Rabu, 13 Februari 2013

Tekad ~ Rejab F.I

Sumber gambar : http://pts.com.my/buku/tekad/
Sumber buku : Sumbangan PTS semasa Kursus Pengkarya Guru 2012
Tarikh baca : 13 Februari 2013

Terinspirasi dari kata-kata guru mereka, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan" membuka langkah bagi Dali dan Siraj dalam memulakan perniagaan kecil-kecilan mereka.

Bagi mengisi cuti sekolah hujung tahun selama 7 minggu, dua sahabat baik ini merangka strategi untuk berniaga telur ayam. Satu perancangan yang teliti meskipun nampak mudah.

Bermula dengan pencarian modal (daripada kedua ibu bapa mereka), bertanyakan harga di kedai ang hanya membeli dan menjual telur di bandar, dan memulakan perancangan membeli telur di kampung-kampung berdekatan.

Semangat mereka tinggi bagi berniaga kerana matlamat mereka antara lain ingin menceburkan diri dalam bidang yang dimonopoli oleh bangsa Cina dan menggalakkan orang Melayu untuk berniaga.

Adat berniaga, sudah pasti ada halangan dan cabarannya. Tidak disangka, peniaga kecil seperti mereka ini pun ada orang mahu membuat dengki. Ada pemborong telur lain yang menggunakan taktik kotor menyekat hasrat murni dua sahabat ini. Namun, masih ada yang sudi membela dan memberi sokongan kepada mereka. Inilah semangat yang kita mahu. Saling tolong-menolong dan menyokong antara satu sama lain.

Paling penting semangat kerjasama yang ditunjukkan dan fikiran positif sangat membantu.

Cerita yang sangat bagus dibaca oleh anak-anak kita. Rupanya buku ini merupakan pengalaman penulis sendiri satu masa dahulu :)

* Gambar buku yang saya ada lain daripada gambar yang ada di PTS. Mungkin gambar buku telah dikemaskini dengan lukisan baru.

Jumaat, 8 Februari 2013

10 Tokoh Idola Muslimah ~

Sumber gambar : PTS
Sumber : http://www.stormreaders.net/ummukhaulah
Tamat baca : 5 Februari 2013

Memaparkan perjalanan hidup dan kisah yang boleh diambil iktibar daripada 10 orang muslimah terulung yang tercatat dalam sirah. Bonda Rasulullah, Aminah, Saidatina Khadijah, Aisyah, Siti Hajar, Siti Sarah, Fatimah Az-Zahra, Siti Zulaikha, Asma' bt Abu Bakar, Asiah isteri Firaun dan Siti Rahmah.

Setiap tokoh diberitakan kisah hidup diikuti dengan ulasan ringkas penulis dan seterusnya tazkirah ringkas berkisar kehidupan semasa, mengupas isu-isu tertentu dan nasihat bagi ingatan bersama.

Rabu, 6 Februari 2013

Bacaan Januari 2013

1. Ibu Kool Bapa Hebat
2. Kisah Rasul Pilihan 1
3. Saad Abu Waqas
4. Art of Deception
5. Mama, Saya Lapar
6. Holiday Activity Book
7. Saat Berharga untuk Anak Kita
8. Permainan Minda untuk Bayi : Aktiviti bersama ibu bapa
9. Cinta Tiga Rasa

10. Langsir Biji Remia

Selasa, 5 Februari 2013

GTO Guru Terhebat Olan ~ AD Mirzai

Sumber gambar : PTS
Judul buku : GTO : Guru Terhebat Olan
Penulis : AD Mirzai
Penerbit : PTS
Bil muka surat : 400
Sumber : Popular Jusco Bandaraya Melaka
Harga : RM17.90
Tarikh baca : 2-5 Februari 2013

Sekilas melihat tajuk, teringat kepada satu siri drama Jepun satu ketika dahulu yang bertajuk Great Teacher Onizuka. Saya sudah lupa jalan ceritanya. Yang pasti waktu itu filem / drama Jepun memang sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen. Sempat jugalah jadi penonton tegar. Huhu...Astaghfirullah....

Sememangnya ceritanya sangat 'klise' dengan kehidupan remaja sekolah tetapi garapan penulis sangat menarik perhatian saya. Kurang sedikt tekanan yang dialami di tempat kerja :) Kadang-kala tersenyum sendiri, kadang-kala termangu-mangu juga :)

Cikgu Olan bin Ngadiman baru sahaja ditukarkan ke Kolej Bistara dari pedalaman Sabah. Sekolah berasrama penuh ini menempatkan kelas projek yang mana para eplajarnya di ambil dari keputusan yang kurang cemerlang dalam PMR yang lalu. Kelas projek ditubuhkan oleh kementerian pelajaran bagi menangkis tanggapan umum bahawa prestasi cemerlang mereka adalah disebabkan pemilihan para pelajar.

Sejak dari mula Cikgu Olan sudah dimomokkan dengan kenakakan kelas tersebut sehingga menyebabkan semua guru trauma untuk mengajar kelas ini. Ditambah pula dengan kes berpindahnya Cikgu Razak sebelum ini secara tiba-tiba. Tidak kurang juga ada yang membenci pelajar-pelajar kelas tersebut.

Latar belakang pelajar 4 Jaya (kelas projek) ini pelbagai. Hari pertama sahaja Cikgu Olan sudah dikenakan oleh mereka. Bermulalah misi Cikgu Olan dalam mengatur strategi supaya anak didiknya ini berubah.

Yang paling saya kagum ialah kesungguhan Cikgu Olan menyerahkan harapan dan permintaannya kepada Allah lewat munajat malamnya setiap hari. Saya kira inilah kekuatan Cikgu Olan dalam mengubah pelajarnya.

Banyak sindiran halus dan kata-kata sinis menyentuh aspek sosial, politik dan kepimpinan, pendidikan yang menjadi isu semasa di negara kita serta kalimah-kalimah tazkirah yang disampaikan secara langsung dan tidak langsung melalui watak-watak pelajar Cikgu Olan :)