Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan

Isnin, 18 Ogos 2014

Buku 41 : Cukupkah Wang Anda? oleh Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir

Bismillahirrahmanirrahim.

Bacaan yang tertangguh sejak Julai. Alhamdulillah dapat selesaikan hari ini. Hajah Rohani tidak perlu diperkenalkan lagi kepakarannya di dalam bidang kewangan.

Apa jua ilmu yang kita dapat perlu dipraktikkan sebenarnya. Jika hanya sekadar menjadi catatan, ilmu itu pun tidak berkembang dan memberi manfaat kepada kita. Ingatan untuk diri sendiri sebenarnya ini. Hihi.

Sebahagian tip beliau memang telah dipraktikkan namun ada juga kami terbabas. Haha.. Oh, melalut pula saya. Kembali kepada buku ini.

Ketika membaca buku ini, saya rasa seperti pernah membaca beberapa artikel yang ditulis. Hmm..mungkin saya pernah membacanya di mana-mana.

"Gaji besar atau kecil tiada bezanya apabila anda tahu apa itu 'formula kekayaan.'

Apa yang penting ialah ISTIQAMAH. Terutama dalam menyimpan dan mengawal nafsu berbelanja. Dalam pengurusan kewangan peribadi, tiga perkara yang perlu diberi perhatian ialah tabung kecemasan (simpanan sekurang-kurangnya menyamai jumlah enam bulan perbelanjaan yang telah ditabungkan), perlindungan dan pelaburan. Antara perkara pertama perlu diberi perhatian ialah pemberian ikhlas kepada ibu bapa jangan diabaikan setiap bulan :)

Penulis menyebut mengenai Minda Kemewahan :

1. Fikirkan pengurusan kewangan peribadi sebagai sebuah bisnes kecil.

Kemasukan bisnes = Pendapatan yang diterima
Pengeluaran bisnes = Perbelanjaan anda
Untung bisnes = Pendapatan - Perbelanjaan (Wang tunai bersih)

Manakala lebihan wang tunai dilaburkan.

2. Setiap ringgit ada nilainya.

Tidak dilupakan perancangan kewangan ukhrawi seperti yang disebut penulis dalam 'Kubah Kehidupan' :

1. Infak - khusus untuk mendapat keredaan Allah
2. Sedekah - pemberian sukarela
3. Lambaian Kaabah - Haji
4. Zakat
5. Wang keluar mandatori - 20% dibahagikan untuk takaful, amanah saham dan simpanan tabung haji.




3 jenis perbelanjaan

Saya suka bahagian ini. Cepat-cepat saya ambil kertas dan pen dan lakarkan seperti yang ditulis oleh penulis ^_^

* Tip untuk isteri menjimatkan belanja dapur : sediakan menu mingguan (muka surat 131).

Langkah pencegahan muflis :

- Hutang bayar tepat tempoh.
- Fail khas.
- Tidak ambil hutang peribadi.
- Bayar penuh kad kredit tiap bulan.
- Tidak jadi penjamin.
- Jelaskan pinjaman pelajaran.
- Tak beri kad pengenalan pada orang lain.
- Dapatkan khidmat AKPK.

Wallahualam.

Ahad, 4 September 2011

Makan Gaji tetapi Kaya

Buku ini saya beli awal tahun ini sewaktu dalam fasa menyusun kembali aliran kewangan keluarga. Namun baru hari ini saya dapat tamatkan pembacaan. Memanglah sebelum ini aliran wang keluar masuk dicatat dalam buku tetapi sewaktu saya 'bercuti' kerana berpantang melahirkan Khaulah, habis semua tidak didokumentasikan (heh, macamlah duit banyak sangat. Huhu)

Kenapa saya bekerja? Oh, itu soalan yang subjektif ye. Anda juga mempunyai sebab sendiri untuk bekerja kan? Mungkin untuk menyara hidup, keluarga, kepuasan diri, membayar hutang atau sebagai hobi.

Buku ini sedikit sebanyak memberi panduan kepada saya yang memang cetek ilmu dalam hal-hal pengurusan wang. Memang makan gaji kita tidak boleh kaya sangat tetapi kita masih boleh hidup dan dapat menjalani kehidupan dengan baik (mungkin :)).

Antara tip yang disyor oleh penulis ialah menjadi pekerja super. Apa yang dimaksudkan dengan pekerja super? Pekerja super ialah pekerja yang mempunyai cukup kelayakan dan pengalaman. Ada nilai tambah lain iaitu bersikap jujur dan taat setia. Bekerja melebihi apa yang sepatutnya juga boleh menambah keberkatan. Ha, satu lagi isu yang timbul. Kita perlu mencari rezeki yang halal lagi BERKAT. Jika ingin diulas, panjang lebar pula nanti mengenai isu berkat ini. Tentu saudara-saudari sekalian mafhum mengenai keberkatan dalam mencari rezeki kan. Mungkin saya dapat ulas di lain entri.

Dalam bekerja makan gaji, sudah pasti dilema yang dialami adalah sama. Meskipun kita akan menerima kenaikan gaji tetapi perbelanjaan juga tetap akan naik. Bagaimana sekiranya kita jatuh sakit atau kemalangan? Bagaimana mahu menampung kehidupan keluarga kita? Huhu...memang persoalan ini wajib difikirkan terutama saya yang makan gaji ini.

Bebaskan diri daripada belenggu hutang. Bak kata penulis, hutang itu ibarat racun yang mengikis kebahagiaan masa hadapan kita. Bebaskan diri dari hutang tidak perlu. Berbelanja juga tidak melebihi 70% daripada gaji.

Saya sangat tertarik dengan formula 10% dibayar kepada diri sendiri (seperti reward yourself) dan 20% lagi untuk tabungan kecemasan. Seeloknya buatkan akaun berasingan bagi setiap bahagian. Secara mudahnya mengikut kefahaman saya ialah seperti ini :

Misalnya gaji yang diterima ialah RM2000 sebulan. Maka bahagikan kepada 3 pecahan :

Akaun 1
(akaun gaji dimasukkan) : RM1400 (setelah ditolak simpanan akaun 2 & 3)

Akaun 2
(10%-reward yourself) : RM200

Akaun 3
(20%-kecemasan) : RM400


Maka perbelanjaan bulanan mestilah tidak melebihi wang di dalam akaun 1.

Duit yang ada dalam akaun 3 kita simpan sehingga menyamai 6 bulan gaji bermakna kita akan mengambil masa selama 30 bulan untuk menjadikan jumlah sebanyak RM12 000. Menurut penulis, setelah menyamai 6 bulan gaji kita tidak perlu lagi memasukkan ke dalam akaun 3 pada bulan hadapan. Tetapi pada masa yang sama akaun 2 tetap dimasukan 10% tadi. Tapi terpulanglah kepada anda. Buku ini hanya memberi cadangan dan panduan sahaja :)

Baik, jika anda ingin melabur, bolehlah digunakan akaun 2. Carilah pelaburan islamik supaya menepati syarak dan kita juga selamat dunia akhirat.

Untuk menambah simpanan, ikut formula yang 'senang' : kurangkan perbelanjaan! Namun, mana mungkin dengan situasi kini di mana harga barang semakin naik. Kuasa membeli kita sebagai pengguna semakin kecil dan kita harus bijak merancang (Hj Mahdzir Md Isa). Disarankan mencari pendapatan alternatif. Hm..berniaga? Saya rasa saya tidak pandai berniaga. Tiada skill :) Penulis ada mencadangkan hartanah sebagai pendapatan sampingan. Bagaimana caranya? Anda dapatkanlah buku ini kerana banyak lagi isi-isi yang tidak dapat saya coretkan di sini tetapi bermanfaat untuk kita insya ALLAH.

