Selasa, 23 Disember 2014

Buku 80 : Little House on the Prairie




Bismillahirrahmanirrahim.

All's well ends well.

Little House on The Prairie. Saya rasa agak 'familiar' dengan tajuk ini. Mungkin saya pernah menontonnya satu ketika dahulu dan baru saya ketahui ianya adalah dari sebuah buku. 

Kecekalan sebuah keluarga yang berhijrah dari Big Wood menuju ke satu tempat baru yang dikenali sebagai Indian Territory. 

Membaca helaian demi helaian pelbagai emosi dirasai. Kesukaran perjalanan mereka mengharungi hutan belukar, denai dan sungai yang deras airnya, hampir kehilangan nyawa, bermalam di tengah hutan, diancam haiwan liar sehinggalah kepada menemui tanah yang sesuai untuk didiami, membina kediaman yang selesa, menggali sumber air sendiri, berjaga-jaga dengan serigala hutan, kaum Red Indian, mengalami demam Malaria yang hampir membawa maut, menghadapi pelbagai musim ; musim sejuk, musim bunga, musim panas dan menyambut perayaan Krismas.

Namun akhirnya mereka terpaksa berpindah lagi. Oh, agak melelahkan membaca buku ini. Hee.. Tapi saya tetap teruskan bacaan kerana saya suka dengan perincian aktiviti keluarga ini dan merasai emosi mereka dengan keadaan rumah mereka yang sangat jauh dengan jiran. Pada masa itu juga kemudahan mengutus surat dan membeli barang keperluan memerlukan perjalanan yang sangat jauh dan melibatkan keselamatan. Saya kagum dengan si ibu yang menjadi ketua keluarga yang hebat ketika si ayah tiada di rumah.

Saya beri tiga bintang sahaja. Mungkin berat sebelah kerana daya tumpu saya semakin menurun ketika membaca buku ini. Dan pula, ada unsur perkauman di dalam buku ini...

Isnin, 22 Disember 2014

Buku 79 : Srikandi-Srikandi Yang Benar oleh Zahiruddin Zabidi


Bismillahirrahmanirrahim.

Srikandi-srikandi Yang Benar. Buku berkulit keras setebal 464 muka surat.
Himpunan kisah 3 tokoh wanita dalam lipatan sejarah Islam ; Aminah ibu Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam, Fatimah anakanda kesayangan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam dan Rabiah Aladawiyah.
Sebagai bacaan 👍 tetapi untuk rujukan bukanlah satu pilihan kerana ianya adalah fiksyen.
Ini pertama kali membaca buku Tuan Zahiruddin. Mendamaikan. Seolah saya dapat mengalami peristiwa yang berlaku ke atas tokoh-tokoh wanita ini. Masya Allah. * Buku terakhir yang dapat diselesaikan sebelum pulangkan semula ke Perpustam

Isnin, 15 Disember 2014

Buku 78 : Apabila Remaja Bercinta. ... Alkisah oleh A. Ubaidillah Alias

Bismillahirrahmanirrahim.

Kreatif.

Ada soalan, ada jawapan, ada tip, ada tazkirah dan ada panduan.

Meski pun nipis, tetapi banyak sekali ilmu yang didapati dari buku ini. Moga ianya memberi manfaat buat anak-anak dan adik-adik kita yang terbelenggu dengan masalah perasaan ini.

Teringat kata-kata seorang penulis - mudah terikut-ikut merupakan tanda kelemahan. Remaja yang sibuk di usianya akan terisi masa dengan perkara bermanfaat berbanding remaja yang hanyut dalam percintaan di awal usia kerana tidak mengisi masa dengan perkara yang baik. Wallahualam
 


Ahad, 14 Disember 2014

Buku 77 : Aku Bercerita oleh Ramlee Awang Murshid

Bismillahirrahmanirrahim.

Lima kisah dalam sebuah buku. Agak menarik. Pelbagai jenis cerita yang berbeza latar. Namun bukanlah buku terbaik beliau bagi saya. Ada bukunya yang lebih hebat :)

Namun setiap kisah pasti ada debarnya. Memang "trademark" RAM ;)

Rabu, 10 Disember 2014

Buku 76 : Ladang Hati Mustika oleh Ummu Hani Abu Hassan



Bismillahirrahmanirrahim.

Ladang Hati Mustika terbitan AMN Publications tahun 2007 ini antara novel awal penulis jika saya tidak silap. Waktu ini puan penulis sedang meniti tangga menjadi penulis yang berjaya dan menyebarkan dakwah.

Nur Mustika graduan Universiti Malaya seorang yang kental jiwanya. Diuji dengan pelbagai cabaran sebagai pelajar, rakan dan seorang muslimah.

Mustika juga seperti kita manusia biasa, pasti terselit juga perasaan kepada Insan berlainan jantina, adakala terlepas cakap menyinggung perasaan orang malah diuji dengan sihir.

Saya suka wataknya kerana membawa pelbagai sisi kehidupan dan bagaimana Mustika menangani konflik dengan agama sebagai pegangan utama. Memang kuat berakar dalam dirinya. Subhanallah. Dia juga berani berdakwah kepada jirannya yang dipanggil Uncle Sepet. Menerangkan tentang Islam sehingga Uncle Sepet mengakui keberanian Mustika sebagai seorang Muslim.

Persoalan jodoh memang misteri. Berapa kali Mustika dilanda ujian begini. Namun berkat sabar dan keteguhan hati yang tidak mudah cair dengan lelaki akhirnya menemukan jodoh terbaik buat dirinya.

Apa yang saya lihat pembentukan peribadi Mustika banyak dipengaruhi oleh keluarganya. Suasana keluarga yang harmoni dan mendidik anak dengan pendidikan agama menyumbang peranan pembentukan peribadi yang baik :-)

Rabu, 3 Disember 2014

Buku 75 : Kafe Damia oleh Moon Leeya Zafrina






Bismillahirrahmanirrahim.

Bila ternampak buku ini di rak perpustakaan saya terus capai. Mungkin kerana sudah lama tidak membaca buku Jemari Seni dan penulis juga menjadi rakan di laman sosial (walaupun tidak pernah kenal. :))

Beberapa minggu ini ialah minggu yang sibuk dengan persiapan program yang dianjurkan dalam cuti sekolah dan ya, mujur buku ini pilihan yang 'baik' kerana tidak banyak konflik dan jalan ceritanya tidak memeningkan kepala.

