Khamis, 18 Jun 2009

7 Formula Individu Cemerlang (2)


Formula 1 : Kenali Kehebatan dan Potensi Diri

Formula 2 : Meledakkan Takwa

Dalam usaha meledakkan takwa, penulis memberi penekanan yang sungguh-sungguh terhadap peranan hati. Hati umpama raja. Hati dapat mengarahkan tentera-tenteranya bekerja deminya. Menurut Imam Ghazali, hati mempunyai empat sifat iaitu sifat buas, binatang, syaitan dan tuhan. Kita lihat satu-persatu bagaimana empat sifat ini berfungsi. Apabila perasaan marah menguasai, maka hati boleh berubah menjadi buas dan bersifat binatang.
Begitu juga jika dilitupi dengan nafsu syahwat. Nafsu syahwat yang mendorong ke arah kejahatan akan menutup hati daripada kebenaran dan pada masa ini hati umpama syaitan. Bagi sifat ketuhanan pula, seseorang itu akan mencari ketenangan, kemuliaan, keilmuan, dan kehebatan kerana hatinya bersih daripada segala prasangka.

Ada beberapa cara untuk mengenal langkah-langkah syaitan. Menurut Imam Ghazali, antara pintu yang sering digunakan oleh syaitan ialah :

1. Perasaan marah.
2. Nafsu syahwat.
3. Perasaan tamak dan dengki.
4. Kenyang.
5. Cinta kepada perhiasan dan harta benda.
6. Bergantung kepada manusia.
7. Gopoh gapah dan terburu nafsu.
8. Cinta kepada dinar, dirham, dan emas (wang ringgit).
9. Kedekut dan bakhil.
10. Fanatik mazhab dan kelompok.
11. Berfikir berkenaan dengan sifat, zat, dan af’al atau perbuatan Allah tanpa ilmu.
12. Sikap mudah berburuk sangka terhadap orang-orang Islam.

Malah menurut Ibrahim bin Adham, ada lapan perkara yang mematikan hati iaitu :

1. Mengetahui hak Allah tetapi tidak menegakkan hak itu.
2. Membaca quran tetapi tidak melaksanakan suruhannya.
3. Mencintai Nabi tetapi mengabaikan sunnahnya.
4. Takutkan mati tetapi tidak mempersiapkan diri.
5. Mengetahui syaitan adalah musuh tetapi ghairah mengikut perangainya.
6. Takutkan neraka tetapi melakukan maksiat.
7. Mahukan syurga tetapi tidak beramal soleh.
8. Kekurangan diri dilupakan tetapi kekurangan orang lain diketengahkan.


Allah menjanjikan kejayaan dan kecemerlangan bagi sesiapa yang bertakwa. Dalam surah at-Talaq ayat 2 hingga 3 Allah menjelaskan, "Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya.“

Takwa harus dibajai dengan muhasabah, taubat, mujahadah, muraqabah, dakwah dan istiqamah. Mujahadah bermakna berusaha melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.

Muraqabah pula meyakini dengan sepenuh hati Allah melihat dan mengawasi segala gerak-geri kita dan Dia mengetahui segala lintasan yang ada dalam hati kita. Muraqabah ini berkait dengan konsep Ihsan. “Ihsan ialah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika itu tidak dapat kamu rasai, yakinilah bahawa Dia melihatmu.“ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Ada perkara menarik yang dicatatkan di dalam Tarikh at-Tabari Jilid 4, halaman 16. pada satu ketika tentera Islam dapat menakluk ibu kota empayar Parsi iaitu Madain, ada seorang lelaki Islam yang datang memulangkan barang seorang lelaki kafir dan masyarakat bukan Islam ketika itu berasa pelik dengan perangainya kerana mereka belum pernah menjumpai orang seperti itu. Lelaki itu mengatakan jika tidak kerana takutkan Allah, pasti barang ini tidak dikembalikan.

Kesemua faktor yang disebutkan tadi dapat melahirkan sekurang-kurangnya lapan perkara yang boleh menghasilkan kualiti yang unggul.

1) Autoriti tertinggi bagi menentukan kualiti ialah Allah.
2) Kualiti bermula dari dalam.
3) Kualiti perlu mengikut ukuran bukan dakwaan.
4) Berkualiti setiap masa, bukan sekali-sekala.
5) Setiap orang adalah pemimpin.
6) Menilai sebelum dinilai.
7) Berkualiti secara holistik bukan hanya pada beberapa sudut.
8) Mengabaikan pemelilharaan kualiti merugikan dunia dan akhirat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan