Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Isnin, 2 Januari 2017

Bismillah.. Misi 2017 bermula

Sumber gambar : Laman web PTS
Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selesai bacaan buku pemula tahun ini.

Akrab Dengan Tuhan.

Buku ini ditulis oleh Ust Mohd Zawawi Yusoh dan Amira Hariyati Ruzaidi, terbitan PTS tahun 2010. Saya suka buku ini. Penerangan jelas walaupun isi ringkas tetapi padat. Banyak sekali analogi yang bersesuaian dikemukakan menjawab persoalan mengenai Allah dan Islam. Masya Allah.

Buku ini mengupas 11 bab seperti Siapa Tuhan?, Kenal Tuhan, kenal kita, Tuhan Yang Satu?, Di Mana Tuhan?, Ada Apa Dengan Manusia, Tuhan dan Manusia, Tuhan itu Adil, Ujian Tuhan adalah Tanda Kasihnya, Yakini Tuhan, Hidayah Suluh Kehidupan dan Mencari Cinta.

Fitrah merasa diri bertuhan itu wujud dalam semua hati manusia. 

Sebagai hamba Allah, kita patut bersyukur dan mengimani keesaan-Nya. Oleh sebab itu, setiap daripada kita adalah pendakwah. Ramai orang takut dengan istilah ini. Namun kita boleh menjadi pendakwah dengan mulakan dengan diri sendiri. Menunjukkan akhlak yang baik dan menerangkan keindahan Islam dengan baik.



Allahu..mari mulakan dengan diri sendiri dahulu..

Buku 1 / 2017
(1 - 2 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Khamis, 19 Mac 2015

RakBuku2015 (10) Usahawan Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.

Sejujurnya saya tidak mengenali Tuan Mohd Zaini Mohd Ariff tetapi saya telah membaca hasil tulisannya dalam buku Ilmu Kehidupan dan saya rasakan beliau sangat bersungguh menyebar kebaikan dan memberi nasihat.

Alhamdulillah bertemu buku ini yang memberi ruang kefahaman yang lebih luas dalam mencari rezeki dan menghadapi ujian hidup. Semoga Allah memberkati keduanya (Tuan Mohd Zaini dan Prof Kamil). Wallahualam.

23637860

Sumber gambar : sini

Ahad, 31 Ogos 2014

Buku 47 : Bahagia dan Membahagiakan oleh Prof Dr Muhaya Hj Mohamad



Bismillahirrahmanirrahim.

Orang yang 'stress' sebenarnya pergantungan kepada Allah tidak kuat.

Oh! Ayat ini membuatkan saya tersentak @_@ hee..

Penulis menekankan kepentingan bersikap positif, berfikiran positif, banyak membantu orang lain, banyak memberi dan memaafkan sebagai elemen bahagia dan membahagiakan.

Sebagai contoh, orang yang panas baran selalunya orang yang tidak gembira dengan diri sendiri. Cara berhadapan dengan orang yang panas baran ini ialah dengan menganggap dia sebagai pesakit dan kita sebagai doktor. Perbetulkan diri kita dahulu, berasa belas dengannya dan cuba berkomunikasi dengan baik.

Manakala bagi orang yang pemarah pula ialah orang yang takut akan dua perkara iaitu takut kehilangan dan takut tidak dihormati. Ini berpunca daripada kebergantungannya kepada manusia dan bukan kepada Allah.

Bagaimana cara mewujudkan rasa takut kepada Allah? Pertama, ambillah masa berfikir dan merenung kekuasaan Allah, mendalami agama seperti ilmu tafsir al-Quran dan hadis dan banyak membaca, menghadiri kuliah-kuliah agama dan bermuhasabah. 


Selain itu, setiap hari selepas bangun dari tidur ucapkan dan doa yang baik-baik sebelum memulakan hari. Misalnya :

"Saya ingin lebih beriman, bertaqwa, bersyukur, berkasih sayang dan memberi yang terbaik. Saya beriman dan yakin dengan kuasa dan ketentuan Allah terhadap kehidupan saya."

