Sabtu, 31 Oktober 2009

Selagi Masih Muda - Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Berharga


Resensi akan menyusul insya Allah...

Aku Bukan Superstar


Judul buku : Aku Bukan Superstar
Penulis : Lily Haslina Nasir
Penerbit : PTS One
Harga : RM 17.90
Bilangan muka surat : 367
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Mai)
Tarikh baca : 22 – 23 Oktober 2009
Tahun terbit : 2009

Sempat lagi saya menghabiskan buku ini walaupun ketika itu berada di dalam study week. Minggu berikutnya saya akan menghadapi peperiksaan akhir semester 8 sekaligus peperiksaan penamat sebelum saya bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Keguruan (Pendidikan Khas).

Aku Bukan Superstar mengisahkan seorang anak FELDA Sungai Mas yang polos dengan hobinya yang suka menyanyi. Pekerjaan asalnya ialah guru KAFA FELDA Sungai Mas. Namun dengan sekadar suka-suka, dia mendaftarkan diri untuk menyertai sebuah program realiti TV, Institut Fantasi. Dia disokong kuat oleh dua orang sahabat baiknya, Zul dan Rinn. Mereka berdualah yang begitu beria-ia menolong Aril sejak dari mula hinggalah Aril berjaya memasuki program realiti tersebut.

Berita mengenai Aril menghadiri uji bakat di Johor Bahru itu heboh diperkatakan di kampungnya. Guru-guru di tempat Aril mengajar tidak kurang mencemuh tindakan Aril ke program tersebut. Yalah, bagaimana seorang 'ustaz' boleh memasuki pertandingan menyanyi yang secara jelas bercampur gaul pergaulannya dan perlu 'terkinja-kinja' menari di atas pentas. Begitulah antara sindiran yang didengari oleh Aril. Pakcik Rahman juga begitu anti dengan Aril sehingga sanggup memaki hamun dan mengungkit sejarah hitam keluarga Aril. Entah mengapa dan apa yang membuatkan Pakcik Rahman begitu mendendami keluarganya tidaklah Aril ketahui. Tetapi Aril tetap bersabar.

Tanpa disangka Aril mendapat tempat memasuki Institut Fantasi. Paling memeningkan kepalanya, ibunya tidak merestui pemergiannya ke IF. Tawaran mengikuti kursus bilal juga mempunyai tarikh yang sama dengan tarikh pendaftaran IF! Wah, macam mana ni? Susah hati Aril memikirkannya. Dua orang kawan baiknya itu usah ditanyalah, sudah pasti menyokong 100% dia ke IF. Adiknya, Aisyah juga begitu gembira mendengar berita tersebut. Hanya Pak Ali, ayah Aril dan Kak Amnah sahaja yang mendiamkan diri.

Tibalah 12 Januari 2009, iaitu tarikh pendaftaran IF dan Kursus Bilal. Dengan menaiki van ayam Zul, Aril diikuti Rinn, Aisyah dan Marlia, adik Zul bertolak menuju ke destinasi. Semasa dalam perjalanan Aril tetap belum membuat keputusan akan ke mana. Aduh, pening kepala kawan-kawannya. Namun begitu, akhirnya mereka terus menuju ke Hotel Sheraton Subang.

Bermulalah kehidupan Aril sebagai pelajar IF. Bermula dengan tinggal serumah dengan rakan-rakan pelajar IF yang lain di sebuah banglo mewah yang dilengkapi dengan pelbagai keperluan dan kemudahan. Tetapi pergerakan mereka dikawal oleh kamera bernama Johnny yang berada di sudut-sudut tertentu di dalam bangunan itu. Di luar pula mereka dikawal oleh krew IF dari tujuh pagi sehingga tiga pagi bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar dan mengelak pencerobohan daripada paparazi dan mamarazi.

Sepanjang berada di IF, banyak juga tingkah laku Aril yang tidak menyenangkan seorang krew IF iaitu Nana dan tidak kurang banyak aksi melucukan. Sudahlah semasa ingin mencari rumahnya oleh krew IF bagi memberikan surat tawaran begitu payah, di hari pendaftaran juga Aril datang lambat. Pernah juga Aril mencuci bersih mekap yang telah disapu ke mukanya kerana ingin mengambil wuduk dan bersolat. Akibatnya, menyebabkan Nana hampir pengsan kerana marah dan terpaksalah Aril dimekapkan sekali lagi dengan cepat.

Aril sebenarnya telah tersingkir semasa konsert Prelude. Akan tetapi, disebabkan rating undian yang begitu tinggi di ruangan Chat TV6 dan komen-komen yang diterima IF menyebabkan Aril dipilih semula memasuki IF. Pelbagai ragam dan kerenah pelajar-pelajar dan tenaga pengajar IF yang terpaksa dihadapi oleh Aril. Aril cukup tidak suka apabila Lydia mendekatinya untuk mengajar tarian.

Hm.. seterusnya adalah sama seperti sebuah program realiti TV yang begitu popular di sebuah siaran TV berbayar yang ada di negara kita. Bezanya ialah pada kesudahan cerita ini. Seperti dijangka, Aril menjuarai pertandingan tersebut dengan hadiah yang lumayan. Namun begitu, tidak satu pun hadiah tersebut diambil untuk dirinya. Hadiah kereta mewah yang ditawarkan disedekahkan Aril ke sekolah KAFA FELDA Sungai Mas, wang sebanyak RM 30 000 pula diberikan kepada Pakcik Rahman bagi membiayai rawatan penyakit buah pinggangnya dan kontrak rakaman selama 3 tahun dihadiahkan kepada Lydia yang mendapat tempat ketiga kerana dia begitu meminati bidang nyanyian.

Bukan mudah untuk menjadi penyanyi tetapi begitu ramai yang bercita-cita besar ingin menjadi bintang. Mengapa ya? Kemewahan? Popular? Ingin membantu keluarga? Banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan. Seperti dalam cerita ini, sudah jelas ibu Aril, Mak Temah tidak merestui keinginan anaknya memasuki IF akan tetapi Aril tetap pergi dan menolak tawaran kursus bilal.

Hm.. jangan kita sesekali mengingkari kata-kata ibu kita yang tidak bertentangan dengan syariat Islam. Walaupun Aril digambarkan sebagai seorang anak yang baik, alim, rajin bersolat malam semasa di IF tetapi perasaan Mak Temah sepanjang anaknya berada di IF tidak boleh dipandang remeh. Hatinya sentiasa resah dan mengharapkan yang anaknya tidak menjadi seorang penyanyi.

Syabas kepada penulis kerana menulis karya sebegini yang tidak berat sebelah; tidak bias kepada satu bahagian sahaja. Lily Haslina Nasir tetap memasukkan unsur-unsur keagamaan. Walaupun semasa saya membaca buku ini saya membayangkan seorang artis yang menjadi kegilaan ramai hasil produk program realiti TV tetapi ianya tidaklah menjejaskan pembacaan saya sehingga tamat kisah.


Tapi....elaklah dari menjadi seorang penyanyi.......

Ahad, 18 Oktober 2009

Emilda Catatan Seorang Perindu


Emilda Catatan Seorang Perindu
Syalina Ahmad
PTS One
RM 14.50

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Buku ini mengisahkan mengenai pencarian agama yang benar oleh seorang gadis bernama Emilda. Emilda berumur 16 tahun dan merupakan anak sulung daripada dua beradik yang lahir dalam keluarga atheis iaitu tidak mempunyai kepercayaan beragama atau tidak percaya kewujudan Tuhan.

Namun begitu, hatinya tenang sekali mendengar alunan bacaan al-Quran oleh Acik Nor, pembantu rumahnya pada waktu awal pagi. Malah sesekali terdengar laungan azan melalui televisyen membuatkan hatinya resah memikirkan hamba siapakah dia ini?

Teman lelakinya, Hafiz seorang muslim tetapi selalu sahaja melakukan perkara yang bertentangan dengan agamanya. Soalan-soalan berkenaan Islam yang diajukan oleh Emilda tidak pernah dijawab dengan elok. "I am not a scholar", "Telefon sahaja pejabat agama", "Don't ask too many questions!", "Do I look like Pak Arab to you?". Itulah antara alasan-alasan Hafiz setiap kali dia bertanyakan tentang Islam.

