Ahad, 17 Oktober 2010

Tertangguh..

Banyak benar rasanya buku yang telah selesai dibaca namun tidak sempat dibuat ulasan. Tidak mengapalah saya hanya sentuh sedikit-sedikit sahaja :)

Antara buku yang telah selesai dibaca ialah 8 Tokoh Wanita Pencetus Turunnya Wahyu karangan Dr Abd Rahman Umayrah terbitan Mustread. Buku ini saya beli kerana tertarik dengan tajuknya. Saya tidak terfikir akan tokoh-tokoh wanita yang menjadi penyebab turunnya wahyu. Sungguh, mereka ini memiliki akhlak yang mulia serta terpuji malah Allah mendengar permintaan dan rintihan mereka berkenaan sesuatu masalah yang berkaitan dengan mereka tetapi masih belum ada hukum berkenaannya ketika itu.

Antara tokoh tersebut ialah Saidatina Aisyah r.a, Khaulah binti Tha'labah, anakanda puteri Rasulullah SAW ; Fatimah dan 5 lagi tokoh. Saidatina Aisyah dengan kisah fitnah yang melanda dirinya manakala Khaulah binti Tha'labah berkenaan hukum zihar.

Diceritakan suaminya marah kepadanya sehingga mengatakan "punggungmu seperti punggung ibuku!". Lalu suaminya keluar rumah dan apabila kembali beliau mahu bersama dengan isterinya. Tetapi dengan tegasnya Khaulah menolak "sehingga adanya ketetapan". Hal ini kerana, ayat dituturkan oleh suaminya itu adalah ucapan yang biasa digunakan ketika zaman jahiliah dahulu apabila seorang suami ingin menyeksa isterinya. Apabila terjadi perkara itu, si isteri tidak akan mendapat hak setaraf isteri tetapi statusnya tidaklah juga diceraikan. Hal inilah yang menunjukkan kezaliman kepada pihak isteri.

Khaulah mengadu kepada Rasulullah SAW namun Rasulullah SAW tidak dapat memutuskan sehinggalah Allah menurunkan wahyu melalui surah al-Mujadalah ayat 1. Inilah asbabun nuzul ayat berkenaan hukum zihar diturunkan.




Novel Weil China karya Emine Syenlikoglu ini baru sahaja selesai dibaca. Masya Allah saya tidak
dapat menggambarkan betapa kejamnya komunis. Kisah benar yang diceritakan dalam bentuk novel ini bagai merobek hati dan perasaan ketika membacanya.

Kisah sedih ini bermula apabila si bapa menghantar dua orang anak lelakinya belajar di bandar. Sungguhpun bimbang dengan akidah kedua anaknya terpengaruh dengan komunis namun apakan daya, mereka perlu dihantar juga untuk belajar. Seminggu, dua minggu, sebulan berlalu tanpa ada masalah. Namun lama-kelamaan kebimbangan si bapa nampak semakin jelas apabila kedua anaknya terutama si abang mula mempersoalkan ritual agama yang selama ini dipegang kukuh oleh mereka sekeluarga.

Daripada seorang muslim, mereka berdua beransur-ansur menjadi ateis. Semuanya gara-gara komunis. Sakit sungguh hati melihat dakyah komunis itu berjaya memurtadkan mereka adik-beradik. Malah mereka berdua begitu komited dengan komunis sehingga menjawat jawatan penting.

Namun timbul jua kesedaran dalam diri si adik apabila melihat beberapa perkara yang tidak enak dirasakan. Syukurlah hidayah Allah masih lagi bersinar. Sejak itu si abang memusuhi adiknya sehinggalah berlaku musibah besar terhadap keluarga mereka. Bermulalah episod kekejaman dan sejarah hitam dalam hidup si adik. Bapa mereka dibunuh, anak buahnya yang masih bayi dicabut kepala dari badan, kakak iparnya yang gila ditembak mati, ibu dan kakaknya dipisahkan dan dihantar ke luar negara. Manakala dirinya sendiri dipenjarakan berpuluh-puluh tahun lamanya. Diseksa dengan pelbagai cara namun dia masih bernyawa sehinggalah hari dia dibebaskan... Buku ini dicadangkan kepada anda untuk membacanya. Recommended!

Rabu, 13 Oktober 2010

Stok buku


3 hari 2 malam berada di wad tanpa bahan bacaan yang cukup amatlah membosankan. Mujur juga dapat tengok newborn babies setiap hari :) Lantas hari keluar wad ajak suami ke kedai buku. Mujur dia tidak banyak membantah. Yalah, baru keluar wad patutnya balik rumah berehat :D Capai 4 buah buku yang memang ingin dibeli jadi tidaklah ambil masa lama membeli buku.



Selang beberapa hari, kebetulan ke sebuah pusat membeli-belah. Sudah alang-alang sampai, ajaklah dia ke kedai buku Popular juga. Katanya, "Dah agak dah..." ngee..minta maaf...dah namanya perempuan ;) Tapi isterinya ini lebih suka book shopping daripada membeli kain baju. Tapi kali ini buku yang dibeli agak santai dan kebudak-budakan...semua ini nak dibuat stok buku semasa bercuti nanti. Hm.. tapi agak-agaknya terbaca ke? Entahlah.



Awal Oktober lalu pembelian buku yang tidak dirancang :D



Maka, berakhirlah era saya 'berpuasa' dari membeli buku selama 2 bulan setengah (^_^).
Jom baca buku!

Sabtu, 9 Oktober 2010

Dalam Kehadiran Sofiah


Penulis : Saripah Bakar
Penerbit : PTS

Kehadiran anak istimewa dalam keluarganya tidak pernah diduga namun saya kagum kedua ibu bapa ini tabah dan sabar menghadapi kerenah anak mereka yang istimewa. Benar, hanya ibu bapa istimewa sahaja yang Allah beri anak istimewa. Buku ini digarap hasil pengalaman sebenar penulis yang mempunyai anak sulung yang istimewa.

Segala keperitan dan kepayahan menjaga dan membesarkan Sofiah ditulis secara kesinambungan di dalam buku ini. Walaupun kadang-kala saya merasakan plotnya terlalu cepat. Tetapi tidak mengapa, jerit perih yang dilalui oleh keluarga ini seakan turut sama dirasai. Saya yang kadang-kadang membaca sambil baring boleh berubah-ubah posisi kedudukan membaca kerana sama resah merasai kehidupan keluarga Sofiah.

Sofiah seorang anak Cerebral Palsy jika saya tidak silap. Oleh itu Sofiah mengalami kelewatan perkembangan dari segi fizikal terutamanya. Disebabkan keadaannya yang tidak dapat mengurus diri sendiri jadi Sofiah dihantar ke PDK (Pemulihan Dalam Komuniti). Hal ini kerana di negara kita, kanak-kanak yang bermasalah / kurang upaya yang diterima di sekolah ialah yang boleh mengurus diri sendiri sahaja.

Penulis ada menceritakan pandangan negatif pihak masyarakat terhadap anak istimewa, golongan yang mengambil kesempatan di atas keistimewaan anak-anak ini, golongan ahli politik yang 'cakap tak serupa bikin', dan lain-lain lagi. Pastinya penulis sendiri telah mengalami semua perkara tersebut.