Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan

Ahad, 23 Ogos 2015

RakBuku2015 (42) Ahmad Ammar Engkau Miliknya



Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini menyingkap sisi keluarga arwah Ahmad Ammar terutama keperibadian ibu ayahnya serta cara pendidikan yang diberikan.

Ternyata kedua-duanya memiliki wibawa selain positif dan tetap pendirian. Tawakkal kepada Allah tinggi. Malah ia boleh dilihat pada respon Ahmad Azzam tatkala ditanya mengenai kebuntuan ibu ayah kini menangani anak bermasalah.

"Jangan ada sesaat pun kita bersangka buruk dengan Allah Taala. Mesti selalu bersangka baik. Orang boleh berubah sekelip mata. Orang bukan Islam pun boleh mendapat hidayah."

Ya, membaca buku ini membuatkan saya teringat perbualan bersama ibu mertua yang berkongsi pengalaman mendidik anak.

Ibu mertua berpesan bacalah selalu Surah Ali-Imran ayat 200 terutama ketika anak masuk tidur. Baca di telinga dan usap ubun-ubunnya. Baca dengan yakin semoga Allah memberkati.

Bermakna sebagai ibu ayah, sentiasa berdoa kepada Allah, jangan putus asa dan berusaha sebaiknya dalam mendidik anak.

Saya turut terkesan dengan sikap Pn Nor Azlina, ibu arwah Ahmad Ammar ini yang pandai menjaga diri dan hati selama tinggal bersama mertua. Bukan sebulan dua, tetapi sehingga 20 tahun. Subhanallah.

Dengan kesibukan suaminya sebagai pendakwah yang menyebabkan suaminya kerap keluar meninggalkan keluarga, Pn Nor Azlina tetap teguh menguruskan keluarga dan mampu berdikari tanpa menyusahkan suami.

Melihat kepada reaksi mereka ketika menerima berita
pemergian satu-satunya anak lelaki menimbulkan rasa kagum dan terbit rasa hormat kerana mereka nampak tenang dan sangat redha atas takdir Allah.

Bagi remaja, buku ini sangat bagus dalam memberi kesedaran dan suntikan motivasi kerana zaman ini kita sangat dahagakan ikon yang baik dan soleh.

Di kala umum obses kepada teknologi dan gajet, keluarga ini tidak mengikat anak-anak daripada jauh daripada dunia tanpa sempadan tetapi tetap menyediakannya namun Ahmad Ammar bijak menggunakannya.

Ia dapat dilihat daripada salah satu status yang dimuat naik ke laman sosialnya -

"Jika mahukan hiburan, cukuplah dengan membaca Al-Quran."

Masya Allah.

Semoga Allah memberkati kita semua.

Khamis, 22 Januari 2015

RakBuku2015 (5) Ikon Syabab

Bismillahirrahmanirrahim.

Subhanallah, sebuah buku yang sangat memberi motivasi dan inspirasi. Terasa malu apabila membandingkan profil anak muda di dalam buku ini dengan diri sendiri.

Para ulama dahulu sangat menjaga masa, adab dengan guru dan sangat mencintai ilmu. Setiap masa menuntut ilmu bagaikan tiada lagi hari esok.

Bukan sekadar mengandungi biografi para ulama tetapi penulis bijak memikat pembaca dengan tarbiah, tip dan motivasi. Gaya penceritaan yang santai sesuai dengan aras pembaca. Sangat disyorkan membaca buku ini. Semoga kita lebih bersemangat tinggi menuntut ilmu dan menghafaz al-Quran. .

Antara tokoh yang diceritakan ialah Yahya bin Yahya yang digelar oleh Imam Malik sebagai "Tokoh Cerdas Dari Andalus".

Pada suatu hari ketika majlis ilmu Imam Malik bin Anas lalu seekor gajah (haiwan yang jarang terlihat di negara Arab). Kebanyakan murid bangun dan melihatnya kecuali beliau.

Selesai majlis, Imam Malik bertanya mengapa beliau tidak melihat gajah? Jawabnya, aku keluar dari negeriku untuk belajar adab dan menuntut ilmu denganmu bukan melihat gajah. Imam Malik berasa kagum dengannya.
Masya Allah.
 

Isnin, 22 Disember 2014

Buku 79 : Srikandi-Srikandi Yang Benar oleh Zahiruddin Zabidi


Bismillahirrahmanirrahim.

Srikandi-srikandi Yang Benar. Buku berkulit keras setebal 464 muka surat.
Himpunan kisah 3 tokoh wanita dalam lipatan sejarah Islam ; Aminah ibu Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam, Fatimah anakanda kesayangan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam dan Rabiah Aladawiyah.
Sebagai bacaan 👍 tetapi untuk rujukan bukanlah satu pilihan kerana ianya adalah fiksyen.
Ini pertama kali membaca buku Tuan Zahiruddin. Mendamaikan. Seolah saya dapat mengalami peristiwa yang berlaku ke atas tokoh-tokoh wanita ini. Masya Allah. * Buku terakhir yang dapat diselesaikan sebelum pulangkan semula ke Perpustam

Rabu, 19 November 2014

Buku 72 : Tokoh Pendakwah Islam - Dr Abdul Rahman Humaid Al-Sumaith oleh Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri

Bismillahirrahmanirrahim.

Ketika menghadiri kuliah maghrib yang disampaikan oleh SS Dr Zulkifli bin Mohamad ini beliau ada bercerita mengenai seorang anak perempuan di Jordan yang telah tamat ijazah pertama di usia 16 tahun dan kini sedang melengkapkan ijazah kedua (double degree). Masya Allah. Inilah kehebatan dan ketinggian kalam Allah jika diberikan kepada anak-anak terlebih dahulu.

Kemudian yang berbahagia Dr ada menyebut mengenai seorang tokoh yang telah mengislamkan 11 juta orang. Subhanallah. Beliau yang dimaksudkan ialah Dr Abdul Rahman Humaid Al-Sumaith.

Kami lantas mendapatkan buku ini yang dikarang sendiri oleh Dr Zulkifli. Membaca kisah tokoh pendakwah ini menerbitkan rasa kagum kerana kesungguhannya menyebarkan Islam dan membantu rakyat di Afrika tanpa rasa jemu dan putus asa. Masya Allah.

Masih ada lagi insan yang mengabdikan diri semata-mata kerana-Nya. Allahu Allah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

Khamis, 4 September 2014

Buku 49 :Biografi Inspirasi Prof Dr Muhaya (Sejernih Sinar Matamu) oleh Rozninah Abd. Azib

Bismillahirrahmanirrahim. 

"Alangkah ruginya orang yang masa mudanya tidak menolong orang, orang yang ketika ada duit tidak bersedekah kepada orang, orang yang ada ilmu tidak mengajar orang, dan orang yang masa ada kuasa tidak memudahkan urusan orang."

Subhanallah.

Prof Dr Muhaya, seorang tokoh inspirasi dan motivasi wanita yang tersohor dengan konsep Reset Minda yang diperkenalkannya.

Sikapnya positif, mementingkan kekeluargaan, suka menyambung silaturrahim, bersedekah, menjaga solat di awal waktu, tegas tetapi lembut, cekap dan pantas melakukan kerja.

Ya. Manusia tidak sempurna. Prof juga pernah melalui detik-detik kedukaan dalam hidup.. kehilangan anak yang dikasihi, pernah dikuasai perasaan ego ketika muda, memandang kejayaan sebagai perkara utama seseorang berjaya dalam hidup (pegangan akidah sepatutnya diberi keutamaan) dan beremosi.

Namun, seiring perubahan waktu dan bimbingan nasihat dari suaminya berjaya mendidiknya menjadi insan yang lebih baik. Malahan tidak dinafikan didikan yang diberi oleh ibu bapa Prof sangat menyumbang ke arah kejayaan Prof hari ini.

Membaca kisahnya, ada beberapa perkara yang menyentuh hati dan membuat saya merenung diri.

Moga Allah memberkatinya.

