Ahad, 7 Mei 2017

Reader's block

Bismillahirrahmanirrahim.

Patutlah saya pernah terbaca ungkapan yang mengatakan seseorang itu bukan tidak mahu membaca, tetapi dia tidak jumpa buku yang sesuai untuk dibaca.

Itulah keadaan saya sejak awal Februari agaknya. Bermula dengan kesihatan yang tidak menentu, bergilir-gilir jatuh sakit dengan ahli keluarga lain, menghilangkan semangat membaca.

Setakat entri ini ditaip, saya baru habis baca 26 buah buku. Sangat struggle untuk habiskan bacaan.

Salah satu sebab mungkin kerana saya berhenti membeli buku sejak awal tahun. Hehe…

Tahun ini juga tidak dapat ke PBAKL atas beberapa sebab peribadi, maka lihat sahajalah perkembangannya di laman sosial. Banyak buku menarik. Saya tuliskan sahaja dalam wishlist saya. Strategi pujuk diri sendiri. Sabar..sabar..

Lagi satu, saya mula melihat ke rak satu-persatu buku yang ada. Saya ambil dan ulang baca. Tak mengapa insya Allah ada ilmu baru diperolehi walaupun baca banyak kali.

Selamat membaca :)

Khamis, 2 Mac 2017

Buku 10 dan 11 : Kisah-kisah Nasruddin Hoja 1 dan 2

Bismillahirrahmanirrahim.

Beli untuk anak namun saya baca dahulu. Nasruddin Hoja yang pintar. Kata-kata dan perbuatannya adakalah lucu dilihat dan adakala rasa bengang juga dengan telatahnya. Tapi, memang mendalam mesej yang disampaikan. Meski nampak "simple" tetapi ada ilmunya. Sesuai untuk anak-anak. Cuma bahasa Indonesianya ada yang saya tidak fahami. Anak-anak pun banyak bertanya, bagus juga, boleh tambah perbendaharaan kata mereka ;)

Sumber gambar : di sini

Sumber gambar: Grobmart.com

Buku 10 / 2017

Buku 11 / 2017

(30 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 9 : Menjernih Hidup Beragama

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber gambar : www.goodreads.com


Sungguh saya kagum dengan keluasan pengalaman dan pembacaan penulis. Kini sudah bergelar Dr Mohd Al-Adib. Ini adalah sebahagian daripada artikel beliau di media massa yang dikumpulkan menjadi buku. 

Sangat menarik dengan cadangan buku untuk muallaf bagi lebih memahami Islam. Semoga ustaz dapat menyenaraikan projeknya menyediakan 101 buku muallaf yang baik sebagai rujukan mereka (dan kita). Dalam bab pengalamannya bersama banduan juvana, beliau secara kritis membincangkan hal ini dan memberi kesedaran kepada kita kerana anak-anak ini kebanyakan ibu ayah mereka tidak solat, tidak mencurahkan kasih sayang dan tidak mengajar mereka ilmu agama. 

Dalam bab yang lain, penulis membawa satu isu perdebatan kecil antara beliau dan seorang pelajar siswazah Pengajian Islam yang membentak apabila dicadangkan oleh penulis untuk mengkaji buku Orientalis. Katanya lagi banyak salah faham berlaku menyebabkan umat Islam sekarang sekadar menjadi pengikut perkembangan ilmu baharu dan bukannya pencetus perkembangan ilmu baharu.

Allahu Allah. peringatan untuk diri sendiri. 

Buku 9 : 2017

(21 - 24 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 8 : Gedebe

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber gambar : Instagram Jemari Seni


Buku ini saya beli ketika Jemari Seni membuat promosi diskaun 50%  akhir tahun lalu. 

Imaen tampil mengolah cerita keluarga yang banyak konflik dan masalah. Ketua keluarganya terkenal garang tetapi sebenarnya menyayangi anak-anak namun tidak tahu cara meluahkannya. 