Hendak bertanya kepada Acik, Nor, pengetahuannya sedikit. Tidak mampu dia menjawab semua pertanyaan Emilda. Tetapi pengetahuannya yang sedikit itulah kadang-kadang dapat membantu Emilda memahami perkara asas dalam Islam. Misalnya, kepercayaan orang Islam, kewajipan yang perlu ditunaikan seperti sembahyang 5 kali sehari dan berpuasa dan makanan yang halal dan haram dimakan oleh orang Islam.

Mujur Encik Melvin dan Puan Cindy terbuka dalam pemilihan kawan Emilda. Mereka tidak kisah Emilda berkawan dengan Hafiz walaupun dia seorang muslim.

Pada suatu hari, bapa saudara angkat Emilda datang berkunjung ke Malaysia. Uncle Justin ini adalah adik angkat bapanya dan Emilda dan adiknya, Shane telah menganggap Uncle Justin seperti bapa saudara sendiri. Uncle Justin memang diketahui Emilda seorang anti-Islam. Entah apa yang dibencikan sangat tidaklah Emilda ketahui.

Sudah lama kedua ibu bapa Emilda ingin bertemu dengan Hafiz untuk lebih mengenalinya. Kebetulan pada hari itu Uncle Justin turut berada di rumah, Hafiz datang menjemput Emilda untuk keluar menonton wayang. Mahu tidak mahu Hafiz terpaksa juga masuk menemui Encik Melvin dan Puan Cindy. Gayanya resah seperti orang yang ingin cepat pergi. Akhirnya selepas perbualan ringkas, Hafiz dan Emilda meminta diri untuk keluar. Encik Melvin dan Puan Cindy agak kurang senang dengan Hafiz.

Dalam masa yang sama, sahabat baik Emilda begitu beria-ia ingin memperkenalkan Emilda dengan anak makcik kafeteria di sekolah mereka. Katanya pemuda itu nampak lebih baik daripada Hafiz. Emilda dapat berkenalan dengan anak makcik itu secara kebetulan ketika dia pulang lewat dari sekolah kerana menyiapkan tugasan. Dia ingin mengalas perut di kafeteria.

Syahir, pemuda tersebut seorang yang tenang wajahnya dan baik. Dia mempunyai sebuah kedai buku agama yang dikongsi bersama rakan. Emilda sangat gembira dan mengambil peluang untuk bertanyakan tentang agama Islam dan membeli buku-buku berkaitan Islam. Syahir menghadiahkan senaskah tafsir al-Quran kepada Emilda. Dan terasa kecilnya dunia, Syahir dan Hafiz rupa-rupanya rakan semasa di sekolah rendah dahulu.

Dalam masa yang sama, Uncle Justin terpikat pula dengan Emilda. Emilda tidak senang hati. Tambahan lagi Uncle Justin anti-Islam dan juga tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Maka, sesuaikah Uncle Justin dengannya? Peristiwa di parti rumahnya di mana Uncle Justin menghidangkan arak untuk Syahir juga tidak dilupakan. Emilda terasa dihina. Mujur Syahir memahami.

Beberapa lama kemudian, Hafiz ditimpa kemalangan jalan raya. Sudah pasti akibat mabuk. Emilda melawat Hafiz di hospital dengan menumpang Syahir dan ibunya. Sebelum pulang, dia menghadiahkan sebuah bungkusan putih.

Hati Emilda semakin tenang dan dia semakin bersedia untuk meyakini dan mempercayai agama barunya ini, agama ISLAM.

Rabu, 14 Oktober 2009

Guru Arkitek Bangsa

Judul buku : Guru Arkitek Bangsa
Penulis : Mya Marja
Penerbit : PTS
Harga : RM 24.00
Baca pada : Januari 2009

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Membaca buku ini membuatkan saya tersenyum mengenangkan kembali waktu awal-awal dahulu menjejakkan kaki ke maktab perguruan. Cerita di dalam ini memang terasa dekat dengan saya. Sementelahan, saya sudah berada di tahun akhir di institut perguruan, sedikit sebanyak pengalaman Fuad di dalam buku ini memberi saya panduan dan sedikit gambaran apabila saya mula mengajar kelak :)

Pengalaman di maktab seperti di’ragging’, minggu orientasi, aktif dengan aktiviti & persatuan di maktab, menyiapkan tugasan yang berlambak, dan lain-lain lagi tak mungkin dapat dilupakan :) Tambahan lagi menjadi ‘batch’ perintis bakal guru lepasan ijazah sarjana muda pendidikan dari institut perguruan pasti memberi seribu makna kepada diri saya. Juga menjadi ‘batch’ pertama transisi maktab perguruan dinaik taraf kepada institut perguruan menjadi satu kebanggaan :)

Novel ini berkisar pengalaman Fuad sejak dari bangku sekolah rendah hinggalah dia berkhidmat sebagai seorang guru. Fuad merasa rendah diri dan kurang yakin dengan kemampuan dirinya menjadi seorang guru. Dia sering berkata dirinya seorang yang pendiam tetapi Fuad sebenarnya mempunyai banyak kelebihan yang mungkin tidak disedarinya. Dia seorang yang sangat kreatif, seni, bersungguh-sungguh, berani, amanah dan mempunyai bakat kepimpinan.

Hal ini terserlah apabila dia memasuki maktab perguruan. Lihat sahaja aktiviti-aktiviti dan kegiatan yang disertainya di maktab. Semua ini sebenarnya menyumbang kepada kerjayanya apabila dia mengajar kelak. Selain itu, Fuad juga berbakat dalam bidang penulisan. Malah pernah memenangi pertandingan menulis esei peringkat kebangsaan dan hadiah pertandingan itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia (",)

Kesungguhan Fuad wajar dicontohi. Dia kelihatan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Misalnya, dalam menyiapkan tugasan ekonomi rumah tangga seperti menjahit beg kanvas, memasak, dan membuat bahan bantu mengajar (BBM). Dia tidak memandang tugasan yang diberi pensyarah sekadar mendapatkan markah lulus atau cemerlang tetapi bahan-bahan itu kelak akan dapat digunakan ketika praktikum atau ketika mengajar nanti.

Pensyarah saya juga selalu menasihatkan perkara yang sama. Mereka berpesan supaya disediakan sebuah kotak besar yang mengandungi segala keperluan BBM supaya mudah di cari dan digunakan satu masa nanti. Boleh juga menjimatkan wang kerana bahan-bahan telah dibina sendiri. Pengalaman Fuad berhadapan dengan pelbagai ragam pensyarah juga ‘menghiburkan’. Begitulah ragam pensyarah, pelbagai. Ada yang boleh “tolerate” dengan pelajar, ada yang autokratik, dan ada yang mengambil berat.

Semasa menjalani praktikum, sememangnya guru pelatih perlu mendisiplinkan diri dari segi masa. Tetapi adakalanya kita tak dapat lari juga daripada perkara yang tidak dapat dielakkan. Seperti yang berlaku kepada Fuad apabila dia lambat sampai ke sekolah. Kedatangan pensyarah pembimbing secara mengejut untuk menilai P&Pnya adalah perkara di luar jangkaan. Malah, kejadian dia dan rakannya disaman polis juga tidak disangka. Tetapi, apa pun perkara itu seharusnya menjadi pengajaran buat dirinya juga supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan perlu menyediakan “back up plan”.

Saya kagum dengan semangat Fuad menjadi guru. Dia tetap rajin menyediakan BBM dan lembaran kerja walaupun sudah menjadi guru tetap. Fuad juga rajin menanda buku latihan murid dan seringkali membawa pulang buku-buku murid yang tidak habis ditanda. Tidak ramai guru yang boleh jadi serajin ini apabila menjadi guru tetap. Hal ini kerana, tugas guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas, tetapi guru terpaksa juga membuat tugas pengkeranian, mengurus aktiviti luar, menyertai kursus dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada pengurusan masa seseorang guru (",)

Banyak sumbangan yang diberi oleh Fuad antaranya ialah membina taman matematik (walau pun dia tidak dapat menyiapkannya), menjadi ketua panitia Pendidikan Seni, menjadi Pegawai Kejohanan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, jurulatih catur pasukan sekolah, mengajar darjah 6, pemeriksa kertas soalan dan sebagainya. Fuad juga berjaya melanjutkan pelajaran secara PJJ dengan USM.

Tertarik dengan kata-kata Fuad kepada bekas anak muridnya yang juga bakal guru, Fuarudin, “Cita-cita saya dahulu sudah berkubur. Namun sekarang cita-cita besar saya adalah mahu melihat anak bangsa yang saya didik itu bakal melakar landskap dan seni bina gemilang kemakmuran negara kita.” Semoga semua guru dapat menjadi arkitek bangsa yang cemerlang!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Al-fatihah buat seorang teman sekelas yang baru pulang ke rahmatullah (Allahyarham Mohd Jafni) pada 11 Oktober 2009 yang lepas akibat kemalangan jalan raya. Semoga Allah merahmati dan mengampuninya.

Kami semua terasa kehilangan ini. Mana tidaknya kami telah sekelas sejak zaman 'foundation' pada 2004. Tambahan lagi kami hanya tinggal lebih kurang 4 minggu sahaja untuk menghabiskan program sarjana muda perguruan ini (PISMP-OUM). Namun Allah lebih sayangkannya. Semoga ada ibrah dapat diambil daripada kejadian ini.

Konvo nanti tak cukup seoranglah.....

Sabtu, 3 Oktober 2009

Di Jalan Dakwah Aku Menikah


Judul buku : Di Jalan Dakwah Aku Menikah
Penulis : Cahyadi Takariawan
Penerbit : Era Intermedia
Baca pada : September 2009
Sumber : Pinjam dari adik

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Saya tidak berhenti membacanya. Tulisannya menarik minat saya. Bukan itu sahaja, apa yang dituliskan memberi makna kepada saya. Seringkali juga saya berhenti untuk muhasabah diri kembali. "Di jalan dakwah aku menikah" bererti perkahwinan ini sebagai medan untuk berdakwah, mempertingkatkan diri, membina baitul muslim seterusnya meluas lebarkan dakwah kepada orang lain...Maka perlunya kepada ilmu dan melihat kepada prosesnya..

Buku ini mempunyai beberapa bahagian dan setiap satunya diperkatakan dengan jelas dan mudah difahami disertai contoh-contoh yang senang dapat kita fahami. Juga terselit kisah-kisah benar di akhir bab yang memberi ibrah kepada kita. Buku ini sesuai sekali dibaca untuk bakal pengantin baru mahupun yang belum berniat untuk bernikah. Tidak lupa juga buat ibu bapa yang bakal mengahwinkan anak.

Dalam mencari jodoh, Islam telah memberi panduan berdasarkan hadis Nabi yang menyebutkan empat kriteria iaitu harta, kecantikan, keturunan dan agama maka pilihlah yang beragama. Jika kita memilih berdasarkan harta, ianya akan habis dan kita boleh menjadi papa, jika memilih kecantikan, ianya akan pudar juga satu hari nanti, jika memilih keturunan yang mulia satu masa nanti boleh jadi kehinaan yang menimpa, dan jika memilih agama, selamatlah semuanya INSYA ALLAH.

Penulis memberi panduan bagaimana cara yang sebaiknya untuk memilih pasangan, mengatur peminangan, mengadakan walimah, cara menyesuaikan diri dengan pasangan selepas nikah, hubungan dengan keluarga pasangan dan kehidupan selepas berkahwin. Banyak tip dan panduan dapat dikutip sepanjang pembacaan saya.

Dalam bab membuat walimah, perkara-perkara yang disenaraikan bagi saya lengkap dan memenuhi syariat. Antaranya tidak membezakan lauk-pauk di kalangan hadirin seperti mengasingkan lauk orang kaya dan orang miskin, hanya menjemput orang kaya sahaja datang ke majlis perkahwinan sedangkan orang miskin diabaikan. Hmm..saya terfikir, adakah hidangan "lauk pengantin" itu juga dikira masuk dalam membezakan hidangan antara para tetamu? Selain itu, mengasingkan tempat makan lelaki dan perempuan dan mengelakkan percampuran daripada berlaku.

Semoga pembaca yang membaca buku ini ramai yang mengikut nasihat yang diberikan oleh penulis. Alangkah bagusnya jika syariat dapat ditegakkan dalam adat masyarakat yang kadang-kadang jauh tersasar dari ketetapan syariat. Panduan hidup selepas pernikahan juga banyak memberi manfaat. Sifat toleransi dan memahami antara elemen penting dalam menyusuri bahtera rumah tangga. Membaca pengalaman kisah benar yang dipaparkan membuatkan kita dapat mengambil contoh untuk diaplikasikan. Wallahualam.