Selasa, 8 Januari 2013

Saad Abu Waqas

Judul buku : Saad Abu Waqas
Penulis : Abdul Latip Talib
Penerbit : PTS
Tarikh baca : 3-8 Januari 2013
Sumber : Pinjam adik ipar (",)


Kali ini saya buat sinopsis dalam Mind Manager (peta minda) sahaja. Malas pula mahu menulis panjang-panjang ^_^

Boleh klik untuk besarkan. 

Rabu, 19 September 2012

Badiuzzaman Said Nursi ~ Abdul Latip Talib

Orangnya hebat, hidupnya penuh dugaan dan penderitaan. Tetapi kemanisan iman membuatkan beliau tegar menghadapi segala tekanan dari pihak pemerintah.

Kagum sekali dengan ibu bapa yang mendidiknya. Ibu Said Nursi sentiasa dalam keadaan berwuduk sewaktu menyusukan beliau. Masha Allah.

Allah juga kurniakan kehebatan akal fikiran kepada tokoh ini. Dengan sekali baca sahaja beliau sudah mampu menghafal ilmu yang dibaca melalui buku dan kitab-kitab.

Mengarang berjilid-jilid Risalah An-Nur. Beliau memfokuskan kepada permasalahan umat dan mengambil tindakan bijak mengelakkan diri dari dunia politik. Namun itu semua tetap tidak diterima oleh pihak pemerintah. Berpuluh tahun dihukum buang daerah ke pelbagai tempat, risalahnya dikaji, para pengikutnya tidak terlepas dari seksaan pemerintah serta beliau sendiri sentiasa diancam maut dengan diracuni oleh pihak tertentu sehingga akhirnya berdoa supaya kuburnya tidak diketahui orang di mana letaknya.


Selesai membaca buku ini terasa Risalah An-Nur kalangan beliau sangat berharga.

Selasa, 19 Jun 2012

Diari Musafir : Jangan Berhenti Berlari

Buku setebal 448 muka surat ini sarat dengan mutiara ilmu hasil pengalaman dan pandangan penulis sepanjang kehidupannya.

Membaca mukaddimahnya sahaja sudah cukup mengujakan.

Banyak kata-kata penulis membuatkan saya muhasabah diri. Terutama apabila melihat keazamannya yang tinggi dalam menuntut ilmu serta penelitiannya dalam menjaga keberkatan rezeki. Masya Allah..

Dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar juga penulis menyeru supaya kita bersama-sama menggali ilmu sedalam mungkin sebagai benih untuk membolehkan kita mengenal mana yang baik dan mana yang buruk. Hanya melalui jalan ini kita dapat melaksanakan tugas (amar makruf nahi munkar) dengan lebih baik.

Hendak tunggu sehingga diri cukup ilmu dan sempurna tidak akan dapat tercapai melainkan ianya berlaku beriringan.

Tertarik dengan hadis ini :

"Sesungguhnya Allah, malaikat-Nya, penduduk langit dibumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan akan pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajar manusia ilmu kebaikan (agama)." [Riwayat Tirmizi, 5/50 : Tirmizi : Ghorib, Albani : Sahih]

Selain itu dapat saya lihat motivasi diri penulis sangat tinggi dan beliau menukilkan kata-kata ini di akhir mukaddimahnya :

Jangan jadikan pujian manusia sebagai motivasi unggul kerana ia akan mencelamu di kemudian hari.

Jangan jadikan duit sebagai motivasi unggul kerana ia akan hilang dan habis.

Jangan jadikan pangkat sebagai motivasi unggul kerana ia juga akan tamat dan menjadi punca hasad dengki.

Jangan jadikan keluarga sebagai motivasi unggul kerana mereka akan mati jua.

Jadikan Allah, Rasul-Nya dan syurga yang dijanjikan-Nya sebagai motivasi, nescaya Allah tidak akan mati dan janji-Nya tidak akan mengecewakannya. (m/s 24 - 25).

Titip beliau lagi, aturlah perancangan dengan betul dan bukan secara spontan tanpa hala tuju yang jelas bagi memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Bab-bab seterusnya menceritakan pengalaman beliau di alam kampus, di alam pekerjaan serta pengalaman-pengalaman hidup yang sangat bermanfaat dikongsi bersama.

Barakallahufik.

