Sabtu, 25 Disember 2010
Bila Anak-anak Bertanya Tentang Allah & Alam Ghaib
Judul buku : Bila Anak-anak Bertanya Tentang Allah & Alam Ghaib. Inilah 48 jawapannya...
Penulis : Muhammad Muhyidin
Penerbit : Rijal Media Sdn Bhd
Harga : RM16.00
Sumber : Beli di Popular Jaya Jusco, Ayer Keroh, Melaka
Sumber gambar : Goodreads
Anak-anak kini semakin bijak dan petah. Malah, soalan yang dilontarkan terkadang membuat kita terpempam. Hadirnya buku ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa khususnya dalam memberi jawapan kepada kemusykilan anak-anak.
Pada mulanya saya agak lambat membaca buku ini kerana saya rasakan hujah yang digunakan tinggi. Tetapi apabila dilihat semula,ianya tidaklah memeningkan kepala.
Saya sukakan analogi yang digunapakai oleh penulis.Sekurang-kurangnya dapat membuka fikiran saya yang seringkali buntu apabila bertemu dengan soalan-soalan begini. Malah setiap hujah disokong oleh ayat Quran dan terdapat nota untuk ibu bapa dari penulis di akhir setiap hujah.
Bara Cinta Canberra
Judul buku : Bara Cinta Canberra
Penulis : Ilham Hamdani
Penerbit : PTS
Harga : RM21.50
Sumber : Popular Kuantan
Sumber gambar : Goodreads
Kali ini Ilham Hamdani membawa pembaca ke bumi Canberra. Bersama Ikmal Hakimi, banyak sekali sisi hidup Hakimi yang boleh diambil pengajaran. Saya suka sekali dengan gaya bahasa penulis. Meskipun saya rasa tidak layak untuk mengulas hasil karyanya. Saya anggapkan sahaja tulisan saya ini sekadar mengingat kembali apa yang dibaca.
Ikmal Hakimi, seorang lulusan kejuruteraan dari The Australian National University (ANU) yang kini bekerja di kedutaan Malaysia di Canberra. Terkandas setahun sewaktu pengajiannya akibat masalah teknikal di mana namanya keciciran sedangkan dia telah mendaftar. Namun atas bantuan pihak berkenaan di situ dapatlah Hakimi menamatkan pengajiannya walaupun dia begitu marah dan kecewa dengan pihak universiti yang tidak mempedulikan rayuannya. Keputusannya yang cemerlang selama pengajian di situ tidak juga melembutkan hati pihak universiti menimbang kemasukannya pada semester tersebut.
Ditambah pula dengan penghinaan yang diterima dari papa kekasihnya menyebabkan Hakimi semakin tidak senang hati lalu membuat keputusan nekad kembali ke bumi Canberra. Adakah kerana sebal tidak berjaya dalam berpuluh-puluh temuduga di Malaysia atau marahkan papa Nia Suraya? Entahlah, itu alasan sahaja baginya untuk 'melarikan' diri ke sana.
Kegemarannya dengan kamera dan fotografi sedikit sebanyak membuat saya teruja kerana ini merupakan pengetahuan baru buat saya :) Segala macam jenis kamera yang disebut membuatkan saya bertanya kepada 'Pakcik Google' jenis-jenis kamera tersebut ;)
Perkenalannya dengan Makcik Marwa dan Izzudin al-Qassam yang berasal dari Palestin benar-benar menggugah jiwanya. Hakimi pernah tersungkur akibat terputusnya kasihnya dengan Nia Suraya maka dia meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain dan itu menjadi tiket baginya melakukan maksiat. Berpeleseran di hujung minggu, meminum arak, meninggalkan solat..ah, terlalu pahit untuk dikenangnya.
Melalui dua insan istimewa ini Hakimi kembali menjejak dirinya yang dahulu malah semakin bertambah baik. Nasihat-nasihat Makcik Marwa dan kecekalan Izzudin al-Qassam membuatkan dia malu dan bersemangat dalam mengubah diri menjadi lebih baik. Bagaimana Izzudin yang lumpuh serta buta mata kiri dapat memberi sumbangan kepada Islam hanya dengan menggunakan alam maya untuk mengajar anak-anak muridnya di serata dunia, memberi kuliah secara maya kepada pelajar-pelajarnya dan sentiasa menggali khazanah ilmu para ilmuwan dan ulama terdahulu lalu disampaikan di dalam blognya menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami.
Hakimi semakin melazimi qiamullail dan solat berjemaah. Dia yakin akan janji-janji Allah yang sentiasa memaafkan kesalahan hamba-hamba-Nya.
Dalam pada itu tidak kurang juga konflik yang melanda dirinya. Kehadiran diplomat baru yang datang berkursus ke Canberra membuatkan dia terpempam. Nia Suraya, PTD yang baru dihantar berkursus di sini yang akhirnya terlibat dalam satu kes yang mengancam nyawanya secara halus ingin menyambung kembali hubungan mereka dahulu. Namun Melissa juga tidak boleh diendahkan. Bukan hanya gadis itu yang berharap malah ibu dan abangnya telah terang-terangan menyatakan hasrat bahawa Hakimi sahajalah yang sesuai untuk Melissa. Siapakah yang dipilih Hakimi?.
Kes Nia Suraya walaupun sangat berat tetapi saya kira ia tidak begitu menonjol di dalam buku ini. Memang kronologi cerita itu ada tetapi mungkin saya lebih berharap agar nampak unsur saspen atau thriller di sini. (Agaknya saya ini banyak terpengaruh dengan buku thriller yang lain. Heh...)
Secara keseluruhan saya beri 4.5 * untuk buku ini. Sangat menarik dan bermaklumat. Oh ya, saya suka juga dengan penggunaan 'daku' dan 'dikau' oleh Nia dan Hakimi. Unik.
Sabtu, 4 Disember 2010
Mengapa Aku Jadi Pengetua?
Judul buku : Mengapa Aku Jadi Pengetua? #1
Penulis : Kusyi Hirdan
Penerbit : PTS One Sdn Bhd
Harga : RM18.90
Bil muka surat : 336
Sumber buku : Beli di Popular Jusco Melaka
Sumber gambar : Goodreads
Izaz Noraini, gadis yang biasa-biasa sahaja tetapi dalam sekelip mata berubah status menjadi pengetua sebuah kolej swasta yang paling elit. Semuanya gara-gara memenuhi wasiat arwah kakak iparnya dan menggantikan tempat abangnya yang menghilangkan diri buat sementara waktu (mungkin juga untuk selama-lamanya). Banyak insiden menarik yang berlaku bermula dari hari pertama bekerja sehinggalah tamat 2 semester persekolahan. Kolej Elita ialah sebuah kolej swasta yang berprestij di mana para ...more Izaz Noraini, gadis yang biasa-biasa sahaja tetapi dalam sekelip mata berubah status menjadi pengetua sebuah kolej swasta yang paling elit. Semuanya gara-gara memenuhi wasiat arwah kakak iparnya dan menggantikan tempat abangnya yang menghilangkan diri buat sementara waktu (mungkin juga untuk selama-lamanya). Banyak insiden menarik yang berlaku bermula dari hari pertama bekerja sehinggalah tamat 2 semester persekolahan. Kolej Elita ialah sebuah kolej swasta yang berprestij di mana para pelajarnya terdiri dari anak orang kaya dengan membayar RM20 000 untuk 1 semester. Izaz Noraini, sungguhpun hanya lepasan diploma tetapi dia seorang yang tegas, waja diri, dan memiliki banyak kelebihan. Walaupun dia menerima tugasan ini dengan separuh hati kerana dia mempunyai cita-cia untuk menyambung pelajaran tetapi dia tetap menjalankan tugas dengan cemerlang. Banyak perubahan di buat di Kolej Elita antaranya memanggil Loli (pembantu kanannya - lelaki lembut) dengan nama asal, Encik Ali (oh, mengamuk Loli), tiada lagi "live band" malam Jumaat, menangani masalah sikap guru-guru dan pelajar-pelajar termasuk Zara si samseng Kolej, mewujudkan kelas agama dan menggunakan pendekatan psikologi dalam menangani masalah. Saya asyik ketawa sahaja membaca buku ini. Nampaknya Kusyi Hirdan sudah menjadi penulis kegemaran saya. Buku dalam diri ini akan saya cari selepas ini :) | |
|
Langgan:
Catatan (Atom)