Penulis : Ummu Hani Abu Hassan
Penerbit : AMN Publications (2007)
Harga : RM 12.90
Muka surat : 157
Tarikh baca : 26 Julai 2010
Sumber gambar : http://cintamadinah.blogspot.com
Mangkuk Tempurung Nenek ialah koleksi 15 buah cerpen yang ditulis berteraskan nilai-nilai Islam. Ada pelbagai tema di dalamnya dan sememangnya ceritanya dekat dengan kanak-kanak. Terdapat beberapa buah cerpen yang saya rasakan hampir sama sahaja iaitu Manusia Labah-labah dan Superman.
Dalam Manusia Labah-labah, Amin selalu berangan akan kartun kegemarannya dan agak obses dengannya sehinggakan pada satu ketika Amin mendapati dirinya adalah labah-labah dan bukan manusia. Dan yang paling memeranjatkannya ialah ibunya juga seekor labah-labah dan mereka tinggal di kawasan tanah yang berumput panjang! Rupa-rupanya itu semua hanya mimpi sahaja.
Sedikit berbeza dengan Superman, Adik Rafiq berasa sunyi kerana tiada ahli keluarga yang mempunyai masa melayannya bermain. Ibu dan ayahnya sentiasa sibuk bekerja dan abang serta kakaknya sibuk dengan sekolah dan bermain dengan rakan-rakan di luar. Tinggallah dia dan dua orang pembantu rumah.
Disebabkan terlalu sunyi, Adik Rafiq sentiasa bercakap sendirian dengan patung-patung permainan. Sehinggalah pada satu hari dia menganggap makhluk jahat wujud dan ingin mengganggunya. Lalu Adik Rafiq bersama 'Superman' sama-sama 'terbang' untuk menyerang makhluk tersebut. Kesudahannya kita sendiri dapat simpulkan.
Ada juga cerpen yang berlatarbelakangkan Palestin, kisah nenek tua yang dipinggirkan oleh anak dan tidak disukai menantu (kisah Mangkuk Tempurung Nenek), kisah anak istimewa, anak yang berbohong kepada ibu bapa dan kisah kekeluargaan.
Keseluruhannya semua cerpen yang ada dapat menonjolkan kesan dan akibat sesuatu perkara dengan jelas dan mesej yang ingin disampaikan juga jelas. Namun ada sedikit kekurangan dari segi ejaan dan tanda baca yang didapati berlaku di beberapa tempat. Diharap pihak terbabit dapat mengemaskini lagi buku ini dengan lebih baik.