Khamis, 26 Januari 2012

Cerita Kak Wan


Kisah hidup Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang disampaikan dalam bentuk yang santai, ringkas tetapi padat. Mengandungi hanya 32 muka surat. Sempat memuatkan mengenai beliau dari kecil sehingga berjaya menerima anugerah pingat emas kerana menjadi pelajar terbaik fakulti perubatan di Dublin, Ireland, berkahwin dengan DSAI, peristiwa penangkapan DSAI dan lain-lain..

Ahad, 3 Julai 2011

37 Kisah Kehidupan Tabi'in Siri 1




Buku ini sebenarnya bacaan ulangan saya semenjak kali pertama dibaca pada tahun 2005 dahulu. Susunan ayatnya sangat menarik dan tidak terasa membosankan apabila membacanya.




Buku ini ada dalam 2 siri. Dalam siri pertama ini penulis mengisahkan tokoh tabi'in seperti Abdul Rahman al-Ghafiqi, Abu Hanifah al-Nu'man, Abu Muslim al-Khaulaani, Al-Ahnaf bin Qais, Al-Hasan al-Basri, Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, Amir bin Abdullah al-Tamimi, Amir bin Shurahabil, Ato' bin Rabah, Iyas bin Muawiyah al-Muzani, Muhammad al-Hanafiyyah, Muhammad bin Sirin, Muhammad bin Wasi' al-Azdi dan Al-Rabi' bin Khuthaim.




Abdul Rahman al-Ghafiqi dengan kepahlawanannya. Abu Hanifah pula terkenal dengan sifat dermawan, jujur dan kepintarannya dalam berhujah. Sehinggakan pernah Imam Malik mengatakan "sekiranya orang ini (Abu Hanifah) mengatakan tiang ini emas, dia akan mengeluarkan segala hujah untuk menyokong apa yang dikatakannya dan akhirnya tiang ini akan menjadi seperti apa yang dikatakannya.




Ada dalam satu peristiwa, seorang penduduk Kufah mendakwa Saidina Uthman bin Affan ialah seorang Yahudi. Maka beliau berjumpa orang itu dan mengatakan hasrat meminang anak perempuan orang tersebut untuk seorang lelaki berkedudukan, dermawan dan alim. Sudah pastilah si lelaki tadi gembira. Namun kata Imam Abu Hanifah, ada satu sahaja masalahnya. Lelaki yang ingin meminang ini ialah seorang yahudi. Tersentaklah lelaki tersebut dan marahkan Abu Hanifah. Dengan pantas lelaki itu dibidas, "Engkau tidak mahu mengahwinkan anak kamu dengan lelaki yahudi itu tetapi engkau canangkan ke seluruh manusia yang Nabi SAW kahwinkan dua puterinya dengan seorang yahudi!". Terus lelaki itu bertaubat.




Kisah Abu Muslim al-Khaulaani tidak kurang hebat. Kisahnya seperti Nabi Ibrahim alaihissalam. Beliau menentang nabi palsu iaitu al-Aswad al-Ansi. Pada satu ketika belaiu dijatuhkan hukuman oleh nabi palsu itu. Namun atas sebab-sebab tertentu al-Aswad tidak jadi menghumban Abu Muslim ke dalam api kerana ditakuti beliau selamat dan menjadikan pengikut-pengikutnya berpaling tadah. Namun, ada pendapat yang mengatakan Abu Muslim telah dicampakkan ke dalam api namun masih selamat kerana Allah memberi rahmat kepadanya dengan menyejukkan api tersebut. Subhanallah!




Ini hanyalah sedutan sebahagian kecil kisah dari buku ini. Ada banyak lagi peribadi yang mengagumkan di dalamnya dan mutiara-mutiara kata yang hebat dan menginsafkan..

Ahad, 17 Oktober 2010

Tertangguh..

Banyak benar rasanya buku yang telah selesai dibaca namun tidak sempat dibuat ulasan. Tidak mengapalah saya hanya sentuh sedikit-sedikit sahaja :)

Antara buku yang telah selesai dibaca ialah 8 Tokoh Wanita Pencetus Turunnya Wahyu karangan Dr Abd Rahman Umayrah terbitan Mustread. Buku ini saya beli kerana tertarik dengan tajuknya. Saya tidak terfikir akan tokoh-tokoh wanita yang menjadi penyebab turunnya wahyu. Sungguh, mereka ini memiliki akhlak yang mulia serta terpuji malah Allah mendengar permintaan dan rintihan mereka berkenaan sesuatu masalah yang berkaitan dengan mereka tetapi masih belum ada hukum berkenaannya ketika itu.

Antara tokoh tersebut ialah Saidatina Aisyah r.a, Khaulah binti Tha'labah, anakanda puteri Rasulullah SAW ; Fatimah dan 5 lagi tokoh. Saidatina Aisyah dengan kisah fitnah yang melanda dirinya manakala Khaulah binti Tha'labah berkenaan hukum zihar.

Diceritakan suaminya marah kepadanya sehingga mengatakan "punggungmu seperti punggung ibuku!". Lalu suaminya keluar rumah dan apabila kembali beliau mahu bersama dengan isterinya. Tetapi dengan tegasnya Khaulah menolak "sehingga adanya ketetapan". Hal ini kerana, ayat dituturkan oleh suaminya itu adalah ucapan yang biasa digunakan ketika zaman jahiliah dahulu apabila seorang suami ingin menyeksa isterinya. Apabila terjadi perkara itu, si isteri tidak akan mendapat hak setaraf isteri tetapi statusnya tidaklah juga diceraikan. Hal inilah yang menunjukkan kezaliman kepada pihak isteri.

Khaulah mengadu kepada Rasulullah SAW namun Rasulullah SAW tidak dapat memutuskan sehinggalah Allah menurunkan wahyu melalui surah al-Mujadalah ayat 1. Inilah asbabun nuzul ayat berkenaan hukum zihar diturunkan.




Novel Weil China karya Emine Syenlikoglu ini baru sahaja selesai dibaca. Masya Allah saya tidak
dapat menggambarkan betapa kejamnya komunis. Kisah benar yang diceritakan dalam bentuk novel ini bagai merobek hati dan perasaan ketika membacanya.

Kisah sedih ini bermula apabila si bapa menghantar dua orang anak lelakinya belajar di bandar. Sungguhpun bimbang dengan akidah kedua anaknya terpengaruh dengan komunis namun apakan daya, mereka perlu dihantar juga untuk belajar. Seminggu, dua minggu, sebulan berlalu tanpa ada masalah. Namun lama-kelamaan kebimbangan si bapa nampak semakin jelas apabila kedua anaknya terutama si abang mula mempersoalkan ritual agama yang selama ini dipegang kukuh oleh mereka sekeluarga.

Daripada seorang muslim, mereka berdua beransur-ansur menjadi ateis. Semuanya gara-gara komunis. Sakit sungguh hati melihat dakyah komunis itu berjaya memurtadkan mereka adik-beradik. Malah mereka berdua begitu komited dengan komunis sehingga menjawat jawatan penting.

Namun timbul jua kesedaran dalam diri si adik apabila melihat beberapa perkara yang tidak enak dirasakan. Syukurlah hidayah Allah masih lagi bersinar. Sejak itu si abang memusuhi adiknya sehinggalah berlaku musibah besar terhadap keluarga mereka. Bermulalah episod kekejaman dan sejarah hitam dalam hidup si adik. Bapa mereka dibunuh, anak buahnya yang masih bayi dicabut kepala dari badan, kakak iparnya yang gila ditembak mati, ibu dan kakaknya dipisahkan dan dihantar ke luar negara. Manakala dirinya sendiri dipenjarakan berpuluh-puluh tahun lamanya. Diseksa dengan pelbagai cara namun dia masih bernyawa sehinggalah hari dia dibebaskan... Buku ini dicadangkan kepada anda untuk membacanya. Recommended!

