mengesankan. Sudah pasti mengenai ilmu dan guru. Menjadi muhasabah juga buat diri ini sebagai ibu dan guru di sekolah.

"Guru yang jujur memberi kesan yang dalam kepada jiwa kita."

"Tidak bersetuju bukan bererti sayang, bersetuju tidak bererti sayang. Namun mengasihi guru adalah faktor yang amat penting dalam pembentukan ilmu."

Tulisan beliau di dalam buku ini adakalanya memberi pencerahan minda buat saya dalam beberapa perkara khususnya apa yang berlaku di bumi Oxford dan dibandingkan dengan situasi "bandar ilmu" di Kaherah dan Jordan. Isu-isu sosial dan persamaan hak dan agama turut disentuh dan dijelaskan mengikut konteks semasa dan lokasi.

Ah, saya mula menggemari tulisan beliau sejak pertama kali membaca Ttavelog Minda Tajdid. Sebelum ini hanya melihat suami membeli dan membaca buku-bukunya.

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)." (Surah Al-Ankabut : ayat 64)

Saya juga terasa mahu mengembara!

Khamis, 28 Ogos 2014

Buku 44 : Kupilih Redha-Mu oleh Ruhana Zaki


Bismillahirrahmanirrahim.

Pada mulanya saya tidak mengetahui konsep buku ini kerana tidak membaca sinopsisnya :) Maklumlah, orang beri hadiah, terlebih gembira pula saya ;)

Awalnya, saya menjangka ianya sebuah travelog namun helai demi helai yang dibaca menafikan tanggapan awal saya tadi. Penulis berkongsi kisah motivasi islamik yang merangkumi peranan kita semua dalam sebuah kehidupan. Sebagai seorang suami, isteri, ibu bapa, anak, pelajar dan tidak lupa sebagai hamba Allah.

Dalam kata lain, boleh saya katakan tazkirah ringkas. Semasa membacanya seolah-olah saya rasakan seperti berbual-bual dengan penulis. Isu yang dilontarkan memang sering berlegar dalam masyarakat namun pendekatan jawapan yang diberi menepati objektif dan mesej yang ditujukan itu kena pada tempatnya.

Terima kasih ustazah. Banyak ilmu berharga dapat saya kutip dari buku setebal 340 muka surat ini. Terkesan dengan bab-bab di dalam bahagian Melakar Keluarga Sakinah dan Cemerlang Dunia Gemilang Akhirat. Dalam Melakar Keluarga Sakinah, pelbagai aspek dan sisi dalam keluarga disentuh seperti faktor sekufu, suami sepenuh masa, saling hormat-menghormati dan perihal doa ("Abang Doa Apa Untuk Saya?").

Cemerlang Dunia Gemilang Akhirat adalah berkenaan pelajar.Jangan rasa menyesal andai tidak dapat enjoy ketika zaman belajar. Bukankah elok menuntut ilmu bersungguh-sungguh. Tertunai tanggungjawab dan amanah kita sebagai pelajar dan anak. Mendapat pahala lagi atas kesungguhan belajar.

Rabu, 26 Mac 2014

Buku 13 : Cerita Cinta Ahmad Ammar oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia

Bismillahirrahmanirrahim.



Ketika Fenomena arwah Ahmad Ammar mula hangat akhir tahun lalu, saya hanya mengikutinya secara sambil lalu di laman sosial Facebook dan tidak menonton video yang dibuat untuk mengingatinya ketika itu. Namun saya tetap membaca beberapa artikel mengenainya. Di dalam hati, saya tertanya-tanya, siapakah Ahmad Ammar? Mengapa begitu ramai rakan-rakan saya yang "share" mengenai beliau? Sehinggalah beberapa waktu selepas itu, saya lihat buku mengenainya telah diterbitkan dan dipaparkan di laman sosial beberapa rakan Facebook malah ada di antaranya yang menjual naskah ini. Namun saya masih lagi "berdegil" untuk mengambil tahu.

Akhirnya, selepas menonton beberapa sesi temuramah secara langsung dengan ibu bapanya sama ada melalui TV Al-Hijrah, TV3 dan saluran TV yang lain serta membaca beberapa ulasan dari laman Goodreads, saya ambil keputusan untuk membaca buku mengenai beliau. (Terima kasih kepada Kak Dina kerana menjadi asbab saya mendapatkan naskah ini).

Saya mulakan dengan bismillah dan penuh sabar menyelak helaian demi helaian buku Cerita Cinta Ahmad Ammar yang setebal 360 muka surat ini.

Permulaan naskah dimulai dengan catatan hati seorang emak diikuti dengan abah arwah, seterusnya ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat beliau. Hanya ketika berada pada catatan Ahmad Farhan dan Muhammad Saifuddin barulah saya mendapat gambaran menyeluruh akan keperibadian arwah Ahmad Ammar yang hebat (selain catatan emak dan abahnya). Saya kira tulisan mereka matang dan menepati objektif yang ingin disampaikan kepada khalayak pembaca.

Malahan saya pernah tiba-tiba terasa "kosong" di tengah-tengah pembacaan. Mungkin kerana beberapa tulisan dari individu berlainan mempunyai isi dan maksud yang hampir sama namun saya hormati itulah kenangan dan catatan peribadi mereka ketika bersama arwah.

Selepas mengamati naskah ini, barulah saya sedar akan kepentingan mempelajari sejarah Uthmaniyyah yang begitu diminati oleh arwah Ahmad Ammar dan saya mendoakan agar visi dan misi GPTD ini tercapai dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi. Semoga dua rakan seperjuangan Ammar yang sedang meneruskan pengajian mereka di Turki berjaya dalam misi mereka dan diredhai Allah.

Ahmad Ammar insan biasa yang luar biasa, mempunyai sifat pendiam tetapi berisi dengan ilmu dan hikmah yang diberi oleh Allah, seorang yang santun, mengutamakan orang lain berbanding keselesaan diri dan tidak lupa seorang anak yang soleh. Semoga Allah meredhainya.

Saya tiada kata untuk mengulas tentang seseorang seperti Ahmad Ammar. Semoga Allah merahmatinya. Wallahualam.