Ahad, 20 Julai 2014

Buku 38 : Dunia Masakan Chef Sabri


Sumber gambar- nice-book-collections.blogspot.com


Bismillahirrahmanirrahim.

Buku Dunia Masakan Chef Sabri ini terbitan Telaga Biru setebal 172 muka surat terbahagi kepada empat bab utama.

Mengapa saya membaca buku ini? Kerana beliau adalah chef "islamik" pertama yang saya kenali. Jangan salah sangka. Beberapa tahun lepas saya selalu juga mendengar IKIM dan rancangan yang biasa terdengar ialah slot bersama beliau. Dari situ saya dan suami tertarik dengan personalitinya. Namun baru kini berkesempatan membaca buku ini.

Master Chef Sabri berkongsi pengalamannya sejak kecil bagaimana beliau meminati bidang masakan sehingga kepada melanjutkan pelajaran dalam bidang ini seterusnya menjadi pakar.

Apa yang menarik ialah pandangannya tentang kerjaya chef ini adalah sama seperti doktor. Doktor menyelamatkan pesakit dan chef menyelamatkan manusia dengan menyediakan makanan yang bersih lagi sihat. Subhanallah.

Memasak sendiri dapat menjamin kehalalan masakan dan hati yang ikhlas dapat melahirkan makanan yang sedap dan berkat :)

Tidak lupa, beliau berkongsi teknik ukiran ais, memperkenalkan jenis-jenis pisau yang digunakan oleh chef, resipi yang menyelerakan, petua dan adab makan minum menurut sunnah.

Barakallahufik.


*** petua buah peria tidak pahit.
Hiris peria, gaul dengan garam, perap 25 minit, basuh dengan air mengalir beberapa kali dan toskan.

*** tip lembutkan daging : perap daging yang telah dihiris dengan minyak, betik muda dan sedikit air limau nipis. Kemudian baru dimasak.

*** rendam sayur (kobis dan lobak) dalam ais garam supaya sayur coleslaw tetap rangup.

Jumaat, 18 Julai 2014

Buku 37 : Cikgu, Anak Saya Okey? oleh Wan Zayuhisyam Wan Yusoff



Bismillahirrahmanirrahim.

PRIHATIN. 

Perkataan sesuai menggambarkan keseluruhan buku ini.

Perkongsian 20 bab merangkumi 17 tahun pengalaman penulis sebagai seorang pendidik. Penulis berkongsi kisah kehidupan, masalah murid yang dihadapi, tip dan cara menangani.

Tanggungjawab berdakwah bukan terletak pada Jabatan Agama Islam mahupun ustaz ustazah sahaja. Namun pada kita semua. Meskipun kita kurang mahir dalam pengetahuan agama Islam namun kita boleh memberi bantuan dari sudut tenaga dan kewangan. Sangat setuju dengan kenyataan ini.

Dalam menghadapi cabaran pengaruh hiburan yang kuat di luar sana guru-guru agama di sekolah boleh membuat penjenamaan semula program agama di sekolah. Daripada ceramah agama mungkin ditukar bentuk kepada karnival, pertunjukan busana muslimah, pencarian pengacara muda dengan kerjasama BTPN dan lain-lain.

Penekanan terhadap solat turut dititikberatkan kepada anak-anak murid kita kerana solat yang terjaga akan sekaligus mengawal akhlak dan memberi kesan baik kepada kehidupan seseorang. Subhanallah. Bukan mudah tugas seorang guru.

Sehari-hari menghadap pelbagai kerenah murid, ibu bapa dan masyarakat. Barangkali mencecah ratusan perangai namun harus ditangani dengan bijaksana oleh pihak sekolah. Tip dari penulis ialah memberi salam, berjabat tangan, senyum, bersikap lemah-lembut dan menjadi pendengar yang baik tatkala menghadapi ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan sekolah.

Pesan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam : 

Kamu tidak akan masuk syurga kecuali kamu beriman dan tidak sempurnalah iman kamu sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah aku beritahu kepada kamu sesuatu yang apabila kamu lakukan boleh mencetuskan kasih sayang di antara satu sama lain? Iaitu sebarkan salam di antara kamu sesama muslim . (Hadis Riwayat Muslim).

Antara masalah murid-murid ialah datang lewat ke sekolah. Alasan popular yang diberi ialah bangun lambat. 5 tip bangun awal oleh penulis :
1. Tidur awal
2. Berdoa sebelum tidur
3. Berniat (bangun awal) sebelum tidur
4. Berwuduk sebelum tidur
5. Amalkan berzikir

Hmm..apabila berdepan dengan masalah fikirkan cara penyelesaian dan bukan mencari siapa dan punca penyebab masalah. Adakalanya betul juga cara ini :) Hal ini saya kira berkait rapat dengan pengurusan masa seseorang guru. Tugasan utama guru adalah mengajar namun hakikatnya guru mempunyai banyak tugasan sampingan yang perlu ditunaikan. Maka, perkongsian pintar oleh penulis dalam menyelesaikan tugasan harian dilihat sangat menarik dan membantu.

Penulis memberi contoh jadual tugasan yang disertakan nama guru, tugasan yang perlu dibuat minggu ini, tugasan yang perlu dilakukan hari ini (disusun ikut keutamaan) dan ruang catatan. Letakkan di atas meja atau ditampal pada dinding. Semoga dengan cara ini pengurusan cara kerja kita dapat dipertingkatkan lagi.

Satu lagi perkara yang tidak boleh diambil endah. 

Remaja bercinta.

Penulis menyatakan kebimbangan lantaran beberapa fakta menunjukkan kadar pelajar sekolah yang hamil luar nikah meningkat saban tahun. Peringatan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam : 

"Kedua-dua mata dapat berzina dan zina kedua-duanya adalah melihat. Kedua-dua telinga dapat berzina dan zina kedua-duanya adalah mendengar. Lidah zinanya dengan berbicara. Tangan zinanya dengan menyentuh. Kaki zinanya dengan melangkah. Hati zinanya dengan berhasrat dan mengingini. Dan kemaluan akan membenarkan atau mendustakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Kita tidak mampu menyekat murid bercinta tetapi kita mampu membimbing dan mendidik hati mereka agar kenal dengan cinta sejati dan tulus ikhlas.

Daripada Abu Mas'ud al-Ansari r.a, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda, maksudnya : Sesiapa yang menunjukkan seseorang kepada kebaikan, dia mendapat ganjaran amalannya itu dan ganjaran seumpama orang yang mengikutinya. (Hadis Riwayat Muslim) 

Masya Allah. Melalui 20 bab pengalaman mendidik penulis banyak sungguh yang dapat dikutip. Tidak lupa juga panduan berkeluarga oleh Imam Hassan al-Banna yang dititip oleh penulis wajar dijadikan contoh teladan agar institusi kekeluargaan terpelihara baik dan menjadikan anak-anak kita tenang emosi dan berakhlak baik.

Imam Hassan al-Banna mewujudkan perkara berikut di dalam rumah tangganya : 

1. Persekitaran yang baik
2. Makan bersama
3. Tidak meninggikan suara
4. Memberikan cinta dan kasih sayang
5. Didikan melalui teladan
6. Formula tersendiri dalam menghukum

Hukuman paling berat dikenakan terhadap anaknya ialah tarik telinga. T_T "Seberat" itu sahaja. Masya Allah.

Ya Allah kurniakan kami ilmu yang bermanfaat. Barakallahufik Ustaz Wan Zayuhisyam.

P/s : ini sudah jadi catatan pembacaan. Terlalu panjang untuk jadi ulasan buku. Hee..

Khamis, 17 Julai 2014

Buku 36 : Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori oleh Salleh De Ran


Bismillahirrahmanirrahim.

Oh New Zealand! Indahnya Bumi Maori merupakan sebuah buku travelog pengembaraan untuk remaja terbitan PTS Pro. Ini adalah buku ketiga dalam siri ini yang saya baca. Sebelum ini pernah membaca Oh London! dan Oh Tanah Suci! Ini merupakan pertama kali saya membaca buku penulis Salleh De Ran.

New Zealand dinamakan Aotearoa yang bermaksud tanah berawan putih yang panjang. Sebuah negara kepulauan yang sangat cantik dan merupakan negara empat musim.

Menarik sekali apabila kejadian empat musim ini dikaitkan dengan kekuasaan Allah. Musim panas dikaitkan dengan kepanasan api neraka, musim sejuk dikaitkan dengan cengkaman kesejukan dalam neraka yang paling sejuk, musim luruh di mana petani mengumpul sisa-sisa buah boleh diandaikan kita mengumpul bekalan menuju akhirat dan musim bunga dikaitkan dengan keseronokan dan nikmat berada di syurga.

Tiga sahabat ; Ismad, Nazmie dan Fadzli melancong ke New Zealand bersama-sama pada musim sejuk. Ismad pergi atas jemputan bapa saudaranya manakala Fadzli atas tujuan menziarahi abang kandungnya yang bekerja di sana dan Nazmie menemani Fadzli.

Selain diceritakan keunikan dan keindahan bumi New Zealand, mereka turut mengenali beberapa susuk anak Melayu yang berjaya membina kerjaya di sana seperti Encik Abdul Aziz yang membina Mesra Homestay NZ, abang Fadzli yang menjadi anak Melayu pertama menubuhkan bengkel membaiki kenderaan (Canterbury Automotive & Auto Electrical Limited) dan Encik Ishak Mahyuddin membina perniagaan perkhidmatan katering dan membina Balai Islam di Christchurch atau dikenali sebagai Cristchurch Islamic Community Centre (CICC).

Tentu sekali pengalaman melalui pembacaan tidak sama dengan pengalaman pergi sendiri ke negara berkenaan namun sekurang-kurangnya gambaran awal telah diberikan dan dapat menjadi pengetahuan asas buat pembaca.

Sejarah panjang New Zealand, asal-usul kewujudan bangsa Maori, budaya penduduk pribumi di sana, iklim, tempat menarik untuk dilawati, kisah buah kiwi dan burung kiwi pasti menggamit rasa.

Isnin, 14 Julai 2014

Buku 35 : Aku Melayu di Kota Inggeris oleh Muhaimin Sulam

Bismillahirrahmanirrahim. 

Menelusuri catatan travelog penulis selama berada di Bumi Hamlet membawa kita ke horizon ilmu yang luas. Catatan perbandingan suasana di Swansea dan Malaysia mengandungi pelbagai isu merangkumi budaya, sosial dan politik.

"Merantau atau hidup bermusafir mengajar erti kehidupan yang sebenarnya. Kita bukan sahaja dapat mengenali tempat, budaya, adat resam dan pemikiran masyarakat asing. Tetapi kita juga dapat mengenali diri kita yang sebenarnya."

Kagum dengan beliau yang melanjutkan pelajaran menggunakan wang sendiri. Masya Allah.

Permulaan awal naskah ini menceritakan suasana di Swansea dan sekitar tempat pengajian beliau disamping membuat perbandingan secara rinci dengan keadaan di Malaysia. Misalnya sikap peramah dan suka memuji rakyat di sana berbanding orang Melayu yang cenderung bersikap kasar dan dengki.

Agak tertarik dengan petani di sana yang kreatif menjadikan ladang pertanian dan aktiviti penternakan sebagai salah satu sumber pendapatan atau sebagai tempat tumpuan orang ramai. Boleh makan buah-buahan secara percuma dan dikenakan sedikit bayaran jika mahu membawa pulang.

Acara demonstrasi turut diajar kepada kanak-kanak sekolah. Wah, sampai begitu sekali bidang pendidikan memberi peluang begitu kepada generasi mereka. Mereka diajar cara-cara berdemonstrasi kerana ia salah satu cara meningkatkan keyakinan diri dalam bersosial dengan masyarakat. Malahan masyarakat turut memberi respon yang positif.

Yalah, lain padang lain belalang. 

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

Namun kini kedua-duanya hujan batu! ^_^

*Bahagian yang tidak seronok ialah berlaku masalah cetakan pada buku ini. Muka surat 115-146 dicetak dua kali. Terus ke muka surat 179. Hilang sebahagian besar catatan Travelog 2 :'(

Khamis, 10 Julai 2014

Buku 34 : Madame Bokary oleh Pelangi bin Awan dan Fikri Kacak

Bismillahirrahmanirrahim. 

Cukup rencah rasa di dalam buku ini. Ada manis, ada masam, ada masin dan sedikit pahit.

Oh, dedikasi khas cerita-cerita mengenai ibu sendiri. Jarang ada buku sebegini. Santai tapi mendalam. 

Nampak kasih sayang seorang anak buat ibu yang dikasihi tetapi "dikaburi" dengan tulisan ayat yang "straight forward".

Dua penulis, berbeza cara penyampaian tetapi menghantar mesej yang sama. Seorang (Fikri Kacak) sangat santai dengan lawak jenaka tetapi berkesan. Seorang lagi (Pelangi bin Awan) agak serius tetapi mendalam.

Tersengih-sengih seorang diri ketika membaca buku ini. Sesekali tersedar memandang juga sekeliling. Takut dikatakan apa pula oleh orang lain. Fikri Kacak, memang ada bakat menukilkan momen indah bersama ibu yang nampak biasa-biasa sahaja di mata orang lain.

