Monday, February 8, 2010


Sumber gambar : Di sini
Judul buku : Remaja Mulia
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd (2010)
Harga : RM 12.00
Bil muka surat : 132
Sumber : (Beli di) Masjid Jamek Kajang
Tarikh baca : 31 Januari 2010

Buku ini adalah di bawah kategori Novel Awal Remaja. Nampak sahaja nipis tetapi tebal dengan hikmah dan pengajaran. Subhanallah. Saya amat mengesyorkan para ibu bapa dan guru-guru yang ingin menggalakkan anak-anak membaca supaya membaca buku ini.

Ceritanya diolah menarik dan pembaca akan mendapati penulis pandai menyusun cerita dan nasihat disampaikan secara langsung dan tersirat.

Remaja mulia mengisahkan tentang Irfan Hakimi yang sedari kecil sering diuji oleh Allah tetapi dia merupakan seorang anak yang soleh, taat kepada kedua ibu bapa, sentiasa bersabar dan belajar bersungguh-sungguh.

Dia sudah kematian ibu sejak dia dilahirkan. Maka Irfan Hakimi tinggal bersama dengan ayahnya, Pak Mahmud. Pak Mahmud bertugas sebagai Imam 1 di kampung mereka. Kerjanya bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dua beranak.

Pada satu hari, selepas selesai mengerjakan kebun sayur, Irfan Hakimi dan ayahnya bersiap-siap untuk pulang. Irfan mengambil sayur-sayuran untuk dibuat lauk pada hari itu ketika terdengar sesuatu bunyi dibelakangnya. Rupa-rupanya ayahnya jatuh. Siapa sangka Pak Mahmud dipatuk ular tedung yang berbisa.

Irfan Hakimi berasa sangat sedih dan tidak tahu sama ada ingin mencari pertolongan ataupun berada di sisi ayahnya yang kelihatan hampir menemui ajal. Kebun mereka itu jauh sedikit dari tempat orang ramai. Kata-kata terakhir ayahnya disemat di dalam hati. "Ayah tinggalkan kamu dengan Allah…" Subhanallah.

Saya perhatikan Pak Mahmud memanggil anaknya dengan nama penuh. Bukankah elok begitu? J Irfan Hakimi dididik oleh ayahnya sejak kecil lagi akan ketauhidan kepada Allah. Maka anak ini mencerap semua ilmu dan nasihat dari ayahnya lalu menjadikannya seorang yang sangat yakin dengan Allah. Memang beginilah cara yang sepatutnya kita didik anak-anak kita dari kecil.

Kesusahan hidup yang dialaminya tidak begitu dirasai kerana kebergantungannya kepada Allah menjadikan dia seorang yang sabar dan tenang. Malah tingkah laku Irfan Hakimi ini banyak mempengaruhi orang di sekelilingnya.

Selepas kematian ayahnya, dia tinggal bersama Haji Makruf, Imam 2 di kampung itu. Hidupnya diuji dengan kelakuan nakal 3 sekawan ; Hafiz, Jaafar, dan Toriq yang sering menghina dan menabur fitnah ke atas dirinya. Dua cubaan fitnah yang pernah dilakukan ialah menghilangkan buku Irfan Hakimi dan mengambil duit derma kilat yang dipungut oleh Irfan Hakimi serta memasukkan batu ke dalam tabung tersebut.

Irfan Hakimi juga banyak belajar dari Haji Makruf terutama ketika dia mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan semasa percubaan UPSR. Saya terkesan dengan nasihat Haji Makruf kepada Irfan Hakimi. "Irfan, dalam soal usaha, cukup itu tidak dikira dengan angka." (m.s 77) "Kita perlu yakin yang Allah akan bantu kita. Tapi kita tidak boleh menganggap bahawa persediaan kita itulah membuatkan kita berjaya…" "Sebab kamu rasa kamu sudah cukup meminta kepada Allah. Kamu tidak boleh rasa begitu. Dengan Allah, kita tidak boleh rasa cukup. Kita kena terus meminta, meminta, dan meminta. Itu tanda kerendahan hati kita kepada-Nya."(m.s 81)

Tuesday, January 26, 2010

Imam Syafie Pejuang Kebenaran

Sumber gambar : Blog Pak Latip

Judul buku : Imam Syafie Pejuang Kebenaran
Penulis : Abdul Latip Talib
Harga : RM 24.00
Sumber : Beli di MPH Alamanda

Hidupnya dalam kekurangan. Tetapi semangatnya menuntut ilmu tidak pernah malap. Malah sentiasa membara. Membaca kisah hidup Imam Syafie mengundang 1001 rasa. Maha Suci Allah yang mengangkat darjat hamba-Nya apabila seseorang hamba itu dekat dengan-Nya.

