Khamis, 18 Jun 2009

7 Formula Individu Cemerlang (3)

Lihat formula-formula sebelum ini :

Formula 1 : Kenali Kehebatan dan Potensi Diri
Formula 2 : Meledakkan Takwa

Formula 3 : Melonjakkan Ilmu

Dalam perkara ini, penulis menekankan kepentingan dan peranan akal dalam mempelajari ilmu. Dibawakan kisah Umar al-Khattab yang bertanya kepada Tamim ad-Dari, “Apa pandanganmu, apakah perkara yang paling mulia?”. Tamim ad-Dari menjawab, “Akal.” “Kamu benar”, balas Umar al-Khattab. “Aku pernah bertanya kepada Nabi Solallahu Alaihi Wasallam soalan yang sama dan Nabi Solallahu Alaihi Wasallam menjawab, “Aku pernah bertanya kepada Jibril berhubung perkara yang paling mulia dan Jibril menjawab akal.” Hadith ini dilaporkan oleh Ibnul Mahbar.

Mengikut kajian, bayi yang berusia tujuh minggu di dalam rahim telah dapat dilihat struktur otaknya dengan jelas. Pada usia 3 bulan, saraf tunjangnya berkembang pesat dan pada waktu ini kira-kira 2.5 juta sel otak baru tumbuh setiap minit. Apabila bayi lahir, jumlah sel otaknya mencapai 100 bilion. Pada usia 6 tahun, sel otak yang berinteraksi antara satu sama lain menyerupai orang dewasa. Sebab itulah, Islam menyuruh mengajar anak bersolat pada usia ini kerana mereka telah mumaiyiz atau dapat membezakan yang baik dan yang buruk.pada usia 20 hingga 75 tahun, sebanyak 50 ribu sel otak mati setiap hari tetapi ia tidak menjejaskan perjalanan otak.

Dalam menuntut ilmu, adalah lebih baik seseorang dapat mengoptimumkan penggunaan otak kiri dan otak kanannya. Otak kiri lebih berfokus kepada fakta, logik, nombor, tulisan, bahasa, pertuturan, dan perincian sesuatu perkara manakala otak kanan menumpukan kepada emosi, kreativiti, warna, nada, penglihatan, bentuk, corak, dan konsep.

Disebabkan penting dan mulianya akal, Allah mengharamkan arak kerana ternyata ia mengganggu kewarasan akal untuk berfikir dan seringkali melumpuhkan tindak-tanduk seseorang. “Wahai mereka yang beriman sesungguhnya meminum arak, berjudi, berkorban untuk berhala serta mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.” (Surah al-Maidah : 90).

Terdapat 3 jenis arak yang popular di pasaran. Pertama, bir yang dibuat daripada biji-bijian dan ada 3 hingga 6 % alkohol. Kedua, wain yang dibuat daripada buah-buahan dan ada 11 hingga 14 % alkohol. Dan yang ketiga ialah minuman keras yang dikenali sebagai liquor yang dihasilkan dengan cara mendidihkan bahan makanan sehingga jadi arak dan mengandungi 40 hingga 50 % alkohol.

Dalam menuntut ilmu, terdapat empat golongan yang tertipu dengan ilmu sendiri menurut Imam Ghazali iaitu ulama, ahli ibadah, golongan sufi dan hartawan. Maka untuk mengelak tipu daya ini, haruslah dengan tiga perkara ini iaitu dengan akal, ilmu dan makrifat.

Saya begitu tertarik dengan kata-kata Imam Syafie ketika ditanya tentang dalil kewujudan Allah. “Lihatlah daun tut ini (mulberry leaves). Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini dapat berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenis?”. Subhanallah!


Inilah daun Mulberry
Gambar diambil dari sini
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan