Rabu, 17 Jun 2009

7 Formula Individu Cemerlang (1)




Tajuk : 7 Formula Individu Cemerlang

Penulis : Dr Danial Zainal Abidin

Penerbit : PTS Millenia Sdn Bhd

Harga : RM 33.00

Bil muka surat : 344






7 formula tersebut ialah :

Formula 1 : Kenali kehebatan dan potensi diri.
Formula 2 : Meledakkan takwa.
Formula 3 : Meledakkan ilmu.
Formula 4 : Hidup bermatlamat dan berwawasan.
Formula 5 : Memelihara amanah.
Formula 6 : Berfikiran positif.
Formula 7 : Menyantuni manusia.

Penulis mengupas setiap formula dalam beberapa bab. Dan saya akan berkongsi isi-isi yang saya rasakan penting dan menarik untuk dikongsi bersama anda. Ini bukanlah satu resensi tetapi bagi saya secara peribadi ia lebih kepada perkongsian ilmu dari sebuah buku yang saya baca :)

Formula 1 : Kenali kehebatan dan potensi diri.

Untuk berjaya, cara berfikir seseorang perlu lain dari yang lain. Bermaksud dia perlu berfikir pelbagai cara untuk menyelesaikansesuatu masalah dan berfikiran kreatif dan berstrategi. Sentiasalah mengingati Allah. Dalam surah al-Baqarah ayat 152, Allah berfirman : “Ingatlah kepada-Ku nescaya Aku ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.”

Sahabat-sahabat Nabi berjaya menghayati formula kejayaan seperti yang direkodkan di dalam sebuah hadith oleh Ahmad, Nasaie, dan al-Hakim di mana ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi, apakah sifat manusia yang terbaik. Nabi menjawab : “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling pandai membaca al-Quran, paling bertaqwa kepada Allah, paling bersungguh-sungguh mengajak kepada makruf, paling bersungguh-sungguh mencegah kemungkaran, dan paling suka menghubungkan silaturahim.” Penulis menyatakan ciri-ciri penting yang ditekankan ialah :

1) Mengenali peta hidup dengan mendampingi al-Quran.
2) Memulakan perubahan dengan diri sendiri menuju takwa.
3) Mengajak dan membantu orang lain kepada kebaikan.
4) Berperanan mencegah kemungkaran.
5) Mementingkan hubungan baik sesama manusia berlandaskan kebenaran.

Saya amat tertarik dengan menjauhi budaya Bangau oh Bangau pada bab 4. Rupa-rupanya secara sinis, lagu ini menunjukkan sifat seseorang yang cepat menyalahkan orang lain apabila berlaku sesuatu masalah. Memang benar, saya juga baru terfikir akan keadaan ini setelah membaca bab tersebut. Bangau menyalahkan ikan, ikan menyalahkan rumput, dan seterusnya. Tetapi tidak pula bangau mengatakan memang dirinya yang malas untuk mencari makan sebab itulah badannya kurus kering . .

As-Sheikh Hasan an-Nadwi di dalam buku Maza Khasiral Aalamu Binhithaatil Muslimin merumuskan beberapa punca kejatuhan umat Islam pada hari ini :

1) Kepimpinan beralih kepada orang yang tidak layak memimpin.
2) Politik dipisahkan daripada agama.
3) Pemimpin dan penguasa Muslim menunjukkan contoh yang buruk.
4) Para ilmuwan Islam gagal memperkembangkan ilmu.
5) Timbul bidaah dan kesesatan dalam dunia Islam.

Masya Allah.. memang benar apa yang dirumuskan oleh tokoh ini. Jika pemimpin tidak mengambil Islam sebagai garis panduan hidup dan kepimpinan, apatah lagi dengan rakyat yang dipimpin. Berlaku kecelaruan.

Juga disebutkan petanda-petanda menuju kegemilangan umat pada akhir zaman ini pada bab-bab terakhir di dalam formula 1.

Tidak lupa disebutkan keunggulan dan kehebatan Zulqarnain seperti yang dinyatakan di dalam surah al-Kahfi:

1) Jelas akan destinasi dan wawasannya.
2) Berfikiran global iaitu mempunyai misi.
3) Memiliki kompas hidup iaitu bertakwa.
4) Sentiasa mencari dan membuka peluang iaitu berminda strategik.
5) Menguasai ilmu besi dan tembaga yakni menguasai teknologi.
6) Mendengar dan memahami sebagai cara berkomunikasi yang efektif.

~~~~~~~~~~~~~~~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan