Sudah hampir 3 tahun saya meninggalkan alam kampus dan rasanya sudah lebih 5 tahun tidak bertemu mentor yang satu ini. Sewaktu kalut mengelak daripada terkena rempuhan orang ramai di PBAKL, saya terdengar satu suara memanggil. Oh, Brother Yusry rupanya. Wah, sudah terbit buku Permainan Usrah! Dahulu, sewaktu versi asalnya mempunyai lebih dari 100 permainan dan artikel. Memang amat berguna. Cuma waktu itu belum dapat diterbitkan sebegini cantik dan eksklusif.
Buku ini mengandungi 5 bab diawali dengan Dunia Usrah dan Naqibah, Naqib / ah Berpengaruh, Teknik-teknik Mengendali Usrah, Tip Dan Trik Kendali Usrah dan Aktiviti dan Permainan Usrah. Buku ini datang dengan pendekatan baru yang lebih mesra pembaca. Berbanding buku-buku mengenai usrah yang ada di pasaran, buku ini tampil dengan bahasa yang mudah dan memberi gambaran yang menyeluruh mengenai usrah. Walaupun mungkin tidak terlalu terperinci sekurang-kurangnya dapatlah memberi gambaran awal kepada sesiapa yang baru pertama kali mendengar apa itu usrah mahupun bagi yang pertama kali menghadiri usrah.
Melalui pengalaman mereka selama lebih kurang 15 tahun berusrah, kita didedahkan dengan usrah dan komponennya, mengapa usrah itu menyeronokkan?, peranan naqib dan naqibah, pelbagai teknik menarik ahli usrah mengikuti usrah, realiti masa kini usrah, cabaran naqib dan naqibah serta permainan dan aktiviti yang sangat menarik yang boleh diaplikasikan di dalam usrah. Turut disediakan sebuah cakera padat mengandungi 200 aktiviti dan permainan Islami.
Bagi saya yang kini bergelar pendidik, method yang digunakan oleh penulis sebenarnya mirip kepada teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ada set induksi (pengenalan), penyampaian isi, aktiviti dan akhir sekali ditutup dengan kesimpulan. Interaksi 2 hala sangat penting di dalam usrah supaya ahli usrah tidak bosan kerana didominasi oleh satu pihak sahaja.
Saya sangat mengesyorkan kepada anda untuk memiliki dan membaca buku ini. Insya Allah banyak manfaat dapat diambil dari buku ini. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan