Sabtu, 28 Jun 2014

Buku 31 : Bimasakti Menari oleh Sri Rahayu Mohd Yusop



Bismillahirrahmanirrahim.

Melihat kepada tajuk sudah pasti cerita berunsurkan sains. Alhamdulillah ada perkara baru yang saya pelajari terutama mengenai kelip-kelip dan isu pencemaran cahaya.

Mengambil latar di Kuala Selangor, sememangnya tempat terkenal adanya kelip-kelip namun saya tidak pernah sampai ke situ. Pengetahuan baru mengenai skala kegelapan turut mengundang rasa kagum terhadap kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta.

Manakan tidak, ada kajian ilmu terhadap kelip-kelip dan kemajuan ilmu angkasa yang agak sukar dan mengambil masa serta kepakaran yang tinggi.

Nurul Hafsha, seorang graduan ilmu falak (jika saya tidak salah. Sudah ingat-ingat lupa jalan cerita ^_^) memulakan kerja di balai cerap Kuala Selangor. Ketika mengendalikan satu sesi bersama sekumpulan pelajar cilik dari Jepun, misi melihat beberapa buruj tidak berjaya kerana langit tidak begitu gelap walaupun jam sudah menginjak ke tengah malam. Hal ini berlaku kerana pencemaran cahaya ekoran pemodenan kawasan berdekatan.

Dipendekkan cerita, dia berjaya menulis kertas kerja dan membentangkannya di hadapan menteri besar Selangor dengan bantuan seorang lagi pemuda yang mempunyai minat yang sama.

Namun, projek mereka mendapat ancaman malah hampir meragut nyawa.

Hmm.. saya tertarik dengan konsep rumah yang dibuat oleh pemuda itu. Adakah ianya benar-benar wujud di Malaysia?

Jumaat, 20 Jun 2014

Buku 30 : 100 Panduan Mengajar Komunikasi, Bahasa dan Literasi oleh Susan Elkin

               
        Judul buku   : 100 Panduan Mengajar Komunikasi, Bahasa dan Literasi (Terjemahan daripada 100 Ideas for Teaching Communication, Language and Literacy)
Penulis           : Susan Elkin
Penerbit        : Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM)
Harga            : RM25.00
Bilangan muka surat : 190

Tahun Terbit : 2012

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah menjadikan manusia dengan pelbagai variasi sikap, trait dan keturunan. Bermula daripada bayi yang dikandung dalam kandungan, lahir, membesar dan mempelajari banyak perkara. Sesungguhnya cara kita menerima rangsangan dan ilmu turut berbeza-beza.

Kanak-kanak di antara 0 hingga 2 tahun mengalami perkembangan yang sangat pesat dan di usia ini merupakan masa emas buat mereka. Penemuan hasil kajian tahun demi tahun semakin jelas menunjukkan bahawa pada usia inilah kanak-kanak mampu menerima ilmu dengan begitu efektif walaupun pada zahirnya mereka “tidak tahu apa-apa”.

Buku ini hadir memberikan idea bagi mengajar komunikasi, bahasa dan literasi kepada kanak-kanak di usia 0 hingga 5 tahun. Formatnya yang mudah menyenangkan pembaca mengikut panduan yang diberikan. Cadangan aktiviti yang interaktif, memenuhi objektif, mudah dilaksanakan dan bonus aktiviti lanjutan.

Terbahagi kepada enam bahagian iaitu Bahagian 1 : Bahasa Untuk Komunikasi, Bahagian 2 : Bahasa Untuk Berfikir, Bahagian 3 : Mengaitkan bunyi dengan Huruf, Bahagian 4 : Membaca, Bahagian 5 : Menulis dan Bahsgian 6 : Tulisan tangan.

Saya teringat sebuah buku lagi yang hampir serupa dengan ini tetapi lebih islamik dan terperinci bagi mendidik anak lebih dekat dengan Allah iaitu buku Indahnya Didikan Awal Anak-anak Cara Islam terbitan PTS. Buku itu memang saya ulang kali baca bagi “refresh” idea dan meningkatkan motivasi diri dalam menghadapi cabaran membesarkan anak-anak yang masih kecil. Wallahualam.

Saya tertarik dengan beberapa aktiviti dan sedang menyediakan bahan-bahan berkaitan dan ada juga yang telah dibuat. Suka untuk saya catatkan di sini untuk rujukan saya pada masa akan datang.

Idea 1: Permainan Warna dan Idea 2 : Saya lihat
Mengumpulkan barang-barang yang sama warna
Menggalakkan anak mencari barang yang sama warna dalam bilik (atau tempat aktiviti dijalankan)

Idea 3 : Menyanyikan bahasa harian.
Misalnya ketika memakai baju, ibu nyanyikan ayat tersebut menggunakan rentak Where Is Thumb kin. (idea saya sahaja. Boleh tukar lain jika tidak sesuai ^_^)
Pakai baju, lepas mandi,
Jangan lupa baca doa,
Allah sayang, ummi suka,
Kakak dapat pahala.

Idea 4 : Simulasi dan lakonan
Situasi di dalam bas. Susun kerusi dan berlakon sebagai penumpang, konduktor bas dan pemandu bas.
Situasi di kedai makan. Berlakon sebagai tukang masak, penjaga kaunter, pelanggan atau pelayan. Mengambil pesanan pelanggan dan adab-adab lain (saya tambah).


Idea 5 : Berbual dan boneka
Menggunakan boneka jari atau “custom made”. Aktiviti ini dapat mengembangkan kemahiran berfikir dan meningkatkan keyakinan diri.

Idea 6 : Beg cerita.
Pilih objek yang menarik untuk dilihat dan disentuh. Masukkan ke dalam sebuah beg. Minta anak ambil dan cerita. Ibu bapa boleh memandu penceritaan anak dengan memberi soalan terbuka dan tertutup. Aktiviti lanjutan : membiarkan kanak-kanak membuat beg cerita sendiri dan pilih objek yang mereka mahu. Ibu bapa atau penjaga boleh mereka cerita berdasarkan objek-objek berkenaan.

Idea 7 : Bunyi nama
Letak nama kanak-kanak dalam satu ayat bersama perkataan lain yang bermula dengan huruf sama.
Cipta satu permainan daripada ayat tersebut dengan gerak isyarat, gerakan dan sebagainya.
Contohnya :
Aisyah agah adik.
Kasut Khaulah kuning langsat.
Pak Lang lari laju.
Muaz makan mangga.

Idea 8 : Cerita daripada gambar.
Bahan daripada majalah atau surat khabar.
Pilih 1 gambar dan tanyakan soalan :
Apa dia sedang buat?
Apa agaknya yang akan dia buat selepas ini?
Siapa nama mereka?
Kenapa dia ketawa?

Idea 9 : Buku abjad
Cari gambar yang bermula dengan huruf a-z. Ajarkan fonetik.

Idea 10 : Huruf dan gambar
Gunakan kad atau bongkah abjad, baling bongkah dan padankan dengan gambar.

Idea 11 : Bunyi yang sama

Dikenali sebagai “toungue twister”. Rangkaian rima tradisional yang diketahui ramai :

Peter Piper picked a peck of pickled pepper. If Peter Piper picked  a peck of pickled pepper, where’s the peck of pickled pepper Peter Piper picked?

Betty Botter bought some butter.
But she said this butter’s bitter.
If I put it in my batter
It will make my batter bitter.
But a bit of better butter
Will make my batter better
So she bought a bit of butter
Better than her bitter butter
And she put it in her batter
And the batter was not bitter
So ‘twas better Betty Botter
Bought a bit of better butter

Idea 12 : Menyelak halaman
Lagi bagus sekiranya ada unsur interaktif pada halaman yang diselak seperti bunyi loceng, zip, dan sebagainya.

Idea 13 : Melabel bilik.

Idea 14 : Lukisan jari.
Lukis pada jari untuk buat boneka dan lakonkan. Atau bermain dengan warna air, cop pada kertas dan reka permainan yang menarik.

Idea 15 : Kemahiran menggunting
Biarkan anak memilih gambar yang disukai dari surat khabar atau majalah, gunting dan tampal pada kertas. Labelkan dan jadi sebuah buku. Pasti menarik!

Idea 16 : Tip untuk membantu penulis kidal
- Kira-kira 10% penduduk dunia adalah kidal. Tip bagi membantu mereka :
- Cuba serongkan kertas kira-kira 45 darjah ke kanan.
- Sasarkan “cara memegang tiga penjuru” yang baik antara ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu.
- Tangan dan pergelangan tangan hendaklah berada di bawah garisan / tulisan.
- Cuba permukaan menulis yang sendeng.

Jumaat, 13 Jun 2014

Buku 29 : Rumah Kecil di Jabal Uhud oleh Roza Roslan

Bismillahirrahmanirrahim.

Rumah Kecil di Jabal Uhud (RKDJU) mengesankan. Subhanallah. Allah mengurniakan ilmu dan ilham kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Terasa bagai berhadapan dengan penulis. Tegurannya, rintihannya, doanya datangnya dari hati dan sampai ke hati pembaca (saya).

Beberapa anekdot benar-benar mencuit rasa. Perihal aurat, menjaga mulut, menjaga aib suami, kepentingan menjaga masa, bersangka baik dengan Allah, tidak menyekutukan Allah, kesungguhannya mengajak melakukan solat malam, hidayah Allah, kesungguhan mereka sekeluarga menjamu tetamu Allah, menyampaikan dakwah dan senarainya berterusan. Masya Allah!

Kerap kali juga saya jeda menatap naskah ini. Sehingga tingkah laku saya diperhatikan oleh suami. Mengapa? Soalnya. "Saya tersentak dengan teguran penulis yang terkena batang hidung sendiri."

Kisah yang diceritakan bukanlah bertujuan menarik minat pembaca semata-mata tetapi niat ikhlas penulis agar kita sama-sama memahami dan mengamalkan Islam sepenuhnya sepanjang hidup kita.

Insaf.

Sukar bangun malam untuk solat tahajud? Ia keluhan 'biasa' didengari di kalangan ibu-ibu muda beranak kecil dan menyusukan anak. Lalu penulis mengungkapkan pernahkah kita tidak boleh tidur pada waktu malam kerana kepanasan? Atau terbangun untuk ke tandas?

Sebenarnya sepanjang hidup Allah telah memberikan kita peluang melakukan amalan malam untuk bertahajud. tapi minda kita tidak berfikir begitu. jadilah malam itu seperti malam-malam yang lain,berlalu begitu sahaja. Allahu akbar! 

Seterusnya, diam itu lebih baik dari berkata-kata. Makin banyak bercakap makin banyak kita mengata sama ada sedar atau tidak sedar. Terutama sekali apabila berkumpul sesama rakan, tanpa sedar kita menceritakan hal rumah tangga dan aib suami... jagalah mulut, jauhkan kelakuan begitu dan banyakkan zikir dan berdoa.

Aurat.

Apa definisi aurat yang difahami? Pernah penulis dilontarkan soalan mengenai kefahaman wanita Malaysia akan konsep aurat. Sewaktu solat sangat tertib menjaga pakaian tetapi sesudah solat, telekung ditanggalkan lalu dipakai tudung singkat yang menampakkan dada atau jika tudung menutup dada sekalipun ia masih terlihat akan bentuknya. Begitu juga dengan pemakaian jubah. Ia dilihat sebagai satu fesyen sahaja. Tubuh badan berbentuk-bentuk dapat dilihat orang. Allah ya Allah. Ampunkan kami ya Allah...

Dari pintu RKDJU ini penulis melihat berbagai sisi kehidupan dan warna kelakuan manusia lalu menggarapnya menjadikan kisah yang disampaikan kepada pembaca berisi hikmah dan pengajaran.


Ia perkara biasa atau remeh bagi sesetengah orang tetapi tidak pada Puan Roza Roslan. Pembaca dibawa merenung kebesaran Allah dan memberi peringatan kepada kita melalui terjemahan ayat-ayat suci al-Quran yang dinyatakan berkait dengan sesuatu peristiwa.

Ya Allah, ampunkan kami dan berilah ilmu yang bermanfaat buat kami. Amin...

Buku 28 = Misi Cikgu Baru oleh Nazry Salam

Bismillahirrahmanirrahim.

"Antara ciri-ciri sistem pendidikan yang baik  adalah lebih banyak tumpuan diberikan kepada murid lemah".

"Guru yang baik adalah guru yang membawa perubahan kepada murid lemah. Guru perlu peka pada setiap tingkah laku, guru perlu gali sebab atau motif mereka berkelakuan begitu."

Itu antara kata-kata pengajaran awal dari Pakcik Romley, si tukang kebun sekolah kepada Shariff, cikgu baru @ guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Ayer Jernih. Hebat! Seorang tukang kebun mampu memberi nasihat sebegini kepada guru baru yang masih tercari-cari kaedah terbaik mendidik anak muridnya :)

Cikgu Shariff ditugaskan mengajar Sains sekaligus menjadi guru kelas 6 Besi, kelas tercorot di sekolah tersebut. Malah, ada satu kontrak mengarut yang terpaksa ditanda tanganinya tanpa dia ketahui syarat-syarat tersebut. Di kemudian harinya barulah diketahui bahawa dia perlu menaikkan markah murid 6 Besi sebanyak 30% setiap kali ujian atau peperiksaan. Cabaran!

Mujur masih ada rakan guru di sekolah yang baik hati ingin berkawan dengan Cikgu Shariff iaitu Cikgu Ana Maria dan Cikgu Is. Pada mereka berdualah dapat Cikgu Shariff berkongsi rasa dan masalah yang dihadapi.

Apa kaitan Pakcik Romley dalam kisah ini? Dia sekadar seorang tukang kebun. Tetapi dia jugalah yang banyak membantu Cikgu Shariff menjadi seorang guru yang baik sehingga Cikgu Shariff jatuh cinta akan kerjaya sebagai seorang pendidik :)

Selepas mengikuti pelajaran pertama dari Pakcik Romley, Cikgu Shariff dengan bersemangat mula mengenal pasti masalah dan mengkaji tingkah laku anak-anak muridnya seterusnya cuba menyelesaikannya satu persatu. Kagum dengan ketekunannya melukis wajah anak-anak muridnya seorang demi seorang pada kertas mahjong. Lalu dia meminta bantuan Comby, salah seorang murid 6 Besi untuk memberitahu nama dan perangai unik masing-masing.

Wah, bukan mudah menyelidik dan menyelesaikan perkara ini! Cikgu perlu menjadi seperti penyiasat persendirian pula :)

Pelajaran kedua pula, pakcik tukang kebun itu menerangkan mengenai teori Maslow dan sedikit teori Jean Piaget kepada Shariff. Teori Maslow secara umumnya berkait rapat dengan motivasi. Ada lima peringkat bermula keperluan asas, keselamatan, perhubungan, harga diri dan tujuan hidup. Bermakna, Cikgu Shariff perlu menyelesaikan masalah murid-murid barulah motivasi belajar mereka meningkat.

Pelajaran ketiga, Pakcik Romley memggunakan perumpamaan set-set permainan catur, permainan askar dam pasukan bola sepak. Namun, Cikgu Shariff telah cekap menangkap maksud yang ingin disampaikan oleh Pakcik Romley.

Pasukan pemanah mampu menyerang dari jarak jauh dan kurang mampu menyerang dari jarak dekat. Oleh itu meletakkan pasukan memanah di bahagian depan akan mengundang kekalahan. Kedua, apabila catur raja dan permaisuri diletak berjauhan, raja tidak dilindungi catur terkuat iaitu permaisuri. Ini akan mengundang kekalahan. Ketiga, apabila penjaga gol dijadikan pemain penyerang, daya serangan seluruh pasukan menjadi tumpul. Persamaan antara ketiga-tiga permainan ini adalah kedudukan. Jafi, perubahan semula tempat duduk di dalam kelas boleh membantu transformasi perubahan sikap dan motivasi belajar murid 6 Besi di dalam kelas :) Wah, panjangnya!

Di sekolah itu, ada satu perkara pelik. Guru besarnya selalu tiada di sekolah kerana mempunyai urusan luar. Maka kuasa pengurusan pentadbiran sekolah diserahkan kepada guru penolong kanan sekolah iaiti Cikgu Zubir.

Rupanya dalam diam, tingkah laku Cikgu Zubir ini diperhatikan oleh guru besar bagi mengenalpasti kepincangan yang berlaku di sekolah. Haih, banyak masalah dalaman rupanya di sekolah ini.

Eh, guru besar? Bagaimana dia menyiasat sedangkan dia tiada di sekolah? Saspen sahaja ^_^

Hari demi hari murid 6 Besi semakin berubah ke arah yang lebih baik. Sungguh pun Cikgu Shariff berdepan dengan masalah murid pelik, diugut kumpulan kongsi gelap, menghadapi kesusahan apabila ibunya sakit dan dimasukkan ke hospital namun terselit juga beberapa kebaikan seperti nasihat dan buah fikiran yang bernas daripada ibunya serta adanya Cikgu Ana Maria yang manis. Ehem.. ;)

Namun peristiwa pahit berlaku tanpa disangka apabila Cikgu Shariff mengetahui berlakunya konspirasi di belakangnya yang melibatkannya sebagai taruhan. Apa yang paling mengecewakan salah seorang yang terlibat ialah Cikgu Is, rakan guru yang dianggap sebagai rakan sekerja yang baik di sekolah. Rupa-rupanya baik yang mempunyai makna!

Tidak perlu dihairankan. Situasi ini berlaku dalam mana-mana organisasi. Dengki, iri hati, cemburu dan mengumpat berlaku apabila berlaku ketidakpuasan hati seseorang terhadap apa yang dimilikinya.

Kisah kerjaya Cikgu Shariff tidak berakhir begitu sahaja. Ada kejutan di hujung kisah ini :)

Terima kasih penulis atas garapan cerita yang menarik. Semoga ia turut menjadi ilmu yang bermanfaat buat saya dan pembaca lain. Meskipun saya seorang guru namun membaca cerita kreatif begini dapat "refresh" minda dan menilai kembali tahap komitmen dan tanggungjawab terhadap anak-anak didik. Barakallahufik :)

Khamis, 12 Jun 2014

Buku 27 : Warisnya Kalbu oleh Sri Rahayu Mohd Yusop



Judul buku : Warisnya Kalbu
Penulis : Sri Rahayu Mohd Yusop
Penerbit : Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd
*Pemenang tempat pertama Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007


Bismillahirrahmanirrahim.

Saya bukanlah orang yang pandai dalam sastera. Sungguhpun pernah mengambil subjek minor dalam Pengajian Melayu ketika di maktab perguruan dahulu saya masih tidak mampu memahirkan diri dalam puisi, pantun, sajak dan lain-lain. Sangat cemburu dan kagum dengan kebolehan para pensyarah dan rakan yang mempunyai bakat dan kefasihan dalam bidang ini.

Jauh pula saya mengimbau kenangan ;) Sebenarnya ada kaitan sedikit dengan tema novel ini.

Karya Sri Rahayu ini merupakan hasil penulis yang pertama saya baca. Sebelum ini hanya membaca ulasan dari pembaca lain.

Saya terpegun dengan tema pantun yang melatari novel ini. Terbahagi kepada dua masa dan zaman. Namun tema pantun diangkat sebagai fokus utama.

Hassan Basri dan ayahnya mengemas koleksi buku arwah datuk yang baru meninggal dunia. Dalam banyak-banyak timbunan buku itu, Hassan tertarik dengan sebuah buku berikat reben dan isi kandungannya bertulis tangan. Lantas diminta izin dari ayahnya untuk menyimpan buku tersebut.

Buku tersebut merupakan catatan peribadi atau jurnal seseorang bernama Tun Cempaka mengenai kehidupan sehariannya yang secara tidak langsung mencatatkan beberapa siri peristiwa bersejarah yang berlaku di tempatnya ketika itu iaitu dalam era Perang Bendahara di Pahang.

Dalam masa yang sama Hassan bersama beberapa orang pelajar di sekolah menyertai pemilihan pasukan pemantun sekolah dan hanya empat orang sahaja yang akan terpilih. Melihat kemantapan berpantun Hassan, dia terpilih bersama 3 lagi pelajar yang lain.

Apa yang mengejutkan ialah Khadija (salah seorang pemantun sekolah) juga mempunyai naskah jurnal yang hampir sama dengan Hasan. Namun isi kandungannya adalah terjemahan pantun dalam bahasa inggeris semata-mata dan tiada catatan peribadi seperti pada Hassan. Misteri.

Banyak yang saya pelajari mengenai pantun dari buku ini.

- Pantun itu ibarat wadah bagi orang Melayu mengungkapkan fikiran dan hati budinya tentang makna kehidupan, kelakuan manusia dan hubungan manusia dengan alam kelilingnya.

- Pantun dilihat pada keratnya. Ada dua, empat, enam, lapan, sepuluh, dua belas dan empat belas. Pantun biasanya genap. Tidak ganjil.

- Sanjak ; ragam bunyi yang sama padan (istilah baru yang diketahui)

Dalam jurnal yang dimiliki Hassan, Tun Cempaka menceritakan kakandanya mengajar pantun melayu kepada anak saudara gabenor bernama Katherine. Namun catatan itu tidak tamat kerana ceritanya tergantung.

Hassan dan rakan-rakan meminta bantuan guru sejarah sekolah bagi merungkai misteri ini.

Apa pun, kepentingan memelihara khazanah ilmu bangsa melayu dilihat penting dalam mengekalkan warisan bangsa yang baik untuk generasi seterusnya. Wallahualam.

Rabu, 11 Jun 2014

Buku 26 : Toys Go Out oleh Emily Jenkins

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini berkisar alat permainan yang dimiliki oleh Little Girl. Fokus utama lebih kepada tiga jenis permainan bernama StingRay, Plastic dan Lumphy.

Setiap satu alat permainan ini mempunyai karakter yang tersendiri.

StingRay bagi saya seorang yang menganggap dirinya tahu segala-galanya walhal ada perkara yang tidak pernah dilihatnya mahu pun dilawati. Dalam bahasa mudah, "bajet tahu semua". 

Kadang timbul geram juga dengan StingRay ini. Tetapi selalunya terhibur dengan kata-katanya yang petah dan berirama. Seperti pantun pula :) Oh ya, StingRay ini ialah seekor ikan pari mainan. 

Plastic pula menjadi misteri sehingga ke pertengahan cerita. Melihat kepada sinopsis, saya tidak dapat menebak siapakah Plastic. Namun, pada suatu hari Plastic mula tertanya-tanya siapakah dirinya. Bermulalah pencariannya dengan membaca buku-buku Little Girl pada waktu selepas tuannya tidur :) Comel pula rasanya alat permainan membaca buku. 

Malangnya tiada satu pun maklumat mengenai dirinya diketahui. Lalu dia beralih dengan menonton televisyen. Melihat rancangan dokumentari, iklan, kartun dan sebagainya. Sedikit sahaja maklumat diperolehi. Dia tetap tidak berpuas hati sehinggalah dia teringatkan TukTuk, si tuala mandi di dalam bilik air Little Girl. Oh, Plastic ialah sejenis bola rupanya! Haih , sabar sahajalah -_-

Lumphy, seekor lembu mainan. Suka bermain-main dan agak "clumsy" :) 

Bila diimbas kembali, ketika kecil dahulu apabila membaca buku-buku seperti ini membuatkan saya berada dalam dunia sendiri. Yalah, alat permainan boleh bergerak dan bercakap sesama mereka ketika tuannya tidur. Huh? Masuk akalkah? Sebelum tidur dahulu saya pasti lihat anak patung dan alat permainan yang dimiliki sambil berfikir perkara ini. Haha...mana mungkin, kan? Ia hanya imaginasi sahaja.

Tetapi seronok kerana ia seperti membuka minda berfikir secara kreatif.

Satu lagi perkara, suka dengan suasana dalam bilik tidur Little Girl yang digambarkan dalam cerita ini. Ada meja belajar, rak buku dengan pelbagai koleksi buku seperti ensiklopedia, buku cerita dan buku sekolah, ruang bermain dan tingkap yang menghadap pemandangan luar yang cantik.

Walaupun saya beri 3 bintang sahaja untuk cerita ini namun buku ini sangat menarik dibacakan semasa sesi "read aloud session" bersama-sama anak. Mujur tarikh pulangan buku masih panjang. Jadi insya Allah sempat lagi bercerita dengan anak-anak. Cumanya saya tambahkan dengan lukisan sendiri supaya anak-anak lebih nampak dan faham jalan cerita ini :) 

Wallahualam.

Selasa, 10 Jun 2014

Buku 25 : Seindah Dafodil oleh Umi Kalthum

Bismillahirrahmanirrahim.


Judul buku : Seindah Dafodil
Penulis : Umi Kalthum
Penerbit : PTS

Hidup di perantauan memerlukan kecekalan dan keazaman yang tinggi. Perlu juga pandai memilih kawan yang baik dan memerlukan pegangan agama yang kukuh supaya tidak terpengaruh sehingga menggadaikan agama Islam yang dianuti.

Catatan novel jibunsyi ini memaparkan kehidupan Insyirah sebagai pelajar perubatan di bumi asing, bagaimana dia mengadaptasi dengan budaya dan kepelbagaian ragam manusia di sana, bertemu pelbagai bangsa dan memahami pelbagai kepercayaan agama serta tidak kurang juga mengurus perasaan dan emosi terhadap seseorang yang dicintainya.

Halangan keluarga menyebabkan Insyirah berusaha melupakan jejaka tersebut dengan menyibukkan diri dengan dunia akademik sehingga membawa diri ke bumi Kanada. Apalah yang dibanggakan sangat dengan status Syed-Syarifah sehingga menyebabkan kedua-duanya memendam rasa bertahun-tahun.

Namun jika jodoh tidak ke mana :) 

Kesungguhan Insyirah dalam akademik patut dicontohi. Dia seorang yang tekun dan bersungguh-sungguh. Saya juga suka dengan wataknya yang peramah dan bertoleransi dengan rakan baru dari pelbagai negara. Sifat ringan tulangnya dan pandai memasak menjadi satu sifat yang disenangi oleh mereka yang baru dan lama mengenalinya.

Wallahualam :)

Ahad, 8 Jun 2014

Buku 24 : Bersamamu Di Firdaus oleh Muhd Kamil Ibrahim

Bismillahirrahmanirrahim. 


Kematian itu pasti. Setiap orang pasti melaluinya. Semua orang ingin ke syurga dan tiada yang mahu ke neraka. Hakikatnya, ia perlu dirancang. Namun manusia tidak semua peka dengan perkara ini. 

Usia kita semakin hari semakin bertambah. Dan saat kematian itu semakin hampir malah lebih dekat daripada masa yang telah dilalui.   

Selama kita hidup,hanya ada 3 perkara yang akan dibawa selepas mati.   

"Apabila seseorang mati,putuslah amalannya kecuali 3 perkara, (iaitu) : sedekah jariah,ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak soleh (solehah) yang berdoa untuknya." (Riwayat Muslim hadis nombor 1631)  

Allah ya Allah.   

Kebetulan sahaja membaca buku ini ketika usia menginjak ke angka 30-an. Tarikh hari lahir kini tidak lagi bermakna dengan kejutan dan kemeriahan sambutan namun disambut dengan rasa keinsafan dan rasa takut. Ya, terasa bagai kematian semakin menghampiri namun amalan yang ingin dibawa terasa amat sedikit. Allah ya Allah. 


Jazakallahu khaira penulis atas perkongsian muhasabah ini. Menjentik rasa, membuka minda dan hati bagi memikirkan kebesaran dan peringatan Allah. Dunia ini hanyalah persinggahan, waktu yang sangat singkat berbanding kehidupan selepas mati. 

Wallahualam.



Jumaat, 6 Jun 2014

Buku 23 : Menalar Makna Diri oleh Hasrizal Abdul Jamil


Bismillahirrahmanirrahim.

Menalar Makna Diri ; bingkisan terbaru daripada Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Saya suka kulit hadapan buku. Nampak "selesa" dan matang. 

Ia bukan sekadar travelog pengembaraan tetapi sarat dengan input sejarah, ukhwah, dakwah dan terselit perasaan gusar akan keadaan masyarakat di Malaysia dan ummah secara umum. Mungkin sesuai dengan status penulis yang kini dalam proses melengkapkan disertasi dalam budang sejarah Uthmaniyyah. 

Secara jujurnya, kebanyakan ilmu sejarah yang dicatat oleh penulis merupakan sesuatu yang baru bagi saya. Imam Birgivi, seorang tokoh ulama dan pemikiran yang sangat bagus diteladani dan dicontohi. Besar sumbangan penulis sekiranya dapat menyebarkan lagi ilmu daripada tokoh ini.

Dapat difahami Turki bukanlah sekadar tempat pelancongan semata-mata namun banyak sekali ibrah yang boleh diambil sekiranya kita benar-benar ingin memuhasabah kesilapan lalu dan sejarahnya yang panjang sangat memberi kesan kepada dunia Islam.

Kata-kata Imam Birgivi sangat bermakna dan mendalam untuk dihadam. Terima kasih penulis di atas usaha murni menggali dan mengkaji sejarah tokoh ini. Semoga menjadi ilmu yang bermanfaat. Ameen.

Perihal arwah Ahmad Ammar yang disebut di bahagian akhir buku ini turut menjentik rasa. Terima kasih atas perkongsian penulis.

Ahad, 1 Jun 2014

Buku 22 : The Miraculous Journey of Edward Tulane

Bismillahirrahmanirrahim.

Kulit hadapan buku nampak klasik. Berwarna kuning keemasan dan ada seekor arnab berjalan menuju ke pintu rumah agam.

Novel kanak-kanak ini bertemakan kasih sayang. Kita tidak akan disayangi sekiranya kita juga tidak menyayangi. Teringatkan kisah di mana Rasulullah sollallahu alaihi wasallam mencium cucunya, Hassan lalu berkata sahabat yang melihat (Aqra'), "Aku mempunyai sepuluh anak tetapi tidak seorang pun pernah aku cium. " Maka Rasulullah sollallahu alaihi wasallam berkata, "Orang yang tidak menyayangi tidak akan disayangi."

Edward Tulane ialah sebuah patung mainan yang diperbuat daripada material yang bermutu tinggi dilengkapi pakaian yang cantik dan dikelilingi alat permainan mahal serta dimiliki oleh seorang gadis kecil yang tinggal bersama keluarga mewah di Egypt Street bernama Abilene Tulane.

Dia dilayan dengan baik sekali meskipun dia hanya sebuah patung mainan. Edward menganggap dirinya hebat dan kurang mempedulikan lain-lain hal termasuklah tuannya.

Pada satu masa, ketika sambutan hari lahir Abilene kesebelas, ibu bapanya membawanya belayar menaiki kapal mewah dan bermulalah kisah hidup Edward yang begitu panjang dalam episod mengenali erti dan perasaan kasih sayang.

Di atas kapal mewah itu, ada beberapa orang budak lelaki yang nakal mengusik Abilene. Tanpa kawalan, Edward tercampak ke dalam lautan biru yang luas dan dalam. Terdamparlah Edward beberapa lama di dalam lautan sehingga berlaku ribut. Akhirnya Edward tersangkut pada jaring nelayan laut dalam.

Suasana baru, tuan yang baru dan diberi nama yang baru. Nellie dan Lawrence memanggilnya Susanna dan tinggallah Edward bersama mereka beberapa lama. Menemani Nellie yang rajin memasak, menjadi teman Lawrence keluar bersiar-siar di waktu malam dan mendengar celoteh mereka suami isteri.

Namun, segalanya berubah apabila Lolly, anak Nellie pulang menziarahi ibu bapanya. Lolly membuang Edward di tempat buangan sampah. Hmm..saya tidak pasti mengapa Lolly bertindak demikian. Ya, Edward merasakan satu perasaan. Kasih sayang. Dia mahu kembali mendapatkan Nellie dan Lawrence!

Hampir setahun di situ, akhirnya Edward mendapat tuan baru. Seorang gelandangan yang bertemankan seekor anjing. Tuan baru ini sangat menghargai Edward dan Edward juga dapat menyesuaikan diri berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Siapa sangka, tujuh tahun lamanya Edward bersama mereka sehinggalah Edward dicampak keluar gerabak keretapi oleh seorang samseng.

Huhu..penat sungguh menjadi seorang Edward -_-

Siapa pula tuan baru Edward kali ini?

Seorang perempuan tua mengutip Edward dan dibawa pulang. Rupa - rupanya dijadikan orang-orang bagi menakutkan burung yang datang ke kebunnya.

Dalam diam, seorang budak lelaki datang "menyelamatkannya" lalu diberi kepada Sarah Ruth, adiknya yang menderita sakit. Namun, bahagia Edward tidak lama apabila Sarah Ruth meninggal dunia akibat penyakitnya. Budak lelaki itu membawanya jauh ke Memphis dan menyara hidup dengan mengadakan persembahan jalanan.

Malang menimpa sekali lagi. Edward dihentak oleh pemilik restoran tempat budak lelaki itu makan kerana dia tidak mampu membayar makanan yang di makan.

Berakhirkah hidup Edward?

Budak lelaki yang baik budi itu membawanya ke sebuah kedai alat permainan dan tuan kedai sanggup memperbaiki keadaan Edward dengan dua syarat.  Pertama, budak lelaki itu membayar upah membaiki Edward atau kedua menyerahkan Edward kepadanya. Pilihan kedua dipilih. Oh, sedihnya :(

Edward dibaiki dan diberikan tempat terbaik di dalam kedai itu. Namun, selepas bertahun-tahun hidup susah dan selalu sahaja terpisah dari tuannya, Edward menjadi kembali pesimis. Dia tidak mahu menaruh harapan lagi. Baginya tiada guna menyayangi orang lain kerana dia sudah kecewa.

Sehinggalah pada satu hari sebuah anak patung baby doll berusia 100 tahun ditempatkan di sebelahnya dan mereka berbual-bual. Baby doll itu menasihatinya supaya membuka pintu hati untuk menerima orang barulah dirinya akan disayangi. Sungguh malang sekali apabila hidup tidak disayangi. Oh, pandainya baby doll ini berkata-kata!  ^_^

Hari demi hari, bulan demi bulan, satu keajaiban berlaku.. Seorang anak gadis kecil masuk ke kedai bersama ibunya ketika hujan turun lebat di luar. Tanpa disangka, anak kecil itu berminat dengan Edward! Tambah mengejutkan, ibunya ialah Abilene! Oh.....