Imam Syafie merupakan tokoh ilmuwan terbilang. Seorang yang warak, alim, dan zuhud. Beruntung dirinya lahir dalam keluarga yang begitu menitikberatkan ilmu agama. Pernah sekali Imam Syafie belajar bersyair namun disebabkan beliau sedikit terkasar dengan ibunya, lantas disuruh Imam Syafie pergi menuntut ilmu agama untuk menjadi seorang ulama dan menjadikan dirinya seorang yang merendah diri dan berbudi bahasa.

Saya kagum dengan daya ingatan dan hafalan Imam Syafie. Dikatakan sekiranya lembaran-lembaran kertas, pelepah dan daun yang ditulis ilmu setinggi gunung pun akan dapat dihafalnya. Beliau hafaz al-Quran ketika usia baru mencecah 9 tahun, menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik pada usia awal remaja, dan dapat menghafal puluhan ribu syair sebuah kaum sehingga menjadikan dirinya seorang pakar rujuk dalam ilmu syair.

Beliau mengembara dari sebuah negeri ke sebuah negeri bagi menimba ilmu pengetahuan sehingga kesemua bidang telah dapat dikuasai dengan mahir. Malah beliau juga diberi kepercayaan untuk memberi fatwa dan menggantikan gurunya sendiri untuk mengajar kuliah agama kepada orang ramai.

Setiap yang baik pasti ada penghalangnya. Beliau dan anak-anak didiknya pernah difitnah merancang penggulingan khalifah oleh gabenor di tempatnya sendiri. Dua bulan lamanya perjalanan dari Najran ke tempat khalifah dengan berjalan kaki di atas padang pasir yang panas sehinggakan darah hitam melekat pada besi-besi yang merantai kaki mereka. Begitu azabnya dirasakan. Namun begitu Imam Syafie dan pengikut-pengikutnya tetap sabar dan di bibir tidak lekang dengan alunan ayat al-Quran yang telah dihafal.

Penyeksaan yang diterima semasa dalam tahanan turut tidak menjejaskan iman mereka. Akhirnya dengan pertolongan Allah, Imam Syafie berjaya dibebaskan dan gabenor yang memfitnahnya turut mendapat balasan.

Imam Syafie terus memberi kuliah agama dan beliau tidak gentar memperkatakan kebenaran. Beliau selalu diancam oleh puak yang bertentangan pendapat dengannya. Namun beliau lebih suka mengambil jalan berdiam diri ataupun mengelak dari berhujah dengan golongan ini. Hal ini bagi mengelakkan pergaduhan.

Semoga Imam Syafie dirahmati Allah.

Thursday, January 14, 2010

Parameter Aquila

Sumber gambar : PTS
Judul buku : Parameter Aquila
Penulis : Nuriazam Ismail
Penerbit : PTS Fortuna
Harga : RM 12.00
Bil muka surat : 242
Terbitan : 2009
Sumber : Beli di MPH Alamanda
Tarikh baca : 27 Disember 2009 - 2 Januari 2010

Ini kali keempat saya membaca buku jenis sains fiksyen. Dahulu, cubaan pertama, gagal (juga terbitan PTS). Kemudian saya mencuba Galaksi Muhsinin dan Transgenesis. Terkini, saya baru selesai membaca buku ini. Ternyata amat menarik minat saya!

Parameter Aquila mengisahkan sekumpulan anak-anak terbiar yang diambil oleh Tuan Goldox dan dijaga serta akhirnya diambil bekerja dengannya. Namun, mereka ini umpama keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau. Tuan Goldox seorang yang gilakan kekayaan dan kerjanya mengarahkan kumpulan-kumpulan pekerjanya mencari gali emas.

M-Force yang dianggotai oleh Normen, Edvina, Shane dan Tansa ditugaskan untuk mencari emas di dasar lautan Aquila. Laut Aquila diketahui mempunyai jurang laut yang paling dalam. Pemilihan untuk mengetuai misi tersebut dilakukan secara undian oleh Tuan Goldox sendiri. Di antara 26 buah pasukan yang ada (A-Force sehingga Z-Force), kumpulan mereka yang terpilih.

Mahu tidak mahu mereka terpaksa mengikuti latihan simulasi dan mendapat taklimat akan penggunaan submersible. Kemudian, mereka akan menjalani latihan praktikal di Laut Pyxis. Sebuah makmal khas dibina khas bagi kemudahan mereka di laut dalam itu.

