Jumaat, 18 Jun 2010

Denyut Kasih Medik



Novel ini saya capai ketika dalam keadaan bermalas-malasan di rumah. Elok juga mengisi masa lapang dengan membaca. Ada juga faedahnya. Saya tidak meletakkan apa-apa persepsi atau harapan sebelum membacanya. Maklumlah, orang sedang malas!

Helaian demi helaian semakin menarik minat saya. Boleh tahan juga doktor muda ini menulis. Ada sedikit nilai tambah di dalam bukunya. Selain cerita, penulis ada meletakkan info tambahan mengenai fakta perubatan, tip bagi ibu hamil, dan hukum-hakam berkaitan perubatan. Malah, saya sangat menghargai info mengenai hukum bagi ibu yang keguguran. Saya ingatkan jika keguguran, seseorang ibu tidak perlu solat sebagaimana orang bersalin. Rupa-rupanya ada 2 kategori.

Pertama, jika janin yang keguguran itu cukup sifat maka ibu tidak perlu solat.
Kedua, jika janin yang keguguran itu tidak menunjukkan sifat atau rupa maka ibu perlu solat seperti biasa. Darah yang keluar itu dikira darah istihadah.

Jazakallah Dr atas info ini!

Lagi satu saya lihat, peluang dakwah sebenarnya sangat luas dan ada di mana-mana. Cuma bergantung pada diri kita sahaja sama ada mahu menggunakan peluang itu atau tidak... Saya kagum dengan Dr Muslih (watak utama) yang begitu komited dalam menjalankan tugas sebagai doktor dan dalam masa yang sama melaksanakan amar makruf nahi munkar.

Apa pun saya mendapat banyak pengajaran dari novel ini. Semoga Allah memberkati usaha penulis.

Khamis, 3 Jun 2010

Yang Mana Dahulu?


Judul buku : Yang Mana Dahulu?
Penulis : Fauziah Halimah Rashid
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (Cetakan pertama 1987, cetakan kedua 1990)
Harga : RM 3.50


Buku ini untuk kanak-kanak sebenarnya. Tetapi saya sangat teruja apabila terpandangkan buku ini di perpustakaan sekolah. Terkenang semasa kecil dahulu sangat suka membaca buku kanak-kanak keluaran DBP kerana berwarna-warni.

Buku ini berdasarkan sebuah teka-teki Melayu tradisional. Ada seorang tua yang memikirkan jalan terbaik membawa seekor harimau, seekor kambing dan sebakul sirih menggunakan perahu kecilnya.

Saya juga tertanya-tanya. Siap boleh berhenti berfikir mencari penyelesaian barulah disambung bacaan! Walhal, buku ini mempunyai 16 muka surat sahaja :) Buku ini saya rasakan sangat sesuai dijadikan bacaan untuk kanak-kanak di bawah usia 6 tahun.

Tambahan lagi setiap muka surat ada ilustrasi yang boleh menggambarkan cerita ini. Kanak-kanak yang belum boleh membaca juga boleh diajak bercerita menggunakan gambar tersebut sahaja bagi memahami jalan cerita.

Dapatkah anda memikirkan jawapan kepada teka-teki ini? Aha...!

Selasa, 1 Jun 2010

Judul buku : Hulagu Khan Khabar Hitam dari Timur
Penerbit : PTS Litera
Harga : RM 24.00 / RM 27.00
Penulis ; Abdul Latip Talib.
Sumber gambar : PTS Litera


Saya tidak begitu mengenali siapa Hulagu Khan. Apabila PTS mengumumkan akan menerbitkan buku Novel Sejarah Islam Hulagu Khan ini saya mula mencari siapakah tokoh yang ditulis oleh Pak Latip. Pada mulanya agak keliru kerana Hulagu Khan bukanlah seorang Islam malah jauh sekali menjadi Tokoh Islam. Jadi, siapakah beliau sebenarnya?.

Rupa-rupanya Pak Latip mahu menceritakan tentang kejatuhan Kota Baghdad yang begitu mudah ke tangan musuh. Apabila wujud pengkhianat agama, bangsa dan negara akan musnahlah sesebuah negara.

Kejam sungguh Hulagu Khan dalam misi menjadi penakluk aqung seperti datuknya, Genghiz Khan. Semua musuh dibunuh tidak kira wanita, kanak-kanak dan orang tua. Tidak hanya setakat itu, wanita-wanita dijadikan pemuas nafsu dan negara yang ditakluk akan bermandi darah ekoran kekejaman Hulagu Khan dan tentera-tenteranya.

Itulah pentingnya sifat amanah dan jujur pada setiap pemimpin. Jika seseorang pemimpin itu tamak dan gila kuasa, akan berlaku kerosakan kepada negara. Jika melibatkan akidah, ia akan memusnahkan masyarakat dan umat. Saya teringat kepada kata-kata yang lebih kurang berbunyi begini : "Musuh tidak laju tetapi umat Islam yang perlahan". Allahuakbar!

Terasa bodohnya pemimpin yang sanggup menggadai negara hanya kerana pangkat dan harta yang hanya sedikit nilainya. Mungkin besar baginya tetapi apabila mata dan hati telah 'buta' dari melihat kebenaran, tiada apa yang dapat memberi kesedaran kepadanya.

Lagi resensi buku ini oleh saudara Muhd Shaari Ab Rahman dan saudari Welma La'anda. Mereka mengupas dengan lebih baik dan padat.


~~~~~~~~~~~~~~

Kini ditambah lagi dengan kejadian serangan Israel ke atas aktivis misi kemanusiaan ke Palestin sekarang. Tindakan mereka itu dikutuk keras. Tetapi sudah begitu sifat bangsanya. Lalu apa tindakan kita? Mari sama berdoa dan berusaha memboikot barangan yang berkaitan dengan Israel,,, Berapa ramai yang sedar dan mahu mengikutinya?... Peringatan ini untuk diri saya sendiri juga...