Memaparkan catatan dengan label Kehamilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kehamilan. Papar semua catatan

Ahad, 21 September 2014

Buku 55 : Nikmatnya Sakit Bersalin oleh Isyah Radhiah Idris

Sumber gambar : Web Galeri Ilmu
Bismillahirrahmanirrahim.

Travelog KISAH BENAR
Terubat sakitku dengan kelahiran sembilan permata hati

Dua baris ayat ini begitu menarik saya untuk menatap buku ini. "Subhanallah, sembilan anak!" Ayat di bawahnya - Nikmatnya Sakit Bersalin. Saya sudah membayangkan betapa besarnya jiwa ibu ini mengandung dan melahirkan anak-anaknya. Melihat tajuknya sahaja sudah tahu! ^_^ Bila dilihat nama penulis, oh, isteri Che Amran vokalis Raihan rupanya. Teringat bukunya sebelum ini Anakku Brain Tumor (tapi saya belum pernah membacanya. Selepas ini insya Allah).

Buku setebal 478 muka surat ini menghimpunkan 10 bab meliputi pengalaman bersalin normal , anak anugerah dan rezeki dari Allah, mengandung sembilan bulan, tip bersalin normal (aha!), menikmati detik-detik bersalin normal,penyusuan dan pengurusan bayi, berpantang 40 hari, doa untuk diamalkan, anak..anugerah atau ujian? dan Nikmat Sakit Bersalin.

Membaca pengalamannya bersalin normal untuk kesemua anak memberi saya satu kesimpulan. Ibu ini memang seorang yang positif dan sentiasa bermotivasi melakukan yang terbaik dalam mencari redha Allah dan rasul-Nya. Sedangkan ketika kontraksi bersalin masih boleh tersenyum dan seboleh mungkin menyembunyikan kesakitan yang dialami. Beliau juga amat menitikberatkan kebergantungan kepada Allah dalam memudahkan proses bersalin seperti berdoa, menunaikan amalan fardhu dan sunat, banyak membaca al-Quran dan menghafaznya. Paling penting yakin bahawa Allah akan makbulkan permintaan dan mudahkan urusan kerana Allah pernah berfirman yang bermaksud "Aku adalah menurut sangkaan hamba-Ku." Subhanallah.

Paling saya kagum ketika kelahiran pertama beliau mampu mempraktikkan teknik bersalin yang betul sehingga sekali teran sahaja. Allah..teringat pertama kali bersalin normal, kesakitan yang saya tanggung hampir 16 jam menyebabkan saya terlupa semua teknik bersalin yang pernah dipelajari atau dibaca. Hee..

Bagi saya buku ini sesuai dibaca oleh para ibu yang pertama kali akan menyambut cahaya mata sebagai persediaan bersalin. Penulis seorang yang positif jadi saya kira pembaca pun tidak akan terasa begitu tertekan apabila membayangkan situasi bersalin kali pertama. Insya Allah anda juga akan bersemangat seperti Puan Isyah ini! Banyak sisi positif yang dapat diambil selain ilmu yang dicurahkan melalui nukilannya ini. 

Namun begitu, banyak juga ayat berulang dari pengalaman bersalin kali kedua sehingga anak kesembilan. di bab-bab akhir juga terdapat pengulangan ayat. Tapi saya abaikan dan 'skip' perenggan yang berulang itu :)

Semoga bermanfaat. Wallahualam.

Sabtu, 30 Ogos 2014

Buku 46 : Now You Are A Mother oleh Du'aa' Ra'oof Shaheen

Bismillahirrahmanirrahim.
Sumber gambar : klik sini

Alhamdulillah selesai membaca buku ini selama beberapa hari. Buku ini saya beli setahun yang lepas ketika menghadiri sebuah konvensyen keibubapaan di Perbadanan Putrajaya. Kenangan waktu itu kerana pertama kali menghadiri program yang disediakan tempat penjagaan kanak-kanak selama ibu bapa mengikuti seminar. Dan paling menarik, saya terjumpa semula rakan serumah ketika belajar di UtEM selepas 9 tahun saya meninggalkan kampus tersebut. Subhanallah, gembira tidak terkata. Dia pula baru sahaja berkahwin dan suaminya juga orang Melaka :)

Tertarik dengan kulit hadapan buku dan ketika itu saya berniat untuk membaca buku ini apabila mengandung seterusnya. ;p waktu itu anak sulung berusia 2 tahun 8 bulan dan anak kedua berusia 8 bulan. Namun, ketika berpantang anak ketiga ini baru saya berpeluang membaca buku ini.

Alhamdulillah, sesuai dengan tajuknya. Saya rasa penulis berjaya menulis hampir kesemua perkara asas yang patut diketahui oleh seseorang ibu terutama yang pertama kali menimang cahaya mata. Memang sangat membantu dalam membuat persediaan mental dan emosi selain memperlengkapkan pengetahuan ibu bapa mengenai persediaan kelahiran, tip penjagaan semasa mengandung, melahirkan, mengetahui perkembangan anak serta tip asas menangani masalah ketika anak sakit.

Ilustrasi setiap muka surat juga cantik dan memberi aura positif ketika membaca buku ini. Cuma pembahagian bab dalam buku ini tidak begitu nampak menyebabkan secara tidak sedar menjadikan saya "tidak" boleh berhenti membaca. Haha, psikologi sahaja kan ;)

Sangat disyorkan untuk semua ibu membacanya!

Isnin, 18 Ogos 2014

Buku 40 : Tuntutan Praktis dan Padat Bagi Ibu Hamil dari A sampai Z



Bismillahirrahmanirrahim.

Akhir Syaaban lalu, mengikut suami ke kedai buku agama kegemarannya di Jalan Bunga Raya (Melaka). Secara tidak sengaja terjumpa buku comel ini di celah deretan buku yang banyak dipamerkan di rak. Waktu itu sedang meneliti tajuk yang sesuai bagi dihadiahkan kepada rakan sekerja yang akan bersara tidak lama lagi.

Bukunya didatangkan dalam kotak. Disebabkan berbalut plastik, saya tidak dapat melihat isinya. Baca sinopsis - himpunan beberapa buah buku yang disusun menjadi sebuah kit panduan bagi ibu hamil. Agak menarik minat :) Saya ambil keputusan untuk membelinya.

Namun sebulan setengah yang terakhir (sebelum bersalin) ini saya tidak sempat menghabiskan bacaan. Lantaran Ramadan menjengah, aktiviti membaca dikurangkan dan banyak bertumpu kepada bulan puasa. Tambahan lagi diuji dengan kesihatan yang tidak menentu pada trimester akhir menyebabkan minat membaca 'diam' seketika.

Buku ini dibahagikan kepada beberapa bahagian dimulai dengan :

Bab 1 - Maklumat semasa kehamilan, sebelum melahirkan
Bab 2 - Maklumat setelah melahirkan
Bab 3 - Tanya jawab seputar hamil dan kelahiran
Bab 4 - Zikir yang dianjurkan bagi wanita hamil dan melahirkan
Bab 5 - Nama-nama indah untuk anak anda

"Betapa banyak pasangan yang belum dikurniakan anak, Allah telah bukakan banyak pintu kebaikan bagi anda melalui kehadiran seorang anak.

Maka bersyukurlah!" T_T

>>Firm reminder for myself <<

Buku ini kompilasi karya  Salman b. Zhafir  b. Abdillah asy-Syahrawi, Abu Malik Kamal b. Sayyid Salim, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Bakr 'Abdullah Abu Zaid, Salim bin "I'd al-Hilali dan lain-lain.

Energi terbesar seorang ibu ialah bersumberkan doa dan tawakal kepada Allah. Ambil nutrisi yang halal, ikhlas berdoa dan memberi perhatian kepada bayi yang dikandung atau sudah melahirkan. Banyak doa untuk anak yang disebut dalam al-Quran. Amalkan.

Jika tertimpa sesuatu musibah ucapkanlah Qadarallahu wa masha a (Allah sudah takdirkannya dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi).

Baginda Sollallahu Alaihi wasallam apabila melihat sesuatu yang menyenangkan akan mengucapkan "alhamdulillahillazi bini'matihi" (segala puji bagi Allah dan dengan kenikmatannya sempurnalah kebaikan-kebaikan) dan apabila melihat sesuatu yang tidak disukai akan mengucapkan " alhamdulillahi 'ala kulli hal." (Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan).

Ingatan untuk saya ; keutamaan memilih nama untuk anak :

1. Abdullah dan Abdurrahman (berdasarkan hadis).
2. Nama-nama yang diawali dengan Abdu..ambil nama Allah dalam asmaul husna.
3. Nama-nama nabi dan rasul.
4. Nama orang soleh seperti nama sahabat.
5. Nama yang mempunyai makna yang baik.

Nama yang diharamkan :

1. Nama yang bermula dengan Abdu tapi dihubungkan selain dari Allah.
2. Nama khusus Allah seperti Khaliq.
3. Nama orang kafir seperti George dll.
4. Nama berhala.
5. Nama asing.
6. Nama yang memuji diri sendiri dan mendatangkan kesombongan.
7. Nama syaitan.

Wallahualam.

Rabu, 22 Januari 2014

Buku 2 : Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu

Bismillah walhamdulillah.


Akhirnya selesai membaca buku ini. Terlebih dahulu, semoga usaha gigih penulis ini diberkati Allah. Sememangnya buku ini memang layak dikatakan "kitab" penyusuan susu ibu dari A hingga Z bagi rujukan ibu-ibu muda atau ibu yang pertama kali ingin menyusukan anak.

Susun atur perkaranya sangat baik dan membantu. Ya. Buku ini sangat tebal. Isinya terlalu banyak. Namun, saya percaya ibu-ibu yang berazam menyusukan anak memang tinggi keazamannya maka mulalah membaca buku ini ya :)

Dibahagikan kepada 3 bab besar dimulai dengan Bahagian Satu : Asas Penyusuan, Bahagian Dua : Penyusuan Susu Ibu dan Ibu Berkerjaya, dan Bahagian Tiga : Cabaran Penyusuan dan Penyelesaiannya.

Dalam bahagian satu, penulis menyentuh mengenai bayi, anatomi payudara, fisiologi penyusuan susu ibu dari segi bagaimana susu dihasilkan, refleks ejeksi susu, PSI dan teori permintaan versus bekalan, lekapan yang betuk, sentuhan kulit (sentuhan kulit ke kulit @ 3K dan Kangaroo Mother Care @ KMC).

Tidak lupa persediaan sebelum bersalin dengan membeli keperluan, penyusuan pertama, penyusuan kerap, berapa lama perlu menyusukan anak, perkembangan hisapan bayi, jenis hisapan bayi, corak penyusuan normal, carta tumbesaran, Bayi Susu Ibu vs Bayi Susu Tiruan dan menarik sekali bapa juga mampu 'menyusukan' anak. ;)

Hmm.. saya kira saya mungkin dapat mengesan mengapa anak kedua saya menghisap jari sejak saya di dalam pantang. Kemungkinan besar saya terlepas pandang tanda-tanda awalnya ingin menyusu :( Kasihannya.

Menurut penulis, tanda-tanda awal bayi memerlukan susu ialah badan bayi bergerak-gerak, bayi menggerakkan tangan ke mulut dan kadang-kadang menghisap tangan, mulut bayi terbuka dan seolah-olah menghisap sesuatu dan mulut bayi tercari-cari puting apabila disentuh. Apabila tanda-tanda ini diabaikan ibu, bayi mula gelisah dan mengeluarkan bunyi. Lama-kelamaan bayi mula menangis dengan kuat.

Turut disertakan cara melakukan "Pinch Test" iaitu satu ujian mengesan puting terbalik atau "inverted nipple". Dan baru saya tahu, susu yang keluar semasa hamil boleh diperah adalah kolostrum dan disimpan di dalam botol dan diberi kepada bayi apabila lahir nanti. Labelkan tarikh, masa dan simpan di dalam peti sejuk beku seperti biasa. Teringat dua, tiga orang rakan yang mengalaminya dan mereka membuang susu tersebut.

Ada disebutkan bahawa selepas kelahiran, bayi perlu diletakkan di dada ibu bagi membantu merangsang susu dan ikatan antara ibu dan anak. Jika bayi diberi lambat kepada ibu sedikit sebanyak ia menjejaskan penyusuan tetapi ibu boleh berusaha supaya susu banyak dan mencukupi untuk anak.

Ketika bersalin anak kedua, saya dan bayi menerima kesan sampingan ubat penahan sakit menyebabkan kami mamai dan bayi tidur sahaja selain hisapannya tidak teratur. Mungkinkah penyebab bayi saya menjadi kuning beberapa hari kemudian? Entahlah, mungkin juga bayi saya jaundis susu ibu kerana jaundisnya berlarutan sehingga sebulan. Wallahualam.

Dalam bahagian kedua ada 9 topik dibincangkan iaitu merancang mahu berjaya, berpantang, masa rehat dan belajar (bayi kerap menangis kerana tidak cukup susu?, hanya sebotol, sebulan yang intensif dan lain-lain), perlukah pam susu yang mahal (topik SANGAT menarik dengan beberapa panduan membeli pam), memerah dan menyimpan susu ibu sebelum kembali bekerja, memberi susu perahan kepada bayi, kembali bekerja, memerah susu dalam pelbagai keadaan, berurusan dengan menjaga anak dan penyusuan ibu, stres dan pemakanan.

Saya tidak dapat berkongsi sepenuhnya apa yang terkandung di dalam bab ini kerana terlalu banyak poin. Namun saya suka sekali panduan membeli pam susu dan nasihat berkaitan seperti waktu yang sesuai membeli pam dan jenis-jenis pam yang ada.

Secara umumnya ciri-ciri pam yang bagus menurut penulis :
@ pam yang dapat menyerupai cara bayi menghisap payudara ibu dan berjaya merangsang hormon prolaktin dan oksitoksin
@ jumlah kitaran hisapan dan lepasan menyamai kitaran hisapan bayi pada payudara.  Biasanya kitaran sedut-lepas berlaku 40-60 kali seminit.
@ kekuatan sedutan yang dihasilkan pam perlu sesuai untuk memerah susu.

Sememangnya jika mahu mengumpul stok susu yang banyak perlu kerap pam susu dan memenuhi konsep "demand and supply" selain emosi yang stabil dan berdoa kepada Allah.

Dalam bahagian tiga, penulis menjawab persoalan cabaran penyusuan seperti mengapa susu saya kurang, cara menghasilkan lebih banyak susu, makanan dan ubatan penggalak susu, payudara bengkak, mengapa bayi menolak payudara, puting luka, saluran susu tersumbat, bayiku kuning, puting tenggelam, penyusuan bayi pramatang, penyusuan di tempat awam dan menangani kritikan dan persekitaran negatif.

Semoga lebih ramai ibu mendapat ilmu berguna ini demi memberi susu ibu kepada anak-anak dengan cara yang lebih baik dan tenang :)

Wallahualam.

Selasa, 17 Julai 2012

Do'a & Dzikir untuk Ibu Hamil

Buku karangan Abu Muhammad Ibnu Shalih bin Hasbullah terbitan Pustaka Ibnu Umar ini menarik perhatian saya.

Sebenarnya tiada doa dan zikir khusus untuk ibu hamil. Ayat-ayat Quran adalah zikir terbaik untuk dibaca sepanjang kehamilan. Selain itu, zikir pagi petang juga seharusnya dibaca dan jangan ditinggalkan kerana mengandungi pelbagai manfaat buat kita sebagai seorang muslim. Himpunan zikir dan doa di dalam 'zikir pagi petang' adalah dari sumber hadis yang sahih.

Saya petik dari buku ini doa dan zikir yang dianjurkan dibaca oleh ibu hamil :

1) Surah al-Fatihah

2) Ayatul Kursi - dibaca sekali setiap pagi dan petang, sebelum tidur dan setiap kali selepas solat fardu.

3) Membaca 2 ayat terakhir surah al-Baqarah (ayat 285 dan 286) - dibaca pada waktu siang, sebelum tidur.

4) Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas - dibaca 3 kali setiap pagi dan petang, sebelum tidur dan sekali selepas solat fardu.

5) Membaca ayat-ayat lain yang berkaitan seperti :

a) As-Saffat ayat 1 hingga 10
b) Al-Mukminun ayat 97 hingga 98 (ayat ini juga dibaca sebelum kita memulakan solat bagi menghindarkan diri dari gangguan syaitan)
c) Al-Baqarah ayat 185
d) Al-Faathir ayat 11
e) Surah al-Zalzalah

6) Memperbanyakkan ucapan

dan ucapan bismillah, istighfar.

7) Memperbanyakkan doa Nabi Yunus (lailaha illa anta....)

Apa yang penting ialah jangan malas berdoa

Banyakkan berdoa untuk dapat anak yang soleh. Ingatan untuk diri saya juga!

Jumaat, 13 Julai 2012

Buku yang sedang dibaca


Buku baru Pustaka Ibnu Umar terbitan Februari 2012. Terjumpa ketika membeli barang kelengkapan majlis khatam Quran anak-anak yang datang mengaji pada Ahad ini. Masya Allah sangat tertarik dengan tajuknya. Sudah selesai 3 bab terawal. Buku ini nipis sahaja. Insya Allah selesai dibaca akan dikongsikan ulasannya di sini. Moga diizinkan Allah :)




Sumber gambar : di sini

Buku kedua ini saya pinjam dari rakan sekerja merangkap teman sepengajian dahulu ;) Cik Khairun ini banyak sungguh buku yang menarik (dan belum dibacanya). Baru tiba halaman ke-36. Membaca satu-persatu isi yang disampaikan oleh Wardina. 'Takut' tertinggal maklumat berguna :)

Khamis, 15 Julai 2010

Penjagaan Sewaktu Kehamilan & Selepas Bersalin


Sumber gambar : Blog Kaki Buku Enterprise
Judul buku : Penjagaan Sewaktu Kehamilan & Selepas Bersalin
Penulis : Dr Rushmini Maris
Penerbit : Kaki Buku Enterprise
Harga : RM 26 ( Semenanjung) / RM 29 (Sabah dan Sarawak)


Buku ini bagus sebagai panduan untuk ibu terutama yang mengandung kali pertama. Semua info yang termuat di dalam buku ini boleh dijadikan panduan dalam meniti waktu kehamilan dan selepas bersalin.

Penulis ada menyertakan gambar dan bahasa yang digunakan agak mudah difahami untuk tahap 'orang awam' seperti kita untuk memahami bahasa perubatan.

Setidak-tidaknya saya dapat mengenalpasti masalah yang berlaku semasa kehamilan, punca dan cara mengatasi. Penjagaan bayi juga ada disertakan. Banyak info berguna yang memberi pencerahan minda kepada saya.

Baru saya tahu bahawa mengidam atau dipanggil 'pica' (dalam bahasa saintifiknya) adalah disebabkan beberapa faktor. Misalnya jika seseorang ibu mengidam makan makanan yang masam bermakna badannya kekurangan vitamin C dan jika seseorang ibu selalu makan makanan yang manis, bermakna badannya kekurangan garam atau sodium. Jadi, seharusnya seseorang ibu mengambil makanan dengan gizi seimbang.

Oh, begitu rupanya! Mujur sepanjang kehamilan kali ini saya boleh dikatakan tidak mengidam apa-apa :) Buku ini sesuai dihadiahkan kepada isteri, kakak, adik, atau sesiapa yang sedang hamil atau baru bersalin buat panduan mereka.