Watak anak lelaki sulung (Aden) dalam cerita ini banyak melatari cerita dari awal hingga akhir. Seorang bekas banduan yang dipenjarakan hanya kerana mempertahankan seorang perempuan dari diganggu lelaki-lelaki jahat. Sungguh tidak adil undang-undang dunia.

Isteri yang dikahwini memohon penceraian sementelahan dia berada di penjara dalam satu tempoh yang lama. Bekas isterinya memilih berkahwin dengan sahabat baik suaminya. Hmm..

Ayah Aden memulakan penternakan lembu dan hampir semua urusan dikendalikan oleh Aden. Dalam masa yang sama, doktor haiwan yang biasa memantau perkembangan ladang ternakan ini mula menarik perhatian Aden. Namun hanya dipendamkan sahaja.

Konflik bermula apabila ayahnya berang dengan sikap anak lelaki bongsu yang berubah menjadi mak nyah. Rentetan peristiwa itu membawa kepada pembunuhan seorang demi seorang ahli keluarga Aden. Misterinya, pembunuhan yang tidak meninggalkan kesan jejak.

Seram sekali membaca buku ini. Di akhir cerita, saya fikir, begitu besar kuasa halal haram rezeki yang diperoleh mempengaruhi anak-anak. Allahu akbar. Mungkin ini cara Imaen ingin tunjukkan kepada umum. Wallahualam.

Buku 8 / 2017

(21 - 22 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 7 : Panduan Terapi Cara Kerja Untuk Murid Istimewa

Bismillahirrahmanirrahim.

Orang yang berperanan dalam hal ini ialah Occupational Therapy atau singkatannya OT. Selepas memasuki dunia pendidikan khas baru saya tahu akan adanya pekerjaan ini. Banyak idea dan aktiviti menarik yang boleh dibuat bagi melatih anak-anak ini merangsang otot dan pergerakan mereka.

Di dalam buku ini, terdapat gambar yang boleh memberikan kita gambaran lebih jelas bagaimana mengaplikasikan kepada anak-anak istimewa. Saya kira buku ini juga boleh diaplikasikan kepada anak-anak normal.

Insya Allah saya akan kemas kini kandungan di dalam buku ini. Buat masa ini, ada rakan yang meminjam buku ini.

Sumber gambar : http://bukupendidikankhas.my/
Buku 7 / 2017

(15 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 6 : Fattabiuni Agar Ibadahmu Seperti Nabi

Bismillahirrahmanirrahim.


Masih dalam siri yang sama seperti Fattabiuni : Agar Rumah Diterangi Sunnah cuma kali ini lebih kepada ibadah seperti sunnah hari Jumaat, Solat Sunat Rawatib, Solat Sunat Dhuha, Zikir-zikir Rasulullah dan lain-lain. Cuma, di beberapa bahagian, penerangan yang menggunakan hadis nabi tidak disertakan sumber atau perawinya. Bahagian lain semua OK.

Tulisannya berwarna biru dan sesekali berwarna merah jambu. Banyak ilustrasi, maka tidak bosan menelaah buku ini. Bahasanya juga mudah dan boleh difahami.

Saya beli dari Abu Ilkiya. Boleh buat carian di Facebook nama tersebut. Beliau memiliki sebuah kedai buku di Bangi Getaway (Kedai Buku Raudhah Al-Miqyas). Beliau banyak menjual buku dari seberang dengan pelbagai tajuk. 

Buku 6 / 2017
(8 - 11 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 5 : Lagenda Budak Usrah

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber gambar : di sini


Lagenda Budak Usrah menampilkan pesanan-pesanan ringkas penulis tentang usrah. Banyak yang disentuh seperti pengalaman berusrah semasa belajar dahulu, cabaran istiqamah menghadiri usrah ketika di kampus kerana beliau menuntut di luar negara. Sukar bertemu naqib secara berhadapan. Lebih banyak dilaksanakan secara maya.

Beliau bersungguh mengingatkan agar semua mengekalkan momentum berkerja kerana Allah dan istiqamah menjaga hubungan dengan Allah.

Banyak juga tip yang dikongsikan. Barakallahufik Doktor :)

Buku 5 / 2017
(8 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary