Khamis, 18 Jun 2009

7 Formula Individu Cemerlang (4)

Formula 1 : Kenali Kehebatan dan Potensi Diri


Formula 4 : Hidup Bermatlamat dan Berwawasan

Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam adalah orang yang paling berjaya melaksanakan visinya. Para sahabat Baginda juga turut berkongsi visi yang sama. Oleh sebab itu, selepas kewafatan Baginda, semangat mereka tidak pernah luntur malah semakin bersemarak kerana yakin akan janji Allah dan Rasul-Nya.

Untuk mendapat kejayaan di dalam hidup, nyatakan visi secara jelas dan berwawasan. Sediakan gol dalam hidup. Gol hidup sangat penting kerana kita tahu ke mana tujuan kita akhirnya. Seperti mana pentingnya gol dalam permainan bola sepak begitu juga dalam kehidupan. Permainan bola sepak takkan bermakna tanpa adanya gol. Antara matlamat gol yang perlu dicapai oleh seseorang dalam hidup ialah :

1) Mental

Bagi mencapai kecemerlangan mental, kita perlulah mendalami ilmu terutamanya ilmu agama. Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan diberi kepadanya kefahaman agama.” (Hadith riwayat Bukhari).

2) Agama

“Ada tiga perkara sesiapa yang memilikinya dia memiliki kemanisan iman iaitu Allah dan Rasul lebih dikasihi dari selainnya, dia mengasihi seseorang kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci untuk dihumban masuk ke dalam api neraka.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

3) Kesihatan

“Sesungguhnya dalam diri anak Adam terdapat seketul daging jika baik daging ini akan baiklah seluruh jasad dan jika keji daging ini akan kejilah seluruh jasad. Ketahuilah daging itu ialah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain itu, pengharaman arak sangat menepati bagi menjamin kesihatan seseorang itu. Telah dinyatakan mengenai arak di dalam formula sebelum ini.

4) Keluarga

Dalam membina keluarga yang harmoni dan menepati syariat Islam, pemilihan pasangan amat dititikberatkan di dalam Islam. Pilihlah pasangan yang soleh dan solehah. “Pilihlah (wanita) dari kalangan yang baik agamanya kamu akan selamat.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim). Untuk lelaki pun sama, “Jika (lelaki) yang datang meminang itu seorang yang kamu redai agama dan akhlaknya (terimalah) dan kahwinkanlah dia.” (Hadith riwayat Tirmizi).

Jika dilihat pada masa sekarang, kebanyakan institusi kekeluargaan yang dibina hancur dan rapuh. Banyak keluarga yang porak-peranda dan bercerai-berai. Hal ini memberi kesan yang negatif kepada anak-anak, pasangan itu sendiri dan orang-orang di sekelilingnya. Mengapakah hal ini berlaku? Salah satunya ialah disebabkan oleh pemilihan pasangan.

Dan hasil pemerhatian dan kajian, saya dapati kebanyakan keluarga bermasalah kerana SOLAT diabaikan. Ayah dan ibu tidak menitik beratkan solat, anak-anak juga cuai menunaikannya, maka berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini. Sedangkan solat adalah tiang agama! Wahai para ibu bapa di luar sana, janganlah meninggalkan solat. Ajarilah anak-anak akan solat. Ingatkanlah mereka selalu. Semoga Allah memberi rahmat-Nya kepada kita semua.

5) Kewangan

Islam membenci orang yang pemalas. Di dalam Islam, penganutnya digalakkan bersifat rajin. “Tidak ada makanan yang lebih baik daripada makanan yang diperolehi daripada hasil kerja tangan sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud memakan makanan daripada hasil kerja tangan sendiri.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Ahmad).

Saya teringat buku Catatan Hati Nik Nur Madihah yang saya baca. Ayahnya seorang nelayan tetapi ayahnya merasa senang dengan pekerjaan tersebut. Katanya itulah pekerjaan yang paling halal dirasakannya kerana dia tidak bekerja makan gaji sebaliknya menggunakan tenaga sendiri mencari hasil tangkapan ikan di laut. Masya Allah. Sebab itulah anaknya boleh berjaya dengan cemerlang dan solehah. Kita dapat lihat bahawa punca rezeki juga boleh mempengaruhi perwatakan anak-anak dan sikap seseorang. Maka berhati-hatilah ketika mencari rezeki. Jangan terlibat dengan perkara-perkara yang haram dan menjauhi perkara syubhah.

6) Kerjaya

Mampu dan amanah ialah dua perkara penting yang dapat menjamin kejayaan dalam kerjaya. “Sesungguhnya orang yang terbaik ialah yang kamu ambil menjadi pekerja soleh dan yang gagah yang amanah.” (Surah al-Qasas : ayat 26).

Telah diceritakan di dalam Tarikh at-Tabari Jilid 4, halaman 16. Pada satu ketika tentera Islam dapat menakluk ibu kota empayar Parsi iaitu Madain, ada seorang lelaki Islam yang datang memulangkan kotak seorang lelaki Parsi yang bukan Islam dan masyarakat bukan Islam ketika itu berasa pelik dengan perangainya kerana mereka belum pernah menjumpai orang seperti itu. Mereka bertanya siapakah lelaki itu tetapi beliau enggan memberitahu namanya kerana baginya pujian itu hanya selayaknya untuk Allah. Lelaki itu juga mengatakan jika tidak kerana takutkan Allah, pasti barang ini tidak dikembalikan. Masyarakat Parsi bukan Islam sangat kagum akan keperibadian luar biasa lelaki itu. Setelah diselidiki, barulah mereka tahu lelaki tadi ialah Amir bin Abdul Qais.

7) Kemasyarakatan

Sentiasalah tolong-menolong antara satu sama lain dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan jiran tetangga. Mewujudkan suasana yang harmonis dan bersangka baik.

~~

Selain itu, mengambil contoh Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam yang mempunyai matlamat yang realistik dan spesifik. Baginda menubuhkan Negara Islam Madinah dengan mementingkan lima aspek iaitu :

1) Tempat yang strategik.

Madinah dikatakan tempat yang strategic kerana kota ini dikelilingi oleh gunung-ganang dan lembn=ah kurma di bahagian timur dan barat dan hanya satu bahagian terbuka iaitu di utara kota. Maka musuh akan menghadapi kesukaran untuk memasuki kota ini.

2) Dakwah dan pendidikan berterusan.

Semasa penindasan berlaku terhadap umat Islam di Mekah selama 13 tahun, baginda tidak melawan dengan kekerasan tetapi sebaliknya menumpukan kepada aspek dakwah dan pendidikan. Contohnya Al-Arqam bin Abi Al-Arqam yang menjadikan rumahnya sebagai pusat Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam menyebarkan ilmu dan dakwah.

3) Pendukung dan pejuang yang komited.

Setelah iman dipasak dengan kukuh di dalam diri, para sahabat dan umat Islam mempunyai semangat juang yang tinggi dan mereka tidak gentar menghadapi musuh. Mereka juga merupakan orang yang paling lembut, ramah, dan baik kepada semua orang.

4) Penggunaan sumber tenaga manusia secara efektif.

Hal ini dapat dilihat di dalam Perjanjian Aqabah pertama di antara 12 orang penduduk Yathrib dengan baginda Solallahu ‘Alaihi Wasallam. Di mana Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam mengutuskan Mus’ab bin Umair sebagai pengajar mereka di sana. Hasil dakwah Mus’ab berjaya da beberapa tokoh penting Yathrib memeluk Islam. Perkara ini mendorong penduduk yang lain untuk turut memeluk Islam.

Berlakulah Perjanjian Aqabah kedua yang disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dengan Baginda Solallahu ‘Alaihi Wasallam. Selepas itu, Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam menghantar 12 orang naqib untuk membantu penduduk-penduduk Madinah.

5) Persaudaraan Islam.

Perkara ini dapat dilihat apabila Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar.

Maka dapat disimpulkan bahawa Rasulullah Solallahu ‘Alaihi Wasallam adalah seorang perancang yang strategik. Antara langkah-langkah perancangan yang strategik ialah :

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan