Selasa, 4 Disember 2012

Buku dan aktiviti :)

Sudah lama saya berfikir ingin membuat satu aktiviti membaca buku yang menyeronokkan buat anak-anak didik di sekolah. Ini sebagai salah satu usaha menjadikan membaca satu keseronokan bukan kerana terpaksa.

Saya perlu membaca banyak buku kanak-kanak, berfikir dan membuat pertimbangan apakah aktiviti yang sesuai berdasarkan buku tersebut.

Setakat ini saya sangat tertarik dengan buku besar yang diterbitkan oleh PTS di bawah siri Permata Hatiku dan buku siri teladan yang ditulis oleh Puan Zulina Hassan terbitan Galeri Ilmu.

Buku besar terbitan PTS mempunyai 6 tajuk di dalam satu siri. Setakat ini saya belum melihat siri lain diterbitkan oleh PTS. Diharap PTS dapat menerbitkan buku besar yang lebih banyak pada masa akan datang. Ini kerana buku-buku ini lebih menarik daripada buku besar yang ada di perpustakaan sekolah ;)

Buku-buku Puan Zulina ini juga sangat menarik dengan ilustrasi berwarna-warni serta penceritaan fiksyen mengenai haiwan-haiwan berkenaan. Mempunyai 10 tajuk dengan berharga RM20.00 setiap satu.

Setakat ini saya berjaya menghasilkan aktiviti untuk buku besar Apa yang Bergerak dan Jiji Si Leher Panjang.



Insya Allah saya berniat untuk kongsikan di sini. Saya akan upload kemudian. Doakan saya diberi kemudahan berkongsi di sini :)

Sabtu, 17 November 2012

Kemas kini (",)

Bismillah walhamdulillah..

Assalamualaikum warahmatullah..

Salam Maal Hijrah 1434 buat semua. Masya Allah cepat betul masa berlalu. Saya juga sudah hampir sebulan melahirkan anak kedua. Walaupun bersalin awal hampir 2 minggu tetapi bayi yang dilahirkan sihat itu sudah mencukupi. Sangat besar nikmat yang Allah beri ini. Alhamdulillah.

Bercuti dari buku? Mungkin tidak. Hehe.. Masih membaca juga. Sambil-sambil menyusu anak, mengepam susu atau melayan anak-anak sempatkan juga membaca buku Sirah Teragung Muhammad ini. Sangat tebal tetapi menarik dengan banyak gambar yang mengiringi penceritaan sirah Rasulullah SAW. Baru tiba muka surat 221.

Sumber gambar : blog Pustaka Iman

Oh Tanah Suci! Jom Umrah Bersama Sofea juga telah selamat dikhatamkan :) Suka dengan penceritaan Natasya Effyzal ini. Erm.. nak cari karya-karyanya yang lain juga nanti. Reviu? Err.. kemudian ya ;)

Sumber gambar : http://pts.com.my/index.php/buku/oh-tanah-suci-jom-umrah-dengan-sofea/


Selamat berhujung minggu :) Wassalam.

Rabu, 3 Oktober 2012

Super Haidama! ~ Qisha Nur'ain


Sumber gambar : Iqramall.com 

Buat kesekian kalinya saya tertarik untuk membaca buku ini kerana kulit hadapan buku dan sinopsis cerita. Buku ini masih baru di pasaran. Jika tidak silap keluaran Julai 2012. Novel ini adalah novel awal remaja yang berkonsepkan sains. Saya sentiasa mencari buku yang bertemakan sains dan ingin melihat bagaimana fakta sains itu disulam dengan cerita fiksyen :)

Alhamdulillah memang sangat menarik buat saya. Saya kira penulis ini baru pertama kali menerbitkan buku namun saya berpuas hati dengan cerita dan penggunaan bahasa di dalamnya.

Haidama merupakan singkatan daripada nama 3 sahabat yang bertungkus-lumus menyiapkan satu projek reka cipta yang akan mereka sertai pada tahun itu. Haikal, Damia dan Malik. Banyak cabaran yang dihadapi termasuklah pencerobohan orang misteri ke bengkel mereka, merosakkan peralatan projek dan diintip pergerakan.

Dalam masa yang sama juga tanpa disedari Damia dan adiknya berada dalam keadaan bahaya. Berikutan kes yang dikendalikan oleh bapa mereka di mahkamah, ada pihak yang ingin mengugut bapanya dengan menculik Damia dan adik. Namun tindakan itu tidak berjaya malah dapat ditangkis dengan kerjasama Haikal dan Malik.

Saya tertarik dengan fakta - perut berbunyi bukan kerana kita lapar! Tetapi berlaku pengecutan di otot selepas beberapa jam kita tidak makan. Ia berlaku ketika proses penghadaman berlaku. Maka, selepas ini jika perut berbunyi tak perlulah tergesa-gesa mencari makanan ya! :)

~~~~~~~~~~~

Sewaktu Google imej gambar buku ini, terjumpa blog penulis --> http://misschubbycheek.blogspot.com/2012/08/novel-sulung-cik-chubby-dah-terbit-dan.html (",)

Selamat membaca.

Rabu, 19 September 2012

Badiuzzaman Said Nursi ~ Abdul Latip Talib

Orangnya hebat, hidupnya penuh dugaan dan penderitaan. Tetapi kemanisan iman membuatkan beliau tegar menghadapi segala tekanan dari pihak pemerintah.

Kagum sekali dengan ibu bapa yang mendidiknya. Ibu Said Nursi sentiasa dalam keadaan berwuduk sewaktu menyusukan beliau. Masha Allah.

Allah juga kurniakan kehebatan akal fikiran kepada tokoh ini. Dengan sekali baca sahaja beliau sudah mampu menghafal ilmu yang dibaca melalui buku dan kitab-kitab.

Mengarang berjilid-jilid Risalah An-Nur. Beliau memfokuskan kepada permasalahan umat dan mengambil tindakan bijak mengelakkan diri dari dunia politik. Namun itu semua tetap tidak diterima oleh pihak pemerintah. Berpuluh tahun dihukum buang daerah ke pelbagai tempat, risalahnya dikaji, para pengikutnya tidak terlepas dari seksaan pemerintah serta beliau sendiri sentiasa diancam maut dengan diracuni oleh pihak tertentu sehingga akhirnya berdoa supaya kuburnya tidak diketahui orang di mana letaknya.


Selesai membaca buku ini terasa Risalah An-Nur kalangan beliau sangat berharga.

Sabtu, 15 September 2012

A Mother's Tears ~ Soo Cham

Buku ini adalah terjemahan oleh ITNM. Judul asal bertajuk Air Mata Ibu. Saya pinjam buku ini daripada adik ipar. Lihat reviunya macam menarik :)

Ia mengisahkan liku-liku kehidupan sebuah keluarga Cina. Satu-satunya keluarga Cina yang tinggal di kampung itu yang majoritinya berketurunan Melayu. Mereka merupakan pendatang dari Negara China yang dibawa masuk ketika zaman pemerintahan penjajah. Bermulalah episod survival keluarga ini di negara ini.

Mereka membuka sebuah kedai runcit dan begitu sabar melayani kerenah anak-anak muda yang nakal yang selalu mencuri dan mengganggu perjalanan kedai. Watak utama yang menceritakan kisah ini ialah anak bongsu mereka, Sui Yin.

Namun fokus cerita ialah kepada si ibu. Hidupnya penuh dengan kesedihan.. Malang sekali anak-anak lelaki yang memeluk Islam tidak menunjukkan keindahan Islam yang sebenar. Sama ada tidak memahami secara keseluruhan atau.. entahlah. Si ibu berendam air mata pada sebahagian besar hidupnya menangisi anak-anak yang dianggap tidak menyayanginya.

Selepas bapa mereka meninggal dunia, si ibu tinggal bersama anak bongsu. Disebabkan tekanan mendengar keluhan dan ratapan si ibu yang sentiasa menangisi anak-anak kesayangannya, Sui Yin menghadapi masalah tekanan jiwa dan perasaan sehingga dikatakan orang sebagai 'dirasuk hantu'. Hakikatnya Sui Yin tertekan dengan apa yang menimpa ibunya. Setiap kali menyambut tahun Baru Cina, ibunya akan menangis sepanjang malam.

Cerita ini tergantung. Akhir sekali ibunya berada di China tinggal bersama 2 anak perempuan yang ditinggalkan di sana ketika kecil dahulu. Saya tidak tahu sama ada Sui Yin membawa pulang ibunya atau pun tidak. Ibunya sudah kritikal dengan penyakit yang dialami. Dikatakan ini kisah benar.. Wallahualam.

Sabtu, 8 September 2012

Novel Awal Remaja

Saya memilih untuk membaca novel awal remaja keluaran Must Read Sdn Bhd. Akhir-akhir ini novel keluaran syarikat ini tidak mengecewakan.

Namun begitu, sangkaan saya sedikit meleset apabila membaca buku ParT-time Babysitter. OK, saya reviu dahulu baru komen :)

Deana seorang pelajar lepasan PMR yang mencari pekerjaan bagi membantu ibunya di samping menjana sedikit pendapatan. Ibunya seorang ibu tunggal. Ditakdirkan dia dapat menjadi pengasuh kepada pasangan kawan rapat ibunya. Sementara mereka menunaikan umrah selama 2 minggu, Deana ditugaskan menjaga dan mengasuh si bongsu.

Deana tiada adik. Oleh itu dia menghadapi sedikit masalah memahami kepelatan si kecil. Mujur juga si abang membantu sekali-sekala tetapi dalam keadaan yang menyakitkan hati. Entah mengapa si abang begitu dingin kepada Deana.

Rupanya dalam tidak disedari, si abang menyukai Deana. Hmm.. nampak agak longgar ceritanya di sini.

Banyak kesalahan tanda baca di awalan bab. Yang menyebabkan 'mood' bacaan saya terganggu ialah ayat 'selamaba bodoh' yang digunakan oleh penulis. Huh, adakah ayat ini boleh diletakkan dalam cerita? Aduh..

Beberapa kesilapan ejaan juga dapat dikesan. Sebaiknya editor memerhatikan dengan lebih teliti akan perkara ini. Wallahualam.

Buku kedua iaitu Misi Kembar Juara Junior Chef oleh Shamsiah Sta On. Saya kira watak di dalam buku ini ada diceritakan secara bersiri dalam buku-buku sebelum ini namun minta maaf saya terlupa tajuknya. Jika saya tidak silap "Akulah Puteri" dan "Akulah Puteri 2".

Saya sukakan cerita ini :) Sepasang kembar yang gemar mencuba sesuatu yang baru dan tidak segan mencuba resipi baru. Melihat kesungguhan anak kembar ini, ibu mereka mendaftarkan mereka ke kelas memasak dan mereka mempelajari pelbagai jenis resipi selama 3 minggu berkursus. Sebelum kursus berakhir, chef menawarkan mereka memasuki pertandingan memasak yang diadakan di Pulau Pinang.

Berlaku beberapa kejadian yang tidak diingini di dalam pertandingan namun berjaya diatasi akhirnya.

Jumaat, 7 September 2012

Nama Atas Kertas ~ Nasron Sira Rahim


 Sumber gambar : rinntis.blogspot.com

Misteri. Pembunuhan kejam itu yang asalnya dilihat seperti tiada motif akhirnya membawa kepada penemuan-penemuan besar. Lebih menghairankan modus operandi yang digunakan sama seperti yang berlaku pada tahun 1987 yang lalu. Mangsa ditikam terus pada leher sehingga tembus ke belakang. Jika pembunuh pada ketika itu berusia 20-an bermakna kini beliau sudah menginjak ke 40-an. Tetapi mengapa begitu lama beliau ‘berehat’?

Tetapi kali ini pembunuh seolah-olah ingin bermain dengan pihak polis. Gumpalan puzzle berplastik yang ditemui dalam mulut mangsa menimbulkan spekulasi. Rupa-rupanya ia adalah klu kepada kesalahan yang dilakukan oleh si mangsa. Huruf-huruf puzzle yang disusun adakalanya tidak lengkap dan ada ketikanya berulang. Rima huruf pada puzzle itu apabila disusun akhirnya menemukan pihak polis kepada jawapannya!

Pelik. Mangsa pertama seorang lelaki bujang yang dikenali ramai sebagai seorang yang baik dan peramah. Mangsa kedua ialah seorang imam yang dihormati oleh penduduk sekitar. Mangsa ketiga pula seorang ahli perniagaan Cina yang merupakan seorang ketua keluarga yang penyayang dan mempunyai rangkaian bisnes yang luas. Mangsa keempat pula seorang perempuan. Namun daripada kesemua puzzle yang ditemui menunjukkan masing-masing mempunyai kesalahan mengikut enakmen dan seksyen tertentu.

Setelah dipastikan hanya mangsa ketiga sahaja disahkan oleh polis merupakan seorang penjenayah iaitu pengedar dadah yang begitu dikehendaki polis. Namun disebabkan kekurangan bukti, penjenayah terbabit tidak dapat diambil tindakan.

Inspektor Faiz dan pasukan berusaha keras menyiasat kes ini. Atas inisiatif Faiz sendiri ke rumah mangsa pertama membawanya kepada sejumlah cakera padat yang rupanya mengandungi rakaman perbuatan jelik mangsa pertama selama ini. Lebih dari 19 orang gadis ditiduri dan anehnya perlakuannya sendiri dirakamkan. Akhirnya Faiz bertemu dengan satu rakaman yang membawa kepada penyelesaian kes!

Dalam masa yang sama, pembunuh isteri Faiz dijumpai semula! Kejutan tidak berakhir di situ, rakan sejawatnya Inspektor Hanim pula diculik oleh pembunuh berkenaan. Kali ini sangat mencabar polis. Mereka terpaksa menyelesaikan banyak puzzle sebelum menjumpai Hanim yang ditanam hidup-hidup di dalam sebuah kubur di Pedu, Kedah.

Banyak info baru yang diperoleh melalui buku ini. Baru saya tahu cara ahli forensik menganggar waktu kematian mangsa. Berdasarkan kajian sains,, suhu badan manusia akan berkurang sekitar satu perpuluhan lima darjah celcius bagi setiap satu jam selepas meninggal dunia sehingga suhu badannya sama dengan suhu persekitaran.

Otot manusia akan mengendur dalam masa 3 jam selepas kematian. Dari tempoh tiga ke tiga puluh enam jam otot jasad menjadi kejang dan keras. Selepas waktu itu, otot akan kembali mengendur semula. (m/s 49)

Pembunuh bersiri pula ialah seorang yang didefinisikan sebagai individu yang telah membunuh tiga atau lebih mangsa dalam tempoh lebih 30 hari dengan ada tempoh selang cooling off atau tempoh mendiamkan diri antara semua pembunuhan yang dilakukan. (m/s 134)

Rabu, 5 September 2012

Oh London!

 
Bacaan awal Ogos yang lalu. Tertangguh reviunya sehingga sudah lupa kebanyakan isi ;p

Kisah Alisa yang mendapat peluang melancong ke London lantaran ibunya menghadiri sebuah simposium di sana. Sangat menarik. Tapi bagi saya, saya perlu membuat kajian sendiri kerana membaca sahaja tidak dapat saya gambarkan tempat-tempat yang disebutkan. Sangat menarik :) Sambil membaca, sambil membuat carian.

Malang sekali, terlalu banyak kesilapan ejaan dan tanda baca di dalam buku ini. Tidak kurang dari 10 perkataan yang tersilap ejaan. Editor terlepas pandang .. mungkin. Diharap ada penambahbaikan! Teringat seorang kawan di Goodreads yang mengatakan setiap buku PTS pasti ada kesilapan ejaan. Berbanding Jemari Seni dan Creative Enterprise yang sangat baik dari segi tiada kesilapan ejaan.

Isnin, 3 September 2012

Sebelum Aku Bernikah ~ Hilal Asyraf

Buku ketiga yang dibaca bulan ini. Saya pilih untuk ulas yang ini dahulu.


Tulisan ini khusus buat pembaca yang belum berkahwin. Bagi yang sudah berkahwin boleh juga dijadikan sebagai satu muhasabah perjalanan anda dalam menuju gerbang perkahwinan dan alam rumah tangga. Memetik kata-kata penulis dari seorang pakcik : “Perkahwinan adalah gerbang, sedang rumah tangga adalah alamnya.” 

Penulis mengupas definisi cinta muda-mudi masa kini, menghurai definisi cintanya, melontarkan pandangan berdasarkan realiti masa kini serta menjentik minda pembaca akan 3 kepentingan persediaan menuju pernikahan. 

Cinta digambarkan sesuatu yang indah, asyik-masyuk, mengikut nafsu, "couple", "dating" dan seumpamanya. Malah ada yang lebih ekstrem terus menghukum bercinta sebelum kahwin adalah haram. Jatuh hati juga haram sehingga ada yang mengatakan zina hati. Benarkah?

Sememangnya begitulah yang kita selalu dengar.

Namun, tahukah kita sebenarnya definisi cinta itu datang dari kasih sayang. Ia sesuatu yang murni.  

Walaupun kini saya sudah berumah tangga dan mempunyai anak, saya akui akan kebenaran yang disentuh oleh penulis di dalam buku ini. Sesungguhnya saat sebelum berkahwin memberi banyak dilema kepada diri dalam soal jodoh. Hakikatnya, jodoh itu sebenarnya perlu dicari bukannya dinanti. Ia sama seperti perkara lain seperti belajar yang mana memerlukan kita berusaha sebelum mencapai kejayaan.

Buku ini sangat saya syorkan buat adik-adik yang masih tercari-cari solusi dalam mencari jodoh, yang sedang kekeliruan mahupun dalam dilema. Semoga pencerahan dari penulis memberi kelegaan kepada jawapan yang dicari.

Apa pun berserah kepada Allah adalah paling utama. Semoga dipermudahkan segala urusan. Amin :)

Khamis, 30 Ogos 2012

Nota Cinta untuk Cikgu ~ Fatimah Bunyamin

Buku ini merupakan himpunan koleksi kisah-kisah yang dialami oleh seorang guru di sekolah. Semuanya berkisar mengenai dunia guru, anak-anak didik dan pendekatan yang digunakan oleh beliau dalam menangani masalah murid sehari-hari.

Ditulis dalam bentuk catatan. Bahasanya juga mudah dan senang mengikutinya sehingga akhir kisah.

Walaupun penulis baru empat tahun mengajar (kalau saya tidak silap ada disebut di dalam buku ini) tetapi saya bangga masih ada lagi guru sepertinya yang begitu mengambil berat akan kebajikan murid-murid. Meskipun ada juga sekali-sekala datang perasaan marah terhadap kelakuan anak murid namun diatasinya dengan kaedah yang kreatif.

Saya suka sekali melihat cara penulis menggunakan pelbagai kaedah dalam menyampai P&P. Membantu murid yang lambat mengaji Iqra', menerima aduan murid dan menyiasat dengan adil serta menanamkan sifat tauhid dalam diri mereka.

Semoga guru-guru seperti ini diberkati Allah. Amin :)


Rabu, 22 Ogos 2012

Abang, Adik dan Kasut ~ Ezee Rahmani

Lihat kepada tajuk sahaja saya sudah terbayangkan cerita Iran mengenai dua beradik yang berkongsi kasut untuk ke sekolah. Dan memang tepat juga sangkaan saya itu. Cuma latar ceritanya diubahsuai mengikut situasi tempatan :)

Buku ini dibaca di tengah-tengah kemeriahan sambutan hari raya. Elok juga. Sedikit sebanyak memberi sedikit keinsafan dan suntikan semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan. Lihat sahaja Nik Nur Madihah, kemiskinan keluarga bukan penghalang kejayaan. Satu yang dapat dipelajari ialah iltizam yang kuat demi keluarga, agama dan bangsa.

Amir dan Wanie tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa berkongsi kasut. Mujur si abang bersekolah sesi petang dan adik bersekolah sesi pagi. Kasut yang dikongsi adakala terpaksa dijahit beberapa kali. Berkat sabar, akhirnya mereka berdua berjaya mendapat kasut sekolah yang diidam-idamkan.

Berapa ramai daripada kita yang sanggup memakai kasut koyak ke sekolah? Apatah lagi banyak kesan tampalan dan jahitan di sana-sini? Lagi pula tidak berjenama? Astaghfirullahalazhim.. banyak nikmat yang Allah kurniakan tidak kita hargai.

Saya juga melihat dari konteks guru, adakah selama ini saya sudah cukup mengambil berat hal ehwal kebajikan murid? Sudahkah murid saya bersarapan sebelum ke sekolah? Mengapa dia selalu tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi? Adakah kerana malas atau tidak memahami apa yang saya ajar? Allahuakbar, setiap sesuatu pasti ada sebab berlakunya. Kita perlu menyelidik terlebih dahulu sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman atau tanggapan.. Wallahualam.

Selasa, 21 Ogos 2012

Friends Forever ~ Ila Husna

Saya sungguh tertarik dengan kulit depan buku ini. Ceria. Hehe.

Saya juga tertarik dengan watak utama yang sanggup menolak tawaran kursus Perubatan di Mesir semata-mata cintanya kepada Bahasa Arab. Mahu jadi pejuang Bahasa Arab!

Zakiah, anak tunggal kepada ibu bapanya pada mulanya tidak mendapat restu bapa mengambil jurusan Bahasa Arab di UIA. Namun selepas berbincang dari hati ke hati barulah kesefahaman tercapai dan Zakiah dapat meneruskan pelajarannya di UIA Kampus Nilai.

Zakiah digambarkan seorang yang cekal, tabah, istiqamah dalam menjaga amalan sunat dan solat malam serta anak yang taat kepada ibu bapa. Tidak lupa juga dia seorang kawan yang begitu mengambil berat akan keadaan rakan-rakan dan sentiasa mendoakan mereka. Berkat kesungguhannya mempamerkan akhlak islam, seorang rakannya memeluk agama Islam.

Kehidupannya di UIA tidak seindah pelangi. Banyak dugaan yang dihadapinya. Fitnah oleh rakan sebilik, dipulaukan rakan sekelas, dituduh pencuri, dianggap menunjuk pandai sehingga jatuh sakit beberapa lama.

Tapi kebenaran akhirnya terserlah berkat kesabaran dan sokongan dari rakan baiknya.

Usai membaca buku ini, saya rasakan minat Zakiah pada Bahasa Arab itu perlu diperincikan dengan lebih lagi. Memang penulis ada menyelitkan tentang penglibatan Zakiah dalam pertandingan pidato Bahasa Arab, mengikuti usrah dan aktif dalam badan Dakwah dan Rohani tetapi tidak begitu jelas. Mengapa Zakiah begitu meminati bidang bahasa Arab? Apakah prospek kerja yang menanti? Bagaimana Zakiah dapat menyumbang kepada ummah dengan kemahiran bahasa yang diperolehnya?

Memang ada diterangkan tetapi bagi saya mungkin penulis boleh ceritakan lagi... Wallahulam.

Watak Marziah juga saya kira kurang kepentingannya. Hanya disebut sesekali di dalam cerita. Apa yang penulis mahu sampaikan ya?

Namun secara keseluruhan saya kira agak baik untuk bacaan remaja. Remaja harus didedahkan dengan persekitaran yang baik, mengikut idola yang baik dan bergaul dengan rakan yang baik. Maklumlah, usia begini mahu mencuba pelbagai perkara. Rakan sekeliling memang pengaruh utama bagi diri mereka.

Jumaat, 17 Ogos 2012

Hai Darling! ~ Badrul Hisham Shari

 


Saya sering mengikuti tulisan penulis di dalam Majalah ANIS keluaran Galeri Ilmu. Sememangnya ruangan Sketsa Kehidupan amat mencuit hati dan rasa. Walaupun hanya 2 muka surat, tetapi kata-kata dan ilustrasinya cukup menggambarkan mesej yang ingin di sampaikan.

Buku terbaru Hj Bad ini lebih mengetuk minda saya rasakan berbanding buku pertama beliau, I Love U too! Banyak membaca dari pengalaman orang sememangnya dapat membantu diri kita dalam berinteraksi dengan orang sekeliling dan membuatkan kita lebih memahami orang lain.

 Peringatan dan teguran harus kita ambil sebagai pedoman untuk kita menghadapi masyarakat sehari-hari.

Sangat sesuai untuk bacaan pasangan suami isteri yang baru kahwin atau sudah lama berkahwin. Untuk yang belum kahwin pun SESUAI :D





~ Nilai-nilai romantis perlu dizahirkan di alam rumah tangga sebab menzahirkan cinta (secara kerap) sangat bermakna buat pasangan kita. LOVE STRETCHES YOUR HEART AND MAKE YOU BIG INSIDE ~

Isnin, 13 Ogos 2012

Alahai Pengantin Baru...

Sumber gambar : di sini


Buku comel ini hasil tulisan Pn Jalilah Abdullah, bekas editor Majalah Anis keluaran Galeri Ilmu. Sungguhpun sudah diterbitkan sejak 2008, baru kini saya berkesempatan membaca dan memiliki buku ini.

Terbahagi kepada tujuh bahagian ; 1) Tentang Kasih Sayang 2) Tentang keibubapaan 3) Alam rumahtangga 4) Tentang kefahaman agama 5) Universiti kehidupan 6) Siraman rohani 7) Corat-coret selebriti.

Setiap satu cerita mencuit hati dan rasa. Mengajak para pembaca berfikir di sebalik mesej yang ingin disampaikan. Benar kata sesetengah orang, kehidupan juga adalah guru kepada kita.

Saya terkesan dengan salah satu cerita iaitu mengenai "Terima Kasih Cikgu". Dato' Dr Fadzilah Kamsah menurunkan satu petua bagi menambah keberkatan ilmu pada anak-anak kita. Sebelum guru keluar dari kelas, suruh anak-anak ucapkan "Terima kasih cikgu, minta halal segala ilmu yang telah cikgu berikan. Ampunkan kami cikgu, doakan kami, cikgu.". Masya Allah, ada seorang ibu ini menceritakan kepada anak-anaknya dan keesokan harinya setelah semua rakan selesai mengucapkan terima kasih, anak ini menyambung dengan kalimat yang disyorkan oleh Dato'. Terlopong cikgu itu ;) Alhamdulillah hubungan antara anak itu dengan guru juga bertambah erat.

Subhanallah, saya tidak terfikir untuk membuat seperti itu. Teringat peristiwa di sekolah baru-baru ini. Sekolah saya memohon untuk membuka kelas istimewa atau kami panggil kelas MD (Multiple Disabilities) memandangkan beberapa SKPK (sekolah kebangsaan pendidikan khas bermasalah pendengaran) yang lain telah berjaya membukanya di sekolah masing-masing.

Kami para guru mula mencadangkan beberapa nama yang dianggap layak memasuki kelas MD.. dan saya terkesan dengan kata-kata akhir oleh GPK 1 selepas menerima nama-nama tersebut. "Kadang-kadang kita tak guna satu lagi kuasa kita iaitu kuasa doa. Adakah kita para guru mendoakan anak murid kita? Kita mesti doakan anak-anak murid kita sebagaimana kita tak lupa mendoakan anak-anak kita. Insya Allah moga anak-anak ini terserlah juga potensinya."

Khamis, 9 Ogos 2012

101 Doa Mohon Makbul



Terbaru dari Dr Hj Zahazan Mohamed dan Kartunis Nik! Teruja melihat buku kedua dalam karikatur ini keluar di pasaran :) Masya Allah. Sangat menarik. Adaptasi dan diolah dari buku 101 Doa Ustaz Zahazan yang berkulit keras berwarna hijau. 


Setiap doa dipersembahkan dengan lukisan kartun yang memberi pelbagai makna. Dalam gurau ada sinis, ada kebenarannya dan ada pengajarannya. Berwarna-warni, ringkas dan mesej yang disampaikan dapat diterima dengan berkesan oleh pembaca. Satu lagi usaha kreatif dalam berdakwah :)

Ahad, 5 Ogos 2012

Berdua Lebih Baik ~ Rohani Abdul Rahman

Berdua Lebih Baik istimewa pada saya. Kursus Pengkarya Guru 2012 menemukan saya dengan penulisnya. Lebih menarik lagi, saya dan Kak Ani satu kumpulan.

Ramai penulis di kalangan guru yang selama ini tidak saya ketahui. Bagusnya guru-guru ini yang sudah giat aktif berkarya dan menyumbang kepada pembangunan minda masyarakat :)





Buku ini lebih kepada perkongsian pengalaman hidup dan motivasi diri. Bagaimana mencari jodoh yang baik dan terlebih utama bagaimana menanam keyakinan dan prasangka yang baik kepada Allah dalam soal jodoh, menjadikan diri lebih baik dan bersedia mencari dan menerima jodoh yang ditentukan.

Bagi yang belum berkahwin sudah pasti tertanya-tanya dan 'takut' memikirkan siapakah bakal pasangan hidup, adakah kita akan serasi bersama dan 1001 persoalan lagi.

Penulis menekankan nawaitu seseorang dalam usaha mencari jodoh. Tidak lupakan doa, solat dan usaha mencari yang terbaik bermula dengan diri sendiri. Saya tertarik dengan kata-kata Ibnu 'Ataillah yang dipetik oleh penulis. Ibnu 'Ataillah dalam kitab Al-Hikam mengatakan "Apabila Allah melepaskan lidahmu untuk meminta, ketahuilah sesungguhnya Allah hendak memberimu." Subhanallah, Allah sangat suka kita meminta kepada-Nya.

Secara keseluruhannya buku ini baik untuk permulaan bagi sesiapa yang masih mencari pasangan hidup. Saya kira penulis boleh menyertakan doa kepada pengantin di dalam bab 13 di mana beliau menyentuh mengenai perkahwinan. Boleh dikira nilai tambah di dalam buku ini. Wallahualam.

Ahad, 22 Julai 2012

Saya Bukan Aiman ~ Elina Balqis


Sumber gambar : dari sini


Ada ikon gambar kucing di atas sebelah kanan buku. Bermakna buku ini terbitan PTS One Sdn Bhd. Buku-buku PTS One berfokuskan kepada awal remaja. Namun novel kanak-kanak juga termasuk di dalam genre yang diterbitkan di bawah label ini.

Saya Bukan Aiman membawa mesej doa orang yang dizalimi itu makbul. Jangan sekali-kali memandang rendah doa irang yang dianiaya. Aiman, seorang murid baru yang sering diejek oleh Fahmi dan Roy. Mujurlah Aiman mempunyai seorang kawan baik bernama Alyssa. Aiman ada satu penyakit pelik. Dia akan pengsan sekiranya diejek dengan perkataan 'Gemuk'. Rahsia ini hanya diketahui ibu ayah dan kawan baiknya sahaja. 

Pelbagai cara dan usaha dicadangkan oleh Alyssa bagi mengelakkan Aiman diejek oleh budak nakal itu. Namun tiada satu pun yang berjaya setakat ini. Antaranya ialah Aiman harus bertukar menjadi raksasa (bagaimana ya?), memberi kek cawan kepada Fahmi dan beberapa rancangan lagi.

Akhirnya dengan nada putus harap, Aiman berdoa kepada Tuhan semoga Fahmi merasai apa yang dirasakannya dan bertukar menjadi dirinya. Tanpa disangka, doanya makbul! Dan kedua-duanya baNgun pada keesokan pagi dalam keadaan berlainan! Jasad berbeza dengan diri yang sudah bertukar. Aiman di dalam diri Fahmi yang kurus, Fahmi pula berada di dalam diri Aiman yang gemuk!

Haha..bagaimana mereka cuba menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru? Dapatkah mereka bertukar jasad kembali?

Apa yang pasti, kedua-dua mereka khususnya Fahmi mempelajari banyak perkara sejak itu. Belajar menghormati ibu ayah, menunaikan solat, rajin belajar, menghormati rakan dan bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran keluarga Aiman. Walaupun sukar, Fahmi terpaksa berubah sekiranya mahukan dirinya yang dahulu. 

Bagi Aiman pula, kerinduan terhadap ibu dan ayah terpaksa dipendam akibat perpindahannya mengikut keluarga Fahmi ke Paris lantaran ayah Fahmi dapat melanjutkan pelajaran ke sana. Namun di dalam cerita ini hanya difokuskan kepada Fahmi.

Saya dapati banyak pengajaran yang baik untuk bacaan kanak-kanak dan remaja di dalam buku ini. Menarik sekali. Boleh disyorkan kepada ibu bapa dan guru untuk bacaan anak-anak. Syabas penulis. 

Semoga bermanfaat.

Rabu, 18 Julai 2012

Dia Istimewa ~ Ainin Naufal


Dia Istimewa karya Ainin Naufal menyentuh hati. Berkisar mengenai seorang remaja perempuan bernama Jamilah yang saya kira seorang anak istimewa. Bukan bermasalah pada fizikal tetapi pada pembelajaran.  Garapan Ainin Naufal sangat menarik kerana ceritanya berjalan lancar dan mengundang rasa ingin tahu.

Jamilah menduduki kelas tercorot di sekolah dan sering tertidur di dalam kelas. Walaupun dengan kelemahannya ini, masih ada guru-guru yang sanggup membimbingnya belajar membaca dan mengira. Latar cerita digambarkan pada awal tahun 80-an. Waktu itu jika seseorang pelajar gagal SRP maka tiada pilihan lagi untuk meneruskan persekolahan. Namun Jamilah tidak pernah kisah. Baginya setiap hari adalah sama, esok atau lusa juga begitu. Hana, teman baiknya hanya mampu mengeluh.

Saya sukakan ibu Jamilah. Walau pun pada ketika itu, semua orang memandang rendah kepada Jamilah termasuklah bapanya yang tidak menaruh sedikit harapan pun kepada anak bongsunya ini, ibu Jamilah tetap memberi semangat, pujian dan galakan kepada Jamilah.

Geram juga dengan perangai abang dan kakak Jamilah yang kononnya pelajar yang pandai dan bersekolah asrama tetapu memandang rendah dan 'memperhambakan' Jamilah dengan mencuci pakaian kotor mereka. Hm.. dahulu pun wujud juga perangai begini ya.

Seperti yang dijangka keputusan Jamilah tidak memuaskan. Maka Jamilah meneruskan pelajarannya dengan belajar menjahit dan menyulam bersama Usu Yati. Siapa sangka, pelajar paling lembap di sekolah akhirnya bertukar menjadi seorang 'tauke' jahitan. Mampu menerima banyak tempahan baju kurung, baju melayu, baju pengantin, sulaman dan paling mengharukan dapat membantu ibu dan ayahnya tatkala keduanya sangat memerlukan wang menampung pembelajaran abang dan kakak Jamilah yang menyambung pelajaran di universiti. 

Sejak itu ayah Jamilah mula merubah pandangannya terhadap anak bongsunya ini. Dia tidak lagi membuka mulut untuk mengahwinkan Jamilah dengan sesiapa. Peristiwa peminangan Ipin yang ditolak dahulu dan Jamilah lari dari rumah sudah cukup memberi peringatan. Jamilah juga ada cita-cita!

Ingatan untuk saya juga, anak didik di sekolah yang tidak mampu mendapat keputusan cemerlang bukanlah bermakna dia tidak mampu cemerlang dalam bidang lain. Tugas saya sebagai gurulah yang sepatutnya mencari dan mencungkil keistimewaan setiap dari mereka. Ya Allah, kurniakan kesabaran kepadaku mendidik mereka dan bukakan juga pintu hati mereka untuk menerima ilmu-Mu yang Maha Luas. Amin..


~ Saya sudah jatuh suka pula pada penulis Ainin Naufal :) Beliau sudah banyak menghasilkan buku kanak-kanak. Saya sangat tertarik dengan siri Melah Melia tapi tidak pernah lagi berkesempatan mendapatkan kesemua judul dalam siri tersebut. Moga Allah murahkan rezeki saya dapatkan semua buku beliau ;)

Selasa, 17 Julai 2012

Do'a & Dzikir untuk Ibu Hamil

Buku karangan Abu Muhammad Ibnu Shalih bin Hasbullah terbitan Pustaka Ibnu Umar ini menarik perhatian saya.

Sebenarnya tiada doa dan zikir khusus untuk ibu hamil. Ayat-ayat Quran adalah zikir terbaik untuk dibaca sepanjang kehamilan. Selain itu, zikir pagi petang juga seharusnya dibaca dan jangan ditinggalkan kerana mengandungi pelbagai manfaat buat kita sebagai seorang muslim. Himpunan zikir dan doa di dalam 'zikir pagi petang' adalah dari sumber hadis yang sahih.

Saya petik dari buku ini doa dan zikir yang dianjurkan dibaca oleh ibu hamil :

1) Surah al-Fatihah

2) Ayatul Kursi - dibaca sekali setiap pagi dan petang, sebelum tidur dan setiap kali selepas solat fardu.

3) Membaca 2 ayat terakhir surah al-Baqarah (ayat 285 dan 286) - dibaca pada waktu siang, sebelum tidur.

4) Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas - dibaca 3 kali setiap pagi dan petang, sebelum tidur dan sekali selepas solat fardu.

5) Membaca ayat-ayat lain yang berkaitan seperti :

a) As-Saffat ayat 1 hingga 10
b) Al-Mukminun ayat 97 hingga 98 (ayat ini juga dibaca sebelum kita memulakan solat bagi menghindarkan diri dari gangguan syaitan)
c) Al-Baqarah ayat 185
d) Al-Faathir ayat 11
e) Surah al-Zalzalah

6) Memperbanyakkan ucapan

dan ucapan bismillah, istighfar.

7) Memperbanyakkan doa Nabi Yunus (lailaha illa anta....)

Apa yang penting ialah jangan malas berdoa

Banyakkan berdoa untuk dapat anak yang soleh. Ingatan untuk diri saya juga!

Jumaat, 13 Julai 2012

Buku yang sedang dibaca


Buku baru Pustaka Ibnu Umar terbitan Februari 2012. Terjumpa ketika membeli barang kelengkapan majlis khatam Quran anak-anak yang datang mengaji pada Ahad ini. Masya Allah sangat tertarik dengan tajuknya. Sudah selesai 3 bab terawal. Buku ini nipis sahaja. Insya Allah selesai dibaca akan dikongsikan ulasannya di sini. Moga diizinkan Allah :)




Sumber gambar : di sini

Buku kedua ini saya pinjam dari rakan sekerja merangkap teman sepengajian dahulu ;) Cik Khairun ini banyak sungguh buku yang menarik (dan belum dibacanya). Baru tiba halaman ke-36. Membaca satu-persatu isi yang disampaikan oleh Wardina. 'Takut' tertinggal maklumat berguna :)

Khamis, 12 Julai 2012

Batu Bata Kehidupan ~ Hilal Asyraf

Terkesan dengan artikel mengenai sahabat. Jika kita takut ingin menegur rakan yang berbuat salah atas alasan takut dia berkecil hati bermakna kita masih lagi tidak membina jambatan hati dengannya. Ya Allah, besar juga amanah di dalam persahabatan ini.. Jangan dipandang remeh. Saya merenung diri, sejauh mana saya sudah berbuat sehabis baik dengan sahabat baik, adakah saya selalu mendoakannya, adakah saya 'bercinta' dengannya,,, banyak lagi ruang kosong yang tidak saya isi. Waktu senang memang riang bersama, tetapi jika rakan tersilap sedikit saya mengakui agak lambat menegur atau mungkin hanya menegur di dalam hati! Astaghfirullah.. saya perlu baiki diri!



Terima kasih Khairun kerana bagi pinjam buku ini. Masih berbekas di hati tulisan-tulisan di dalam ini..

Rabu, 11 Julai 2012

Oren! Warna hidupku..

Buku terbitan PTS One ini adalah hasil karya Noor Halilah Mohd Halim. Cerita ini mengenai kisah kehidupan Adilah sejak kecil sehingga menginjak ke sekolah menengah. Saya bayangkan cerita ini seperti novel Seungu Lavender. Saya tidak ingat istilah tetapi seolah-olah menceritakan kisah kehidupan sebenar seseorang. Mungkin juga cerita mengenai penulis sendiri. Saya agak sahaja :)

Adilah dilahirkan sebagai anak, cucu dan cicit sulung. Kelahirannya dinanti. Namun demam panas yang dihidapinya ketika bayi menyebabkan kecacatan kekal kepadanya. Sebelah matanya mengalami 'lazy eye'. Disebabkan moyangnya melarang melakukan pembedahan lagi, terpaksalah ibu dan bapa Adilah membiarkan keadaanya begitu. Aduh, sayangnya...

Ada juga diceritakan pengalamannya mengaji al-Quran dengan moyang saudara bersama adik dan rakan-rakan. Selalu sahaja disebat jika tidak lancar bacaan mahupun tajwid. Erk..teringat pula ketika kecil-kecil dahulu. Saya jarang kena rotan dengan guru mengaji tapi sangat sensitif. Orang lain yang dimarahi saya yang menangis. Entah apa sindrom yang melanda saya waktu itu :'(

'Kids Home Library' 2

Teruja melihat rakan-rakan sekerja merancang membuat rak buku khas untuk anak-anak mereka. Tinggi kesedaran mereka dalam menanam minat membaca pada anak-anak sedari kecil. Bagusnya. Semoga anak-anak mereka menjadi anak yang bijak dan soleh dan solehah.


 

Ini gambar hiasan sahaja. Rak buku kepunyaan kawan sekerja. Seronok lihat pilihan buku yang dibacanya :) Nanti pinjam lagi ya Keon.. ;)

Sabtu, 7 Julai 2012

'Kids Home Library'

Bukan mudah membina perpustakaan kanak-kanak. Perlu kesabaran tinggi :)


Sesekali 'berjalan-jalan' di internet mencari, membaca dan melihat gaya perpustakaan kanak-kanak di rumah, terbit rasa cemburu dan rasa tidak sabar mahu menghasilkan sendiri perpustakaan seperti itu. Tujuan asalnya mahu menyediakan bahan bacaan menarik untuk anak-anak yang datang mengaji di rumah tetapi banyak sungguh dugaan yang dihadapi.

(Sumber gambar : google)

Buku koyak, muka surat hilang, majalah diconteng, buku hilang, dan seribu satu macam lagi. Hai.. kadang-kadang terasa juga.. anak-anak ini tidak diberi didikan yang betul mengenai adab ~ adab membaca buku, meminjam buku... Sabar...sabar.... susah mahu ikhlas, bukan? :-) Hasilnya saya simpan semula kotak buku yang saya letak di luar. Entah sampai bila. Sudah ada yang bertanya, "Kak, mana buku yang banyak dulu tu? Saya nak baca.." Kasihan juga tapi nak buat macam mana.. Saya belum sempat baiki kebanyakan buku dan majalah yang koyak itu.

Terjumpa sebuah blog yang menceritakan perpustakaan yang dibuat di rumah untuk anak-anak mereka. Konsepnya sangat menarik sehingga empunya blog ini boleh membina sebuah rumah kecil seperti peti surat dan diletakkan buku-buku cerita untuk ditukar baca dengan kejiranan yang lain. Wah! Di Barat boleh sampai ke tahap itu.

Ini blognya : http://www.obseussed.com

Contoh-contoh gambar dari laman web ini.




Menarik, bukan? Terutama idea 'Start a Neighbourhood Book Exchange' ini.

Dapat membina sudut bacaan terbuka untuk anak-anak di kampung ini pun jadilah. Saya mahu mereka minat dengan buku sedari usia kecil lagi. Ada tokoh menukilkan membaca di usia kecil ini umpama memahat pada batu bermakna ingatan mereka terlekat kuat dan tersimpan di dalam minda mereka beberapa lama. Wallahualam :)

Selasa, 3 Julai 2012

Beruno

Buku kanak-kanak ini adalah terbitan Jemari Seni Sdn Bhd. Hasil belian di PBAKL baru-baru ini. Sebenarnya sudah lama saya tidak membeli buku keluaran JS. Sudah ada untuk kategori kanak-kanak rupanya.

Macam mana saya boleh tergerak untuk membeli buku ini? Sudah pasti kerana terpengaruh dengan ulasan seorang pembaca Beruno di Goodreads :D Kulit hadapan buku juga nampak misteri.

Kisah dimulakan dengan cerita seorang lelaki yang dihantui bebanan hutang dengan Along dan merancang melarikan diri membawa ahli keluarganya ke sebuah tempat yang selamat. Entah bagaimana, dia teringat tempat yang pernah dihuninya suatu ketika dahulu. Sebuah kawasan terpencil terletak di balik hutan tebal. Beruno.

Tanpa mengetahui sebab yang jelas, isteri dan anaknya menurut sahaja si suami berpindah rumah. Hari pertama di Beruno, mereka terus memindahkan dan mengemaskan barang-barang. Anak lelaki mereka yang biasa lasak dan aktif mulai terasa bosan dan mengambil keputusan keluar berjalan-jalan melihat kawasan kampung. Di dalam hatinya berasa pelik dengan keadaan sunyi di kampung itu. Berlawanan dengan apa yang diperkatakan oleh ayahnya. Satu ketika dahulu kampung ini meriah dengan penduduk yang mesra dan kanak-kanak yang riang bermain.

Dia tertarik dengan sebuah rumah tidak jauh dari tempat dia berjalan. Agak menakutkan. Sunyi sahaja. Tetapi ada penghuni! Pasangan dua beradik yang tinggal di situ menjemputnya masuk ke rumah. Namun perkara pelik sekali berlaku. Salah seorang dari tuan rumah itu sentiasa sinis dan menyuruhnya segera keluar dari kampung itu. Jiran yang aneh.

Tanpa mereka sekeluarga sedari. ini adalah satu perangkap yang dibuat oleh ketua kampung itu supaya lelaki itu pulang ke kampung tersebut. Sebenarnya, sejak beberapa tahun kebelakangan, penduduk kampung telah kehabisan sumber makanan di hutan itu. Maka alternatif lain terpaksa mereka ambil. Menjadi kanibal!! Setiap penduduk baru yang datang ke kampung itu akan menikmati kehidupan tidak sampai 24 jam di situ sebelum menjadi hidangan kepada penduduk-penduduk yang lain.

Taktiknya ialah pada malam pertama mereka di kampung itu mereka akan dijemput menghadiri jamuan makan yang diadakan kononnya meraikan kedatangan mereka sebagai orang baru. Walhal kedatangan mereka itu menandakan mereka akan menjadi korban selepas jamuan tersebut. Aduh, kejamnya...

Nak tahu selanjutnya, dapatkan buku ini ya. Lihat sama ada mereka sekeluarga berjaya melarikan diri atau tidak dari kampung itu. Ini kerana laluan keluar masuk kampung telah dikawal rapi oleh orang-orang suruhan ketua kampung.

Allah subhanahu wa taala berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 172 dan 173 yang berbunyi :

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Dalam cerita ini, keadaan tidaklah darurat seperti yang dimaksudkan di dalam ayat. Terdapat sebatang sungai yang mengairi kampung ini, mereka boleh sahaja dapatkan sumber makanan dari situ. Alasan tidak sedap dan tidak kena selera hanya alasan sahaja.

Janganlah wujud perkampungan sebegini di dunia... :) Tahniah kepada Dihsar Ludba Haqifa kerana berjaya menghasilkan cerita yang lain daripada biasa. Saya "recommend" pada anak-anak didik.

Ahad, 1 Julai 2012

Hujung minggu

Hari ini bersiap awal membawa empat orang cilik ke Perpustakaan Awam Negeri Melaka. Tujuannya menyiapkan kerja bagi satu pertandingan. Riuh-rendah dengan tiga pasangan adik-beradik dan seorang rakan mereka ini.

Tiba di perpustakaan jam menghampiri 10.30 pagi. Oh, nak simpan beg dalam loker berkunci dan caj komputer riba dikenakan bayaran. RM1 untuk loker berkunci dan RM1 bagi dua jam penggunaan suis.

Perpustakaan kanak-kanak ini memanjang. Di pintu masuk sebelah kanan ada kaunter peminjaman dan pemulangan buku tetapi tadi tiada petugas. Hanya menggunakan kaunter utama di pintu masuk perpustakaan. Tengah-tengah kawasan disambut dengan beberapa kerusi dan kotak buku, kerusi yang berbentuk kereta kartun dan ada kerusi lebar tempat membaca. Buku-buku tersusun pada rak-rak yang terletak di sebelah kanan. Ada banyak rak yang menempatkan kategori umum, koleksi Lincoln, Enid Blyton, Kesenian, Kebudayaan, Kesusasteraan, Jawi dan beberapa kategori lagi.


Keadaan perpustakaan kanak-kanak agak lengang. Seronok mereka memilih bahan-bahan. Hanya pada waktu tengahari sahaja perpustakaan mulai penuh dengan kanak-kanak dan ibu bapa masing-masing. Diam-diam saya memerhatikan, ramai ibu bapa Melayu, Cina dan India membawa anak berkunjung ke sini dan meminjam buku. Ramai juga membawa bayi dan anak kecil.

Malangnya adik-adik yang saya bawa ini tidak membawa kad pengenalan atau surat beranak. Saya pun terlupa mengingatkan.. Bagi menjadi ahli PERPUSTAM, kanak-kanak di bawah 12 tahun diminta memberikan 1 salinan kad pengenalan atau surat beranak. Oleh itu, terpaksalah mereka menaip bahan-bahan ke dalam komputer riba yang saya bawa.


Hampir 1 tengahari baru kami pulang. Semoga lawatan ke sini memberi manfaat yang tidak sedikit buat mereka dan saya.


Sabtu, 30 Jun 2012

Emmy and the Incredible Shrinking Rat

Buku kanak-kanak terbitan Scholastic ini sekali lagi saya pinjam dari Pusat Sumber Sekolah.

Selepas beberapa muka dibaca, baru saya perasan. Mengapa ya banyak juga buku berkisar tentang tikus? Aduhai.. ironinya minggu lepas anak jiran meninggal kerana terkena virus kencing tikus.

Emmy and The Shrinking Rat ini mempunyai plot yang cepat. Keluarga Emmy asalnya tinggal di sebuah rumah kecil dan membuka sebuah kedai buku. Tidak lama kemudian, mereka berpindah ke sebuah rumah besar yang diwasiatkan oleh datuk Emmy kepada mereka. Kehidupan Emmy berubah. Ibu dan bapanya selalu melancong ke serata dunia meninggalkannya bersama pembantu-pembantu rumah. Emmy tidak begitu kisah dengan perkara yang terjadi kerana jadual hariannya juga sangat padat. Menghadiri kelas bahasa Perancis, kelas gimnastik, sukan dan sebagainya.

Apa yang peliknya ialah Emmy tiada rakan di sekolah. Malah guru-gurunya juga seperti tidak menyedari kewujudannya di dalam kelas walhal prestasinya sangat cemerlang. Namanya juga tidak diingati oleh semua orang.

Dalam masa yang sama ada seekor tikus peliharaan yang berada di dalam kelas mereka. Tikus kecil ini dijumpai oleh guru mereka lalu diletakkan di dalam sangkar sebagai haiwan peliharaan. Dalam satu kejadian Emmy boleh memahami percakapan tikus kecil itu hanya kerana terkena sekali gigitan si tikus kecil. Ada lagi seorang budak yang sama dengan Emmy, namanya Brian.

Mengapa semua orang tidak mengenali Emmy? Adakah rahsia yang menyebabkan perkara itu terjadi?

Ya, persoalannya terjawab di bahagian tengah cerita membawa ke pengakhiran.

Ada sebuah kedai usang di satu lorong terpencil di pekan tempat Emmy biasa menemani pembantu rumahnya membeli barang Dia tergerak untuk melalui kawasan itu dan melihat-lihat apa yang ada. Oh, tanpa disangka perkenalannya dengan anak saudara pemilik kedai itu membawa dia kepada bilik yang dipenuhi haiwan yang mempunyai kelebihan ajaib. Salah seekornya ialah tikus kecil yang mirip tikus di kelasnya.

Bermula penyiasatan Emmy dan rakannya dan membongkar rancangan jahat pembantu rumahnya yang ingin merampas harta kekayaan milik datuknya itu. Banyak cabaran ditempuhi sehingga Emmy pernah mengecil menjadi sebesar saiz kacang, memasuki kota bawah tanah yang dibina oleh tikus-tikus cerdik, berjumpa dengan profesor yang merintis kajian tikus ajaib ini dan berusaha mengembalikan ibu bapanya kepada keadaan yang normal.

Menarik tetapi saya rasakan plotnya begitu cepat sehingga saya terpaksa mengulang beberapa bahagian. "Eh, bila dia membesar semula?" , "Macam mana dia boleh kembali ke sini semula?"  Hehe..


Apa moralnya ya.. Harta dan kekayaan dunia memang boleh membuatkan seseorang itu menjadi tamak dan haloba. Begitulah jika tidak dipandu dengan iman dan akal yang waras, syaitan mudah sahaja membisikkan tipu dayanya yang 'brilliant' tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke juga. Allah pernah berfirman bahawa kebatilan itu tetap akan terhapus oleh kebaikan.

Begitu dengan Islam. Sehebat mana pun perancangan orang kafir menjatuhkan agama ini, mereka tetap tidak akan berjaya kerana Allah memelihara kesucian agama ini sehingga akhirat nanti. Wallahualam :)

Selasa, 19 Jun 2012

Diari Musafir : Jangan Berhenti Berlari

Buku setebal 448 muka surat ini sarat dengan mutiara ilmu hasil pengalaman dan pandangan penulis sepanjang kehidupannya.

Membaca mukaddimahnya sahaja sudah cukup mengujakan.

Banyak kata-kata penulis membuatkan saya muhasabah diri. Terutama apabila melihat keazamannya yang tinggi dalam menuntut ilmu serta penelitiannya dalam menjaga keberkatan rezeki. Masya Allah..

Dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar juga penulis menyeru supaya kita bersama-sama menggali ilmu sedalam mungkin sebagai benih untuk membolehkan kita mengenal mana yang baik dan mana yang buruk. Hanya melalui jalan ini kita dapat melaksanakan tugas (amar makruf nahi munkar) dengan lebih baik.

Hendak tunggu sehingga diri cukup ilmu dan sempurna tidak akan dapat tercapai melainkan ianya berlaku beriringan.

Tertarik dengan hadis ini :

"Sesungguhnya Allah, malaikat-Nya, penduduk langit dibumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan akan pasti mendoakan (kebaikan) buat orang yang mengajar manusia ilmu kebaikan (agama)." [Riwayat Tirmizi, 5/50 : Tirmizi : Ghorib, Albani : Sahih]

Selain itu dapat saya lihat motivasi diri penulis sangat tinggi dan beliau menukilkan kata-kata ini di akhir mukaddimahnya :

Jangan jadikan pujian manusia sebagai motivasi unggul kerana ia akan mencelamu di kemudian hari.

Jangan jadikan duit sebagai motivasi unggul kerana ia akan hilang dan habis.

Jangan jadikan pangkat sebagai motivasi unggul kerana ia juga akan tamat dan menjadi punca hasad dengki.

Jangan jadikan keluarga sebagai motivasi unggul kerana mereka akan mati jua.

Jadikan Allah, Rasul-Nya dan syurga yang dijanjikan-Nya sebagai motivasi, nescaya Allah tidak akan mati dan janji-Nya tidak akan mengecewakannya. (m/s 24 - 25).

Titip beliau lagi, aturlah perancangan dengan betul dan bukan secara spontan tanpa hala tuju yang jelas bagi memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Bab-bab seterusnya menceritakan pengalaman beliau di alam kampus, di alam pekerjaan serta pengalaman-pengalaman hidup yang sangat bermanfaat dikongsi bersama.

Barakallahufik.

Rabu, 30 Mei 2012

Buku oh buku

Dalam beberapa minggu ini lepas satu, satu buku dibaca tapi malasnya saya mahu buat reviu. Bagai tidak datang idea mahu buat ulasan. Mengapa ya? Mungkin saya rasa seperti tidak layak mahu buat ulasan untuk buku sebagus itu :) Baru saya sedar saya banyak membeli buku 'blook'. Eh, betulkah ejaan dan istilah yang saya gunakan ini? Bagi pengetahuan saya yang sangat cetek ini, blook ini ialah buku yang terbit "dari blog ke buku".

Saya sudah selesai membaca Bukan Sekadar Resipi (Roza Roslan), I Want To Be A Writer (Ummu Hani Abu Hassan) dan Diari Musafir Jangan Berhenti 'Berlari' (UZAR). Kini sedang mengulit Di Hamparan Shamrock (Ustaz Hasrizal).



Mungkin apabila 'semangat' menulis reviu saya kembali, saya akan kongsikan ulasan saya di sini insya Allah. Apa yang pasti saya mengutip banyak ibrah dari perjalanan hidup insan-insan istimewa ini. Mana ada orang berjaya tanpa melalui dugaan hidup. Cuma bezanya cara tanggapan seseorang terhadap ujian yang dihadapinya. Masih terlalu kerdil rasanya diri saya berbanding mereka.

Hanya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam yang benar-benar insan yang kuat menghadapi dugaan hidup. Sehinggakan Allah memujinya di dalam al-Quran.

Bagi saya sejak lama dahulu saya 'mengagumi' para penulis kerana dikurniakan bakat untuk menulis dan dapat mencoretkan pelbagai cerita. (Ini kisah saya semasa kecil dahululah.) Tapi kini saya tahu bahawa ianya boleh dipeljari dan diasah. Bukan sekadar bakat sahaja.

Ada peribahasa Cina mengatakan : Dengan wang kamu hanya boleh membeli buku tetapi tidak boleh membeli ilmu. Dipetik dari dalam buku Mukmin Profesional (Ustaz Pahrol, Telaga Biru 2010)

Sabtu, 12 Mei 2012

Bukan Sekadar Resipi

Saya dalam mood pasca-PBAKL. Mahu menghabiskan bacaan buku-buku yang dibeli itu. Haha, sepertinya boleh kenyang dengan buku sahaja ya. Minggu ini adalah minggu peperiksaan. Oleh itu saya dapat mencuri sedikit waktu untuk membaca di sekolah. (Opss...ingat cikgu, free period adalah waktu bekerja. Huk..huk..).

Yalah, saya selang-selikan dengan menanda kertas jawapan, menyiapkan draf pengkarya guru, memikirkan isi P&P minggu hadapan, membuat bahan bantu mengajar dan... membaca!

Tanpa saya sedari sudah wujud suasana membaca di sekolah saya. Sejak bila ya? Saya pun tidak perasan. Saya lihat PPM, rakan-rakan guru khusyuk membaca buku atau majalah apabila waktu terluang. Wah, satu perkembangan yang positif! Suka, suka, suka :)

Oh, jauhnya saya melalut.


Sumber gambar : Blog Prof Kamil

Baik. Buku Bukan Sekadar Resipi ini saya beli di booth Galeri Ilmu. Hasil karya Puan Roza Roslan.

Membaca buku ini membuatkan otak saya sentiasa berfikir.  Ya, ceritanya biasa-biasa sahaja. Ada pada semua orang namun cara pengolahan ceritanya membuatkan ia menjadi istimewa dan bermakna.

Kata-katanya terus sampai ke hati.

Sesuatu resipi yang renyah untuk dibuat akan menjadi mudah sekiranya dibuat dengan kasih sayang.

Tiada satu pun resipi di dunia ini yang tersilap tetapi mungkin pengalaman dan pengetahuan kita sahaja yang kurang menyebabkan resipi itu tidak seperti rasa yang asalnya.

Penulis berkongsi pengalaman hidup dan ilmu melalui resipi yang diperolehi. Masya ALLAH...kehebatan Allah dapat dirasai dalam setiap masakan. Nikmat yang manakah lagi mahu didustakan?