Selasa, 31 Ogos 2010

Keajaiban Al-Qur'an

Judul buku : Keajaiban Al-Qur'an
Penulis : Harun Yahya
Penerbit : Jahabersa
Bilangan muka surat : 110
Harga : RM34.90
Sumber : Pustaka Mukmin, KL
Sumber gambar : Jahabersa

Buku ini terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama menerangkan mukjizat al-Quran, bahagian kedua mempersembahkan mengenai maklumat kejadian di masa hadapan yang dilaporkan dalam al-Quran, bahagian ketiga menerangkan mukjizat sejarah di dalam al-Quran, dan bahagian terakhir, kekeliruan dalam evolusi. Terdapat bab kesimpulan diselitkan antara bahagian ketiga dan bahagian keempat.

Membaca buku ini mengingatkan saya kepada buku Membentuk Akhlak Anak Belajar dari Mukjizat Para Nabi. "Satu pendapat yang sangat menarik mengatakan bahawa mukjizat ilmiah al-Quran itu akan terus muncul seiring dengan pembaharuan misi Islam itu sendiri. Dengan hal tersebut, seakan-akan Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam masih tetap hadir di setiap zaman untuk mengajak umat manusia masuk ke dalam agama Allah…"

Benar, saya semakin memahami beberapa ayat di dalam al-Quran dengan fakta sains yang dibawakan oleh penulis. Antaranya mengenai fungsi langit seperti yang dinyatakan di dalam surah at-Tariq ayat 11 yang bermaksud : ”Demi langit yang membalikkan.” Perkataan ”membalikkan” dalam penterjemahan al-Quran ialah ”menghantar balik” atau ”mengembalikan”.

Seperti yang diketahui umum, lapisan langit terdiri daripada 7 lapis. Fungsi ’membalikkan’ oleh langit dijalankan mengikut peranan masing-masing seperti lapisan troposfera yang membantu mengkondensasikan wap air yang naik ke udara dari permukaan bumi menjadi hujan. Manakala lapisan ozon pula berfungsi memancarkan semula cahaya dan sinaran berbahaya dari luar angkasa kembali ke luar. Malah komunikasi yang kita gunakan kini seperti gelombang radio dan satelit dibantu oleh lapisan ionosfera yang membantu memancarkan gelombang tersebut. Subhanallah!

Satu lagi penemuan menakjubkan ialah peranan gunung kepada bumi. Telah dinyatakan oleh Allah di dalam surah al-Anbiya ayat 31 yang bermaksud ; ”Dan Kami jadikan gunung-ganang yang teguh supaya ia tidak bergoncang bersama mereka...” dan Surah an-Naba ayat 6 hingga 7 yang bermaksud ”Bukankah Kami telah menjadikan bumi ini sebagai hamparan. Dan gunung-gunung sebagai pancang?”.

Berdasarkan penemuan ahli geologi, gunung timbul daripada pergerakan dan pertembungan bongkah daratan yang besar membentuk kerak bumi. Apabila dua lapisan bertembung, rempuhan yang kuat akan menggelongsor ke bawah dan membentuk ketegangan di dasar bumi. Dan dasar inilah yang memegang semua lapisan di bumi kerana ia berhubung kait antara satu sama lain. Maka dengan sebab itulah gunung dikatakan pancang bumi.

Menarik, bukan? Fakta yang dijelaskan juga tidak mengambil penerangan yang panjang membuatkan pembacaan saya tidak menjemukan dan dapat difahami.

Isnin, 30 Ogos 2010

Syahadah Gadis Ateis


Judul buku : Syahadah Gadis Ateis

Penulis : Imran Haaz

Penerbit : PTS Islamika (2010)

Harga : RM16.00 / RM19.00

Bilangan muka surat : 377

Sumber : MPH Alamanda

Tarikh baca : Tamat pada 21 Ogos 2010


Buku ini membuatkan anda tidak berhenti berfikir. Lontaran soalan Rini yang kritis disambut dengan jawapan yang padat tetapi mantap daripada Nizam. Sungguhpun persoalan di dalam novel ini berkisar mengenai ketuhanan tetapi penulis bijak menggarap cerita sehingga tidak kelihatan seperti ceramah agama yang membosankan.


Setiap jawapan disertai dengan hujah yang mantap dari ayat Quran dan hadis. Nizam juga menggunakan kitab Bible dan bahan dari kitab agama lain sebagai tujuan perbandingan dan memahamkan Rini. Malah, analogi yang diberikan amat mudah difahami dan saya juga tidak pernah terfikir akan analogi-analogi yang digunakan itu. Semuanya disampaikan secara santai namun mesej yang ingin disampaikan sampai ke matlamatnya.


Rini dan Nizam sama-sama dalam perjalanan menuju ke utara. Mereka bertemu di dalam keretapi. Nizam yang berselipar buruk akibat kasutnya dikebas sewaktu solat di stesen keretapi sebelumnya diketawakan oleh Rini. "Itulah, siapa suruh sembahyang, kan dah hilang kasut...." Wah, terperanjat Nizam mendengarnya! Sudah tentu kita juga akan berasa 'semacam' sahaja dengan ayat tersebut.


Bermulalah sesi dialog antara Rini dan Nizam. Rini yang agak emosi dan selalu naik angin pada awalnya bertukar kepada seorang yang lebih rasional lama-kelamaannya. Banyak persoalan timbul dalam dirinya dan Nizam sedaya upaya berusaha memberi jawapan terbaik. Baginya akidah Rini masih lagi boleh diselamatkan walaupun kadang-kala teruji juga kesabarannya dengan soalan-soalan Rini.


Pada setiap bab ada sahaja isu yang ditimbulkan oleh Rini dan ditaip italic pada setiap permulaan bab. Ini yang membuatkan saya teruja apabila membacanya kerana ingin tahu apakah jawapan yang diberikan oleh Nizam. Sambil membaca, saya mencatat. Sebab inilah saya mengambil masa yang sangat lama untuk menghabiskan bacaan.


Persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Rini sebenarnya adalah soalan yang biasa kita dengar dari pihak yang memusuhi Islam. Antaranya ialah mengenai diskriminasi wanita, ketidakadilan pembahagian harta pusaka antara lelaki dan perempuan dan hukum hudud yang dikatakan zalim. Rini juga mahu dibuktikan kewujudan Tuhan kerana dia tidak mahu menyembah Tuhan yang dia tidak nampak.


Di sinilah kebijaksanaan dalam menjawab soalan-soalan sebegini diperlukan. Silap jawab akan memburukkan lagi keadaan. Saya terkesan dengan jawapan Nizam yang mengatakan bahawa sekarang ini kita sedang bergerak dengan kelajuan 300 km dalam masa 10 saat. Bumi bergerak dengan kelajuan 30 km sesaat.


Dengan mata kasar pastilah kita tidak bergerak seinci pun. Tetapi dengan 'iman' terhadap ilmu sains, kita akan mengaku kebenaran yang dinyatakan tadi.


Jumaat, 27 Ogos 2010

Ma Yan


Judul buku : Ma Yan

Penulis : Sanie B. Kuncoro

Penerbit : PTS Litera Utama

Harga : RM16.00 (Semenanjung Malaysia)

Sumber : MPH Alamanda, Putrajaya

Tarikh baca : 24 Ogos 2010

Sumber gambar : PTS


Sinopsis buku ini amat menarik. Ia diadaptasi dari kisah benar yang berlaku di wilayah terpencil di China. Sungguh mengagumkan semangat seorang anak perempuan yang begitu kental jiwanya untuk menimba ilmu. Bukan mudah melalui perjalanan sejauh 5 jam berjalan kaki untuk sampai ke sekolah. Subhanallah. Saya teringat akan Lintang di dalam Laskar Pelangi. Ya, anak-anak ini sungguh bersemangat waja.


Ma Yan adalah anak sulung dari 3 orang adik-beradik yang mana dua lagi di bawahnya ialah lelaki. Sudah menjadi tradisi di sana bahawa anak perempuan akan terpinggir dari pendidikan dan anak lelaki diberi keistimewaan dan keutamaan dalam segala hal. Namun Ma Yan tidak rela menjadi mangsa tradisi itu lalu berusaha sedaya mungkin belajar untuk mengecapi kejayaan. Dengan itu besarlah harapannya untuk merubah nasib keluarganya.


Disebabkan perjalanan jauh selama 5 jam itu memang melelahkan membuatkan mereka terpaksa menumpang traktor yang ingin ke pekan tempat sekolahnya. Walaupun bayarannya cuma 1 yuan (mungkin RM1 kita di sini), namun keluarganya tidak mampu membayarnya. Oleh itu, ibu dan ayah Ma Yan berusaha keras bekerja mencari wang bagi membolehkan anak-anak mereka sekolah.


Namun kesempitan hidup akibat revolusi yang dicetuskan oleh Mao satu ketika dahulu mengakibatkan berpuluh-puluh generasi menanggung akibatnya.


Dataran yang kering-kontang, tiada air yang sampai ke penduduk dan mereka hanya menyimpan sisa-sisa ais semasa musim sejuk sebagai sumber air malah, penduduk muslim di situ semuanya terpaksa bertayamum bagi menunaikan solat. Air yang ada tidak mencukupi. Dahsyatnya keadaan ini. Tiada projek penanaman semula dirancang menyebabkan penduduk wilayah itu menderita.


Yang masih punya kudrat terpaksa berkelana ke tempat lain bagi mencari sesuap rezeki. Itu pun jika bertemu majikan yang baik dan dibayar gaji. Jika tidak dengan status pekerja haram, mereka akan pulang dengan tangan kosong kerana majikan menipu tidak mahu membayar wang.


Sungguh menyedihkan apabila membaca Ma Yan terpaksa mengikat perut selama 2 minggu semata-mata ingin membeli sebatang pen. Aduhai, sedangkan saya di sini sering sahaja kehilangan pen tanpa sengaja atau sengaja. Dan sesenang itu pen dibeli semula.


Sudah menjadi adat dalam pelajaran, Ma Yan tidak selalunya cemerlang di dalam peperiksaan sehingga dia pernah gagal dalam satu peperiksaan memasuki sekolah menengah perempuan yang dikatakan terbaik. Namun, dia tidak patah semangat dan tetap meneruskan persekolahan di sekolah biasa. Di sana dia belajar dengan tekun dan pernah menjadi juara kelas.


Satu kelebihan Ma Yan ialah dia rajin mencatat diari. Daripada diarinya inilah satu dunia dapat mengetahui kisah gadis cilik dari wilayah terpencil di China yang begitu gigih menuntut ilmu. Masih ada lagi anak perempuan yang mempunyai kesedaran bahawa pendidikan itu sangat penting dalam kehidupan.


Bagaimana dunia dapat mengetahui kisahnya? Ada sekumpulan orang asing yang datang ke kampung Ma Yan untuk membuat sedikit kajian. Mereka menumpang di rumah imam kampung tersebut. Pada hari mereka bertolak pulang, ibu Ma Yan yang baru tahu mengenai mereka berkejar menahan kenderaan yang dinaiki dan memaksa mereka ke rumahnya. Lalu ibu Ma Yan menyerahkan buku catatan milik Ma Yan atas dasar yakin sekumpulan orang asing itu akan memanfaatkannya. Mereka rupanya adalah sekumpulan wartawan yang datang dari Perancis.


Sehingga kini Ma Yan masih lagi belajar di sekolah menengah. Semoga impiannya ingin memasuki universiti akan tercapai. Maklumat mengenainya boleh dicari di dalam internet.


Khamis, 26 Ogos 2010

Versus


Judul buku : Versus

Penulis : Hlovate

Penerbit : Jemari Seni Publishing

Harga : RM19.00

Bilangan muka surat : 432

Sumber : Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010

Tarikh baca : 20 Ogos 2010


Sekali lagi dengan gaya tersendiri Hlovate menyampaikan mesej dakwahnya secara langsung dan tidak langsung. Masih lagi berkisarkan remaja yang energetic dan aktif. Kali ini remaja yang minat pada sukan skate. Mesej utama ialah PERUBAHAN DIRI.


Bukan 'zaman' saya lagi untuk membaca dengan gaya bahasa Hlovate
:) Bahasanya sama seperti buku-buku beliau terdahulu. Santai. Mungkin ada yang tidak suka apabila penulis mencampuradukkan bahasa inggeris dan bahasa melayu tetapi ya, Hlovate mempunyai peminat yang ramai!


Ceritanya berkisar mengenai Minn Edina yang terpaksa menjadi mentor kepada Ashraff Omar atau lebih selesa dipanggil AO. Minn digambarkan sebagai orang yang kurang berperasaan (no heart feeling) tetapi sangat cemerlang dalam akademik dan kepimpinan. Atas permintaan pensyarahnya Minn terpaksa membantu AO menyiapkan satu kertas kerja.


AO seorang remaja yang begitu meminati sukan skate dan bukanlah seorang yang begitu islamik. Malah dia merasakan bagai dihempap bebanan apabila digandingkan dengan Minn. Tanpa diketahuinya, mentornya itulah yang selama ini diminati dari jauh. Minn dahulunya juga pemain skate dan cukup terkenal dengan nama Ed'sassin.


Namun, masa boleh mengubah seseorang. Keadaan juga membuatkan Minn berubah meninggalkan semua itu. Dia berusaha menjadi seorang yang lebih baik.


Apa yang berlaku seterusnya? Saya serahkan kepada anda untuk membacanya sendiri ;) Lihat bagaimana pengaruh Minn dapat mengubah AO yang akhirnya menjumpai identiti diri yang baru dan lebih segar. Lebih daripada itu AO menjadi muslim dalam erti kata sebenar.


Sungguhpun ada elemen cinta di dalamnya, penulis berusaha menjadikan ianya menjurus ke arah cara Islam. Sudah pasti berakhir dengan perkahwinan. Oh, perkahwinan bukan satu pengakhiran tetapi permulaan kehidupan yang baru
:)


Sesuai untuk remaja yang tidak suka keadaan yang 'skema', ingin berubah menjadi lebih baik, tidak mahu mendengar ceramah (agama) yang dirasakan menjemukan, dan berasa tidak dikongkong.

Asam Pedas Gula Melaka


Judul buku : Asam Pedas Gula Melaka

Penulis : Norbi Husin

Penerbit : Utusan Publications & Distributors (2005)

Harga : RM43.00

Bilangan muka surat : 588

Sumber : Beli di Popular Jaya Jusco Bandaraya Melaka

Tamat baca pada : 20 Ogos 2010

Sumber gambar : Ujana Ilmu


Buku setebal 588 muka surat ini merakamkan perjalanan seorang guru yang cukup komited dan dedikasi terhadap tugas yang dipikulnya. Kagum. Itulah antara pandangan pertama saya mengenai penulis. Buku ini terbahagi kepada 4 bahagian.


Bermula sebagai guru biasa kemudian dilantik menjadi pengetua sehinggalah dilantik berkhidmat di jabatan pelajaran, banyak pengalaman yang dikongsi bersama pembaca. Ada suka, ada duka. Ada pahit dan ada manis. Mungkin kerana itulah tajuk Asam Pedas Gula Melaka ini dipilih. Unik.


Saya terfikir-fikir akan kekuatan beliau dan nyata prinsip yang dipegangnya adalah jitu dan tegas. Tanpa mengenal jemu dan sentiasa melakukan yang terbaik adalah formula kejayaan yang selalu memacu visi dan misi beliau sepanjang perkhidmatan.


Saya banyak belajar dari pengalaman beliau. Nyata, jangan membuat kerja seperti melepaskan batuk di tangga. Harus sentiasa rajin dan berusaha sebaik mungkin apabila melakukan sesuatu. Komunikasi yang baik antara rakan sejawat serta seluruh warga sekolah secara umumnya perlu ada pada setiap orang.


Saya terkesan dengan salah satu kisahnya yang ingin menjadi guru jadual waktu. Pada masa dahulu penyusunan jadual waktu guru adalah menggunakan cip berwarna-warni. Disebabkan beliau belum pernah diberi tugas guru jadual waktu, beliau sangat ingin menjawat jawatan tersebut. Malangnya tidak diberi peluang oleh pengetua.


Apakah tindakan beliau?
Saya tidak menyangka beliau akan menukar cip-cip tersebut (sewaktu ketiadaan GPK yang bertanggungjawab) dengan harapan akan berlaku pertindihan waktu mengajar guru-guru. Benar seperti yang dijangkakan, keesokan harinya ramai guru datang ke pejabat mengadu masalah yang dihadapi. Peninglah kepala GPK mendengarnya.


Beliau dengan sengaja lalu di pejabat dan menawarkan diri membantu menyelesaikan masalah tersebut. Wah, sukar juga untuk menyusun semula. Hal ini kerana beliau telah terlupa sebahagian 'pertukaran' yang telah dilakukannya sehari sebelum itu. Beliau mengambil masa selama 1 jam untuk menjadikan jadual waktu itu kembali seperti asal.
Hasilnya, tahun berikut beliau dilantik memegang jawatan tersebut!



Wah, jarang sekali ada guru yang menawarkan diri secara sukarela untuk memegang jawatan kerana kerja sedia ada juga sudah banyak. Tetapi jika minat sudah ada apa yangdilakukan tidak akan rasa penat malah akan rasa puas dan seronok :) Saya juga berharap dapat menjadi seorang yang dedikasi terhadap tugas. Insya Allah.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Kamceng dengan Solat

Sumber gambar : Kedai-buku.com
Judul buku : Kamceng dengan Solat
Penulis : Mohd Zawawi Yusoh, Siti Hasnah Hamzah
Penerbit : PTS Millenia
Harga : RM13.00
Bilangan muka surat : 179
Sumber : Beli di MPH Mahkota Parade, Melaka

Dahulu, teman sebilik semasa di kampus pernah membeli buku ini. Waktu itu saya tidak sempat membacanya walaupun nampak menarik. Hanya selepas beberapa tahun baru saya tergerak untuk membeli dan membacanya.

Intipati buku ini adalah mengenai solat tetapi dipersembahkan dalam bentuk dialog antara dua rakan baik, Jamilah dan Suraya. Jamilah banyak menggunakan analogi bagi memudahkan Suraya memahami kepentingan solat termasuk solat fardhu, solat sunat, solat jamak dan qada' solat.

Ada juga diselitkan mengenai menutup aurat, mengapa umat Islam solat berkiblatkan Kaabah, puasa, dan lain-lain. Gaya bahasa yang santai dan 'sempoi' (ikut kata remaja sekarang) mungkin dapat menarik minat adik-adik di awal remaja untuk membaca buku ini seterusnya memberi kesedaran akan kepentingan solat.

Sabtu, 7 Ogos 2010

Apabila Haiwan Menjadi Guru


Judul buku : Apabila Haiwan Menjadi Guru
Penulis : Sahrulazmi Sidek
Penerbit : KarnaDya (2009)
Bilangan muka surat : 279
Harga : RM 16.00 (Semenanjung) / RM 19.00 (Sabah Sarawak)
Sumber : Popular Jaya Jusco Bandaraya Melaka
Tarikh baca : 30 Julai - 6 Ogos 2010

Buku ini saya beli kerana tertarik dengan kulit depannya. Ada seekor gajah memakai tali leher dan memegang rotan dilatari papan hijau. Lalu saya ambil dari rak buku di Popular dan tidak teragak-agak membelinya. Sangkaan awal saya buku ini pasti cerita kanak-kanak. Rupa-rupanya ia sesuai untuk semua golongan.


Saya tidak mengenali penulis tetapi mungkin pernah melihat buku-bukunya yang lain sebelum ini. Seingat saya kalau tidak silap, tajuknya Yang Pelik Lagi Hairan. Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya selak helaian-helaian awal, hmm..nampak menarik. Penulis tidak menggunakan ayat yang skema tetapi penceritaannya seolah-olah kita mendengar dan melihatnya secara langsung kerana bahasa yang digunakan seperti bahasa percakapan seharian.


Buku ini berbentuk motivasi dan penceritaannya disulami dengan ayat al-quran, fakta sains, peribahasa Melayu serta pengajaran yang dapat diambil daripada haiwan-haiwan yang disebut oleh Allah di dalam al-quran.


Saya sangat sukakan buku ini. Mengapa? Kerana saya tidak terfikir banyaknya haiwan yang Allah sebut di dalam al-quran dan pastinya setiap satu dapat diambil pengajaran oleh kita. Sebelum saya membaca buku ini lebih lanjut sempat lagi saya berfikir-fikir nama haiwan yang ada di dalam al-Quran. Bagaimana dengan anda? Dapatkah anda senaraikan nama-nama haiwan tersebut?


*

*

*

*

*


Baiklah, antara haiwan yang dikupas oleh penulis ialah al-baqarah (lembu), al-kalbu (anjing), al-ankabut (labah-labah), al-farasy (rama-rama), an-naml (semut), an-nahl (lebah), al-hud-hud (burung belatuk), al-fil (gajah), az-zi'bu (serigala), kambing, al-ghurab (gagak), kuda, al-himar (keldai), as-thu'ban (ular), kutu, unta, ad-dhifda'u (katak), al-jaraadu (belalang), nyamuk, al-khinzir (babi), ikan Nun (ikan) dan monyet.


Subhanallah, banyak rupanya haiwan yang disebut oleh Allah di dalam al-quran. Banyak juga pengajaran yang dapat saya ambil dari analogi penulis. Misalnya rama-rama. Sebelum rama-rama menjadi cantik seperti yang kita lihat ia mestilah melalui kepompong terlebih dahulu. Kepompong rama-rama adalah dunia gelap bagi membolehkan proses menjadi rama-rama terjadi.


Janganlah pula kita memandai-mandai membuat lubang pada kepompong tersebut bagi membolehkan lebih cahaya masuk ke dalamnya. Nanti rama-rama yang terhasil adalah cacat. Begitu juga dengan orang Islam. "Kepompong" kita adalah perintah dan larangan Allah yang seharusnya kita taati. Misalnya kewajipan menunaikan solat, puasa, menutup aurat, tidak terlibat dengan rasuah dan sebagainya. Jika kepompong kita ini bocor maka terjadilah pelbagai masalah dan kita mendapat dosa akibat melanggar suruhan Allah. Setiap satu yang Allah jadikan pasti ada hikmahnya.


Saya syorkan buku ini kepada anda. Bacalah. Insya Allah anda akan mendapat manfaat yang tidak sedikit daripada ceritanya. Buku ini juga sesuai untuk dijadikan cerita kepada anak-anak.


* Namun begitu ada beberapa perkataan yang salah dikesani. Antaranya ialah perkataan merbahaya (sepatutnya berbahaya) dan perkataan pula ditulis sebagai pulak. Diharap pihak editor dapat memperbaiki kesalahan ini.


Khamis, 5 Ogos 2010

Penakluk Kota Unggu


Judul buku : Penakluk Kota Unggu
Penulis : Kusyi Hirdan
Penerbit : PTS Fortuna (2010)
Harga : RM14.00 (Semenanjung) / RM16.00 (Sabah dan Sarawak)
Sumber : PBAKL 2010
Tarikh baca : 27 Julai - 4 Ogos 2010

Saya seringkali kabur apabila membaca buku sains fiksyen. Pengalaman semasa membaca buku Galaksi Muhsinin berulang lagi. Tetapi kali ini saya membaca dengan kadar perlahan bagi memahami cerita :) Hanya apabila berada di tengah-tengah plot baru saya memahaminya. Mungkin kerana latar cerita yang saya rasakan asing menyebabkan saya lambat menangkap cerita ini.


Seperti kata Kak Najibah yang keliru dengan perkataan Unggu, saya juga telah terlupa mengapa perkataan 'unggu' digunakan dan bukannya 'ungu'. Saya pernah terbaca di laman sesawang PTS tetapi telah terlupa entri yang mana satu.


Kota Unggu wujud di zaman serba canggih dan moden malah manusia seperti kita ini dipanggil manusia purba atau Zaman Tamadun Baru. Segala-galanya hampir sempurna di sana kecuali beberapa perkara pelik yang berlaku di dunia mereka. Setiap perempuan yang melahirkan anak akan mati sejurus selepas melahirkan anak. Mengapakah hal ini terjadi?


Tiada penjelasan tentang perkara itu. Malangnya ia telah diterima sebagai kebiasaan oleh semua penduduk Kota Unggu kecuali seorang. Surima, seorang saintis negara berusaha keras melakukan penyelidikan ke atas perkara ini. Beliau seorang genius melakukan banyak penyelidikan yang bertentangan dengan polisi kerajaan. Segala kajian dilakukan sendiri dengan bantuan Data, komputer yang diprogramkan sendiri oleh beliau.


Kerajaan Kota Unggu sebenarnya kerajaan yang mengamalkan pemerintahan yang telus dan jujur namun sejak beberapa abad kebelakangan ini pucuk pimpinan menghadapi krisis dalaman ekoran ketidakpuasan hati Amar-amar di dalam organisasi (Amar ialah gelaran bagi mereka yang memegang jawatan di dalam majlis tertinggi negara).


Keadaan bertambah buruk apabila berlaku banjir besar di Kota Unggu. Mujurlah sistem apungan mereka aktif dan dapat menyelamatkan sebahagian besar penduduk. Namun, perkara ini menimbulkan kekecohan di kalangan rakyat. Bagaimana empangan yang dibina dengan segala kecanggihan boleh pecah? Belum pun surut kes empangan pecah berlaku pula kes penemuan buaya. Seumur hidup mereka tidak pernah melihat buaya. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak mengenal tanah, lumpur, haiwan, dan makanan segar seperti sayur-sayuran kerana makanan mereka adalah daripada makanan sintetik dan bumi mereka telah dipasang gentian menggantikan tanah. Malah, lautan mereka juga kosong daripada ikan dan hidupan laut.


Banyak konflik yang berlaku dalam beberapa minggu ini yang melibatkan Amar Utama, Amar Impi, Mahadin (Amar Enam), Profesor Fatha, dan kejadian yang ditimbulkan oleh keturunan Saintis Melanaz. Klimaks kepada konflik ini ialah percubaan membunuh Surima dengan gas beracun menyebabkan beliau koma. Segala rahsia dan cara pengendalian Data diserahkan kepada abangnya, Narzuha. Narzuha meminta bantuan Fatha bagi membantunya meneruskan penyelidikan Surima.


Kajian Surima mendapati rahim perempuan di dunia mereka berbeza dengan rahim manusia Zaman Tamadun Baru. Apa yang mengejutkan ialah rahim perempuan di zaman mereka seolah-olah 'disalin' daripada rahim buaya! Bagaimana hal ini boleh terjadi?


Membaca buku ini membuatkan saya berfikir betapa buruknya kesan taklid. Taklid ialah mengikut sesuatu secara membabi buta. Bagaimana mungkin semua penduduk Kota Unggu boleh menerima perkara-perkara yang tidak masuk akal sebagai satu tradisi dan kebiasaan?


Hanya dengan ilmu dan pemikiran yang tajam mampu memandu kita kepada kehidupan yang lebih baik. Untuk berubah kita perlu berani mencuba dan menanggung risiko. Bukankah itu salah satu prinsip kejayaan? Tetapi jika pandai sekalipun namun tiada akhlak tetap tidak berguna juga.


Selain itu, jika terlalu banyak polisi mahupun undang-undang yang menyekat kebebasan berfikir rakyat juga boleh menyebabkan kemunduran intelek. Alangkah ruginya sekiranya sesuatu kajian baru tidak boleh dilaksanakan lantaran kepentingan politik mahupun peribadi sesetengah pemimpin.


Buku ini saya beri 3.5 *. Bukan kerana jalan ceritanya membosankan tetapi saya sahaja yang lambat memahami cerita ini :D


Ahad, 1 Ogos 2010

Diari Sufi

Judul buku : Diari Sufi
Penulis : Siti Munazakiah
Penerbit : Must Read Sdn Bhd (November 2009)
Harga : RM 15.90
Tarikh baca : 27 Julai 2010
Sumber : Pinjam dari Khairun


Setiap hari Allah mentakdirkan sesuatu yang lain buat kita. Andai dibuat catatan tidak akan mampu untuk kita rakamkan semua perkara yang terjadi. Setiap yang berlaku ke atas kita sama ada sedih, gembira, terkejut, mahu pun kecewa pasti akan dirasai. Maka doalah yang menjadi senjata kekuatan kita dalam meniti dugaan yang Allah berikan. Namun, doa seringkali juga dipandang remeh.

Buku ini berbentuk diari yang dinamakan Sufi. Namun, saya menghadapi masalah ketika membaca buku ini. Meskipun saya membaca terus-menerus sehingga beberapa jam (berhenti rehat untuk mengajar 2 kelas dan berhenti makan waktu rehat) saya masih tidak mendapat klu apa yang menarik. Maaf saya katakan bahasanya terlalu berbunga-bunga dan agak meleret di beberapa bahagian.

Tetapi saya cuba memahami bahawa buku ini berkisahkan penulis yang meluahkan perasaannya di dalam diari. Jadi sudah pastilah bahasanya sebegini. Namun ianya sesuatu yang baik apabila penulis memasukkan doa-doa yang berkaitan dengan peristiwa yang berlaku kepadanya sehari-hari. Contohnya doa memudahkan urusan tatkala dirinya dihimpit kekangan waktu, doa apabila ditimpa musibah apabila berlaku kecurian barang di pejabatnya dan doa apabila kesedihan.