Jumaat, 19 Februari 2010

MEON - Perang Terung Manggor #1




Judul komik : Meon - Perang Terung Manggor #1

Pelukis : JAS

Terbitan : PTS (2010)

Tebal komik : 100 muka

Harga : RM 6.90

Sumber : Beli di Popolar Tesco, Melaka

Tarikh baca : 17 Februari 2010

Cantik kulit depan komik ini, bukan? Pelukisnya juga adalah seorang animator. Seronok juga jika komik ini dapat diterbitkan dalam bentuk kartun.

Meon ini seorang budak kampung yang minat untuk menjadi askar. Bersama dengan dua lagi rakannya, mereka sering bermain bersama-sama.

Awalnya, saya lambat membaca komik ini. Bila tengok suami dan adik ipar tersenyum-senyum ketika membaca komik ini, timbul pula rasa ingin tahu. Memang ceritanya lucu dan menarik. Yang penting saya dapat info baru dari komik ini. Ha, siapa kata komik tidak berguna? Komik juga boleh menjadi medium menyebarkan ilmu jika digunakan pada tempat yang betul.

Komik ini menceritakan kehidupan budak kampung sehari-hari. Meon dan dua rakannya gemar aktiviti lasak. Satu hari Meon mencadangkan mereka bermain perang terung manggor. Terung manggor? Apa tu? Hendak tahu, bacalah komik ini ya! ;)

Yang lucunya ialah ketika mereka berpakat untuk mengambil (baca : mencuri) papan dari reban ayam Pak Abu yang buruk itu. Nampak sahaja rapuh tapi susah juga mereka hendak mengumpil papan itu. Akibatnya, roboh reban ayam Pak Abu. Yang saya suka ialah Meon berani mengaku salah dan tidak berbohong. Wah, kagum. Nampak sahaja kecil tetapi hatinya jujur (cewah,,).

Hendak buat apa dengan papan itu? Sebenarnya mereka hendak membuat senapang kayu. Ada juga diajar cara-cara membuat senapang kayu ini. Saya tertanya-tanya adakah lagi kanak-kanak zaman ini yang masih bermain senapang kayu?

Cerita ini bersiri jadi saya tidak tahu kesudahan Meon dan rakan-rakannya menjadi penyelamat kepada dua orang budak perempuan yang dibuli oleh budak nakal.

~~~~~~~~~~~~

Akhir-akhir ini saya minat pula mahu baca komik-M. Mungkin disebabkan ciri-cirinya berlainan dengan komik-komik lain. Apa pun saya menyokong komik ini dibaca oleh para pelajar kerana komik ini menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) selain ceritanya yang tidak bercanggah dengan norma-norma Islam.

Dengan usaha pihak PTS ini, mungkin pihak sekolah dan ibu bapa tidak lagi menyenaraihitamkan komik untuk bacaan anak-anak. Saya sendiri berusaha menarik minat membaca adik-adik kecil (dan remaja) di kampung dengan meletakkan komik dan bahan bacaan yang bersesuaian bagi dibaca sewaktu masa lapang di meja tamu di luar rumah.

Hasrat saya ialah membina mini perpustakaan untuk kanak-kanak dan remaja di rumah. Mudah untuk saya monitor (agaknya ;)). Tapi ia memerlukan kos. Wallahualam. Doakan saya ya (",)

Isnin, 8 Februari 2010

Remaja Mulia


Sumber gambar : Di sini
Judul buku : Remaja Mulia
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd (2010)
Harga : RM 12.00
Bil muka surat : 132
Sumber : (Beli di) Masjid Jamek Kajang
Tarikh baca : 31 Januari 2010

Buku ini adalah di bawah kategori Novel Awal Remaja. Nampak sahaja nipis tetapi tebal dengan hikmah dan pengajaran. Subhanallah. Saya amat mengesyorkan para ibu bapa dan guru-guru yang ingin menggalakkan anak-anak membaca supaya membaca buku ini.

Ceritanya diolah menarik dan pembaca akan mendapati penulis pandai menyusun cerita dan nasihat disampaikan secara langsung dan tersirat.

Remaja mulia mengisahkan tentang Irfan Hakimi yang sedari kecil sering diuji oleh Allah tetapi dia merupakan seorang anak yang soleh, taat kepada kedua ibu bapa, sentiasa bersabar dan belajar bersungguh-sungguh.

Dia sudah kematian ibu sejak dia dilahirkan. Maka Irfan Hakimi tinggal bersama dengan ayahnya, Pak Mahmud. Pak Mahmud bertugas sebagai Imam 1 di kampung mereka. Kerjanya bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dua beranak.

Pada satu hari, selepas selesai mengerjakan kebun sayur, Irfan Hakimi dan ayahnya bersiap-siap untuk pulang. Irfan mengambil sayur-sayuran untuk dibuat lauk pada hari itu ketika terdengar sesuatu bunyi dibelakangnya. Rupa-rupanya ayahnya jatuh. Siapa sangka Pak Mahmud dipatuk ular tedung yang berbisa.

Irfan Hakimi berasa sangat sedih dan tidak tahu sama ada ingin mencari pertolongan ataupun berada di sisi ayahnya yang kelihatan hampir menemui ajal. Kebun mereka itu jauh sedikit dari tempat orang ramai. Kata-kata terakhir ayahnya disemat di dalam hati. "Ayah tinggalkan kamu dengan Allah…" Subhanallah.

Saya perhatikan Pak Mahmud memanggil anaknya dengan nama penuh. Bukankah elok begitu? J Irfan Hakimi dididik oleh ayahnya sejak kecil lagi akan ketauhidan kepada Allah. Maka anak ini mencerap semua ilmu dan nasihat dari ayahnya lalu menjadikannya seorang yang sangat yakin dengan Allah. Memang beginilah cara yang sepatutnya kita didik anak-anak kita dari kecil.

Kesusahan hidup yang dialaminya tidak begitu dirasai kerana kebergantungannya kepada Allah menjadikan dia seorang yang sabar dan tenang. Malah tingkah laku Irfan Hakimi ini banyak mempengaruhi orang di sekelilingnya.

Selepas kematian ayahnya, dia tinggal bersama Haji Makruf, Imam 2 di kampung itu. Hidupnya diuji dengan kelakuan nakal 3 sekawan ; Hafiz, Jaafar, dan Toriq yang sering menghina dan menabur fitnah ke atas dirinya. Dua cubaan fitnah yang pernah dilakukan ialah menghilangkan buku Irfan Hakimi dan mengambil duit derma kilat yang dipungut oleh Irfan Hakimi serta memasukkan batu ke dalam tabung tersebut.

Irfan Hakimi juga banyak belajar dari Haji Makruf terutama ketika dia mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan semasa percubaan UPSR. Saya terkesan dengan nasihat Haji Makruf kepada Irfan Hakimi. "Irfan, dalam soal usaha, cukup itu tidak dikira dengan angka." (m.s 77) "Kita perlu yakin yang Allah akan bantu kita. Tapi kita tidak boleh menganggap bahawa persediaan kita itulah membuatkan kita berjaya…" "Sebab kamu rasa kamu sudah cukup meminta kepada Allah. Kamu tidak boleh rasa begitu. Dengan Allah, kita tidak boleh rasa cukup. Kita kena terus meminta, meminta, dan meminta. Itu tanda kerendahan hati kita kepada-Nya."(m.s 81)