Isnin, 14 Julai 2014

Buku 35 : Aku Melayu di Kota Inggeris oleh Muhaimin Sulam

Bismillahirrahmanirrahim. 

Menelusuri catatan travelog penulis selama berada di Bumi Hamlet membawa kita ke horizon ilmu yang luas. Catatan perbandingan suasana di Swansea dan Malaysia mengandungi pelbagai isu merangkumi budaya, sosial dan politik.

"Merantau atau hidup bermusafir mengajar erti kehidupan yang sebenarnya. Kita bukan sahaja dapat mengenali tempat, budaya, adat resam dan pemikiran masyarakat asing. Tetapi kita juga dapat mengenali diri kita yang sebenarnya."

Kagum dengan beliau yang melanjutkan pelajaran menggunakan wang sendiri. Masya Allah.

Permulaan awal naskah ini menceritakan suasana di Swansea dan sekitar tempat pengajian beliau disamping membuat perbandingan secara rinci dengan keadaan di Malaysia. Misalnya sikap peramah dan suka memuji rakyat di sana berbanding orang Melayu yang cenderung bersikap kasar dan dengki.

Agak tertarik dengan petani di sana yang kreatif menjadikan ladang pertanian dan aktiviti penternakan sebagai salah satu sumber pendapatan atau sebagai tempat tumpuan orang ramai. Boleh makan buah-buahan secara percuma dan dikenakan sedikit bayaran jika mahu membawa pulang.

Acara demonstrasi turut diajar kepada kanak-kanak sekolah. Wah, sampai begitu sekali bidang pendidikan memberi peluang begitu kepada generasi mereka. Mereka diajar cara-cara berdemonstrasi kerana ia salah satu cara meningkatkan keyakinan diri dalam bersosial dengan masyarakat. Malahan masyarakat turut memberi respon yang positif.

Yalah, lain padang lain belalang. 

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

Namun kini kedua-duanya hujan batu! ^_^

*Bahagian yang tidak seronok ialah berlaku masalah cetakan pada buku ini. Muka surat 115-146 dicetak dua kali. Terus ke muka surat 179. Hilang sebahagian besar catatan Travelog 2 :'(

Tiada ulasan:

Catat Ulasan