Kisah persahabatan sejak dari zaman sekolah hingga melangkah ke dunia pekerjaan. Selalu bergaduh bagaikan anjing dengan kucing namun ia tidak menjejaskan perasaan yang terpendam yang tersimpan dalam hati masing-masing, Liya dan Zafran.

Mujurlah, penulis tidak mencipta konflik yang pelik-pelik. Jika tidak memang saya tak dapat teruskan pembacaan. Sebab sudah lama tidak membaca buku seperti ini. heee....

Satu sahaja terlintas, nama judul Kafe Damia tetapi tidak banyak isu yang dapat dikaitkan dengan judulnya :)

Selasa, 2 Disember 2014

Buku 74 : Kisah Saya Saudara Baru oleh Nuraisyah Chua Abdullah


Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini saya pinjam dari Perpustam, Melaka.

Membaca buku ini sememangnya membuka mata dan minda saya akan kesusahan yang dialami oleh  saudara baru apatah lagi Islam di Malaysia sinonim dengan orang Melayu. Penulis turut menyedarkan saya bahawa saudara sesama Islam patut membantu saudara baru memahami hukum-hakam yang perlu dipelajari kerana hampir semua yang dilalui adalah asing dengan cara hidup sebelum ini. Meskipun soalan yang remeh perlulah dijawab dengan baik dan berhemah.

Saya kagum dengan sikap positif beliau di saat rakan-rakan Islam tidak begitu mempedulikannya dan tanpa sedar menyinggung perasaannya. Hmm..Memang sukar jika berada dalam situasinya.

Sebelum itu ujian getir yang dihadapi apabila pengislaman beliau ditentang oleh ayah sendiri sehingga ayahnya jatuh sakit. Sehingga ayahnya menghembuskan nafas terakhir tetap tidak menerima pengislamannya. Tabahnya hati penulis.

Membaca buku ini pembaca dapat merasai pengalaman suka duka beliau dalam menghadapi ranjau ujian sebagai seorang Islam. Semoga penulis tabah dan dapat menyebarluaskan dakwah islamiah ke seluruh pelosok dunia :-)


++++++++++++++

Lembaran awal Kisah Saya Saudara Baru ini mengingatkan saya kepada seorang rakan saudara baru ketika menuntut di tahun pertama UTeM dahulu (sekitar tahun 2003-2004. Allahu. Tiba-tiba sebak mengingatkannya. Saya tidak mengenalinya secara rapat kerana jurusan berbeza. Dia mengambil bidang kejuruteraan manakala saya di bidang teknologi maklumat.

Dia berbangsa Cina dan memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga. Bahagia dan tenang kehidupannya. Namun, di penghujung semester 1, keluarganya tahu dan mengugut dengan pelbagai cara. Sehinggalah dia menghilangkan diri pada semester kedua dan tidak meneruskan pengajian. Sayang sekali kerana keputusan semester 1 nya amat memberangsangkan - tersenarai sebagai penerima Anugerah Dekan.

Kemudian kami semua hilang khabar beritanya. Ada yang mengatakan dia sudah kembali ke pangkuan keluarga dan ada yang mengatakan dia bekerja sebagai juruwang di pasaraya. Wallahualam. Semoga Allah memelihara dan memudahkan urusannya.

Khamis, 20 November 2014

Buku 73 : Wasiat Untuk Anakku oleh Dr Zulkifli Al-Bakri

Bismillahirrahmanirrahim.

Subhanallah. Alhamdulillah saya bertemu buku sebaik ini yang saya kira amat sesuai untuk santapan anak-anak khususnya.

Dimulai dengan "Ada Apa Dengan Nama" yang mengingatkan kita akan harapan ibu dan ayah di sebalik pemilihan nama kita semua. Dalam bab-bab seterusnya penulis banyak membincangkan mengenai pembetulan matlamat kehidupan dan pembacaan. Teknik membaca, Kepentingan membaca dan beberapa isu lain.

Buku ini juga telah dibedah serba sedikit di dalam usrah remaja baru-baru ini. Alhamdulillah, semoga anak-anak ini beroleh manfaat dan mempraktikkan di dalam kehidupan mereka.

Sepanjang mengikuti tulisan Dr Zulkifli ini saya dapati beliau kerap mengingatkan mengenai kepentingan membaca. Subhanallah. Jarang saya temui penulis yang akan mengkhususkan topik "membaca" di dalam setiap karya mereka (mengikut pembacaan saya yang terhad ini).

Barakallahufik :-)

Rabu, 19 November 2014

Buku 72 : Tokoh Pendakwah Islam - Dr Abdul Rahman Humaid Al-Sumaith oleh Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri

Bismillahirrahmanirrahim.

Ketika menghadiri kuliah maghrib yang disampaikan oleh SS Dr Zulkifli bin Mohamad ini beliau ada bercerita mengenai seorang anak perempuan di Jordan yang telah tamat ijazah pertama di usia 16 tahun dan kini sedang melengkapkan ijazah kedua (double degree). Masya Allah. Inilah kehebatan dan ketinggian kalam Allah jika diberikan kepada anak-anak terlebih dahulu.

Kemudian yang berbahagia Dr ada menyebut mengenai seorang tokoh yang telah mengislamkan 11 juta orang. Subhanallah. Beliau yang dimaksudkan ialah Dr Abdul Rahman Humaid Al-Sumaith.

Kami lantas mendapatkan buku ini yang dikarang sendiri oleh Dr Zulkifli. Membaca kisah tokoh pendakwah ini menerbitkan rasa kagum kerana kesungguhannya menyebarkan Islam dan membantu rakyat di Afrika tanpa rasa jemu dan putus asa. Masya Allah.

Masih ada lagi insan yang mengabdikan diri semata-mata kerana-Nya. Allahu Allah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

Ahad, 16 November 2014

Buku 71 : Taj Mahal Cinta - Tinggi Menggapai Syurga oleh Noraslina Jusin & Nur A'isyah Humaira


Bismillahirrahmanirrahim.

"Kita sebenarnya tidak pernah tahu, bahagian mana dalam kehidupan kita yang menjadi asbab untuk kita menjadi ahli syurga-NYA."

