Sabtu, 13 Jun 2009

Moga Bonda Disayang Allah

Tajuk : Moga Bonda Disayang Allah
Penulis : Tere Liye
Penerbit : PTS
Harga : RM 22.00
Tarikh baca : 11-12 Jun 2009
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Moga Bonda Disayang Allah menceritakan tentang kisah seorang anak muda yang hidup dengan rasa kesal dan bersalah kerana menyebabkan kematian 18 anak didiknya tiga tahun lalu. Karang, berubah menjadi seorang yang pemabuk, meninggalkan solat, menjadi pemarah dan bersikap sinis kepada semua orang. Ibu angkatnya tidak putus-putus berdoa supaya dia berubah menjadi baik seperti dahulu.

Dalam masa yang sama, ada sebuah keluarga, si ibunya mengharapkan pertolongan Karang untuk mengajar anaknya, Melati yang buta dan tuli. Hati siapa yang tidak sedih melihat seorang anak berusia 6 tahun tetapi tidak dapat berbuat apa-apa lantaran kekurangan yang dialaminya. Melati sebenarnya tidaklah buta dan tuli sejak kecil tetapi peristiwa dihentam dengan objek tumpul di tepi pantai ketika usianya 3 tahun secara perlahan-lahan mengubah keadaan dirinya.

Melati hidup dalam keadaan yang kosong, gelap, dan tidak berasa kewujudan apa-apa pun di dunia ini. Hanya dengan kehadiran Karang, pemuda ini berusaha mengubah dan mengharap kemajuan diri Melati. Pak HK pula tidak menyukai Karang kerana pantang baginya orang yang pemabuk mengajar anaknya. Lalu diusirnya Karang. Tetapi tempoh 3 minggu Pak HK ke Frankfurt atas urusan perniagaan, Karang mempergunakan waktu tersebut untuk mengajar Melati.

Kemajuan Melati sangat lambat. Kerana Melati tidak memahami bahawa semua benda tidak boleh dibaling. Sepanjang pembacaan saya juga ikut berfikir-fikir, bagaimana mendidik anak yang buta dan tuli ini? Satu cabaran yang maha hebat bagi seorang guru. Akhirnya pada hari ke-20, iaitu sewaktu Pak HK balik dari Frankfurt secara mengejut (sengaja membuat kejutan) satu keajaiban berlaku. Nyaris-nyaris berlaku pergaduhan besar kerana baru Pak HK menyedari bahawa Bonda telah menipunya dengan mengatakan Karang telah pergi dari rumah itu. Walhal, Karang masih dengan amannya duduk sarapan makan bersama keluarganya pagi itu :)

Melati hilang tanpa disedari ketika berlaku kekecohan di ruang makan itu. Semua orang di dalam rumah ikut mencarinya. Rupa-rupanya Melati telah berada di halaman rumah dengan keadaan yang sangat seronok tatkala air dari pili mengenai tapak tangannya. Dan Karang akhirnya berasa sangat bersyukur kerana baru diketahui cara mengejar Melati. Tapak tangan Melati merupakan akses kepada sumber pembelajarannya. Karang menulis perkataan “A I R” pada tapak tangan Melati dan Melati berasa sangat teruja. Maka pada hari itu, berjuta soalan dikemukakan oleh Melati lantaran sikap ingin tahunya yang tersimpan bertahun-tahun. Sudah pasti ibunyalah yang paling merasa bahagia kerana dapat melihat anaknya begitu eager mempelajari sesuatu yang baru dan yang paling penting dapat mengenal dunia ini.

Cerita ini sebenarnya adalah adaptasi dan pengubahsuaian daripada cerita Helen Keller, seorang budak perempuan yang juga deaf-blind. Bezanya ialah gurunya seorang perempuan dan buta juga bernama Anne Sullivan. Filem mengenai Helen Keller telah beberapa kali dilakukan dan ceritanya sangat menyentuh hati. Ia mengajar ketabahan hati seorang guru, ibu bapa dan juga menuntut kesabaran dan kegigihan dalam menimba dan mencari ilmu.

2 ulasan:

  1. Bagi saya, Hafalan Shalat Delisa tetap yang terbaik. Teringin sangat nak baca Bidadari-bidadari Syurga, orang kata, best sangat. Tapi, kawan saya cukup suka dengan Muga Bonda di Sayang Allah. Unik kerana watak budak yang bisu, pekak dan buta..:), macam mana seorang guru mengambil pendekatan untuk membimbing budak sebegini. Itulah mungkin faktornya kenapa kawan saya menyukai buku ini-ada maksud tersirat yang cukup mendalam yang perlu diambil iktibar.

    BalasPadam
  2. Ya. Saya lebih menyukai Hafalan Solat Delisa. Mungkin sebab saya dah terlebih dahulu "kenal" dengan Helen Keller maka apabila membaca buku ini membuatkan saya sedikit terganggu dengan penceritaan yang terlalu panjang. Tapi pertama kali menonton filem Helen Keller itu memang meruntun jiwa saya. Tidak pernah terbayang sebelum itu ada orang yang lahir sebagai deaf-blind. Tapi sebagai orang Islam, kita tetap percaya setiap kejadian Allah ada hikmahnya :) Cuba Welma cari filem tu. Saya lupa tajuknya..saya tengok masa foundation dulu.. Lecturer pasang sewaktu kelas :)

    BalasPadam