Jumaat, 28 Mei 2010

Sesejuk Maaf di Kalbu

Sumber gambar : Klik sini
Judul buku : Sesejuk Maaf di Kalbu
Penulis : Nor Atiqah Ghazali
Penerbit : Telaga Biru
Bil muka surat : 214
Harga : RM 17.00


Sesejuk Maaf di Kalbu berdasarkan kisah benar yang membawa kisah persahabatan 3 sekawan sejak dari kecil. Bermula di tadika sehingga ke awal remaja. Masing-masing mempunyai kisah tersendiri dengan pelbagai latar belakang. Fazli, Amirul dan Shukri. Masing-masing berasa tertekan dengan keadaan keluarga sehingga memberi kesan kepada haluan hidup mereka.

Fazli bukan datang dari calang-calang keluarga. Bapanya seorang motivator dan sentiasa sibuk mengendalikan program sehingga Fazli rasa terabai. Begitu juga dengan ibunya yang sibuk dengan aktiviti sendiri. Shukri dan adiknya dibela oleh ibunya sahaja kerana ibu bapanya bercerai. Namun dia sangat beruntung mendapat seorang ibu yang sanggup berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan dan kejayaan anak-anak walaupun anak-anak tidak memahami perit jerih yang ditanggung oleh ibu mereka.

Manakala Amirul paling menyedihkan kerana ibunya seorang pesakit mental. Setelah ibunya meninggal dunia dia dipelihara oleh kakaknya. Tanpa diketahui mereka, kakaknya menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan wang haram hasil pekerjaannya di kelab malam. Astaghfirullah... tidak dapat saya bayangkan... makanan yang dimakan menjadi darah daging mereka. Hati juga boleh menjadi gelap kerana benda haram telah masuk ke dalam tubuh.

Saya teringat kisah Saidina Abu Bakar yang memuntahkan makanan yang dimakannya setelah mengetahui daripada hambanya tentang sumber makanan tersebut. Hamba Saidina Abu Bakar pernah menilik seseorang pada waktu jahiliahnya dahulu. Kemudian setelah dia memeluk Islam dan terjumpa semula dengan orang yang ditilik nasibnya dahulu, dia dihadiahi makanan tersebut lalu dihidangkan kepadanya tuannya. Saidina Abu Bakar mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, bahawa daging yang tumbuh hasil makanan haram akan dibakar api neraka di akhirat kelak!

Bagaimana mereka menangani konflik dalam diri yang dihadapi oleh mereka mengundang pelbagai rasa ketika saya membacanya. Apa yang dapat saya pelajari ialah kepentingan peranan ibu bapa berkomunikasi dan memahami perasaan anak-anak. Didikan agama turut menjadi tunjang utama dalam memastikan anak berakhlak mulia dan menjadi muslim yang sejati.

Ketika meningkat usia remaja, Shukri bernasib baik kerana berjaya mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh manakala Fazli dan Amirul bersekolah di sekolah menengah harian. Bermula pada detik inilah ibu bapa Fazli mula mengubah cara layanan dan perhatian mereka terhadap anak tunggal mereka ini. Fazli mula berasa disayangi dan mula menjauhkan diri daripada Amirul.

Amirul 'keseorangan' dalam meniti kehidupannya selepas itu. Teman yang dianggap sahabat sejati kedua-duanya telah menjauhkan diri darinya. Apa yang boleh dilakukan oleh Fazli dan Shukri, mereka terpaksa berbuat demikian atas permintaan ibu bapa mereka yang tidak mahu mereka bercampur dengan rakan yang tidak elok. Memang betul tindakan tersebut tetapi Amirul tidak dapat memahaminya dan sudah pasti dia mengikut haluannya sendiri.

Kesudahan bagi Amirul dan 2 sahabatnya lagi begitu berbeza. Saya tidak mahu mengulas lagi kerana catatan ini juga sudah terlalu panjang. Namun begitu kehidupan seperti Amirul sudah pasti tidak ingin saya lalui... Semoga Allah memberkati hidup kita semua.