Sebuah naskah yang menyentuh sukma. Biar pun awalnya saya kurang menghayati bait-bait tulisannya namun saya membaca satu-persatu bagi menghadam maksud penulis. (Mungkin bagi saya kata-kata penulis terlalu berseni ^_^)

Satu-persatu isu disentuh, dikupas, diterangkan dengan jelas dan disertai firman Allah dan hadis Rasulullah SAW buat ingatan dan pedoman bersama.

Banyak perkara dapat saya kutip sepanjang pembacaan. Ia menjadi muhasabah buat saya dan adakalanya bagaikan mengejutkan saya dari kelekaan dengam nikmat dunia dan kekhilafan yang saya lakukan.

Astaghfirullah. Saya mohon keampunan Allah. Bagus sekali disentuh isu aurat, batas pergaulan, had berinteraksi di laman sosial, panduan untuk para niqabis juga peranan isteri dan usaha menyebarluas dakwah.

Juga tertarik dengan puisi-puisi yang dinukilkan. (Ah, saya memang tidak pandai langsung mencipta puisi. Cuma akhir-akhir ini sahaja mula berjinak-jinak membaca puisi)

Moga Allah memberkati.

Sabtu, 15 November 2014

Buku 70 : Untuk Kita Pendosa oleh Hilal Asyraf


Bismillahirrahmanirrahim.

Kita masih belum bersungguh mencari redha Allah....

Jumaat, 14 November 2014

Buku 69 : 50 Sup Champion Resipi Rasulullah oleh Web Sutera


Bismillahirrahmanirrahim.

Nama tuan Web Sutera mula saya kenali sekitar tahun 2008 - 2009 ketika saya mula-mula membuat blog ini dan mula aktif di laman sesawang Goodreads. Atau mungkin juga saya secara tidak sengaja berkunjung ke blog beliau semasa mencari ulasan-ulasan buku yang menarik.

Namun awalnya saya agak keliru ketika berkunjung ke blognya. Menurut pengenalan di blog, beliau menjalankan bisnes katering, tetapi mengapa ada ulasan buku? Agak bercampur-campur entrinya. Demikian telahan saya yang baru mengenali dunia blog ;)

Setelah beberapa tahun, mengetahui beliau telah menulis beberapa buah buku membuatkan saya rasa teruja kerana telah mengikuti tulisannya di blog dan Goodreads. Saya pernah membaca Berfikir Gaya Champion dan kini berpeluang membaca naskah ini yang dipinjam dari Perpustam.

50 bab di dalam ini memberi persepsi kepada saya betapa luasnya ilmu, pengalaman dan pemerhatian beliau terhadap kehidupan ini. Maklumat yang diperolehi oleh beliau melalui pembacaan digarap dan disesuaikan mengikut tema dalam sup champion.

Acap kali juga saya berhenti membaca, merenung perkongsian beliau dan akhirnya mengangguk tanpa sedar menyetujui kata-kata beliau.

Suka membaca pengalaman beliau dalam perniagaan katering, nasihat agama buat saudara semuslim, pengalaman beliau menghadapi cabaran hidup serta untaian puisi yang diselitkan hampir di semua bab.

Tidak lupa juga apabila saya ternampak lokasi tempat tinggal saya di dalam buku ini - Teluk Mas (Melaka). Wah, sehingga ke sini tuan membuat katering ya! Rasa mahu tahu juga bagaimana tuan sampai ke sini :) (*Ejaan sebenar ialah Telok Mas)

Sedikit catatan, naskah yang saya baca ini sedikit bermasalah. Muka surat 178 hingga 211 berselang-seli tidak mengikut urutan. Pening sekejap saya membacanya. Harap saya tidak lupa memaklumkan kepada Perpustam apabila memulangkan buku ini nanti.

Selain itu silap ejaan "Serinai Faqir" yang sepatutnya mengikut fahaman saya tuan penulis memaksudkan Tuan Serunai Faqir.

Moga penulis beroleh keberkatan-Nya. Amin.

Ahad, 9 November 2014

Buku 68 : Tabik Cikgu : Cikgu Ada Rahsia? oleh Fatimah Az-Zahra




Bismillahirrahmanirrahim. 

Saya mencari kembali buku pertama dahulu bertajuk Tabik Cikgu tetapi tiada dalam simpanan. Kemudian baru teringat, saya telah hadiahkan kepada anak rakan. Tidak mengapalah walaupun saya sudah lupa ceritanya.

Kali ini keseluruhan naskah bertumpu kepada rahsia Cikgu Mukhsin dan tiada kisah kenakalan anak-anak 2 Terbilang ini. 

Tidak sangka ya, Cikgu Mukhsin menyimpan rahsia besar sewaktu menyambung pengajiannya di Mesir dahulu.

Pergi ke sana atas tiket pelajar perubatan namun entah apa yang berlaku, Cikgu Mukhsin lebih berminat mengembara dan lalai atas tanggungjawabnya sebagai pelajar. 

Sebagai ketua rumah, Cikgu Mahdi telah menegur Cikgu Mukhsin namun tidak dihiraukan. Bermulalah perjalanan Cikgu Mukhsin yang mencabar dan mengancam nyawa sebaik beliau memutuskan keluar dari rumah sewanya.

Terbang ke Jerman, dihantar pulang je Mesir, ditangkap polis Mesir, menjadi pengintip polis Mesir, diculik dan beberapa kisah lagi yang mewarnai hidupnya di sana. 

Namun akhirnya beliau berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Mesir namun terpaksa melepaskan cita-citanya menjadi seorang doktor perubatan. Semuanya atas jasa Cikgu Mahdi menyelamatkannya.

Bagi saya buku ini sangat menarik kerana penulia menyelitkan nasihat dan berdakwah dengan gaya yang santai dan realistik. Amat sesuai dibaca oleh anak-anak remaja kita. Semoga dengan usaha beliau ini mampu memberi pencerahan kepada pembaca cilik.

Sabtu, 8 November 2014

Buku 67 : Hana Banana

Bismillahirrahmanirrahim.

Siri Usahawan Cilik antara buku yang menarik dan digalakkan adik-adik saya membacanya. Meskipun mungkin tajuknya biasa-biasa tetapi di dalamnya merangkumi motivasi, tip memulakan perniagaan, tip kewangan, cabaran dan cara mengatasi masalah.

