Jauh berjalan luas pengalaman dan lebih luas minda :)
Ini karya kedua Lisa Nurisha yang dibaca. Terdahulu ialah buku Oh! London terbitan PTS (kesilapan ejaan yang terlalu banyak sehingga mengganggu pembacaan. Oh! Harap-harap ianya diperbaiki).
Kali ini keluarga Alisa dan Alya melancong ke Andalusia, Sepanyol pula kerana mengikut bapa mereka mewakili syarikat melakukan kerja penyelidikan mengenai seni bina Islam di sana dalam usaha mereka cipta masjid baharu selepas pulang dari Andalusia.
Jalan cerita lancar dan tidak kekok. Ada diselitkan adab musafir cara nabi di setiap akhir bab, persiapan bermusafir ke luar negara (pakaian, sedikit kajian mengenai cuaca, budaya dan bahasa tempat yang ingin dilawati dan insurans perjalanan).
Berada lapan hari di Andalusia membuatkan jadual mereka agak padat dengan aktiviti melancong ke tempat-tempat bersejarah di situ terutamanya melihat peninggalan zaman kegemilangan Islam satu ketika dahulu. Sedih.
Bermula dengan Alhambra (istana merah), Alcazaba (kompleks ketenteraan), Istana Mexuar (mempunyai empat bahagian), The Arrayanes Courtyard dan Generalife (tempat Sultan berehat selepas menguruskan negara). (Sekadar menyebut beberapa nama)
Kemudian mereka bergerak ke Bandar Cordoba dan melawat Mezquita de Cordoba atau dikenali juga dengan nama Great Mosque of Cordoba. Ia dibina pada tahun 786 masihi dan merupakan binaan terpenting ketamadunan Islam di benua Eropah. Masjid ini telah ditukar fungsi kepada gereja selepas kejatuhan Islam kepada Kristian satu masa dahulu.
Menarik sekali pada ketika pemerintahan Islam, pemimpin-pemimpin Islam sangat mengutamakan ilmu. Dikatakan terdapat 700 000 naskah buku di dalam perpustakaan yang dibina oleh seorang sultan pada masa itu dan harus diingatkan teknologi percetakan belum lagi tercipta. Ya, mereka menulis tangan!
Banyak sekali ilmuwan Islam yang menyumbang kepada kemajuan dan kepesatan tamadun Islam ketika itu. Antaranya ialah Ziryab. Beliau seorang tokoh seni dan muzik pertama di Andalusia. Selain menambah tali pada alat muzik seakan gitar bernama 'ud', beliau turut mereka fesyen pakaian yang berlainan warna dan dibuat daripada bahan berlainan mengikut musim, mencipta ubat gigi dan deodoran dan memperkenalkan tiga hidangan utama makanan iaitu sup, makanan utama dan pencuci mulut. Wah, baru saya tahu ianya diperkenalkan oleh orang Islam!
Ada banyak lagi yang dikongsikan Alisa dan Alya di dalam buku ini. Sempat juga mereka 'berjumpa' dengan tokoh zaman silam seperti Al-Idrisi, Aisyah (ibu kepada pemerintah sultan terakhir kerajaan Andalusia) dan Panglima Tariq bin Ziyad. Nama pun fiksyen kan ;)
Walaupun buku untuk kanak-kanak @ awal remaja namun banyak ilmu dapat saya kutip melalui pembacaan di sini. Terima kasih penulis. Barakallahufik :)
Alamak, macam kena beli ;) Hehe.
BalasPadamHaha..beli Welma. Seronok pula baca genre sebegini.
Padam