Memaparkan catatan dengan label Sri Rahayu Mohd Yusop. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sri Rahayu Mohd Yusop. Papar semua catatan

Sabtu, 28 Jun 2014

Buku 31 : Bimasakti Menari oleh Sri Rahayu Mohd Yusop



Bismillahirrahmanirrahim.

Melihat kepada tajuk sudah pasti cerita berunsurkan sains. Alhamdulillah ada perkara baru yang saya pelajari terutama mengenai kelip-kelip dan isu pencemaran cahaya.

Mengambil latar di Kuala Selangor, sememangnya tempat terkenal adanya kelip-kelip namun saya tidak pernah sampai ke situ. Pengetahuan baru mengenai skala kegelapan turut mengundang rasa kagum terhadap kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta.

Manakan tidak, ada kajian ilmu terhadap kelip-kelip dan kemajuan ilmu angkasa yang agak sukar dan mengambil masa serta kepakaran yang tinggi.

Nurul Hafsha, seorang graduan ilmu falak (jika saya tidak salah. Sudah ingat-ingat lupa jalan cerita ^_^) memulakan kerja di balai cerap Kuala Selangor. Ketika mengendalikan satu sesi bersama sekumpulan pelajar cilik dari Jepun, misi melihat beberapa buruj tidak berjaya kerana langit tidak begitu gelap walaupun jam sudah menginjak ke tengah malam. Hal ini berlaku kerana pencemaran cahaya ekoran pemodenan kawasan berdekatan.

Dipendekkan cerita, dia berjaya menulis kertas kerja dan membentangkannya di hadapan menteri besar Selangor dengan bantuan seorang lagi pemuda yang mempunyai minat yang sama.

Namun, projek mereka mendapat ancaman malah hampir meragut nyawa.

Hmm.. saya tertarik dengan konsep rumah yang dibuat oleh pemuda itu. Adakah ianya benar-benar wujud di Malaysia?

Khamis, 12 Jun 2014

Buku 27 : Warisnya Kalbu oleh Sri Rahayu Mohd Yusop



Judul buku : Warisnya Kalbu
Penulis : Sri Rahayu Mohd Yusop
Penerbit : Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd
*Pemenang tempat pertama Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007


Bismillahirrahmanirrahim.

Saya bukanlah orang yang pandai dalam sastera. Sungguhpun pernah mengambil subjek minor dalam Pengajian Melayu ketika di maktab perguruan dahulu saya masih tidak mampu memahirkan diri dalam puisi, pantun, sajak dan lain-lain. Sangat cemburu dan kagum dengan kebolehan para pensyarah dan rakan yang mempunyai bakat dan kefasihan dalam bidang ini.

Jauh pula saya mengimbau kenangan ;) Sebenarnya ada kaitan sedikit dengan tema novel ini.

Karya Sri Rahayu ini merupakan hasil penulis yang pertama saya baca. Sebelum ini hanya membaca ulasan dari pembaca lain.

Saya terpegun dengan tema pantun yang melatari novel ini. Terbahagi kepada dua masa dan zaman. Namun tema pantun diangkat sebagai fokus utama.

Hassan Basri dan ayahnya mengemas koleksi buku arwah datuk yang baru meninggal dunia. Dalam banyak-banyak timbunan buku itu, Hassan tertarik dengan sebuah buku berikat reben dan isi kandungannya bertulis tangan. Lantas diminta izin dari ayahnya untuk menyimpan buku tersebut.

Buku tersebut merupakan catatan peribadi atau jurnal seseorang bernama Tun Cempaka mengenai kehidupan sehariannya yang secara tidak langsung mencatatkan beberapa siri peristiwa bersejarah yang berlaku di tempatnya ketika itu iaitu dalam era Perang Bendahara di Pahang.

Dalam masa yang sama Hassan bersama beberapa orang pelajar di sekolah menyertai pemilihan pasukan pemantun sekolah dan hanya empat orang sahaja yang akan terpilih. Melihat kemantapan berpantun Hassan, dia terpilih bersama 3 lagi pelajar yang lain.

Apa yang mengejutkan ialah Khadija (salah seorang pemantun sekolah) juga mempunyai naskah jurnal yang hampir sama dengan Hasan. Namun isi kandungannya adalah terjemahan pantun dalam bahasa inggeris semata-mata dan tiada catatan peribadi seperti pada Hassan. Misteri.

Banyak yang saya pelajari mengenai pantun dari buku ini.

- Pantun itu ibarat wadah bagi orang Melayu mengungkapkan fikiran dan hati budinya tentang makna kehidupan, kelakuan manusia dan hubungan manusia dengan alam kelilingnya.

- Pantun dilihat pada keratnya. Ada dua, empat, enam, lapan, sepuluh, dua belas dan empat belas. Pantun biasanya genap. Tidak ganjil.

- Sanjak ; ragam bunyi yang sama padan (istilah baru yang diketahui)

Dalam jurnal yang dimiliki Hassan, Tun Cempaka menceritakan kakandanya mengajar pantun melayu kepada anak saudara gabenor bernama Katherine. Namun catatan itu tidak tamat kerana ceritanya tergantung.

Hassan dan rakan-rakan meminta bantuan guru sejarah sekolah bagi merungkai misteri ini.

Apa pun, kepentingan memelihara khazanah ilmu bangsa melayu dilihat penting dalam mengekalkan warisan bangsa yang baik untuk generasi seterusnya. Wallahualam.