Khamis, 27 Februari 2014

Rak Buku :)

Bismillah walhamdulillah.

Lama dibiarkan sepi tanpa sebarang reviu. Selepas buku Senipis Qithmir Kurma, tumpuan saya lebih kepada PdP dan kerja. Tambahan lagi kegiatan kokurikulum, kelas bimbingan UPSR, pelaksanaan PBS, mesyuarat, pemantauan nazir dan hal-hal lain sudah bermula.

Ya Allah, semoga Kau mudahkan urusan kami. Amin...

Sengaja lihat 'rak buku' di laman Goodreads. Ada pilihan 'cloud' di situ. Bermakna kita dapat lihat apakah genre buku yang terbanyak berada dalam rak kita. Menariknya, ia berwarna-warni.



Agaknya bagaimana buku catatan amalan kita di akhirat nanti? T_T Jika berwarna-warni dengan amalan baik, alhamdulillah. Tetapi jika sebaliknya? Allahuakbar! Ya Allah, ampunkan dosa kami dan pimpinlah kami ke jalan yang Kau redhai...

+++

Banyak buku kategori 'children' :) Selepas berkahwin, minat membaca buku kanak-kanak dan awal remaja agak tinggi kerana ingin mengikuti perkembangan dan minat anak-anak kini. Memandangkan hampir setiap hari bergaul dengan anak-anak seawal usia 3 tahun ke 17 tahun menuntut rasa tanggungjawab memimpin dan membina pandangan hidup mereka ke arah yang positif. Insya Allah.

Semoga dapat berjumpa lagi. Wassalam :)

Rabu, 12 Februari 2014

Buku 8 : Not A Box

Bismillah walhamdulillah.

Hari ini membawa anak-anak didik ke Perpustam (Perpustakaan Awam Negeri Melaka) di Bukit Baru, Melaka. Satu lawatan sambil belajar yang seronok dan bermanfaat insya Allah.

Kami disambut oleh pegawai berkenaan, taklimat dan pengenalan Perpustam, dibawa melawat hampir kesemua bahagian Perpustam (ada 3 tingkat) termasuk melawat bahagian pinjaman dewasa, melihat koleksi Melaka Warisan Dunia, bilim suntingan media, bilik ICT, gimnasium mini dan berakhir dengan aktiviti di perpustakaan kanak-kanak dan ruang santai (kanak-kanak). Ada teater 3D! Itu cukup mengujakan anak-anak ini :)

Oh ok. Itu secara ringkasnya.

Saya nak bercerita buku yang dipinjam dari perpustakaan kanak-kanak. Buku yang sangat menarik konsepnya.

Not A Box mengisahkan seekor arnab yang bermain atau berimaginasi dengan sebuah kotak! Lihat gambar-gambar di bawah dan anda akan fahami konsep buku ini :)







Menarik, bukan?

Agaknya beginilah anak-anak kecil kita berimaginasi. Oleh itu, jangan sesekali memarahi mereka sebaliknya give them support! :)

(Saya fikir) boleh gunakan cerita ini semasa bercerita dengan anak menggunakan teknik tampalan (ilmu baru yang diperolehi daripada buku Mama, Ceritalah... tapi bukunya belum habis dibaca. Hee...)

Itu sahaja, jumpa lagi. Wassalam :)

Ahad, 9 Februari 2014

Buku 7 : Senipis Qithmir Kurma


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Gembira sekali menatap buku ini. Meskipun saya bukan penulis tetapi melihat proses pembikinannya di balik tabir agak mengujakan. Agaknya jika saya diberi peluang menulis lebih lagi perasaannya. Hihi..

Sebuah travelog dakwah yang menghimpunkan kisah-kisah suka duka dan pengalaman mengajar para asatizah sangat mencuit jiwa dan rasa saya sebagai seorang guru lebih-lebih lagi apabila tersedar tanggungjawab dakwah itu bukan hanya terletak kepada ustaz ustazah semata tetapi kepada semua guru. Subhanallah.

Guru berperanan memanusiakan manusia. Ia satu tugas berat.

Apa yang saya dapati guru-guru ini memang memiliki semangat mendidik anak-anak akan hidup beragama dengan betul malah kebergantungan dengan Allah sangat kuat sehingga Allah memudahkan urusan kebanyakan mereka.

Semoga usaha mereka mendapat ganjaran di sisi-Nya. Tidak keterlaluan saya katakan elok sekiranya buku ini dijadikan panduan dan iktibar daripada pengalaman yang ditulis buat tatapan guru muda atau yang baru menjejakkan kaki ke dalam dunia perguruan.

Selamat mendidik dan berdakwah! Barakallahufikum :)

Sabtu, 8 Februari 2014

Buku 6 : Sadako and The Thousand Paper Cranes by Eleanor Coerr

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini mengisahkan kisah benar yang berlaku kepada seorang kanak-kanak yang menghidap leukimia pasca pengeboman di Hiroshima pada awal tahun 1940-an.

Seorang kanak-kanak perempuan  bernama Sadako, lahir dan membesar sebagai anak yang cerdas, ceria dan mempunyai kelebihan dalam olahraga. Diceritakan kehidupannya dalam keluarga Jepun yang bahagia dan berpegang kuat kepada budaya masyarakat. Setiap hari mereka berdoa agar dijauhkan daripada penyakit leukimia (kerana majoriti rakyat Jepun meninggal kerana penyakit ini kesan bom atom di Hiroshima).

Ya, siapa sangka, takdir tuhan menetapkan sesuatu itu pasti terjadi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sadako jatuh pengsan ketika menjalani latihan olahraga di sekolahnya. Dibawa ke hospital oleh bapanya dan doktor mengesahkan beliau menghidap leukimia. Sedih sekali.

Namun saya memuji rakan baiknya kerana memberikan semangat dengan cara yang unik.

Mengikut kepercayaan orang Jepun, jika seseorang membuat 1000 keping lipatan burung jenjang (origami), maka tuhan akan memberikan keajaiban dan kesihatan. Sedikit sebanyak ia menyuntik semangat kepada Sadako untuk menerima keadaan dirinya dan berharap agar dia dapat sembuh.

Saya terfikir berapa lama masa diambil bagi menyiapkan 1000 keping burung jenjang? Mungkin boleh cuba selepas ini. Hihi..

Sadako hanya mampu menyiapkan 644 keping dan beliau pergi untuk selama-lamanya. Kisahnya menjadi inspirasi kepada semua rakyat Jepun dan rakan-rakan sekelasnya menyelesaikan baki 356 keping lagi dan dikebumikan (kesemua 1000 keping) bersama Sadako.

Atas inisiatif mereka juga, surat-surat Sadako dibukukan dan disebar ke serata Jepun. Malahan origami burung Jenjang dikenali di seluruh dunia sebagai lambang keamanan.

+++++

Pertama kali saya mengenal origami burung Jenjang ketika berada di sekolah menengah apabila melihat adik membawa pulang dari sekolah. Namun, serius saya katakan saya sangat lemah dalam mengingat langkah demi langkah membuatnya. Rasanya menganyam ketupat lebih mudah bagi saya. Huhu.

Terdapat langkah-langkah membuat lipatan burung Jenjang di bahagian akhir buku. Boleh cuba nanti. Insya Allah :)

* Buku ini adalah sumbangan Scholastic untuk sekolah saya sempena Kem Membaca 1 Malaysia yang kami sertai tahun lalu. Sebenarnya belum diproses. Nama pun cikgu perpustakaan saya baca dahulu ;)

Buku 5 : Senyumlah 2 oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullah.

Cetusan tazkirah dan motivasi dari yang berbahagia penulis sangat menyegarkan. Benarlah kata-kata dalam bab pendahuluan mengatakan tulisan-tulisan ini menonjolkan ketinggian ilmu mantik beliau. Subhanallah.

Senyumlah 2 (Wahai Anakku Hadiah daripada ayah dan bonda) terdiri daripada 3 bahagian dengan 70 buah cerita.

Kata-katanya terus ke hati :) Analogi yang digunakan mudah tetapi dekat dengan kehidupan kita.

Banyak kata-kata menarik untuk ingatan bersama. Antara yang disukai ialah :

Wahai anakku, setiap  manusia membawa amalannya di hadapan Allah. Para syuhada' akan gembira dengan darah syuhada' mereka. Para dermawan akan gembira dengan dermanya, para pejuang akan gembira dengan perjuangannya, para abid akan turut gembira dengan amalan ibadahnya. Wahai anakku, apakah yang akan menggembirakan kamu di hadapan Tuhanmu?

Bersahabatlah dengan orang miskin, engkau akan bersyukur. Bersamalah dalam majlis ilmu, engkau akan mendapat suluhan cahaya petunjuk, bergaullah dengan para abid, engkau akan terpelihara amalanmu, berkawanlah dengan orang yang soleh, kamu akan terkena kebaikannya. Doalah kebaikan seseorang yang membencimu, nescaya kamu mengecewakan syaitan yang ingin merosakkan pergaulanmu.

Banyak manfaat yang diperolehi dari buku ini. Insya Allah.

Ahad, 2 Februari 2014

Buku 4 : Mama, Ceritalah Lagi... oleh Hasniah Hussain

Bismillah walhamdulillah.

Buku kali ini sangat menarik minat saya sebagai seorang guru dan juga seorang ibu yang mempunyai anak kecil. Ini kerana jarang saya jumpa buku panduan bercerita dalam bahasa Melayu di pasaran. Kulit bukunya menarik dan ilmu yang diberi juga sangat berguna dan bermanfaat.

Ada lima bab di dalam buku ini dimulai dengan Bab 1 : Penggunaan Buku Cerita untuk Aktiviti Bercerita, Bab 2 : Bercerita Menggunakn Lipatan Kertas, Bab 3 : Bercerita Menggunakan Gubahan Sapu Tangan, Bab 4 : Teater Bercerita dan Bab 5 : Persembahan Teater Bercerita.







Sememangnya saya banyak belajar perkara baharu dari buku ini apabila penulis memberi idea bercerita menggunakan teknik lipatan (saya kira lipatan ini = origami) dan gubahan sapu tangan. Malahan penulis melampirkan beberapa contoh cerita berserta teknik bagi kedua-dua kaedah bercerita yang dinyatakan.

Panduan membuat kostum mudah seperti topi watak yang menggunakan kad manila, gambar yang ditampal pada topi sebenar, gambar gantung, topeng muka, cekak rambut dan kostum menggunakan surat khabar sangat membantu dalam penyediaan bahan teater bercerita.

Saya cuba mengaplikasikan salah satu teknik ini bersama anak saya dan Alhamdulillah ia sangat menyeronokkan. Boleh lihat video dan entri saya di sini --> Buku dan Aktiviti 4. Saya menggunakan topi watak dan anak akan menukar topi watak sesuai dengan cerita di dalam buku.



Topi watak dari buku Crazy Pets ~ hamster, tikus, anjing, ikan dan arnab

Perkongsian daripada saya. Saya mohon maaf atas segala kelemahan dan kekurangan. Semoga bermanfaat :)

**Saya terkejut bercampur gembira melihat foto keluarga penulis kerana saya mengenali suaminya yang merupakan Timbalan Pengarah kampus saya dahulu. Barakallahufikum.