Formula murah hati berasaskan kepada lima aspek ini :

1. Fizikal ; membantu orang lain hatta mengangkat barang.
2. Penuh kasih sayang
3. Kerohanian (pegangan agama) ; amar ma'ruf nahi mungkar
4. Kewangan ; membantu orang atau bersedekah
5. Ilmu ; menyebarkan ilmu

Semoga mendapat keredaan-Nya. Barakallahufik. :)

Khamis, 28 Ogos 2014

Buku 44 : Kupilih Redha-Mu oleh Ruhana Zaki


Bismillahirrahmanirrahim.

Pada mulanya saya tidak mengetahui konsep buku ini kerana tidak membaca sinopsisnya :) Maklumlah, orang beri hadiah, terlebih gembira pula saya ;)

Awalnya, saya menjangka ianya sebuah travelog namun helai demi helai yang dibaca menafikan tanggapan awal saya tadi. Penulis berkongsi kisah motivasi islamik yang merangkumi peranan kita semua dalam sebuah kehidupan. Sebagai seorang suami, isteri, ibu bapa, anak, pelajar dan tidak lupa sebagai hamba Allah.

Dalam kata lain, boleh saya katakan tazkirah ringkas. Semasa membacanya seolah-olah saya rasakan seperti berbual-bual dengan penulis. Isu yang dilontarkan memang sering berlegar dalam masyarakat namun pendekatan jawapan yang diberi menepati objektif dan mesej yang ditujukan itu kena pada tempatnya.

Terima kasih ustazah. Banyak ilmu berharga dapat saya kutip dari buku setebal 340 muka surat ini. Terkesan dengan bab-bab di dalam bahagian Melakar Keluarga Sakinah dan Cemerlang Dunia Gemilang Akhirat. Dalam Melakar Keluarga Sakinah, pelbagai aspek dan sisi dalam keluarga disentuh seperti faktor sekufu, suami sepenuh masa, saling hormat-menghormati dan perihal doa ("Abang Doa Apa Untuk Saya?").

Cemerlang Dunia Gemilang Akhirat adalah berkenaan pelajar.Jangan rasa menyesal andai tidak dapat enjoy ketika zaman belajar. Bukankah elok menuntut ilmu bersungguh-sungguh. Tertunai tanggungjawab dan amanah kita sebagai pelajar dan anak. Mendapat pahala lagi atas kesungguhan belajar.

Isnin, 31 Mac 2014

Buku 15 : Demi Masa oleh Dr Zulkifli Al-Bakri

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selesai membaca karya Dr Zulkifli Al-Bakri. Naskah ringkas setebal 68 muka surat ini merupakan sebuah buku motivasi mengenai masa yang menghimpunkan lima bab. Saya suka sekali mengutip mutiara ilmu dari penulis yang sememangnya membicarakan topik yang sangat dekat dengan kehidupan kita.

"Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang ." (Hadis riwayat Bukhari)

Bab awal membicarakan tafsir surah al-Asr, dalil-dalil hadith berkaitan masa seterusnya mutiara kata dan hikmah, prihatin dan cakna ulama terhadap masa dan cara ulama membahagikan masa.



Wallahualam.


Rabu, 19 Mac 2014

Buku 11 : Senyumlah oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Bismillahirrahmanirrahim.

“Apakah perkara yang paling senang dibuat oleh kamu?,” tanya seorang naqibah usrah satu ketika dahulu. Ada yang menjawab “tidur”, “membaca”, “memberi salam” dan “senyum”. Rupa-rupanya perkara yang paling senang dibuat ialah meninggalkan solat. Itulah lontaran  pertanyaan oleh Imam Ghazali kepada anak-anak muridnya.

Bila difikirkan semula, sebenarnya senyum bukanlah perkara yang mudah untuk dibuat dalam semua keadaan. Apabila kita melihat seseorang senyum kepada kita, secara  automatik kita turut tersenyum. Tetapi sekiranya orang itu bermuka masam, adakah kita  secara naturalnya akan melontarkan senyuman? 

Buku nukilan Al-Fadhil Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man ini mengajak pembaca berfikir dan meluaskan horizon kefahaman agama dalam semua aspek kehidupan. Islam adalah agama yang syumul. Sempurna. 

Sekiranya kita terbeban dengan masalah di dunia, ingatlah bahawa Allah tidak membebankan   hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu ditangani. Sekiranya ditimpa penyakit atau musibah, ingatlah pesan Nabi Sollallahu Alaihi Wasallam ini : 

“Allah tidak akan menghantar penyakit melainkan diturunkan penyembuh, mereka  yang tahu, maka dia tahu, mereka yang jahil (tidak tahu), maka tidak tahulah ia.”  (Hadis riwayat Imam Ahmad no 3397).

Ubati kemurungan dengan mengawal fikiran daripada melayang liar dengan melakukan KERJA. Apabila marah, haruslah diam buat beberapa ketika kerana marah itu hanya  beberapa saat. Kemudian, akan menurun darjah kemarahan. Sebaik-baiknya jagalah perkataan ketika marah kerana lidah memang tidak bertulang.

Seringkali juga ketika berbicara sesama rakan kita akan berbual banyak perkara dan  awasi TETAPI ketika berbicara mengenai seseorang kerana kebiasaannya akan datang  perkara yang tidak baik mengenai insan itu tanpa kita sedari. Allah memberi peringatan :

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji....” (Surah Al-Humazah : ayat 1)

“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk pecah  belahkan orang ramai).” (Surah Surah Al-Qalam : ayat 11)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya  kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian  dari sangkaan itu adalah dosa, dam janganlah kamu mengintip atau mencari-cari  kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya  yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah  mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.  (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada  Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat ayat 12)

Ada tiga kesalahan lumrah dilakukan oleh manusia :

1) Mensia-siakan masa.
2) Bercakap mengenai perkara yang tiada kena-mengena dengan dirinya.
3) Menyibukkan diri dengan benda yang remeh-temeh.

Allahu akbar. Benar sekali! Maka, penulis mencadangkan tiga petua sebelum  memulakan hari iaitu :

1) Hari ini sahaja yang ada, maka buatlah sebaiknya.
2) Renung dan bersyukur apa yang ada.
3) Senyum dan jangan marah.

Penulis turut membongkar rahsia dan teori "air liur"nya. Air liur beracun atau air liur penawar. Bagaimanakah itu?

Sedarkah kita bahawa air liur adalah satu tindakan badan yang berlaku tanpa kita sedari. Ketika kita berjalan, bercakap, solat, mengumpat mahupun tidur, tindakan menelan air liur adlaah satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Sekiranya kita mengucapkan kata-kata yang baik, mengaji al-Quran atau memuji Allah, makan air liur yang ditelan ialah air liur yang baik dan menjadikan kita seorang yang ceria dan positif. Tetapi sekiranya kita memburukkan orang, mengumpat atau mengeluarkan kata-kata kesat ketika marah, air liur yang ditelan merupakan air liur beracun! Kesannya, kita menjadi seorang yang gelisah, tidak tenteram dan negatif. 

Saya teringat kajian molekul air yang dilakukan oleh Profesor Masaru Emoto dari Jepun yang membentangkan hasil dapatannya ke seluruh dunia dengan mengatakan sekiranya kita mengucapkan perkataan yang baik pada air, molekul air yang terbentuk cantik sekali. Namun, sebaliknya jika perkataan yang tidak baik diucapkan kepada air, molekul buruk akan terhasil. Subhanallah. Hebat sungguh ciptaan Allah. 

Semoga kita mendapat keampunan Allah. Senyum ;)