Pada hari kedua mereka di sana, tugasan meronda dan menanda kawasan dilakukan oleh Edvina dan Normen. Sebelum itu, Normen dipakaikan dengan sut selam laut seperti baju angkasawan tetapi berbeza dari segi material buatannya. Sut itu dikenali sebagai Atmospheric Diving System (ADS). Terjadi satu kejadian yang tidak disangka. Ada satu makhluk berbadan manusia tetapi berekor dan muncul di hadapan Normen. Dia tergamam dan kembali ke makmal secepat mungkin tanpa menyudahkan kawasan tandaan.

Apa yang diperkatakan oleh makhluk itu? Normen tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang diejek oleh rakan-rakannya. Ternyata, ketika dia mengambil keputusan menceritakannya kepada Tansa, dia digelakkan dan tidak dipercayai.

Setelah tamat latihan di Laut Pyxis, mereka ke medan sebenar di Laut Aqulia. Entah mengapa Tuan Goldox menghantar pasukan Z-Force bagi membantu mereka. Perkara ini menimbulkan kemarahan kumpulan M-Force. Seperti yang sering berlaku, apabila ada dua ketua maka berlakulah banyak masalah. Namun, mereka sebenarnya menghadapi masalah dengan ahli kumpulan Z-Force. Z-Force yang diketuai oleh Natalya hanya mempunyai 3 ahli pasukan. Dua orang lagi ialah Brat dan Egel.

Kelakuan Brat dan Egel agak ketara ganjil. Malah mereka sering mewujudkan provokasi dan menimbulkan kemarahan Normen. Sehinggalah satu hari terjadinya pergaduhan besar antara mereka semua. Rahsia besar M-Force ketika di Laut Pyxis terbongkar. Tidak disangka oleh ahli M-Force bahawa ada antara mereka yang membocorkan rahsia.

Hal itu menyebabkan Tansa terbunuh. Ketika pergelutan berlaku, Natalya hampir diperkosa oleh ahli kumpulannya sendiri. Tetapi berjaya dielakkan. Normen mengejar Brat dan Egel sementara Shane dan Edvina cuba menyelamatkan Tansa. Rupanya Natalya juga ikut mengejar dua ahli pasukannya itu dan menyerang habis-habisan menggunakan C-Kuest. Disebabkan retakan yang teruk pada kenderaan itu, Natalya turut terkorban.

Kedua ahli pasukan yang khianat itu hilang di dalam jurang yang dalam. Pasukan M-Force merahsiakan kejadian itu dan melarikan diri. Mereka diburu oleh pihak Tuan Goldox sehingga bersembunyi di sebuah rumah penduduk tempatan.

Tanpa disangka, tuan rumah yang mereka tumpangi itu ada kaitannya dengan Tuan Goldox. Anak perempuannya juga menyerupai wanita misteri yang dijumpai oleh Normen di dasar laut dahulu. Siapakah mereka sebenarnya?

Cerita ini saya gambarkan seperti cerita luar negara dengan pelbagai kelengkapan yang canggih. Plot ceritanya juga menunjukkan suasana yang cukup maju dan moden. Ceritanya menarik walaupun saya kurang gemar adanya cerita seperti bahagian Natalya dikhianati oleh dua orang ahli pasukannya. Syabas kepada penulis!

Sunday, January 3, 2010

Aku, Kau dan Komik #1

Sumber gambar (klik)


Jika anda berfikir komik ini sama sahaja dengan komik-komik picisan yang ada di negara ini. Anda silap. Aku, Kau dan Komik #1 adalah antologi komik atau himpunan 10 komik tempatan yang bertemakan, ‘komik itu bagus untuk semua pelajar sekolah’ (quote dari laman sesawang PTS). Komik ini menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dan diharap komik ini diterima di sekolah-sekolah di negara kita yang selama ini 'mengharamkan' komik daripada di bawa ke sekolah.

Komik di dalamnya membawa pelbagai mesej. Antaranya ialah komik dapat mengubah seseorang menjadi lebih baik daripada sebelumnya; keyakinan diri, dan berani.

Ceritanya kelakar, menarik dan dekat dengan diri pembaca. Semoga Komik-M terus maju.

Insya Allah saya tidak teragak-agak menggalakkan anak-anak didik membaca Komik-M. Cuma diharap pelukis-pelukis komik menyampaikan mesej yang berguna dan bersesuaian dengan kanak-kanak.

Sunday, December 13, 2009

Wo Ai Ni Allah

Judul buku : Wo Ai Ni Allah
Penulis : Vanny Chrisma W.
Penerbit : PTS
Harga : RM 16.00


Kisah mengenai kekusutan yang berlaku di dalam sebuah keluarga ateis apabila si ayah berusaha mencari agama yang benar. Kekusutan itu benar-benar memberi kesan dalaman kepada anak kecil mereka bernama Amei Chan. Saya mengambil masa untuk membaca buku ini kerana sebahagian besar cerita ini menggunakan emosi.

Si ibu mempunyai watak yang tegas dan keras juga seorang ateis yang tidak mahu mempercayai adanya Tuhan dan selalu menimbulkan pergaduhan dengan suaminya tatkala melihat suaminya asyik membaca buku-buku agama. Dia merasa tertekan dan pernah satu ketika ingin membuang semua buku itu.

Si ayah kerap mengunjungi ahli-ahli agama Islam, Kristian, dan Buddha yang terdapat di kampung mereka. Amei Chan setia menemani ayahnya sementara ibunya pergi bekerja.

Akhirnya ayahnya meninggal dunia akibat diserang sekumpulan samseng bermotosikal. Sejak itu Amei dilanda kemurungan (saya rasa). Dia kerap bercakap seorang diri dan percakapannya tidak begitu difahami. Keadaannya sehingga menyebabkan ibu kandung sendiri tergamak membuang anak di kota.

Aduh, saya kira ibunya juga menjadi gila. Siapa yang mampu bertahan di kala semua orang mengatakan suami dan anaknya gila? Tambahan lagi ibu Amei seorang ateis, lebih lagi bertambah parah kerana tiada ketenangan jiwa.

Sementara Amei selepas ditinggalkan oleh ibunya, merayau-rayau di bandar sehingga bertemu dengan seorang doktor pakar jiwa. Kebetulan sekali, doktor itu sedang mencari pesakit untuk dijadikan bahan kajian. Malangnya ketika doktor itu pergi membelikan aiskrim untuk Amei, Amei ditangkap oleh pihak penguasa kerana disangka anak-anak yang mengemis. Mereka semua akan diambil data terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke rumah perlindungan.

Amei berjaya melarikan diri. Namun dia lemah kerana tidak makan dan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah rumah. Rumah doktor itu! ~_~III

Bermulalah kehidupan Amei di rumah doktor itu. Namun saya tidak begitu memahami apa yang berlaku. Mungkin saya tidak membaca bahagian ini betul-betul. Yang saya dapati Amei masih lagi berkelakuan aneh dan doktor ini tidak dapat mencari punca masalah Amei sehingga ke akhir cerita.

Ada rahsia besar di sebalik cerita ini. Namun kisah ini "happy ending". Ibu dan Amei menganut agama Islam dan mereka berdua dapat bersatu semula :)

Saturday, November 28, 2009

Kutemu Dikau Dalam Setiap Tahajudku


Judul buku : Kutemu Dikau Dalam Setiap Tahajudku
Penulis : Desi Puspitasari
Penerbit : PTS Litera
Harga : RM 16.00
Bilangan muka surat : 168
Sumber : Pinjam dari kawan (Credit to Aini)
Tarikh baca : 10 November 2009
Terbitan tahun : 2008


Saya tidak begitu gemar membaca cerita cinta tetapi disebabkan tertarik dengan muka depan dan tajuknya, saya meminjamnya dari rakan saya.

Cerita ini menceritakan kisah Agus, seorang anak orang kaya dan satu-satunya zuriat ibu dan bapanya. Namun, Agus begitu gemar berlumba haram dan sering ponteng kuliah. Hingga satu saat dia pernah menindik telinganya dan memakai anting-anting. Walaupun selalu memasuki lumba haram bersama rakan-rakan baiknya yang telah dikenali sejak kecil, masih ada perasaan tolong-menolong dalam dirinya. Buktinya dia membantu seorang wanita tua yang diragut dan ketika itulah dia bertemu semula dengan Airin, rakan sekelasnya.

Dalam pada itu, Agus kasihan juga dengan ibunya yang sering batuk dan tidak sihat. Dia yakin ibunya kerinduan akan ayahnya kerana bapanya sering ke luar kota menguruskan projek syarikat. Menurut cerita, ibunya seorang anak desa yang dijodohkan dengan bapanya. Oleh itu, bapanya berasa segan ingin membawa ibunya ke majlis-majlis rasmi dan korporat kerana takut ibu tidak dapat menyesuaikan diri.

Berbalik kepada Agus dan Airin. Tanpa sedar Agus jatuh cinta dengan Airin. Dewa juga menyimpan perasaan yang sama. Tetapi saya memuji sikap Airin. Dia tidak mahu mencari kekasih tetapi dia ingin mencari pasangan hidup yang boleh menjadi imam dan membawanya ke syurga. Siapakah antara Agus dan Dewa yang dapat menambat hati bapa Airin sekaligus menjadi suami kepada Airin?

Selepas peristiwa 'ditolak' oleh Airin, Agus semakin rajin belajar, menghadiri kuliah, rajin solat, dan menambah ilmu agama sedangkan Dewa begitu kecewa dan kembali ke tabiat lama iaitu meminum minuman keras bagi menenangkan hati (kononnya). Mujurlah adik Dewa begitu baik dan berusaha menasihati abangnya. Peribadi Dewa dan adiknya seperti langit dan bumi. Seorang mengabaikan suruhan agama dan seorang lagi begitu mentaati agama.

Dalam novel ini saya selalu juga saya tidak dapat membezakan mana satu 'keadaan sekarang' dan mana satu 'flashback'. Apabila sudah baca sampai ke halaman hadapan, akan saya ulang sedikit bagi memahami cerita. Keseluruhannya, dapat disimpulkan, solat yang khusyuk pasti melahirkan tingkah laku yang baik dan dapat mentaati Allah, walau sebaik mana pun seseorang itu tetap tidak akan sempurna sekiranya solatnya tidak dijaga dengan baik. Jadilah anak yang baik dan soleh dan sering mendoakan ibu bapa walaupun mereka sudah tiada lagi..

Friday, November 27, 2009

Resipi 30 Minit Chef Kamarul



Judul buku : Resipi 30 Minit Chef Kamarul
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Harga : RM 25.90
Bilangan muka surat : 134
Sumber : Kedai Buku Belweel, Melaka Sentral
Tarikh baca : Oktober 2009
Terbitan tahun : 2007




Ini pertama kali saya memiliki buku resipi. Entah mengapa ketika melihatnya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur April lalu saya begitu tertarik untuk memilikinya. Namun disebabkan bajet yang terhad, terpaksa ditangguhkan dahulu. Baru-baru ini saya membelinya kerana ada diskaun yang ditawarkan (hehe..).

Buku ini ditulis untuk mereka yang tidak mempunyai masa yang banyak untuk memasak. Kesemua resipi yang ada telah dipraktikkan di kampus UiTM tempat Chef Kamarul bertugas dan masa yang diperuntukkan untuk memasak resipi-resipi ini adalah selama 30 minit dan ke bawah.

Di dalam buku ini terkandung Tip Menggunakan Dapur, Rahsia Masak Ekspres, Keperluan Asas Dapur (terutama bagi pasangan yang baru berkahwin dan duduk di rumah sendiri), Pesan Ibu Saya (membantu dari segi masakan mahupun penjagaan alatan memasak), Kesucian Makanan, dan mengenalkan bahan-bahan asas masakan dan penambah perasa. Tidak lupa juga, kelainan yang ada pada buku masakan ini ialah terdapat hadis yang berkaitan pemakanan dan sunnah Nabi Muhammad Solallahu Alaihi Wasallam pada setiap resipi.

Resipi disediakan mengikut semua waktu makan; Resipi Pagi, Resipi Makan Tengah Hari, Resipi Minum Petang dan Snek, Resipi Makan Malam, dan Resipi Pemanis Mulut dan Minuman. Ada 50 buah resipi dan terdapat 10 buah resipi pada setiap waktu hidangan. Saya telah mencuba sebahagian resipi yang ada dan ternyata ianya bukan sekadar teori malah praktikal, mudah, cepat dan yang penting sedap! ;)

Contoh Pesan Ibu Saya ialah :

1) Bagi mengelakkan mata berair kerana bawang, rendamkan bawang di dalam bekas berisi air dan kupas terus bawang yang direndam tadi di dalam air ataupun simpan bawang yang hendak digunakan esok hari di dalam peti sejuk tanpa mengupas kulitnya. Keesokan harinya anda boleh mengupas dan memotong bawang tanpa rasa pedih pada mata.

2) Menghilangkan bau hangit makanan seperti hangit nasi dan masakan lain dengan cara memasukkan 2 atau 3 tangkai cili kering ke dalam periuk, tutup seketika. Insya Allah bau itu akan hilang secara perlahan-lahan.

3) Mudah mengopek kerang dengan cara mencampurkan sesudu minyak masak ke dalam air rebusan. Kerang akan terbuka sedikit dan memudahkan kita mengopeknya.

4) Merangupkan cucur (tidak kira cucur pisang, cucur udang dan sebagainya) dengan menambah sedikit mentega ke dalam bancuhan tepung cucur. Kacau sebati dan goreng.

"Memasak itu mudah!" ^_^