Khamis, 2 Mac 2017

Buku 10 dan 11 : Kisah-kisah Nasruddin Hoja 1 dan 2

Bismillahirrahmanirrahim.

Beli untuk anak namun saya baca dahulu. Nasruddin Hoja yang pintar. Kata-kata dan perbuatannya adakalah lucu dilihat dan adakala rasa bengang juga dengan telatahnya. Tapi, memang mendalam mesej yang disampaikan. Meski nampak "simple" tetapi ada ilmunya. Sesuai untuk anak-anak. Cuma bahasa Indonesianya ada yang saya tidak fahami. Anak-anak pun banyak bertanya, bagus juga, boleh tambah perbendaharaan kata mereka ;)

Sumber gambar : di sini

Sumber gambar: Grobmart.com

Buku 10 / 2017

Buku 11 / 2017

(30 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 9 : Menjernih Hidup Beragama

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber gambar : www.goodreads.com


Sungguh saya kagum dengan keluasan pengalaman dan pembacaan penulis. Kini sudah bergelar Dr Mohd Al-Adib. Ini adalah sebahagian daripada artikel beliau di media massa yang dikumpulkan menjadi buku. 

Sangat menarik dengan cadangan buku untuk muallaf bagi lebih memahami Islam. Semoga ustaz dapat menyenaraikan projeknya menyediakan 101 buku muallaf yang baik sebagai rujukan mereka (dan kita). Dalam bab pengalamannya bersama banduan juvana, beliau secara kritis membincangkan hal ini dan memberi kesedaran kepada kita kerana anak-anak ini kebanyakan ibu ayah mereka tidak solat, tidak mencurahkan kasih sayang dan tidak mengajar mereka ilmu agama. 

Dalam bab yang lain, penulis membawa satu isu perdebatan kecil antara beliau dan seorang pelajar siswazah Pengajian Islam yang membentak apabila dicadangkan oleh penulis untuk mengkaji buku Orientalis. Katanya lagi banyak salah faham berlaku menyebabkan umat Islam sekarang sekadar menjadi pengikut perkembangan ilmu baharu dan bukannya pencetus perkembangan ilmu baharu.

Allahu Allah. peringatan untuk diri sendiri. 

Buku 9 : 2017

(21 - 24 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 8 : Gedebe

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber gambar : Instagram Jemari Seni


Buku ini saya beli ketika Jemari Seni membuat promosi diskaun 50%  akhir tahun lalu. 

Imaen tampil mengolah cerita keluarga yang banyak konflik dan masalah. Ketua keluarganya terkenal garang tetapi sebenarnya menyayangi anak-anak namun tidak tahu cara meluahkannya. 

Watak anak lelaki sulung (Aden) dalam cerita ini banyak melatari cerita dari awal hingga akhir. Seorang bekas banduan yang dipenjarakan hanya kerana mempertahankan seorang perempuan dari diganggu lelaki-lelaki jahat. Sungguh tidak adil undang-undang dunia.

Isteri yang dikahwini memohon penceraian sementelahan dia berada di penjara dalam satu tempoh yang lama. Bekas isterinya memilih berkahwin dengan sahabat baik suaminya. Hmm..

Ayah Aden memulakan penternakan lembu dan hampir semua urusan dikendalikan oleh Aden. Dalam masa yang sama, doktor haiwan yang biasa memantau perkembangan ladang ternakan ini mula menarik perhatian Aden. Namun hanya dipendamkan sahaja.

Konflik bermula apabila ayahnya berang dengan sikap anak lelaki bongsu yang berubah menjadi mak nyah. Rentetan peristiwa itu membawa kepada pembunuhan seorang demi seorang ahli keluarga Aden. Misterinya, pembunuhan yang tidak meninggalkan kesan jejak.

Seram sekali membaca buku ini. Di akhir cerita, saya fikir, begitu besar kuasa halal haram rezeki yang diperoleh mempengaruhi anak-anak. Allahu akbar. Mungkin ini cara Imaen ingin tunjukkan kepada umum. Wallahualam.

Buku 8 / 2017

(21 - 22 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 7 : Panduan Terapi Cara Kerja Untuk Murid Istimewa

Bismillahirrahmanirrahim.

Orang yang berperanan dalam hal ini ialah Occupational Therapy atau singkatannya OT. Selepas memasuki dunia pendidikan khas baru saya tahu akan adanya pekerjaan ini. Banyak idea dan aktiviti menarik yang boleh dibuat bagi melatih anak-anak ini merangsang otot dan pergerakan mereka.

Di dalam buku ini, terdapat gambar yang boleh memberikan kita gambaran lebih jelas bagaimana mengaplikasikan kepada anak-anak istimewa. Saya kira buku ini juga boleh diaplikasikan kepada anak-anak normal.

Insya Allah saya akan kemas kini kandungan di dalam buku ini. Buat masa ini, ada rakan yang meminjam buku ini.

