Isnin, 28 Mac 2011

Seuntai Kasih Secebis Harapan


Telah lama buku ini saya beli. Terlupa saya di PBAKL 2007 atau 2008. Beli dari penulis ini sendiri. Kebetulan bertembung dengan beliau di booth ITNM.

Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan membeli koleksi gurindam ini. Sudah lama tidak membaca mahupun mengarang puisi, sajak, pantun mahupun gurindam.

Oh, saya rasa bersemangat pula baca gurindam ini. Boleh jadi motivasi. Paling saya suka gurindam Zero Defect. Antara isinya :

Buatlah kerja sungguh-sungguh,
Jangan suka tangguh-tangguh.

Tugas diberi biar sempurna,
Tanpa salah di mana-mana.

Panjang lagi, rasa tak rajin pula nak menaip :D

Umairah dan Kuda Putih

Wah, nampaknya saya sudah jadi peminat Kusyi Hirdan :) Banyak karyanya untuk kanak-kanak dan remaja. Ada juga untuk dewasa. Oh OK saya nak reviu buku ini.

~~~~~

Umairah, si gadis kecil yang kesunyian lantaran ibunya yang hilang ingatan dan membisukan diri sejak 2 tahun yang lalu tidak pernah peduli apa yang berlaku di sekeliling. Ayahnya juga seolah-olah tidak menghiraukan anaknya ini. Hanya kepada nenek sahaja Umairah dapat menumpang kasih. Semuanya terjadi apabila adik Umairah yang baru 2 minggu dilahirkan meninggal dunia akibat demam kuning.

Setiap hari Umairah akan berbasikal ke rumah nenek untuk mengambil lauk lalu dibawa pulang dan disuapkan makan ibunya. Kemudian dia akan ke ladang pula bagi menghantar makanan kepada ayahnya. Memang penat tetapi Umairah suka kerana aktiviti itu akan menyibukkan dirinya dan tidak begitu terasa perkara sedih yang melanda dirinya.

Suatu hari, seekor anak kuda putih dilahirkan di ladang Datuk Merah. Umairah dapat menyaksikan kelahiran itu. Dan yang paling tidak disangka, dia boleh mendengar dan berkomunikasi dengan kuda kecil itu! Menakjubkan. Subhanallah, itu anugerah Tuhan yang istimewa buat Umairah.

Pada awalnya, Umairah merahsiakan perkara itu namun lama-kelamaan dia perlu mencari seseorang untuk mendengar 'masalah'nya ini. Nenek dipilih untuk mendengar ceritanya namun seperti biasa, nenek menganggapnya sebagai bermimpi sahaja. Sudah tentu Umairah kecewa kerana tiada orang mempercayainya.

Lama-kelamaan perangai pelik Umairah ini dapat dihidu oleh Hamdan, seorang lelaki yang selau sahaja mencari jalan untuk memburukkan keluarga Umairah, entah apa yang didendamkan dengan keluarga Umairah. Apalagi dicanang satu kampung akan perial itu.

Lagilah budak-budak kampung lebih giat mengejek dan menghina Umairah. Namun Umairah tetap bersabar.

Banyak lagi konflik yang berlaku. Kasihan Umairah..

Ibu Dibelai, Anak Dibuai


Buku ini sangat sesuai untuk bakal ibu bapa khususnya yang menanti kelahiran anak pertama. Setiap peringkat dan keadaan semasa mengandung dinyatakan dengan jelas dan mudah difahami.

Saya suka dengan saiz tulisannya yang besar dan setiap bab yang pendek tetapi padat dengan informasi.

Bermula dari tanda-tanda mengandung sehinggalah kepada peringkat-peringkat kehamilan, rawatan selepas kelahiran, penjagaan selepas bersalin, penjagaan bayi, bagaimana menyusukan bayi apabila ibu mula bekerja, perancangan keluarga dan banyak lagi.

Karikatur yang ada sebagai pembuka setiap bab juga mengundang senyum.

Karipap-karipap Cinta


Judul buku : Karipap-karipap Cinta
Penulis : Nazri M. Annuar
Penerbit : PTS
Harga : RM14.00

Jangan berbohong, kelak diri sendiri juga yang merana.

Bila hati sudah suka,lautan api juga sanggup direnangi (heh, boleh percaya ke?).

Kisah Ali yang jatuh cinta dengan Sarah, seorang editor Komik-M yang juga lulusan al-Azhar.

Bukan calang-calang orang Sarah ini. Handal bersilat dan mahir buat karipap.

Entah bagaimana Ali tersilap langkah. Dia berbohong mengatakan dia juga lulusan al-Azhar. Sudah terlanjur kata, tidak boleh ditarik semula.

Bermulalah konflik satu demi satu. Kisah Ali dan jirannya, Asha juga menggelikan hati.

Oh ya, sehingga satu tahap Ali terpaksa belajar membuat karipap bagi memenangi hati Sarah semula selepas 1 tragedi yang melibatkan keluarga Sarah :)