Pelangi bin Awan, dalam diam menyimpan banyak cerita. Masih banyak lagi sisi cerita mengenai ibu yang boleh dinukilkan. Bukan untuk "saja-saja" namun sebagai satu penghargaan buat ibu. 

Kagum dengan ibunya, sudah lama aplikasikan teknik keibubapaan yang mula dipopularkan sekarang. Antaranya ialah teknik pujian (puji tindakan dan bukan orangnya). 

Paling terkesan dengan "The Greatest Parents".

"Bagaimana anak-anak mengeja sayang kepada kita?"

S.a.y.a.n.g.

Salah!," ujar Profesor Haji Hanim.

"M.a.s.a.", tulis Prof.

Sebanyak mana masa yang kita berikan dan luangkan kepada anak-anak kita. Sebanyak itulah sayang mereka kepada kita."

Subhanallah. Barakallahufikum.

Buku 33 : Ibu, Kuingin Tahu oleh Nur Khairunnisa Iskandar

Judul buku : Ibu, Kuingin Tahu
Penulis : Nur Khairunnisa Iskandar
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Harga : RM26.00
Muka surat : 163

Bismillahirrahmanirrahim.

Anak yang dianugerahkan oleh Allah adalah unik dan setiap seorang mempunyai personaliti tersendiri.

Ibu bapa adalah guru pertama anak-anak sebelum mereka melangkah ke sekolah dan rumah menjadi madrasah pertama yang menjadi tempat tarbiah anak-anak.

Pakar perkembangan kanak-kanak banyak mengatakan usia seawal dua atau tiga tahun pertama merupakan tahap perkembangan optimum kanak-kanak. Pada masa ini mereka mampu menyerap dan meniru apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka.

Tiga tahun bersamaan dengan 1097 hari. Masya Allah! Bayangkan sekiranya kita dapat memanfaatkan hari-hari tersebut bersama anak kita. Subhanallah.

Buku ini tampil membuat perkongsian cara yang kreatif dalam memperkenalkan Allah dan Islam kepada anak kecil. Ya, ramai yang tidak tahu di usia manakah kita sudah boleh memperkenalkan Allah kepada anak kecil. Adakah semasa baru lahir, 3-4 bulan atau selepas 2 tahun ketika dia sudah petah bercakap? Jawapannya tiada had umur. Bila-bila masa sahaja kita boleh memperkenalkan Allah dan menerapkan kefahaman Islam dalam diri anak-anak kita.

Membaca buku ini membuatkan saya terasa kerdil. Proses pengajaran dan pembelajaran antara ibu bapa dan anak harus berjalan tanpa ada rasa jemu atau putus asa. Banyak situasi yang kita terlepas pandang yang boleh digunakan dalam mentarbiah anak kita. Sebenarnya ia mudah tetapi disebabkan tidak terbuka hati maka ianya terhijab.

Penulis berkongsi panduan :

☆ cara efektif mendidik anak menggunakan pendekatan kreatif
☆ memancing minat anak mempelajari perkara baru berkaitan solat dan ibadah lain
☆ kepimpinan melalui teladan
☆ alternatif mendidik anak dan diri sendiri

(Muka surat xi)

Berpandukan lima kuasa keramat minda (KKM) iaitu mengambil bait dalam azan ;

1. "Tiada tuhan melainkan Allah". Itu pegangan kita.
2. "Muhammad itu pesuruh Allah". Itu cara hidup kita.
3. "Marilah menunaikan solat". Itu strategi kita.
4. "Marilah menuju kejayaan". Itu matlamat kita.
5. "Allah Maha Besar". Itu pergantungan dan talian hayat kita.

...seharusnya ada kesinambungan dalam proses pendidikan anak seterusnya supaya ilmu yang mencukupi dapat dicurahkan kepada anak dalam menjadi muslim sejati.

Sebanyak 17 soalan dikongsikan bersama pembaca dan setiap satunya diiringi penerangan, tip pendidikan anak, mutiara hadis, cadangan bahan bacaan lanjutan dan Nota Untuk Ibu.

Saya tertarik dengan 4 aplikasi memberi jawapan yang boleh digunakan iaitu melalui contoh, aktiviti, fakta dan penceritaan.

Sesungguhnya mendidik anak memerlukan kesabaran dan perlu buang jauh-jauh sifat amarah kita kerana ianya hanya membantutkan perkembangan mereka. Satu muhasabah buat diri saya apabila penulis menulis nota kecil berbunyi :

"Perasaan marah hanya akan menjejaskan emosi dan semangat berkobar-kobar anak yang mahu belajar solat atau mengaji. Jangan mengharapkan mereka betul semuanya, kerana itulah tujuan mereka belajar."



Saya kira pernyataan ini turut boleh diaplikasikan kepada anak-anak didik di sekolah. Kadang-kala watak seorang guru yang menjadikan sifat tegas dan garang muncul demi memastikan anak-anak didik mendapat apa yang diajar. ^_^

Akhir sekali, saya terkesan dengan tip muhasabah penulis :

♡ Berapa orang daripada anak kita yang anda rasa dapat menyelamatkan kita di akhirat nanti?
♡ Berapa orang yang akan mendoakan kita apabila kita meninggal dunia kelak?
♡ Berapa orang yang akan memimpin tangan kita untuk masuk ke syurga?


Daku memohon keampunanmu ya Allah..rabbi habli minassolihin. Ameen...

Ahad, 6 Julai 2014

Tsundoku

Bismillahirrahmanirrahim.

Tsundoku adalah istilah Jepun untuk orang yang suka membeli buku tetapi tidak membacanya. Saya rasa ia lebih kepada "addiction".

Oh, tiba-tiba rasa terkena batang hidung. Huhu..

So many books, so little time. *sigh*

Senarai menunggu :


# Dr Seuss ~ Doctor's Orders dibeli di BBW Melaka April lalu.
# Wanita Yang Paling Bahagia Di Dunia ~ Hadiah dari suami April lalu. SEDANG dibaca :)
# Aku Melayu Di Kota Inggeris ~ dibeli jun lalu di MPH Shah Alam.

 # Membida Pelangi oleh Pelangi bin Awan
# Pilo Toq oleh Azzam Supardi, Bahruddin Bekri
# Madame Bokary oleh Pelangi bin Awan, Fikri Kacak

Buku baru diterima minggu lalu. Beli dari junior. Pertama kali beli buku dari penerbit ini. Lagipun junior yang menulis, semangat nak menyokong :) (@Pelangi bin Awan)


# Cenderahati Istimewa Bulan Ramadan oleh Abu dan Ummu Ihsan
# Jangan Biarkan Sedekah Anda sia-sia
# Jangan Biarkan Puasa Anda sia-sia

Terkini. Baru sampai 3 hari lepas. Menumpang pesanan suami. Beli atas talian di Facebook Hadi Akmal. SEDANG baca Jangan Biarkan Puasa Anda Sia-sia. Masya Allah, memberi kesan.

Harap-harap saya tidak terlajak membeli buku lagi. Walaupun sudah tertinjau satu, dua tajuk di kedai buku Popular dan atas talian. Waaa..

Jumaat, 4 Julai 2014

Buku 32 : Wahai Anakku, Inilah Tata Cara Shalat Sesuai Petunjuk Nabi SAW




Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Buku di tangan ini merupakan sebuah siri untuk mengajar anak berwuduk, solat dan zikir selepas solat yang menurut quran dan hadis yang sahih.

Terbitan Pustaka Ibnu Kathir di bawah siri kanak-kanak. Sebelum ini saya pernah mendapatkan sebuah buku mengenai doa.

Dibahagikan kepada tiga bahagian dengan diawali tatacara mengambil wudhu' diikuti tatacara solat dan diakhiri zikir selepas solat.

Subhanallah banyak membantu saya dalam menyediakan persiapan anak menunaikan solat. Saya juga banyak mendapat ilmu baru kerana belajar solat sebelum ini hanya melalui ibu bapa dan guru di sekolah. Maka hadirnya buku ini memberi nilai tambah dalam memperbaharui ilmu tentang solat secara khususnya.

Bacaan mengikut sunnah (di dalam solat) lebih pendek daripada yang biasa dibaca selama ini dan anak lebih mudah mengingat kalimah dan maknanya serta seronok mengerjakan solat. Subhanallah.

Jika saya tidak salah, penerbit turut mengeluarkan sebuah carta tata cara solat ini dalam bentuk poster. Namun saya ubahsuai sedikit dengan menjadikan langkah demi langkah menggunakan ilustrasi berwarna bagi menarik anak kecil yang berusia 3 tahun lebih di rumah ini :)

Harga yang tertera pada label buku ini ialah RM18 namun  saya mendapat diskaun ketika membayarnya (bersama barangan lain). Mungkin harganya berbeza mengikut kedai.

Saya sangat mengesyorkan buku ini sebagai salah satu sumber rujukan dalam memdidik anak mengenai tatacara wudhu', solat dan zikir selepas solat menurut sunnah. Wallahualam :)