Sumber gambar : http://bukupendidikankhas.my/
Buku 7 / 2017

(15 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 6 : Fattabiuni Agar Ibadahmu Seperti Nabi

Bismillahirrahmanirrahim.


Masih dalam siri yang sama seperti Fattabiuni : Agar Rumah Diterangi Sunnah cuma kali ini lebih kepada ibadah seperti sunnah hari Jumaat, Solat Sunat Rawatib, Solat Sunat Dhuha, Zikir-zikir Rasulullah dan lain-lain. Cuma, di beberapa bahagian, penerangan yang menggunakan hadis nabi tidak disertakan sumber atau perawinya. Bahagian lain semua OK.

Tulisannya berwarna biru dan sesekali berwarna merah jambu. Banyak ilustrasi, maka tidak bosan menelaah buku ini. Bahasanya juga mudah dan boleh difahami.

Saya beli dari Abu Ilkiya. Boleh buat carian di Facebook nama tersebut. Beliau memiliki sebuah kedai buku di Bangi Getaway (Kedai Buku Raudhah Al-Miqyas). Beliau banyak menjual buku dari seberang dengan pelbagai tajuk. 

Buku 6 / 2017
(8 - 11 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Buku 5 : Lagenda Budak Usrah

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber gambar : di sini


Lagenda Budak Usrah menampilkan pesanan-pesanan ringkas penulis tentang usrah. Banyak yang disentuh seperti pengalaman berusrah semasa belajar dahulu, cabaran istiqamah menghadiri usrah ketika di kampus kerana beliau menuntut di luar negara. Sukar bertemu naqib secara berhadapan. Lebih banyak dilaksanakan secara maya.

Beliau bersungguh mengingatkan agar semua mengekalkan momentum berkerja kerana Allah dan istiqamah menjaga hubungan dengan Allah.

Banyak juga tip yang dikongsikan. Barakallahufik Doktor :)

Buku 5 / 2017
(8 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Ahad, 8 Januari 2017

Buku 4 : Udah Putusin Aja!


Bismillahirrahmanirrahim.

Bahagian hadapan. Sudah terputus bahagian love tu ;)
Bahagian belakang

Comel sungguh buku merah jambu ini. Baru terbit. Cetakan pertama Oktober 2016. Suami saya beli di RAMI (Kedai Buku Raudhah Al-Miqyas) di Bangi Gateway milik Ustaz Abu Ilkiya. Sekali imbas saya tidak faham tajuknya. Baca kali kedua, baru dapat diagak isi kandungan buku ini. Pasti soal cinta dan "couple". Nyata, Indonesia memang tidak pernah miskin tajuk yang kreatif 😊

Saya terkesan dengan emel ini. Kisah benar yang pahit untuk ditelan. Realiti.


Telahan itu tepat. Lembaran demi lembaran dibaca, saya teringat buku Tentang Cinta oleh Ustaz Pahrol (oh ya, di mana ya buku itu? Saya lihat sudah tiada di rak buku saya. Hmm..)





Bezanya, buku ini disampaikan dalam bentuk santai dan bersahaja. Tentu sahaja padat berisi ilmu. Tulisannya juga berwarna biru laut dan merah jambu dengan ilustrasi yang memancing pembaca menekuni buku ini sehingga tamat.

Yang saya suka, penulis kaya dengan idea kreatif menyusun ayat. Adakala disampaikan dalam bentuk analogi, peta grafik, kartun, dialog dan kata-kata sentap. Zasss.. menusuk terus ke jantung 😂

Sangat bagus untuk bacaan para remaja dan mereka yang sedang berpasangan, baru niat mahu berpasangan (baca : couple) atau yang belum mahu berpasangan. Ia sarat dengan reminders yang mampu mengusik jiwa anda untuk berfikir dan bermuhasabah.

Cuma, bahasa Indonesianya tidak seratus peratus saya fahami. Banyak juga perkataan yang saya tidak tahu maka saya tebak maknanya melalui pembacaan ayat-ayat seterusnya. Nampaknya perlu ada kamus bahasa Indonesia 😁

Syabas penulis! Moga satu hari nanti ada terjemahan ke bahasa Malaysia.

Buku 4 / 2017
(5 - 7 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Masa cemburu

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah beberapa buah buku selesai baca tetapi masih belum dapat menaip ulasan penuh. Sangat perlahan buat kerja. 😆 Tak mengapalah yang penting terus membaca. Jom membaca!


Sabtu, 7 Januari 2017

Buku 3 : Qàlam Kalbu

Bismillahirrahmanirrahim.

Buku ini ialah "stand-alone sequel" untuk buku Warisnya Kalbu yang pernah saya baca beberapa waktu dahulu.

Sekali lagi ia mengangkat tema sejarah sebagai latar cerita. Kali ini surat-surat lama digunakan dalam pencarian kisah sejarah leluhur Muhammad Azim.

Ia bermula dengan koleksi surat-surat lama yang diberi oleh bapanya. Namun, surat-surat ini tiada kesinambungannya lalu bersama Haji Mus'ab, mereka berdua menjejak sambungan surat ini di Kota London.

Dalam surat ini, seorang pekerja rumah sakit jiwa di London mengutus surat kepada Ahmad Basil yang menyatakan ibunya berada di situ dan menceritakan apa yang berlaku sejak ibunya meninggalkan anaknya (Ahmad Basil) di Tanah Melayu. Kisah ini mengambil tempat pada awal tahun 1800-an.

Saya membaca dengan cemas. Mujur plot cerita laju. Saya kagum dengan garapan cerita yang kemas. Konflik yang ada ditangani dengan baik meskipun pengakhirannya tergantung. Tahniah Pn Sri Rahayu ☺

Buku 3 / 2017
(5 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Khamis, 5 Januari 2017

Buku 2 : Child's Play - Montessori games and activities for your baby and toddlers

Bismillahirrahmanirrahim.

Bahagian hadapan buku
Alhamdulillah, selesai baca. Buku yang menyeronokkan! Koleksi pelbagai permainan yang boleh dibuat bersama si kecil anda. Saya sebenarnya tidak begitu mengambil kisah kaedah Montessori walaupun ia merupakan kaedah yang popular dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak. Saya baca kerana ingin mengambil idea yang boleh dibuat bersama anak.

Buku ini setebal 160 muka surat terbahagi kepada 6 bab iaitu exploring senses, coordinations, art and crafts, games and movement, language and stories dan out and about.

Bahagian belakang buku


Pandangan sisi

Setiap bab disertakan cadangan aktiviti dan umur yang bersesuaian. Saya kira saya akan buka lagi buku ini apabila anak yang kecil mencapai usia berkenaan. Tapi semua aktiviti insya Allah boleh diaplikasikan dengan anak usia setahun ke atas. 

Isi kandungan buku

Sudah tentu saya paling suka bab Art and Crafts dan Language and stories.

Saya catatkan di sini untuk rujukan sendiri pada masa akan datang 😉

Art and Crafts

1. Painting with water
2. Floor Art
3. Potato prints - macam aktiviti seni saya semasa sekolah rendah. Cikgu akan pesan bawa bendi, kentang dari rumah untuk buat cop :)
4. Spray point
5. Hands on - cop tangan dengan warna air
6. Angelfish handprints
7. Finger fun - boleh guna sarung tangan dan bercerita dengannya
8. Homemade playdough.
- Resipinya :

1 cawan tepung
1/2 cawan garam
2 sudu teh cream of tartar
1 cawan air
1 sudu teh pewarna makanan
2 sudu teh minyak masak
periuk 
sudip kayu

Perlu dimasak atas api dengan kadar sederhana

9. Floating fun - bina bot guna kertas foam. Letakkan dalam besen 
10. Treasure map - untuk 3 tahun ke atas

Mungkin antara kita memang sudah biasa buat semua ini tapi kita tidak sedar rupa-rupanya ia memberi makna kepada anak-anak kecil ini.

Lagipun bermain bersama anak kecil merupakan satu sunnah. Kita  dapat mendidik anak-anak ini dengan adab dan ilmu selain meraikan fitrah mereka. Wallahualam.

Buku 2 / 2017
(3 - 5 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary

Isnin, 2 Januari 2017

Bismillah.. Misi 2017 bermula

Sumber gambar : Laman web PTS
Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selesai bacaan buku pemula tahun ini.

Akrab Dengan Tuhan.

Buku ini ditulis oleh Ust Mohd Zawawi Yusoh dan Amira Hariyati Ruzaidi, terbitan PTS tahun 2010. Saya suka buku ini. Penerangan jelas walaupun isi ringkas tetapi padat. Banyak sekali analogi yang bersesuaian dikemukakan menjawab persoalan mengenai Allah dan Islam. Masya Allah.

Buku ini mengupas 11 bab seperti Siapa Tuhan?, Kenal Tuhan, kenal kita, Tuhan Yang Satu?, Di Mana Tuhan?, Ada Apa Dengan Manusia, Tuhan dan Manusia, Tuhan itu Adil, Ujian Tuhan adalah Tanda Kasihnya, Yakini Tuhan, Hidayah Suluh Kehidupan dan Mencari Cinta.

Fitrah merasa diri bertuhan itu wujud dalam semua hati manusia. 

Sebagai hamba Allah, kita patut bersyukur dan mengimani keesaan-Nya. Oleh sebab itu, setiap daripada kita adalah pendakwah. Ramai orang takut dengan istilah ini. Namun kita boleh menjadi pendakwah dengan mulakan dengan diri sendiri. Menunjukkan akhlak yang baik dan menerangkan keindahan Islam dengan baik.



Allahu..mari mulakan dengan diri sendiri dahulu..

Buku 1 / 2017
(1 - 2 Januari 2017)

#KembaraBuku2017 #FitrahHomeLibrary