Isnin, 13 Julai 2009

Ke Mana Wang Anda

Tajuk : Ke Mana Wang Anda?
Penulis : Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : RM 20.00
Bil muka surat : 214

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sebenarnya telah lama saya ingin menulis resensi ini di sini tetapi baru sekarang saya berkesempatan. Sementelahan baru seminggu lebih biasiswa kami guru-guru pelatih IPGM masuk ke akaun, suka saya ingin berkongsi buku-buku ini dengan rakan-rakan. Ada orang tidak mampu menguruskan wangnya. Tidak sampai sebulan kesemua duit biasiswa telah mula kering. Bagaimana hal ini boleh terjadi? Di dalam ini terdapat banyak tip yang diberikan oleh pakar kewangan ini bagaimana cara menguruskan wang. Tidak rugi anda memiliki buku ini.

Saya fokuskan kepada cara mengurus wang bagi pelajar-pelajar IPT :

Cara menjimatkan penggunaan pinjaman pengajian tinggi seperti PTPTN (bagi konteks kita, biasiswa) :

1) Tabungkan 20% yang diterima awalnya.
2) Beli polisi takaful untuk bagi perlindungan jika terjadi kemalangan pada diri.
3) Guna kad prabayar untuk telefon bimbit dan hadkan penggunaannya.
4) Elak makan luar berlebihan.
5) Sesekali makan roti untuk jimatkan wang.
6) Riadah - joging atau main badminton. Elakkan menonton wayang.
7) Amalkan puasa sunat.
8) Buat kerja sambilan semasa cuti.
9) Buat akaun berasingan untuk tabungan anda yang TIDAK menggunakan kad ATM.

Suka untuk saya sarankan membuat simpanan wang di tabung haji. Walau pun mungkin terasa masih 'muda' dan tidak terfikir lagi untuk menunaikan haji, tetapi tidak salah jika kita memulakan langkah dari sekarang :) Juga boleh menyimpan buku ledger. Ada seorang rakan saya yang gemar menggunakan buku ledger ini untuk mencatat semua perbelanjaan keluar masuk. Dan hasilnya memang dia seorang yang sangat pandai menguruskan wang :) (credit to B).

Antara yang terkandung dalam buku ni :

#Isteri sebagai pengawal bajet keluarga :

1)Tahu pendapatan bulanan pasangan.

2)Catat semua perbelanjaan keluarga.

3)Sediakan perancangan kewangan keluarga.

-Surplus : lebihan bajet daripada perbelanjaan bulanan

-Defisit : Over budget

4)Berusaha kurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.

5)Berusaha meningkatkan pendapatan keluarga.

6)Sediakan garis panduan perbelanjaan keluarga.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Dicadangkan guna Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga yang dikeluarkan oleh BNM.

#Catat semua perbelanjaan. Bawa buku nota kecil yang boleh muat dalam poket (bagi lelaki) atau beg tangan.

#Tukar kepada NGV silinder.

#Buat perbincangan keluarga langkah penjimatan. Contohnya tutup suis apabila tidak digunakan.

#Tumpang kereta jiran jika kerja di laluan yang sama.

#Ubah gaya hidup yang berlainan.

#Lihat PERLU @ MAHU? Contoh : beli 4-5 majalah sebulan, kini teliti dahulu yang mana lebih baik.

#Senaraikan SEMUA hutang. Selesaikan yang KECIL dahulu.

#Kurangkan makan di luar – berpiknik @ masak di rumah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Petua berbelanja di luar :

1)Tetapkan kekerapan.

2)Tetapkan bajet.

3)Pilih jenis makanan dan bandingkan harga.

4)Pilih restoran yang bersih.

5)Jika belanja kurang daripada bajet, tabunglah wang tersebut.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Belanja raya :

1)Pakaian.

2)Makanan.

3)Duit raya.

4)Persiapan rumah.

5)Balik kampung.

6)Rumah terbuka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Tambah pendapatan dengan berniaga.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Merancang percutian keluarga :

1)Bincang matlamat percutian.

2)Pilih penginapan – kos adakah termasuk sarapan percuma, kenal pasti kadar sewa.

3)Makanan.

4)Pengangkutan.

5)Ole-ole.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Kenduri kahwin :

1)Tetapkan tarikh kenduri.

2)Anggar jumlah jemputan.

3)Rancang tempat yang akan diadakan.

4)Tetapkan menu yang akan disediakan.

5)Senaraikan keperluan pinggan mangkuk dan cara mendapatnya – beli atau sewa.

6)Senaraikan keperluan khemah, kerusi, meja.

7)Pemberian kepada tetamu. Tetapkan bajetnya.

8)Tentukan jumlah kakitangan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Tip-tip memiliki rumah sendiri :

1)Pelan rumah – pastikan sesuai dengan jumlah ahli keluarga.

2)Lokasi kediaman – adakah dekat dengan masjid, sekolah, padang permainan, pejabat, dan lain-lain.

3)Rancangan pembangunan – jika di situ akan jadi tempat pembuangan sampah, nilai hartanah akan jatuh nanti.

4)Cara memiliki rumah – pembiayaan / tunai ?

5)Ambil perlindungan takaful yang sesuai.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Belanja untuk anak-anak :

1)Bayi ke tadika

2)Sekolah rendah

3)Sekolah menengah

4)IPT

a)Bayi :

-Kos pemeriksaan oleh doktor dan melahirkan.

-Peralatan bayi seperti basin, tempat tidur dll.

-Pakaian dan lampin.

-Perkakas penyusuan.

-Kos perubatan / kesihatan bayi dan suntikan pelalian.

b)Tadika – yuran.

c)Sekolah rendah dan menengah :

-Bagi anak wang saku.

-Ajar anak isi buku Wang Saku yang dikeluarkan oleh BNM.

-Bawa bekal ke sekolah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Sedia polisi takaful untuk anak yang bakal lahir.

#Merancang keperluan kewangan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran :

1)Catat umur anak anda sekarang dan jangkaan umur mereka apabila ingin lanjutkan pelajaran.

2)Bila dah tetapkan jurusan pendidikan. Pantau kecenderungan anak tahun demi tahun.

3)Nyatakan kos yang akan dikenakan bila ambil kursus yang dikenal pasti seperti tiusyen, saran, tempat tinggal.

4)Jangkaan gaji ibu bapa apabila anak-anak melanjutkan pelajaran kelak.

5)Pilih instrument kewangan untuk menabung / melabur bagi menetapi keperluan kewangan :

-saham amanah

-saham amanah ekuiti

-saham amanah bon

-simpanan di Tabung Haji

-Pelan Pendidikan dan Pelan Simpanan

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Catat butiran hutang :

1)Nama institusi kewangan :

2)Jumlah pinjaman yang diambil :

3)Tempoh pinjaman (tahun / bulan) :

4)Baki sekarang (tarikh) :

5)Ansuran bulanan (jumlah) :

6)Kadar faedah / kos yang dikenakan :

7)Cagaran (rumah / kereta / tanah / saham) atau tiada :

8)Nombor telefon / nama pegawai :

9)Ansuran tertunggak (jika ada, nyatakan bulan dan jumlah) :

10)Status kutipan dengan bank (surat tuntutan / surat nak tarikh / hadap di mahkamah / lelong) :

11)Status rayuan anda (telefon, surat, sudah jumpa) :

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

#Keperluan persaraan :

1)Kenal pasti jumlah saraan yang diperlukan sebulan apabila bersara kelak. -Ambil kira tanggungan anda, pembayaran hutang jika masih ada, tanggungjawab pergi haji, perubatan / pembedahan.

2)Jika jumlah ini RM 2000, kira ‘terbalik’. Andaikan duit ditabungkan di bank dan terima 4% sebulan, berapa jumlah simpanan yang diperlukan?

RM 2000 X 12 = RM 24 000

RM 24 000 / 0.04 = RM 600 000

3)Oleh itu, RM 600 000 X 4% = RM 24 000 / tahun atau RM 2000 / bulan.

4)Berapa anggaran simpanan KWSP yang anda akan ada pada tarikh bersara dan tolak angka yang diperlukan seperti untuk dapatkan tambahan tabungan yang diperlukan.

Hehe..panjangnya list..

Selamat menguruskan kewangan anda!

AdH