Penulis : Umi Kalthum Ngah
Penerbit : PTS One (2007)
Bil muka surat : 264
Harga : RM 17.90
Sumber : PBAKL 2010
Tarikh baca : 1 April 2010
Seungu Lavender berkisahkan mengenai kehidupan sebuah keluarga yang sederhana tetapi bahagia. Mereka mengharungi kesusahan hidup bersama-sama tanpa rasa kecewa mahupun putus asa. Sudah lama rasanya saya tidak berjumpa buku mengenai kekeluargaan yang sebegini. Seingat saya dahulu selalu membaca tema kekeluargaan dalam buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sememangnya DBP menjadi pilihan utama ketika itu :)
Cerita ini kemudian lebih terfokus kepada Hanis, anak kedua kepada pasangan Ngah dan Gayah. Ngah sangat bijak tetapi tidak dapat meneruskan persekolahannya selepas kematian kedua ibu bapanya bagi mencari rezeki buat adik-beradiknya yang lain. Abang sulungnya tidak mampu memikul tanggungjawab menguruskan keluarga kerana keadaan dirinya juga tidak seperti insan normal yang lain.
Malangnya, Ngah 'ditangkap' dalam perjalanan pulangnya dari bekerja. Rupa-rupanya Ngah dimasukkan ke dalam pusat latihan polis. Saya terfikir, dahulu memang beginikah caranya hendak merekrut polis pelatih yang baru? Terus 'ditangkap' sahaja mana-mana anak muda dan diberi latihan selama tiga bulan sebelum dilepaskan kembali pulang ke kampung halaman masing-masing? Pastinya ada penjelasan di sini. (Ada sesiapa yang boleh tolong terangkan? Terima kasih :D).
Gayah juga mengalami nasib yang hampir serupa dengan Ngah. Gayah kematian ibu dan ayah sejak usia dua tahun. Sejak itu dia menjadi anak terbiar sehingga ada orang yang sanggup mengambil dan membelanya. Tetapi keadaannya lebih menyedihkan. Gayah tidak pernah bersekolah. Oleh itu Gayah tidak tahu membaca dan menulis. Ketika Ngah mengetahui perkara ini (selepas berkahwin), Ngah menangis kesedihan kerana tidak menyangka isterinya buta huruf. Dia sebenarnya mengharapkan iserinya nanti akan dapat mendidik anak-anak mereka. Namun begitu, akhirnya Ngah insaf dan redha menerima keadaan isterinya. Gayah pula sebenarnya seorang yang cerdas dan cepat mengakap sesuatu yang dipelajari. Kebijaksanaan mereka berdua 'diwarisi' oleh anak-anak mereka terutamanya Hanis.
Pekerjaan Ngah sebagai polis memaksa mereka sentiasa berpindah-randah. Kematian anak pertama mereka diubati dengan kehadiran Halimah tidak lama kemudian. Diikuti dengan Hanis dan adik-adiknya yang lain.
Anak-anak Ngah dan Gayah sangat mendengar kata kedua ibu bapa mereka. Kagum saya dengan mereka J Walaupun Hanis nampak lebih aktif dan lasak tetapi dia tidak pernah melawan cakap ibu bapanya. Dia juga seorang yang cerdas, peramah dan banyak kawan. Saya tersenyum melihat hari pertama Hanis di sekolah baru. Tidak seperti kebanyakan murid yang berasa sedih dan takut malahan dia pula yang menceriakan orang lain! Siap membuat pelbagai bentuk dari sapu tangan untuk menghiburkan rakan sebelah yang asyik masam sahaja mukanya :)
Penghujung cerita menyaksikan Hanis dapat menyambung pelajaran ke luar negara. Saya rasa seperti cerita ini tergantung. Seronok juga jika ada sambungannya :) Terutama sekali kisah Hanis di luar negara dan siapakah budak lelaki yang tinggal berhampiran bloknya yang turut sama menyambung pelajaran di tempat Hanis?
Pelbagai suka duka dalam kehidupan mereka sekeluarga dilakar dengan baik dalam cerita ini. Saya mendapat manfaat yang tidak sedikit dari buku ini. Kehidupan keluarga yang harmoni sangat membantu dalam membina sahsiah diri yang positif. Sikap ibu bapa yang tegas tetapi bertempat, berhati lembut dan berjiwa penyayang mampu melahirkan anak-anak yang mendengar kata. Belajar dan bekerja bersungguh-sungguh, berbuat baik kepada guru dan rakan adalah salah satu daripada formula kejayaan.
Walaupun ceritanya tidak sehebat tulisan mahakarya yang lain tetapi saya syorkan kepada anda untuk membacanya. Selamat membaca!