Bismillahirrahmanirrahim.
Judul buku : Ilmu Kehidupan
Penulis : Mohd Zaini Ariff, Sabtu M Ali, Roza Roslan, Muhd Kamil Ibrahim dan Noor Azma Mohamad Khassim
Penerbit : Galeri Ilmu
Lima penulis, lima cara penulisan namun berkongsi matlamat yang sama. Mencari redha Allah. Setiap kata-kata terus menusuk ke hati. Terasa ketulusan mereka menyampaikan tazkirah dan perkongsian ilmu.
Dunia ini ibarat kunci besar. Manusia harus merebut sifir 5 yang telah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam pesankan - rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara.
Sangat terkesan dengan bab Hadis dan amalan yang ditulis oleh Prof Kamil. Saya kira beliau boleh menulis sebuah buku lain khusus untuk tajuk ini kerana kupasan beliau amat mudah difahami. Di dalam bab ini, beliau berkongsi pengalaman mengamalkan perkara yang dibaca di dalam hadis dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Antaranya mengenai puasa Nabi Daud.
"Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepada-Ku, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan dan Aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan Aku tidak menutup kemiskinanmu." ( Hadis riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah) 😢
Misalnya huraian hadis ini memberi kefahaman kepada saya :
Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka 7 tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur sepuluh tahun. (Hadis riwayat Abu Dawud)
Ada empat komponen utama meresap ke jiwa :
1. Kepentingan solat dalam kehidupan manusia.
2. Mendidik anak biarlah bermula dari usia yang mudah dibentuk.
3. Mendidik anak-anak perlu dilakukan dengan cara pujukan, teladan dan doa.
4. Ia perlu diamalkan dalam segenap proses mendidik anak-anak.
Begitu juga dengan hadis ini :
Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau beliau diam. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
- Ia bukan soal pilihan semata-mata.
- Berkata baik adalah pilihan yang lebih menarik, kuat, perlu dan lebih mulia daripada berdiam diri.
- Diam diri - pilihan orang lemah atau pentingkan diri sendiri.
Prof Kamil turut menyusun perkara "baik-baik" yang ingin dikatakan :
- Bersihkan hati
- Ajak orang solat (sebelum ajak orang, sendiri perlu bersungguh buat amalan ini)
- Ajak orang puasa Isnin Khamis, membaca al-Quran dan terjemahan sekurang-kurangnya satu muka surat sehari
Tulisan Pn Noor Azma juga mengusik jiwa. Hakikatnya manusia dijadikan untuk mencintai Allah. Ujian yang diberi untuk kita sentiasa kembali kepada Allah. Usia muda pasti berlalu. Tiada kos mampu dibelanjakan untuk mengekalkannya. Penawarnya? Belanjakan usia muda itu ke jalan Allah dengan bekerja untuk agama Allah dan menambah ikmu dan buat kebaikan sebanyak-banyaknya. Allah..Allah..
Tip penyusuan juga ada 😉 Ketenangan ibu dan rasa redha yang tinggi akan menjadikan penyusuan susu ibu sebagai kegiatan yang menggembirakan antara ibu dan anak. Insya Allah.
Terakhir, kata-kata Prof Kamil ini sedikit sebanyak memberi kekuatan di kala hadapi masalah :
"Pengalaman saya mengajar sesuatu
Kita tidak perlu 'khuatir amat' apabila orang tidak berpuas hati dengan kita. Amati, pertimbangkan, lakukan pembetulan jika perlu dan teruskan kehidupan dengan bersandarkan semata-mata kerana Allah.
Kita perlu banyak berdoa, solat, bermunajat dan berbicara dengan-Nya agar Allah beri jalan penyelesaian dan menjadikan hati tenang. Dugaan dan ujian seumpama ini boleh menyebabkan kita makin hampir dengan-Nya."
Wallahualam.