Khamis, 26 Ogos 2010

Asam Pedas Gula Melaka


Judul buku : Asam Pedas Gula Melaka

Penulis : Norbi Husin

Penerbit : Utusan Publications & Distributors (2005)

Harga : RM43.00

Bilangan muka surat : 588

Sumber : Beli di Popular Jaya Jusco Bandaraya Melaka

Tamat baca pada : 20 Ogos 2010

Sumber gambar : Ujana Ilmu


Buku setebal 588 muka surat ini merakamkan perjalanan seorang guru yang cukup komited dan dedikasi terhadap tugas yang dipikulnya. Kagum. Itulah antara pandangan pertama saya mengenai penulis. Buku ini terbahagi kepada 4 bahagian.


Bermula sebagai guru biasa kemudian dilantik menjadi pengetua sehinggalah dilantik berkhidmat di jabatan pelajaran, banyak pengalaman yang dikongsi bersama pembaca. Ada suka, ada duka. Ada pahit dan ada manis. Mungkin kerana itulah tajuk Asam Pedas Gula Melaka ini dipilih. Unik.


Saya terfikir-fikir akan kekuatan beliau dan nyata prinsip yang dipegangnya adalah jitu dan tegas. Tanpa mengenal jemu dan sentiasa melakukan yang terbaik adalah formula kejayaan yang selalu memacu visi dan misi beliau sepanjang perkhidmatan.


Saya banyak belajar dari pengalaman beliau. Nyata, jangan membuat kerja seperti melepaskan batuk di tangga. Harus sentiasa rajin dan berusaha sebaik mungkin apabila melakukan sesuatu. Komunikasi yang baik antara rakan sejawat serta seluruh warga sekolah secara umumnya perlu ada pada setiap orang.


Saya terkesan dengan salah satu kisahnya yang ingin menjadi guru jadual waktu. Pada masa dahulu penyusunan jadual waktu guru adalah menggunakan cip berwarna-warni. Disebabkan beliau belum pernah diberi tugas guru jadual waktu, beliau sangat ingin menjawat jawatan tersebut. Malangnya tidak diberi peluang oleh pengetua.


Apakah tindakan beliau?
Saya tidak menyangka beliau akan menukar cip-cip tersebut (sewaktu ketiadaan GPK yang bertanggungjawab) dengan harapan akan berlaku pertindihan waktu mengajar guru-guru. Benar seperti yang dijangkakan, keesokan harinya ramai guru datang ke pejabat mengadu masalah yang dihadapi. Peninglah kepala GPK mendengarnya.


Beliau dengan sengaja lalu di pejabat dan menawarkan diri membantu menyelesaikan masalah tersebut. Wah, sukar juga untuk menyusun semula. Hal ini kerana beliau telah terlupa sebahagian 'pertukaran' yang telah dilakukannya sehari sebelum itu. Beliau mengambil masa selama 1 jam untuk menjadikan jadual waktu itu kembali seperti asal.
Hasilnya, tahun berikut beliau dilantik memegang jawatan tersebut!



Wah, jarang sekali ada guru yang menawarkan diri secara sukarela untuk memegang jawatan kerana kerja sedia ada juga sudah banyak. Tetapi jika minat sudah ada apa yangdilakukan tidak akan rasa penat malah akan rasa puas dan seronok :) Saya juga berharap dapat menjadi seorang yang dedikasi terhadap tugas. Insya Allah.

Sabtu, 17 Julai 2010

10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga


Judul buku : 10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga
Penulis : Saridah Hamid
Penerbit : PTS Islamika
Harga : RM 12

Buku kecil ini menghidangkan 31 kisah mengenai 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga. 4 khulafa al-rasyidin, Zubair b Awwam, Abu Ubaidah al-Jarrah, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas, Talhah bin Ubaidillah, dan Said bin Zaid.

Bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan golongan sasaran pembaca ialah golongan remaja. Buku ini juga sesuai dijadikan bahan cerita sebelum anak-anak tidur.

Saya dapati kesemua sahabat semasa belum memeluk Islam lagi telah memiliki akhlak yang mulia dan tidak terpengaruh mengikuti kegiatan-kegiatan jahiliah seperti menyembah patung dan meminum arak. Subhanallah. Allah memelihara mereka daripada melakukan perbuatan tersebut.

Selasa, 26 Januari 2010

Imam Syafie Pejuang Kebenaran

Sumber gambar : Blog Pak Latip

Judul buku : Imam Syafie Pejuang Kebenaran
Penulis : Abdul Latip Talib
Harga : RM 24.00
Sumber : Beli di MPH Alamanda

Hidupnya dalam kekurangan. Tetapi semangatnya menuntut ilmu tidak pernah malap. Malah sentiasa membara. Membaca kisah hidup Imam Syafie mengundang 1001 rasa. Maha Suci Allah yang mengangkat darjat hamba-Nya apabila seseorang hamba itu dekat dengan-Nya.

Imam Syafie merupakan tokoh ilmuwan terbilang. Seorang yang warak, alim, dan zuhud. Beruntung dirinya lahir dalam keluarga yang begitu menitikberatkan ilmu agama. Pernah sekali Imam Syafie belajar bersyair namun disebabkan beliau sedikit terkasar dengan ibunya, lantas disuruh Imam Syafie pergi menuntut ilmu agama untuk menjadi seorang ulama dan menjadikan dirinya seorang yang merendah diri dan berbudi bahasa.

Saya kagum dengan daya ingatan dan hafalan Imam Syafie. Dikatakan sekiranya lembaran-lembaran kertas, pelepah dan daun yang ditulis ilmu setinggi gunung pun akan dapat dihafalnya. Beliau hafaz al-Quran ketika usia baru mencecah 9 tahun, menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik pada usia awal remaja, dan dapat menghafal puluhan ribu syair sebuah kaum sehingga menjadikan dirinya seorang pakar rujuk dalam ilmu syair.

Beliau mengembara dari sebuah negeri ke sebuah negeri bagi menimba ilmu pengetahuan sehingga kesemua bidang telah dapat dikuasai dengan mahir. Malah beliau juga diberi kepercayaan untuk memberi fatwa dan menggantikan gurunya sendiri untuk mengajar kuliah agama kepada orang ramai.

Setiap yang baik pasti ada penghalangnya. Beliau dan anak-anak didiknya pernah difitnah merancang penggulingan khalifah oleh gabenor di tempatnya sendiri. Dua bulan lamanya perjalanan dari Najran ke tempat khalifah dengan berjalan kaki di atas padang pasir yang panas sehinggakan darah hitam melekat pada besi-besi yang merantai kaki mereka. Begitu azabnya dirasakan. Namun begitu Imam Syafie dan pengikut-pengikutnya tetap sabar dan di bibir tidak lekang dengan alunan ayat al-Quran yang telah dihafal.

Penyeksaan yang diterima semasa dalam tahanan turut tidak menjejaskan iman mereka. Akhirnya dengan pertolongan Allah, Imam Syafie berjaya dibebaskan dan gabenor yang memfitnahnya turut mendapat balasan.

Imam Syafie terus memberi kuliah agama dan beliau tidak gentar memperkatakan kebenaran. Beliau selalu diancam oleh puak yang bertentangan pendapat dengannya. Namun beliau lebih suka mengambil jalan berdiam diri ataupun mengelak dari berhujah dengan golongan ini. Hal ini bagi mengelakkan pergaduhan.

Semoga Imam Syafie dirahmati Allah.

Ahad, 14 Jun 2009

Islamic Leader Fathi Yakan Dies

Source : naharnet.com

The Islamic Action Front announced Saturday the death of its leader Fathi Yakan. He was 76 years old.

In a statement, the IAF said Yakan passed away at 4:45pm in Hotel Dieu Hospital, where he was admitted on Friday night.
Yakan's body will be moved to Tripoli on Sunday morning. The time and place of the funeral will be announced at a later time, the statement added.

The IAF earlier denied media reports of Yakan's death but said he was in critical condition.
Yakan was born in the northern port city of Tripoli in 1933. He became involved in Islamic work in Lebanon in the mid 1950s and was a pioneer in the establishment of the Islamic Movement. Yakan was elected a member of parliament in 1992.

Beirut, 13 Jun 09, 18:03
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Note : Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Saya menerima mesej lewat petang semalam daripada rakan-rakan mengenai pemergian tokoh ini. Bukunya "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" sangat terkenal dan menjadi bahan-bahan usrah dan ilmiah yang sentiasa menjadi rujukan.