Novel ini mengisahkan ketabahan hati seorang isteri. Meskipun dilanda pelbagai masalah rumah tangga tetapi dia (Mira) tabah dalam mengharungi hidupnya. Dunianya berbeza sama sekali dengan suaminya, Faris tetapi Mira sanggup berkorban asalkan suaminya gembira dan bahagia. Perkahwinannya dengan Faris bukanlah atas dasar cinta tetapi lebih kepada simpati pada awalnya. Dia berasa bertanggungjawab atas kemalangan yang menimpa Faris sehingga menyebabkan Faris lumpuh separuh badan. Jika di ‘flash back’, Mira dan Faris sama-sama belajar di Amerika Syarikat tetapi kemudiannya Faris bertukar ke universiti lain kerana mengikuti pengajian yang lebih baik di universiti berkenaan.
Faris sebenarnya seorang yang playboy dan hidupnya terlalu bebas bersosial. Akan tetapi, dia mula sukakan Mira kerana sikap Mira yang acuh tidak acuh terhadapnya. Lama-kelamaan Faris jatuh hati pada Mira. Disebabkan dirinya yang begitu terdesak ingin mengajak Mira berpindah sekali ke universiti yang baru, dia membocorkan satu rahsia dirinya dengan harapan Mira berasa bersalah kerana menyebabkan dirinya jadi begitu dan Mira kemudiannya akan mengikutnya. Malangnya, disebabkan rahsia itu jugalah Mira terus meninggalkannya. Faris berasa sangat kecewa dan mula menjadi seorang pemabuk. Rakan baiknya, Amir dan Dina yang banyak membantunya ketika di sana.
Mira pada awalnya adalah seorang gadis yang bertudung. Tetapi apabila berlaku beberapa peristiwa sewaktu dia mula-mula sampai ke Amerika Syarikat, dia bertindak tidak memakai tudung. Keadaannya jauh berbeza ketika berada di Malaysia. Dia sanggup menanggalkan tudungnya. Pada satu hujung minggu, Mira dan sahabat baiknya, Dina dijemput menghadiri usrah mingguan di rumah senior. Selepas tamat usrah itu, Kak Rin mula menegur dengan kasar mengapa mereka tidak bertudung. Sampai ditarik-tariknya rambut Mira. Tergelak saya dibuatnya. Tapi dalam masa yang sama saya fikir tindakan Kak Rin itu boleh menyebabkan maudu’nya lari kerana tiada hikmah dalam berdakwah. Wallahualam.
Rentetan daripada peristiwa itu, Mira menunjukkan protes kepada Kak Rin dengan lebih bergaya dan membuat pelbagai fesyen rambut dan sengaja merapatkan diri dengan Faris. Tentu sekali Faris hairan. Tapi, namanya pun lelaki. Yang seronok tentulah dia!
(Begitu juga dengan keadaan akhir zaman ini. ‘Kasihan’ orang perempuan kan. Begitu beria-ia melaram, yang seronoknya sang lelaki. Aduh.. jangan disangka, walaupun rakan sekelas lelaki yang kita sudah anggap seperti ‘adik-beradik’, tetap akan terasa ‘sesuatu’ jika si perempuan terlalu berlebihan memakai wangian dan berpakaian menjolok mata. Minta maaf ya, terpaksa cakap terus-terang..(n_n) Ingatan untuk diri saya juga, jagalah aurat dan suara anda wahai yang bergelar perempuan...)
Namun, Mira bernasib baik, Allah masih memberi peluang kepadanya untuk kembali ke asalnya. Ditambah lagi dengan sokongan dan nasihat dari Kak Fisa membuatkan Mira kembali yakin dan teguh sesuai dengan fitrah Islam.
Selepas kembali ke tanah air, Mira diuji pula dengan ibu mertua yang tidak menyukai dirinya. Dirinya dianggap sebagai perampas kebahagiaan anak kesayangan Datin Faridah dan mungkin juga kerana dirinya bertudung. Rumah tangganya bersama Faris selepas kembali ke Malaysia tidaklah sebahagia yang diidamkan. Faris berubah menjadi seorang yang murung, panas baran, dan tidak langsung mahu menunaikan solat. Namun, berkat ketabahan seorang isteri, di saat-saat Faris menghadapi fasa akhirnya, Faris sempat bertaubat dan berusaha bangun malam untuk bertahajud setiap hari.
Apa yang mengejutkan ialah surat wasiat Faris yang menginginkan Mira berkahwin dengan abangnya, Farhan. Sepatutnya berita itu diterima dengan lapang dada oleh Farhan kerana telah lama dia menyimpan perasaan kepada Mira meskipun ketika itu Mira telah menjadi adik iparnya. Tetapi, ungkapan “terlanjur” yang ditulis Faris telah menyebabkan Farhan begitu curiga dan bersyak wasangka. Mira, disebabkan tidak mahu membuka aib suaminya yang telah meninggal dunia mengambil keputusan untuk berdiam diri dan mempertahankan dirinya dari tuduhan berzina oleh Farhan.
Konflik yang dialami Mira-Farhan berlanjutan sehingga selepas mereka berkahwin. Pelbagai usaha dilakukan oleh Mira bagi mendapatkan perhatian suaminya. Namun, cemburu dan ego mengatasi perasaan sayang Farhan kepada Mira. Dia juga masih tidak dapat menerima apa yang diperkatakan di dalam surat wasiat. Mira berusaha mencari dan mengkaji ayat Quran bagi mempertahankan dirinya sehingga dia sanggup melakukan sumpah (li’an). --->(info mengenai li’an boleh rujuk : http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/munakahat/lian.htm)
Apakah kesudahan cerita ini? Bagaimana penerimaan Farhan selepas terbukti kebenaran? Adakah Datin Faridah masih berdendam dengan Mira? Siapa pula Azrin?. . .
Nak tahu, kenalah dapatkan buku ini ^_^
Jom baca buku!