

Umar + Khaulah ~hari pertama lahir
Khaulah ~ usia 3 minggu
Mohon doanya. Jazakallah ^_^


Umar + Khaulah ~hari pertama lahir
Khaulah ~ usia 3 minggu
Mohon doanya. Jazakallah ^_^
Banyak benar rasanya buku yang telah selesai dibaca namun tidak sempat dibuat ulasan. Tidak mengapalah saya hanya sentuh sedikit-sedikit sahaja :)


Judul buku : 11 Perkara yang Mencemari Kemurnian TauhidPenulis : Hafiz Firdaus Abdullah
Penerbit : Jahabersa (2006)
Harga : RM12.00
Tarikh baca : 10 -14 September 2010
Tauhid adalah perkara maha penting bagi seseorang Islam. Namun tanpa kita sedari kita banyak mencemari kemurnian tauhid itu. Penulis mengupas 11 perkara yang dirasakan banyak berlaku di dalam masyarakat Islam.
Ya, saya amat berterima kasih kepada penulis kerana menulis buku ini. Mengapa? Kerana apa yang dipandang biasa sebenarnya merupakan kesalahan besar dan tidak sepatutnya berlaku.
11 perkara itu ialah :
1) Menggelar alam ini sebagai ‘alam semula jadi’
2) Menganggap makhluk wujud melalui proses evolusi.
3) Menganggap kesatuan wujud antara Allah dan makhluk.
4) Berjumpa dengan bomoh.
5) Membaca Horoscopes.
6) Mempercayai sesuatu yang dapat membawa nasib yang baik atau buruk.
7) Menggunakan tangkal dan azimat.
8) Jampi-jampian yang tidak difahami.
9) Mengharapkan pengaruh makhluk dalam berdoa.
10) Mengubah syariat Allah.
11) Mencintai sesuatu sama atau lebih daripada Allah.
Di awal buku, penulis telah menerangkan mengapa disebut “pencemaran kemurnian tauhid”. Ini adalah berdasarkan ayat Quran dari surah an-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa pun."
Alam semula jadi
Ya, alam ini bukanlah terjadi secara semula jadi tetapi Allah yang mencipta segala-galanya. Maka penggunaan perkataan semula jadi adalah tidak tepat dan seharusnya digantikan termanya kepada alam ciptaan Allah.
Berjumpa bomoh
Dan saya akhirnya berjumpa dengan jawapan mengenai persoalan bomoh. Sebelum ini ada seorang rakan saya yang mengatakan dia berjumpa bomoh sebagai usaha untuk mengubati penyakitnya. Katanya lagi dia tidak percaya bomoh itu yang menyembuhkannya sebaliknya dia percaya Allah yang berkuasa menyembuh dan membaikkan sesuatu penyakit.
Walaupun saya berasa sedikit janggal ketika itu namun saya tiada hujah untuk diberikan kepadanya melainkan nasihat supaya tidak lagi pergi berjumpa dengan mana-mana bomoh kerana tidak diyakini cara pengubatannya. Apatah lagi jika si pengubat mendakwa dia boleh membuat pembedahan ghaib! Sungguh tidak masuk akal. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membuat pengubatan secara ghaib.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam.” (Hadis riwayat Muslim di dalam Shahihnya – hadis no 2230 (Kitab al-Salam, Bab larangan menilik nasib).
Saya petik beberapa sebab di sebalik larangan ini seperti yang disebut oleh penulis (muka surat 39-40) :
1. Pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah sahaja. Jika ada orang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib maka dia meletakkan diri sejajar dengan Allah.
2. Apabila seseorang muslim mengunjungi orang yang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib, bererti dia telah mengiktiraf orang itu. Sedangkan Rasulullah melarang kita bertemu dengan orang ini kecuali jika ingin menasihatinya.
3. Sekalipun pada awalnya pengunjung tidak mempercayai apa yang diperkatakan, akan tetapi dia akan mempercayainya kemudian jika khabar itu benar-benar terjadi. Ini akan mengakibatkan pengunjung akan membenarkan apa yang diperkatakan.
Melihat horoskop
Hal ini sama dengan melihat horoskop atau bintang. Asal usul horoskop ialah menggunakan bintang, planet dan matahari untuk meramalkan kebaikan atau keburukan. Sedangkan telah diketahui ilmu-ilmu ghaib tidak tersimpan di dalam benda-benda ini. Hanya Allah sahaja yang mempunyai kunci perbendaharaan ilmu ghaib.
Tidak terhad kepada ramalan bintang sahaja, malah mendakwa alur-alur di tangan dan gerak-geri di muka serta wajah seseorang yang dikatakan mempunyai maksud tertentu juga dikategorikan di bawah perkara ini.
Masya Allah. Semoga saya lebih berhati-hati dalam perbuatan dan perkataan selepas ini. Tauhid merupakan perkara besar dan mensyirikkan Allah merupakan dosa yang tidak terampun oleh Allah. Saya syorkan buku ini kepada anda untuk dibaca. Selamat membaca.
Judul buku : Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden
Penulis : Dr Danial Zainal Abidin
Penerbit : PTS
Sumber : Pinjam dari adik :)
Sumber gambar : Laman www.goodreads.com
Buku ini terbahagi kepada 15 bab yang dimulai dengan bab konsep perubatan Islam, Makanan Halal dan Berkhasiat, Senaman dan Kesihatan Fizikal, Menjauhi Bahaya Rokok, Menjauhi Bunyi Pencemaran, Menjauhi Bahaya Televisyen, Tidur adalah Ibadah, Seks yang Halal adalah Ibadah, Menangani Stres, Penemuan Saintifik pada Bahaya Babi, Penemuan Embriologi dan Quran, Penemuan Saintifik Rahsia Lalat, Berbekam Masih Relevan?, Adakah Klon Halal? Dan bab terakhir ialah Epilog.
Antara yang menarik perhatian saya ialah bahaya rokok. Sungguhpun telah diketahui umum bahawa rokok membahayakan kesihatan namun masih ramai lagi perokok tegar enggan meninggalkan tabiat buruk ini. Mengapa ya? Sedangkan di dalam rokok terdapat 4 000 jenis bahan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Apa tidaknya, orang yang tidak merokok tetapi terbau asapnya dari perokok menghadapi risiko penyakit dua kali ganda dari perokok.
Hadith riwayat at-Tabrani ada merekodkan bahawa Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin ataupun menipunya.” Asap rokok turut membahayakan bayi di dalam kandungan. Banyak kes kelahiran bayi pramatang dikaitkan dengan ibu yang perokok ataupun ibu yang hidup bersama pasangan perokok. Sudahlah kelahirannya pramatang, ditambah pula penyakit yang dihidapi oleh bayi itu kelak seperti kurang berat badan, sakit paru-paru dan asma.
Dalam bab yang lain banyak disentuh mengenai perkembangan bayi dan kanak-kanak. Apa yang dapat saya simpulkan ialah mengenai bahaya makanan ringan terhadap perkembangan otak dan kecerdasannya.
Jadi para ibu bapa kurangkanlah memberi makanan ringan kepada anak-anak. Biarpun hanya sebagai kudap-kudapan sahaja. Jika diajar tidak memakannya langsung pun boleh tetapi agak sukar rasanya ya. Sebab walau bagaimana cara sekalipun anak kita tetap akan tertarik dengan makanan ringan. Biasanya melalui iklan televisyen, papan-papan iklan, rakan sebaya, atau pemberian semasa kenduri kahwin atau juga diberi oleh orang lain kepada anak kita.
Mengikut kajian usia 0 hingga 2 tahun adalah waktu pesat perkembangan otak dan minda kanak-kanak. Oleh itu elakkan menyogok anak kita dengan televisyen bagi ‘mengawal ‘ mereka. Kadang-kala apabila ibu bapa sibuk dengan kerja, anak-anak akan diletakkan di hadapan televisyen dan dibukakan rancangan kartun dan kita akan ‘berpuas hati’ melihat anak kita duduk diam dan menumpukan perhatian terhadap kaca televisyen.
Janganlah membunuh kreativiti anak anda. Kesan televisyen lebih banyak buruk daripada manfaat. Sedangkan kartun Mickey dan Donald turut mempunyai aksi ganas. Bayangkan, bagi 28 minit tayangan kartun ini, sebanyak 82 aksi ganas dipaparkan.
Oh.. tidak hairanlah mengapa kanak-kanak di usia ini gemar bermain gaduh-gaduh. Rupa-rupanya ia adalah kesan daripada kartun! Kajian ini adalah hasil pemerhatian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Namun tidak dinyatakan kajian pada tahun berapa. Berikut adalah carta kajian yang dibuat oleh pihak CAP :
Malah ADHD atau hiperaktif boleh berpunca daripada banyak menonton televisyen. Kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa di hadapan televisyen menghadapi gangguan penumpuan di dalam pelajaran. Hal ini kerana imej yang dipaparkan di televisyen kerap bertukar. Misalnya 3 saat imej ini, diikuti 7 saat imej lain, 5 saat imej seterusnya dan begitulah sehingga hal ini mempengaruhi fokus anak. Semua ini tidak disedari oleh kita sebagai ibu bapa dan menganggap televisyen adalah perkara biasa dan tidak boleh kita sekat. Nampaknya dengan segala fakta ini, saya juga harus berfikir banyak kali untuk menonton televisyen :D