Rabu, 26 Mac 2014

Buku 13 : Cerita Cinta Ahmad Ammar oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia

Bismillahirrahmanirrahim.



Ketika Fenomena arwah Ahmad Ammar mula hangat akhir tahun lalu, saya hanya mengikutinya secara sambil lalu di laman sosial Facebook dan tidak menonton video yang dibuat untuk mengingatinya ketika itu. Namun saya tetap membaca beberapa artikel mengenainya. Di dalam hati, saya tertanya-tanya, siapakah Ahmad Ammar? Mengapa begitu ramai rakan-rakan saya yang "share" mengenai beliau? Sehinggalah beberapa waktu selepas itu, saya lihat buku mengenainya telah diterbitkan dan dipaparkan di laman sosial beberapa rakan Facebook malah ada di antaranya yang menjual naskah ini. Namun saya masih lagi "berdegil" untuk mengambil tahu.

Akhirnya, selepas menonton beberapa sesi temuramah secara langsung dengan ibu bapanya sama ada melalui TV Al-Hijrah, TV3 dan saluran TV yang lain serta membaca beberapa ulasan dari laman Goodreads, saya ambil keputusan untuk membaca buku mengenai beliau. (Terima kasih kepada Kak Dina kerana menjadi asbab saya mendapatkan naskah ini).

Saya mulakan dengan bismillah dan penuh sabar menyelak helaian demi helaian buku Cerita Cinta Ahmad Ammar yang setebal 360 muka surat ini.

Permulaan naskah dimulai dengan catatan hati seorang emak diikuti dengan abah arwah, seterusnya ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat beliau. Hanya ketika berada pada catatan Ahmad Farhan dan Muhammad Saifuddin barulah saya mendapat gambaran menyeluruh akan keperibadian arwah Ahmad Ammar yang hebat (selain catatan emak dan abahnya). Saya kira tulisan mereka matang dan menepati objektif yang ingin disampaikan kepada khalayak pembaca.

Malahan saya pernah tiba-tiba terasa "kosong" di tengah-tengah pembacaan. Mungkin kerana beberapa tulisan dari individu berlainan mempunyai isi dan maksud yang hampir sama namun saya hormati itulah kenangan dan catatan peribadi mereka ketika bersama arwah.

Selepas mengamati naskah ini, barulah saya sedar akan kepentingan mempelajari sejarah Uthmaniyyah yang begitu diminati oleh arwah Ahmad Ammar dan saya mendoakan agar visi dan misi GPTD ini tercapai dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi. Semoga dua rakan seperjuangan Ammar yang sedang meneruskan pengajian mereka di Turki berjaya dalam misi mereka dan diredhai Allah.

Ahmad Ammar insan biasa yang luar biasa, mempunyai sifat pendiam tetapi berisi dengan ilmu dan hikmah yang diberi oleh Allah, seorang yang santun, mengutamakan orang lain berbanding keselesaan diri dan tidak lupa seorang anak yang soleh. Semoga Allah meredhainya.

Saya tiada kata untuk mengulas tentang seseorang seperti Ahmad Ammar. Semoga Allah merahmatinya. Wallahualam.

2 ulasan:

  1. Wah Aina.. Dah buat review buku Ahmad Ammar.. Best best.. Akak dh habis baca tapi masih belum berkesempatan nak buat review..

    BalasPadam