Misalnya dalam Hana Banana ini Hana memulakan perniagaan menjual pisang goreng atas kesedaran menyimpan wang bagi menyambung pelajaran selepas SPM dan membantu keluarga. Tip memulakan perniagaan yang mudah ialah memulakan dengan sesuatu yang berada di rumah.

Menariknya juga ada disertakan resipi ringkas membuat pisang goreng yang enak dan variasi pisang goreng yang dilakukan oleh Hana.

Yang bagusnya Hana dikelilingi oleh orang yang positif dan menyokong hasratnya. Ini yang kita mahu. Bukannya memperlekehkan usaha seseorang apabila dia ingin melakukan sesuatu yang baru atau melakukan perubahan ke arah yang lebih baik ;)

Buku 66 : Menunggumu di Pintu Syurga oleh Linda Rafar & Bahruddin Bekri

Bismillahirrahmanirrahim.

Ibu mana yang mahu anaknya jatuh sakit. Saya pasti semua ibu di dunia berusaha  menyembuhkan anaknya jika mereka sakit.

Ujian yang Allah beri sebenarnya mengikut kemampuan seseorang hamba kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya sebaliknya kitalah yang menzalimi diri kita.

 Ya, selepas anaknya pergi baru diketahui sifat-sifat anaknya yang selama ini tidak diketahui. Sungguh Memen antara anak dan rakan yang baik. Semoga Allah membalas kebaikannya.

Semoga Linda Rafar dan keluarga tabah menerima pemergian anak tersayang.

Jumaat, 31 Oktober 2014

Buku 65 : Gadis Kecil di Pinggir Gaza oleh Vanny Chrisma W.


Bismillahirrahmanirrahim.

Kisah seorang anak kecil Palestin bernama Palestine. Nama yang unik. Wataknya cekal, jiwanya kuat meskipun seluruh ahli keluarganya telah tiada akibat serangan bom oleh Israel dan ayahnya pula entah ke mana kerana membawa misi Hamas.

Meskipun fiksyen, namun penulis berjaya menggarap dengan baik suasana di sana dan paling penting mesej keamanan dan kecekalan hidup penduduk dan pejuang Palestin.

Pelbagai emosi bermain ketika membaca novel ini. Namun pasti tidak sama dengan situasi sebenar mereka di sana!

Ya Allah, berikan kekuatan kepada umat Islam untuk bersatu dan menentang kezaliman bangsa Israel itu!

Buku 64 : Aku Ingin Kembara Lagi oleh Dr MAZA

Beli di Popular AEON Bandaraya Melaka menggunakan baucer percuma sempena hadiah Anugerah Pilihan Pembaca ;)


Bismillahirrahmanirrahim.

Hidup ini sebuah kembara. Kembara kehidupan. Sangat tertarik dengan susunan kata dan pemilihan ayat Dr MAZA.

"Hari-hari semalam kita tinggalkan bersama pengetahuan dan pengalaman yqng dikutip. Nilainya merujuk kepada bekalan yang berjaya dikumpulkan. Ini kekuatan dalam membentuk insan menghadapi realiti yang baru."

Buah fikirannya melalui artikel "Kembara ke Tempat Lama : Ketenangan dan Sayang" juga mengesankan. Sudah pasti mengenai ilmu dan guru. Menjadi muhasabah juga buat diri ini sebagai ibu dan guru di sekolah.

"Guru yang jujur memberi kesan yang dalam kepada jiwa kita."

"Tidak bersetuju bukan bererti sayang, bersetuju tidak bererti sayang. Namun mengasihi guru adalah faktor yang amat penting dalam pembentukan ilmu."

Tulisan beliau di dalam buku ini adakalanya memberi pencerahan minda buat saya dalam beberapa perkara khususnya apa yang berlaku di bumi Oxford dan dibandingkan dengan situasi "bandar ilmu" di Kaherah dan Jordan. Isu-isu sosial dan persamaan hak dan agama turut disentuh dan dijelaskan mengikut konteks semasa dan lokasi.

Ah, saya mula menggemari tulisan beliau sejak pertama kali membaca Ttavelog Minda Tajdid. Sebelum ini hanya melihat suami membeli dan membaca buku-bukunya.

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)." (Surah Al-Ankabut : ayat 64)

Saya juga terasa mahu mengembara!

Khamis, 23 Oktober 2014

Bibliophile

Sumber gambar : www.redbubble.com
Bismillahirrahmanirrahim.

Usai anak-anak tidur, saya membelek majalah dan buku yang berada di tepi katil. Tertarik dengan artikel Salaf dan Cinta Buku di dalam majalah Gen-Q ini. Dicapai pula buku Pemuda yang Dijanjikan masih berkisar mengenai ilmu (saya rasa saya perlukan seseorang bagi diskusikan buku Sheikh Yusuf Qardhawi ini. Hee..baru dapat luaskan pemahaman)

Terlihat di paparan Goodreads, ada seorang rakan menanda buku "Raudhah" sebagai "want to read". Wah, RAM hasilkan karya terbaru.



Sekian lama tidak mengikuti perkembangan novel RAM. Seingat saya novel terakhir yang benar-benar saya ambil tahu ialah Ungu Karmila. Selepas itu masih beli juga tetapi tidaklah sampai menjadi pengumpul tegar. Sekarang novel RAM pun sudah banyak tiada dalam simpanan. Dipinjam orang. Nak ambil gambar pun tak semangat jadinya :)

Baru saya tahu istilah Bibliophile ^____^

Saya pernah menjadi pengumpul tegar siri Goosebumps dan Fear Street (semasa di sekolah menengah), siri Harry Potter (sejak di matrikulasi Londang membawa ke tahun awal pengajian di maktab perguruan), buku HM Tuah Iskandar, Faisal Tehrani (koleksi hanya terhenti pada Manikam Kalbu dan Bedar Sukma Biru. Selepas itu tidak pernah beli lagi), Ramlee Awang Murshid, Kusyi Hirdan, Abdul Latip Talib, Ustaz Zahazan, Dr Zaharuddin, Dr Abdul Basit dan beberapa nama lagi.

Sumber gambar : goldenage4kids.blogspot.com


Kini, kecenderungan membaca pelbagai namun jika nama penulis-penulis tertentu mengeluarkan buku saya beli juga :)

Buku apa yang anda kumpul?

Rabu, 22 Oktober 2014

Buku 62 : A Nest for Celeste : A Story About Art, Inspiration, and the Meaning of Home oleh Henry Cole

Pinjam dari PERPUSTAM


Sumber gambar : Goodreads.com


Bismillahirrahmanirrahim.

Buku kecil berkulit tebal warna biru ini saya pinjam dari PERPUSTAM. Malang sekali apabila kulitnya sudah hilang. Apabila dicari melalui enjin carian Google, baru dapat lihat kulit hadapannya yang cantik dan klasik.

Sesekali teringat pengembaraan Pn Nisah Haron yang dirakamkan di dalam bukunya, Kembara Sastera ada menyebutkan keindahan pemandangan di luar negara yang memungkinkan tercetusnya ratusan malah ribuan cerita kanak-kanak yang menarik dan bermutu.

Istimewanya buku ini ialah pada lukisan pensel yang melatari helaian-helaian cerita. Subhanallah, berbakat sungguh penulis dan pelukis ini. Sememangnya saya lebih tertarik kepada lukisan ini sebelum membacanya.

Celeste, seekor tikus biasa yang hidup di sebuah rumah agam. Dia hanya hidup seorang diri selepas kematian ahli keluarganya akibat aktiviti pembangunan manusia. Dia berpindah dan tinggal di rumah kecil di bahagian bawah rumah agam ini.

Di sinilah dia bertemu dua ekor tikus yang kerap membulinya. Mahu tidak mahu Celeste terpaksa hadapi sehinggalah takdir menentukan kedua-duanya mati sia-sia akibat tamak :-)

Ketika melarikan diri dari kucing tuan rumah menemukan Celeste dengan tempat tinggal baru di sebuah bilik kecil di loteng. Di sinilah dia dipelihara oleh seorang budak lelaki, pembantu pelukis burung terkenal zaman itu.

Dikisahkan bahawa tokoh berkenaan akan membunuh burung yang ingin dilukiskan dan adakalanya terpaksa mempinkan burung itu di atas sekeping alas bagi menimbulkan kesan realistik. Kejamnya! Tetapi itulah yang mampu dilakukan olehnya kerana pada waktu itu teknologi kamera belum tercipta lagi.

Hmm.. Celeste hanyalah watak yang diwujudkan bagi menceritakan sejarah tika itu. Ada diselitkan semangat setiakawan yang tinggi tatkala Celeste mempertaruhkan nyawa mendapatkan makanan kesukaan sahabatnya, si burung kecil yang terperangkap.

Pengajaran yang diperoleh dari cerita ini ialah ketekunan, usaha yang rajin, semangat setiakawan dan kasih sayang menjadikan hidup harmoni dan bahagia.

++++++

Mengapa ya banyak cerita kanak-kanak yang menggunakan watak tikus?






Buku 61 : The Book With a Hole oleh Herve Tullet




Bismillahirrahmanirrahim.

Unik.

Ada lubang di tengah-tengah buku ini :D Oh, saya sangat suka idea kreatif penulisnya!

Lukisannya menggunakan warna hitam dan putih sahaja.

Agak tebal dan bermacam cerita dapat diilhamkan ketika membaca bersama anak-anak. Masa inilah dapat melihat imaginasi mereka :D 

Semua bahagian disukai mereka antaranya apa yang kamu mahu masak (lubang - periuk), letak jari sebagai gigi (lubang itu sebagai mulut), apakah yang akan keluar dari gelung ini? (gambar gelung api sarkas) dan letakkan muka di tengah-tengah lubang. Tidak lupa ada dam dan cari permulaan dan akhiran tali yang berpintal.

Okay, mungkin saya bukan pencerita yang baik. Silalah dapatkan buku ini dan saya pasti kamu juga terhibur seperti kami ;)








Err..suruh letak jari tangan diletak jari kaki >_<




Isnin, 20 Oktober 2014

Buku 60 : Tuhan, Aku Kembali oleh Sham Kamikaze dan Ainuddin Kamaruddin


Bismillahirrahmanirrahim.

"Untuk setiap orang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakang, yang menjaga dia dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung untuk mereka selain daripada-Nya." (Ar-ra'du : 11)

Penghijrahan Sham Kamikaze bermula pada April 2011. Pertemuan dengan sahabat baiknya, Adlan Sabri yang telah lebih dahulu berhijrah membawanya kepada idea Le Tour de Masjid @ jalan-jalan cari masjid. Pada saat inilah hidayah Allah berikan kepadanya. Minatnya pada fotografi mendorongnya merakam gambar disetiap masjid yang ditemui mereka untuk solat berjemaah. Paling mengujakan beliau bertemu dengan Imam Sudais secara berhadapan ketika menunaikan solat zohor berjemaah di Kangar, Perlis.

Agak menarik apabila mengetahui yang beliau mengikuti blog Dr MAZA sejak beberapa tahun lepas. Semuanya bermula dengan rasa ingin tahu selepas membaca artikel Pengharaman Yoga - fatwa jangan kaku yang ada memetik kenyataan dari Dr MAZA.

Bukan mudah untuk berubah apatah lagi menulis kesalahan semasa jahiliah dahulu namun saya kagum akan kesungguhan beliau kembali kepada fitrah. Biarpun pendapatan dahulu dan kini sungguh jauh berbeza, namun beliau semakin selesa dengan kehidupan yang dilalui.

Kehidupan sebagai pendakwah banyak cabarannya. Semoga Sham sabar dan istiqamah dengan kebaikan yang dilakukan. Semoga lebih ramai orang mendapat asbab hidayah Allah kerananya. Barakallahufik.

Khamis, 9 Oktober 2014

Buku 59 : Screaming Free Parenting oleh Teguh Iman Perdana

**Masih dalam draf**

Sumber gambar : www.pts. com.my
Bismillahirrahmanirrahim.

The Golden Moment atau usia keemasan anak-anak ialah pada usia 0-5 tahun.

Dalam masa ini jadilah kita ibu bapa yang menyeronokkan. Bagaimana syaratnya?

1. Memiliki kesabaran luar biasa @ sabar yang berkesedaran.  Maknanya sedar betapa perlunya bersabar menghadapi kerenah anak.

2. Mengasah sensitiviti kita. Dalam hal ini, tanamkan kesedaran pada diri bahawa semua tindakan positif dan baik anak kita begitu bermakna kepada mereka walau sekecil mana pun.

PAKSA diri beri perhatian yang lebih kepada tingkah laku anak.

Dan cuba proaktif dalam mengamati aktiviti seharian anak-anak.

3. Latih diri ucapkan cinta dan kasih sayang kepada anak.

4. Latih diri supaya tidak meremehkan anak seperti suka bercakap kelemahan dan keburukan anak berbanding menyebut kebaikan dan kelebihannya.

Rabu, 1 Oktober 2014

Buku 58 : Manchester Aku Mai oleh Cakang

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya tidak pernah membaca buku penulis. Meskipun pernah terlihat promosi buku ini oleh seorang junior (Fendi a.k.a Pelangi bin Awan di laman muka bukunya) namun tatkala melihat ulasan yang dibuat oleh Pn Nisah Haron di laman Goodreads begitu menarik saya membacanya.

Manchester Aku Mai menghimpunkan catatan ringkas kehidupan penulis selama tinggal di sana. Pemerhatian terhadap persekitarannya mencatatkan pengalaman buat tatapan pembaca.

Tulisan yang santai tetapi sangat mencuit hati. Ditambah dengan loghat utara sesekali menghiasi membuatkan pembaca tersenyum sendiri.

Buku ini nipis sekali. Harap ada sambungan lagi.

Selesai membaca MAM ini, cepat-cepat saya Google karyanya yang lain. Wah, ada dijual di Ujana Ilmu. Ok, masuk "wishlist" dahulu ;)

Ahad, 28 September 2014

Buku 57 : Mengait Cinta di Istanbul oleh Ayza Gursoy


Bismillahirrahmanirrahim.

Pertama kali melihat buku ini ketika melayari internet mencari maklumat.  Namun belum ada yang mengulas buku ini kecuali seorang blogger ketika itu. Tertarik dengan kulit hadapan buku dan saya sangkakan ianya sebuah novel.

Ternyata sangkaan itu meleset. Buku ini bergenre travelog. Penulis berasal dari Melaka dan kini menetap di Turki mengikut suami menetap di kampung halaman.

Catatan awal dimulai dengan kenangan penulis semasa berada di sekolah, pernah ke Turki (mungkin melancong, saya tidak perasan), mengikuti kelas bahasa Inggeris yang menyeronokkan iaitu guru bahasa Inggeris menggalakkan mereka mencari kenalan dari luar negara bagi mengasah kemahiran berbahasa Inggeris sehinggalah kepada rentetan perkenalan beliau dan suami seterusnya bertemu jodoh.

Perkahwinan campur, antara dua negara yang berbeza adat dan budaya agak mengujakan :) Pada awal perkahwinan, mereka banyak berinteraksi menggunakan bahasa Inggeris. Dalam masa yang sama, masing-masing berusaha mempelajari bahasa ibunda pasangan sehingga dapat menguasai dengan baik.

Setelah 8 tahun tinggal di Malaysia, mereka membuat keputusan pulang ke Turki, kampung halaman suaminya. Bersama dengan anak-anak, segala persiapan  dibuat dan bermulalah perjalanan dan kehidupan penulis sebagai anak perantau.

Meskipun catatan penulis banyak berkisar tentang kehidupan di Turki seperti ramah mesra orang di sana, kawasan kejiranan yang baik, keluarga mertua yang menyenangkan, keindahan di Istanbul, aktiviti kesenian dan hobi serta jenis makanan yang pelbagai namun saya agak kurang puas hati ;) Bagi saya masih banyak lagi yang boleh diceritakan oleh penulis. Harapnya ada sambungan lagi. 

Namun dalam catatan ringkasnya ini dapat saya bayangkan keramahan warga Turki dalam kawasan kejiranannya yang mudah mesra dan baik hati. Mudahnya bersedekah yang ditunjukkan oleh mereka seharusnya menjadi ikutan buat kita di sini. Masya Allah. Sesekali teringat Secangkir Teh Pengubat Letih karya Ustaz Hasrizal :)

Rabu, 24 September 2014

Buku 56 : Jom "Selfie" Diri! oleh Ust Ruzain Syukur dan Ust Jasmi

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku yang comel, secomel pengisiannya. Buku terbitan Muslim Teens ini ditulis oleh dua orang penulis yang kian meningkat naik iaitu Ustaz Ruzain dan Ustaz Jasmi.

Meskipun buku ini untuk remaja namun saya tetap "enjoy" membacanya. Karikatur di awalan bab memang mencuit hati. Kelakar tetapi mempunyai makna yang mendalam.

Usia remaja merupakan satu fasa peralihan. Perubahan emosi, fizikal dan tingkah laku boleh berubah bila-bila masa sahaja.Adakalanya tidak dapat berfikir panjang dan membuat keputusan mengikut kata hati sahaja tanpa merujuk kepada orang yang lebih tua. Suka mencuba memang sifat "sejati" remaja.

Oleh itu, naskah ini hadir ditengah-tengah kesulitan yang dihadapi oleh remaja. Setiap persoalan dirungkai dengan santai dan berhikmah. Ada bonus tambahan seperti tip menghadapi situasi berkenaan dan kit tindakan yang boleh diamalkan.

Sangat sesuai untuk remaja juga ibu bapa dan guru yang tercari-cari solusi berhadapan dengan kerenah anak remaja. Semoga bermanfaat dan selamat membaca!

Ahad, 21 September 2014

Buku 55 : Nikmatnya Sakit Bersalin oleh Isyah Radhiah Idris

Sumber gambar : Web Galeri Ilmu
Bismillahirrahmanirrahim.

Travelog KISAH BENAR
Terubat sakitku dengan kelahiran sembilan permata hati

Dua baris ayat ini begitu menarik saya untuk menatap buku ini. "Subhanallah, sembilan anak!" Ayat di bawahnya - Nikmatnya Sakit Bersalin. Saya sudah membayangkan betapa besarnya jiwa ibu ini mengandung dan melahirkan anak-anaknya. Melihat tajuknya sahaja sudah tahu! ^_^ Bila dilihat nama penulis, oh, isteri Che Amran vokalis Raihan rupanya. Teringat bukunya sebelum ini Anakku Brain Tumor (tapi saya belum pernah membacanya. Selepas ini insya Allah).

Buku setebal 478 muka surat ini menghimpunkan 10 bab meliputi pengalaman bersalin normal , anak anugerah dan rezeki dari Allah, mengandung sembilan bulan, tip bersalin normal (aha!), menikmati detik-detik bersalin normal,penyusuan dan pengurusan bayi, berpantang 40 hari, doa untuk diamalkan, anak..anugerah atau ujian? dan Nikmat Sakit Bersalin.

Membaca pengalamannya bersalin normal untuk kesemua anak memberi saya satu kesimpulan. Ibu ini memang seorang yang positif dan sentiasa bermotivasi melakukan yang terbaik dalam mencari redha Allah dan rasul-Nya. Sedangkan ketika kontraksi bersalin masih boleh tersenyum dan seboleh mungkin menyembunyikan kesakitan yang dialami. Beliau juga amat menitikberatkan kebergantungan kepada Allah dalam memudahkan proses bersalin seperti berdoa, menunaikan amalan fardhu dan sunat, banyak membaca al-Quran dan menghafaznya. Paling penting yakin bahawa Allah akan makbulkan permintaan dan mudahkan urusan kerana Allah pernah berfirman yang bermaksud "Aku adalah menurut sangkaan hamba-Ku." Subhanallah.

Paling saya kagum ketika kelahiran pertama beliau mampu mempraktikkan teknik bersalin yang betul sehingga sekali teran sahaja. Allah..teringat pertama kali bersalin normal, kesakitan yang saya tanggung hampir 16 jam menyebabkan saya terlupa semua teknik bersalin yang pernah dipelajari atau dibaca. Hee..

Bagi saya buku ini sesuai dibaca oleh para ibu yang pertama kali akan menyambut cahaya mata sebagai persediaan bersalin. Penulis seorang yang positif jadi saya kira pembaca pun tidak akan terasa begitu tertekan apabila membayangkan situasi bersalin kali pertama. Insya Allah anda juga akan bersemangat seperti Puan Isyah ini! Banyak sisi positif yang dapat diambil selain ilmu yang dicurahkan melalui nukilannya ini. 

Namun begitu, banyak juga ayat berulang dari pengalaman bersalin kali kedua sehingga anak kesembilan. di bab-bab akhir juga terdapat pengulangan ayat. Tapi saya abaikan dan 'skip' perenggan yang berulang itu :)

Semoga bermanfaat. Wallahualam.

Rabu, 17 September 2014

Rak buku @ mini library

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini cuba menyusun semula sebuah rak buku yang semakin semak dan sesak dengan buku yang tidak tersusun. Oh, sakit mata melihatnya. Sebenarnya ada lagi beberapa buah almari tapi buat-buat pejam mata sahajalah. Tenaga belum pulih sepenuhnya. Ini pun sudah termengah-mengah. Hee..

Cubaan pertama, kononnya mahu menyusun buku mengikut warna tetapi ruang tidak cukup. Waaaahh, perlukan almari baru lagi [alasan]. Ini gara-gara terpengaruh dengan gambar koleksi buku dan rak buku para pembaca buku tegar di laman internet dan Instagram :D


Setelah difikir-fikir, tidak dapat tidak. Buku-buku terpaksa juga berhimpit berlapis-lapis dalam almari.



Dan, eh, ada pula baki ruang! Hehe..

Adik sudah bising. "Buatlah direktori buku . Senang nak cari." Err.. walaupun saya seorang guru perpustakaan tapi kerja membuat direktori (@stok buku) sangatlah mengambil masa. Nantilah ya. Saya cuba usahakan selama bercuti ini. Insya Allah. Harap-harap permohonan cuti menyusu saya diluluskan nanti ;)

Isnin, 15 September 2014

Buku 54 : DIAgnosis oleh Dr Anwar Fazal dan rakan-rakan

Bismillahirrahmanirrahim.

DIAgnosis ditulis oleh tiga orang doktor perubatan yang pakar dalam bidang masing-masing. Ya, seperti yang saya pernah sebut di sini, peluang untuk berdakwah sebenarnya ada di mana-mana tidak kira siapa pun kita. Seorang guru, pekebun, jurukamera, doktor, ustaz, ustazah semuanya mampu untuk berdakwah jika ada kesungguhan dan peluang.

21 bab merangkumi pengalaman mereka di bidang perubatan mencuit hati tatkala berhadapan dengan pelbagai ragam manusia sehari-hari. Sempat merasai pelbagai emosi doktor. Bertuah dapat membaca dan mengambil iktibar dari pengalaman mereka menghadapi pesakit. Tabik dengan doktor-doktor ini yang dapat meluangkan masa menulis sesuatu buat tatapan masyarakat. (Ramai juga doktor yang aktif berblog, kan? :))

Semoga DIAgnosis 2 dan seterusnya akan cepat dihasilkan dan diterbitkan. Sabar menunggu! :)

Isnin, 8 September 2014

Buku 52 [Impiana 3] dan Buku 53 [Impiana Finale] oleh Ain Maisarah

Bismillahirrahmanirrahim.

Disebabkan buku ini bersiri dan ada kesinambungan maka saya gabungkan sahaja ulasannya.

Seperti 2 buah buku sebelum ini, saya bersemangat memulakan pembacaan. Saya menjangkakan ada lagi unsur kejutan dan 'seram' di dalamnya namun sehingga ke titik akhir buku ketiga, saya tidak menemukan apa yang dicari. Walaupun begitu, peristiwa yang berlaku memang agak mendebarkan. Ada "twist" di dalam cerita ini. Menarik.

Fasha diculik ketika majlis perkahwinannya hampir tiba, Linda dengan deria keenam dan pendedahan dalang Syarikat Impiana. Sungguhpun keenam-enam dalang itu berjaya dihukum tetapi sebenarnya bagaikan ada satu kuasa besar lagi di belakangnya. Bilakah misteri ini akan terungkai?

Kejutan dengan Mimi Monira yang selama ini dianggap begitu jahat oleh semua orang rupa-rupanya berhati mulia. Ada sebab di sebalik semua tindakannya itu. Dia tersepit antara kemahuannya dan keperluannya melindungi orang yang tersayang. Fasha yang memberi pencerahan kepada semua atas apa yang berlaku.

Penulis menghuraikan kisah hampir setiap watak yang ada namun banyak kisahnya tergantung dan terpulang kepada pembaca membuat kesimpulan sendiri. Huwaaa..rasa tidak puas hati juga tetapi mungkin juga Ain Maisarah akan menyambung cerita ini pada masa hadapan. Siapa tahu :)

Jumaat, 5 September 2014

Buku 51 : Ulu Yam di Liverpool 2 oleh Nazali Noor



Bismillahirrahmanirrahim.

Ini namanya maraton buku. Adik mahu bawa pulang buku-buku UYDL ini ke Mesir beberapa hari lagi. Jadi, mahu habiskan cepat :)

Hijrah menuntut pengorbanan yang besar. Wang, pangkat yang dimiliki, harta dan keluarga.

UYDL 2 mengisahkan sisi pahit hijrah mereka ke Liverpool. Bertemu pelbagai ragam manusia khususnya bangsa Melayu. "Typical Melayu". Hasad dengki dan suka menabur fitnah. Allah. Semoga kita semua dijauhkan dari dua sifat ini.

Apabila kita membantu orang, lakukanlah dengan ikhlas. Bayangkan kita berada dalam keadaan kesusahan seperti orang yang meminta pertolongan itu. Besar ganjarannya jika membantu saudara yang berada dalam kesusahan, bukan?

Adakala terdetik juga, apabila penulis bercerita mengenai insan-insan yang berbuat khianat kepadanya di dalam buku ini, saya terbayang keadaan di Padang Mahsyar nanti. Amalan kita ditayang semula di hadapan semua umat manusia dan buku amalan kita ditimbang. Huhu.. berbalik kepada penulis, cerita ini dinukilkan dalam buku. Pembacanya ribuan orang. Tidakkah pelakunya berasa malu? Sebab itu berbuat baiklah dengan ikhlas, jangan disulam dengan penghinaan, umpat keji dan ungkit-mengungkit. (Haih.. mood tension pula saya bila baca bab tersebut)

Tapi seronok membaca dengan kebaikan insan-insan di sekeliling penulis sekeluarga. Alhamdulillah.

Memang kehidupan kita penuh warna-warni. Tawakkal kepada Allah sangat penting. Jika kita benar, beranilah mempertahankannya. Jika kita salah, tidak mengapa mengaku salah dan meminta maaf.

Saya belajar banyak perkara dari penulis sekeluarga. Ikhlas membantu orang, sangat baik dan hormat kepada ibu ayah, mendidik anak-anak dengan kasih sayang, membuat kerja bersungguh-sungguh, ikhlas mengajar anak didik dan setia dalam persahabatan. 

Semoga Allah memberkati.

Buku 50 : Idea Bekal ke Sekolah - Menu Asia oleh Chef Azian

Bismillahirrahmanirrahim. 

Daya penarik untuk membeli buku ini pastilah kerana perkataan "bento" pada muka hadapan buku. Melihat gambarnya sahaja saya sudah melonjak-lonjak mahu beli. Ah, terlebih gaya pula saya ;p

Penulis memberi tip menyediakan bento dan peralatan yang digunakan untuk membuat bento. Paling disukai banyak resipi membuat sos sendiri diberi dalam bab awal buku ini. 

Sebahagian besar resipi tidak pernah saya buat jadi selepas ini masa untuk "practice" supaya mudah di kemudian hari :)..

Khamis, 4 September 2014

Buku 49 :Biografi Inspirasi Prof Dr Muhaya (Sejernih Sinar Matamu) oleh Rozninah Abd. Azib

Bismillahirrahmanirrahim. 

"Alangkah ruginya orang yang masa mudanya tidak menolong orang, orang yang ketika ada duit tidak bersedekah kepada orang, orang yang ada ilmu tidak mengajar orang, dan orang yang masa ada kuasa tidak memudahkan urusan orang."

Subhanallah.

Prof Dr Muhaya, seorang tokoh inspirasi dan motivasi wanita yang tersohor dengan konsep Reset Minda yang diperkenalkannya.

Sikapnya positif, mementingkan kekeluargaan, suka menyambung silaturrahim, bersedekah, menjaga solat di awal waktu, tegas tetapi lembut, cekap dan pantas melakukan kerja.

Ya. Manusia tidak sempurna. Prof juga pernah melalui detik-detik kedukaan dalam hidup.. kehilangan anak yang dikasihi, pernah dikuasai perasaan ego ketika muda, memandang kejayaan sebagai perkara utama seseorang berjaya dalam hidup (pegangan akidah sepatutnya diberi keutamaan) dan beremosi.

Namun, seiring perubahan waktu dan bimbingan nasihat dari suaminya berjaya mendidiknya menjadi insan yang lebih baik. Malahan tidak dinafikan didikan yang diberi oleh ibu bapa Prof sangat menyumbang ke arah kejayaan Prof hari ini.

Membaca kisahnya, ada beberapa perkara yang menyentuh hati dan membuat saya merenung diri.

Moga Allah memberkatinya.

Rabu, 3 September 2014

Buku 48 : Ulu Yam di Liverpool oleh Nazali Noor

Bismillahirrahmanirrahim. 

Ulu Yam di Liverpool. 
Kisah budak Minang yang tinggal di ulu. 
Suka duka kehidupan dirakam dalam naskah ini.
Kehidupannya penuh warna-warni.
Aturan Allah itu sangat cantik.
Beruntung orang yang bersabar dan dapat mengambil hikmah atas apa yang berlaku.

Diejek, dicemuh dan dipulau ketika kecil kerana membuat sesuatu di luar kebiasaan rakan-rakan dapat ditangani dengan sokongan padu mak dan ayahnya serta guru di sekolah.
Ya, persekitaran positif menjadikan kita positif.
Jadi, pilih kawan pun yang positif juga ya.

Sayangi dan hormati mak ayah kita. Doa restu mereka adalah lesen besar kejayaan kita dalam hidup di dunia dan akhirat.
Kebergantungan kepada Allah jangan dilupa. 

Turun naik dalam kehidupan menjadi asam garam
dan medan tarbiah untuk kita.

Sokongan padu isteri sangat membantu kejayaan seorang suami. 
Sungguh Kak Ain isteri yang solehah:)

Jika kita bersabar dapatlah hasil yang manis di akhirnya. 
Siapa sangka budak kampung yang fobia dengan matematik ini 
melalui pelbagai fasa kejayaan dalam kerjaya dan akademik
sehingga kini menjadi pensyarah kanan di sebuah universiti di tanah ratu. 
Subhanallah. 

Semoga terus sukses. 
Menjadi inspirasi buat pembaca. 
Barakallahufik.