Pertama sekali saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi ilham yang sangat baik kepada Puan Roza dalam menggarap karya Aroma Antara Benua ini. Subhanallah. Bagaimana mahu saya katakan tentang naskah ini?
Ia benar-benar bukan sekadar resipi.
Naskah yang santai tetapi tidak sampai melekakan. Kisah biasa yang dicatat menjadi luar biasa hasil garapan Puan Roza. Susun atur katanya, ceritanya mengikat pembaca membaca sehingga ke akhir.
Dalam diam, ia mengingatkan saya kepada Sis Zabrina A. Bakar. Penulis yang juga menulis kisah kehidupan dan dikaitkan dengan al-Quran, hadis dan koleksi kata-kata hikmat.
Mengenali Puan Roza dari buku pertamanya, Travelog Cinta Abadi sehingga kini diakui beliau seorang yang kuat ingatan, minat (dan pakar) memasak serta kuatnya tawakal kepada Allah. Doa ini ...
"Ya Allah Ya Tuhanku, mudah-mudahan makanan ini menjadi penawar kepada segala penyakit dan akan memberikan kesihatan yang baik kepada kami. Semoga ia kena pada selera tetamu kami lalu mereka bersyukur pada nikmat kurniaan-Mu. Ya Allah, jadikan kami manusia yang tunduk sujud menyembah dan beribadat kepada-Mu."
merupakan antara monolog beliau yang terkesan di hati. Beliau membaca doa ini setiap kali mahu memasak untuk tetamu. Nasihatnya lagi janganlah menganggap saru beban apabila memasak dan menerima tetamu. Sesungguhnya tetamu itu membawa kebaikan dan berkat kepada tuan rumah.
Tidak lupa, ada 56 resipi dilampirkan di dalam buku ini dan sebahagian besarnya dicatat di bahagian akhir setiap kisah yang dikongsikan.
Melalui beliau, saya tersedar bahawa banyak sekali nikmat Allah yang tidak saya sedari melalui makanan! Masya Allah.
"Lidah merupakan salah satu nikmat kurniaan Allah. Ia bukan sahaja sentiasa basah untuk bersedia menikmati makanan yang dihidangkan dari berbagai benua malah menjadi lebih bermanfaat jika digerakkan untuk membaca kalam Allah. Daku memohon keampunan-Mu, ya Allah."
Sesekali tercuit rasa geli hati ketika membaca kisah anaknya. "The bottom is white but not a sky. The top is green colour but not a grass." Boleh jadi teka-teki kuih ini ;)
Saya syorkan untuk bacaan anda juga. Bermanfaat! Insya Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan